Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 02 October 2004

Majlis Konvokesyen Yang Disaster

Hari Jumaat dan Sabtu merupakan hari yang memenatkan bagi saya. Dua hari ini merupakan hari berlangsungnya majlis konvokesyen tempat saya bertugas. Memang meletihkan. Jamuan Makan Malam pada malam hari Jumaat dan Majlis Konvokesyen berlangsung pada pagi hari Sabtu. Di dua tempat yang berasingan.

Saya yang bertugas sebagai AJK Fotografi, Videografi, Anugerah Pelajar dan Percetakan perlu menjaga segala hal yang berkaitan dengan fotografi dan anugerah untuk kedua-dua upacara tersebut. Baru empat AJK saya jaga, tetapi bila tiba hari sebenar selalunya setiap AJK akan jadi semua AJK. Biasalah pengurusan universiti tempatan. Memang tipikal sebegitu.

Untuk Fotografi, saya perlu mendapatkan jurugambar dan videografi rasmi untuk kedua-dua majlis tersebut. Mudah sahaja kerjanya. Cuma mudah sebelum tiba hari sebenar. Apabila tiba hari sebenar, tugas saya menjadi lebih mencabar dan tekanannya amat hebat. Saya perlu mengawal tingkah-laku ibu-bapa yang terlalu bangga yang anak mereka berada di atas pentas dan mereka mahu merakamkan gambar di hadapan. Secara tidak langsung tingkah laku ibu-bapa ini telah mencacatkan perjalanan majlis. Ibu-bapa yang berjalan mundar-mandir benar-benar merimaskan. Saya perlu memberitahu mereka agar duduk di tempat masing-masing kerana tindakan mereka telah menghalan penglihatan penonton di bahagian belakang. Apa gunanya jurugambar rasmi kalau ibu-bapa graduan masih berdegil. Ada pula yang marah bila saya menyuruh mereka supaya duduk. Macam bagus pula. Lainlah kalau anak-anak atau adik-adik mereka itu lulus Universiti Oxford ! Ini setakat lulus Universiti swasta tempatan dah nak berlagak. Tidak cukup dengan itu, ada abang graduan yang kononnya mengaku jurugambar TV3. Macam-macam helah mereka gunakan untuk berdiri dekat dengan pentas. Hello, jurugambar TV3 mana pakai handycam JVC untuk rakam upacara. Tidak pasal-pasal sahaja saya berlaku kasar dengan merampas pas masuk dari dalam poket abang graduan tersebut lalu saya arahkannya untuk beredar semula ke tempat duduknya.

Untuk Anugerah Pelajar lagi mudah. Dapatkan contoh dan quotation dari Royal Selangor dan pilih mana yang berkenan. Dapatkan nama pelajar yang memenangi anugerah dan hantar untuk engraving. Lebih mudah kerja untuk Anugerah Pelajar.

Untuk Percetakan saya buat separuh jalan kerana setelah mendapatkan vendor percetakan, saya melepaskan tanggungjawab untuk mendapatkan kandungan buku program kepada orang lain.

Oleh kerana majlis ini berlangsung di dua tempat yang berbeza, maka selesai sahaja majlis makan malam, semua petugas perlu bergegas ke lokasi majlis konvokesyen. Memandangkan kumpulan jurugambar dan videografi akan hanya tiba pada jam 5 pagi hari Sabtu, maka saya pulang tidur di rumah dahulu sementara menunggu jam 5 pagi.

Pada hari-hari Konvokesyen ini, fikiran saya banyak diserabutkan dengan masalah-masalah yang tidak sepatutnya datang pada hari-hari tersebut. Ia hanya membuatkan saya menjadi seorang yang tidak sabar dan cepat marah. Mangsanya keluarga graduan yang berkerumun di hadapan pentas untuk merakamkan gambar graduan secara dekat.

Majlis ini boleh saya sifatkan sebagai disaster of the year. Tidak pernah kami di sini terfikirkan akan ada seramai 707 orang yang menerima ijazah pada satu masa. Secara pengiraan mudah, maka akan ada seramai 1414 orang yang terdiri daripada ahli keluarga graduan. Majlis menjadi tidak terkawal apabila ibu-bapa berebut-rebut ingin mendapatkan tempat yang baik untuk melihat anak mereka menerima ijazah. Tempat yang sepatutnya diduduki oleh pelajar telah dipenuhi oleh para ibu-bapa. “Executive Decision” perlu dibuat. Para graduan tidak masuk ke dalam dewan dan mereka hanya beratur dari luar. Memang memenatkan.

Selesai majlis Konvokesyen pada hari Sabtu lebih kurang jam 11.45 pagi. Majlis persegaran yang disediakan mujur tidak sama dengan orang-orang kampung yang datang berdoyon-doyon satu bas. Ada tempat asing maka boleh makan dengan selesa. Selesai makan, perlu menghadiri sidang media dan sesi fotografi rasmi bersama tetamu khas. Segala-galanya selesai pada jam 1.30 petang. Perlu bergegas ke Subang.

KAERatics
KAERatics Magical Moment
Saya tiba di Subang lebih kurang jam 3 petang. Kaer masih belum tiba dari Melaka. Majlis yang sepatutnya bermula jam 2 petang ditangguhkan. Kaer tiba dan disambut dengan penuh meriah oleh para tetamu yang hadir.

Ini kali kedua saya dipanggil untuk berucap. Cuma saya mengharapkan agar juruacara di majlis-majlis akan datang tidak lagi menggunakan salutation Yang Mulia ke atas nama saya. Nama internet saya hanyalah sultanmuzaffar. S nya juga huruf kecil, bukan huruf besar. Perkataan Yang Mulia itu terlalu besar dan saya merasakan ia tidak sesuai dengan tempatnya. Lebih santai lebih bagus.

KAERatics
Saya turut merasakan ucapan saya agak membosankan. Saya mohon maaf kerana tidak punya banyak masa untuk menulis sebuah ucapan yang lebih baik dari petang tersebut kerana kesibukan yang amat sangat dengan konvokesyen. Saya juga mengharapkan agar dapat memperbaiki lagi skil komunikasi saya di hadapan para tetamu. Ucapan saya perlu lebih santai dan lebih dekat dengan emosi tetamu. Seboleh-bolehnya saya mahu sahaja memberikan ucapan tanpa teks tetapi keyakinan itu masih belum tiba lagi. Rasa gugup itu masih ada dan jalan paling mudah ialah membuat persediaan dengan menggunakan teks ucapan. Khabarnya dari tingkat atas boleh jelas kelihatan tangan saya yang sedikit menggeletar. Ia merupakan masalah besar yang perlu saya lakukan perubahan besar untuk masa hadapan.

KAERatics
Teks Ucapan Gathering Kaer Fan Club
Sawadee karp ! Terima kasih Pengerusi Majlis. Pertamanya saya memohon maaf kerana kelewatan yang sememangnya dirancang ini kerana saya perlu menghadiri dan bekerja untuk Majlis Konvokesyen tempat di mana saya bertugas. Selesai majlis saya bergegas ke sini secepat yang mungkin. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada penganjur dan Tahniah kerana berjaya mengadakan Gathering Kaer Fan Club ini.

Sedar atau tidak kerana Akademi Fantasia telah wujud 12 fan club baru. Sedar atau tidak anda beruntung kerana berpeluang untuk berkongsi minat yang sama iaitu terhadap Kaer dan berkumpul seperti satu keluarga. Sebuah keluarga yang ahlinya terdiri dari beratus, mungkin juga beribu macam sifat dan perangai.

Menjadi saya, lebih beruntung kerana berpeluang untuk mengenali 12 keluarga baru ini dan ia merupakan satu pengalaman yang besar ertinya kepada saya. Ini tidak termasuk dengan satu keluarga baru dari kalangan pembaca blog saya sendiri. Bertemu dengan pelbagai ragam manusia sebenarnya mematangkan lagi perjalanan hidup seseorang. Masalah pasti wujud dalam sebuah keluarga baru ini. Setiap masalah tentunya ada penyelesaiannya.

Suka atau pun tidak, saya akan tetap menyokong kerjaya mereka kesemuanya. Yang penting saya tahu yang sokongan saya terhadap mereka lebih bersifat positif dan bukan sekadar pujian melulu. Saya tidak mahu bintang seperti Kaer dan yang lain-lain terus dibuai pujian-pujian manis sehingga merosakkan perkembangan kerjaya mereka.

Apa yang kita lihat pada hari ini hanyalah 10% dari bakat Kaer sepenuhnya. Sebagai peminat kita mahu melihat Kaer menyerlahkan lagi bakat yang lagi 90% itu. Banyak yang boleh kita lihat dan janganlah kerana berasa selesa dengan keadaan sekarang, bakat yang 90% itu terpendam begitu sahaja. Perbaiki diri untuk menjadi lebih maju dan para peminat Kaer akan sentiasa menyokong kerjaya anda. Perubahan positif untuk meningkatkan diri agar menjadi lebih matang dan mampu membuat perubahan kepada lakaran sejarah hidup sendiri akan membuatkan peminat sentiasa menyokong kerja anda.

Peminat datang dan pergi. Kaer pernah merasai bagaimana perasaan bila peminat boleh datang dan boleh pergi begitu sahaja. Melihatkan prestasinya yang semakin menurun, peminat boleh pergi. Apa maknanya ? Ini bermakna peminat mahu melihat sesuatu yang positif dalam diri Kaer. Perubahan positif itu perlu datang dari dalam diri sendiri dan juga sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi.

Selamat beramah mesra dengan keluarga baru anda. Jadikan ini titik mula kepada sebuah pembentukan masyarakat yang penyayang. Ia tidak akan berlaku jika bukan kerana Akademi Fantasia.

Terima Kasih.


KAERatics
Saya duduk bersama Badrul dan Encik Freddie Fernandez. Beliau turut meminta kerjasama dari saya agar memberitahu apa sahaja masalah yang dihadapi oleh kelompok peminat Akademi Fantasia kepadanya. Katanya, saya lebih dekat dengan para peminat Akademi Fantasia sendiri. Selesai makan pusingan yang pertama, saya naik ke atas untuk bertemu dengan sahabat-sahabat saya yang lebih selesa duduk di tingkat atas. Ada wink, Cikanos, mee sua, izreen, shaylimar, hemo, scov dan anaknya. Majlis terus berlangsung di bawah dan saya tidak sedar apa yang berlaku. Sesekali saya akan turun untuk mendapatkan makanan dan bertemu dengan Adam. Adam turut hadir ke majlis tersebut.

Saya juga berkesempatan untuk mengenali ibu dan bapa Kaer. Agak seronok juga apabila mereka mengenali saya sewaktu muncul dalam Imbasan. Juga sempat bertemu dengan Juan Danza wartawan dari URS.

KAERatics
Berbalik kepada penganjuran majlis ini, saya merasa kagum dengan semangat pada AJK. Mereka berusaha mendapatkan penajaan dari pelbagai pihak. Ada yang sanggup menaja percutian untuk pemenang cabutan bertuah.

Majlis lebih dapat dikawal dengan baik oleh para AJK. Semuanya berjalan dengan teratur. Keseronokan tetamu dapat dikawal agar mereka tidak berebut-rebut untuk bertemu dengan Kaer. Tahniah kepada penganjur yang telah bertungkus-lumus melaksanakannya dengan cemerlang.

KAERatics
Secara keseluruhan saya gembira dapat bertemu dengan semua peminat Kaer. Ada juga yang menegur, ada juga yang segan. Saya dapat berbicara seketika dengan mereka selain menjadi tempat mereka meluahkan masalah yang mereka hadapi.

Saya terfikirkan satu jalan penyelesaian kepada masalah ini. Saya akan mencadangkannya kepada Encik Freddie Fernandez kelak.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger