Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 14 March 2005

Ulasan Tertangguh
Minggu lepas merupakan minggu Sepet. Ya, berkali-kali lagi. 3 kali secara tepatnya. Dua kali di TGV KLCC dan kemudian singgah ke GSC Mid Valley. Sekadar untuk bertukar selera layar. Maka tidak dapat tidak beberapa ulasan menjadi tertangguh. Saya telah mendapatkan VCD Sepet. Ada beberapa kejutan yang akan saya tuliskan dalam ulasan saya nanti. Saya masih memikirkan sama ada perlu untuk mengulas Anugerah Seri Angkasa atau pun tidak. Sejak akhir-akhir ini pengulas dan pengkritik sering mendapat perhatian pembikin filem atau pun penerbit rancangan. Maka perang media, selain perang siber dan perang psikologi pun bermula.

Sempat juga meluangkan masa menonton teater Salina. Hebat tetapi anti-klimaks ! sayang sekali.

Si Sepet Yang Tidak Potong
Antara dua tontonan Sepet di TGV KLCC, saya sempat membeli VCD Sepet di situ. Saya pulang dan tonton walaupun baru sahaja selesai menonton wayang. Saya mainkan VCD tersebut. Sampai ke adegan Jason membawa Orked menonton wayang gambar, saya amat terkejut apabila melihat aksi Orked menunggang motosikal dengan dua kakinya di atas riba Jason ada dalam VCD tersebut. Tanpa lengah, saya melajukan perjalanan VCD tersebut ke bahagian gurau senda ibu dan bapa Orked. Adegan tersebut juga ada sepenuhnya tanpa potongan.

Saya mengulangnya beberapa kali semata-mata untuk membuktikan apa yang saya sedang lihat bukan sekadar harapan.

Anugerah Seri Angkasa : Anugerah Taraf RTM
Rumah siap, pahat berbunyi. Penat. Bosan. Walau segah mana pun anugerah ini sekiranya masih diselenggarakan bersama RTM, maka aura-aura RTM itu akan tetap kelihatan. Walaupun ia dilangsungkan di Dewan Merdeka, tetapi tetap kelihatan seperti di Auditorium Besar RTM. Sistem bunyi kedengaran kasar di Saluran Perdana, baik sedikit di Saluran 4, Astro Ria.

Placard masih diusung untuk memperkenalkan stesen radio dan tv, persis konsert sekolah rendah. Pengacara rancangannya terjerit-jerit memperkenalkan penyampai anugerah seperti mereka berada di dalam konti radio.

Persembahan yang hebat hanya dari Azlina Aziz dan Liza Aziz serta lawak jenaka dari Saiful Apek dan Raja Azura. Persembahan Ruffedge masih hambar (walaupun Ruffedge menjemput Opie menyertai persembahan mereka).

Keputusan malam itu adalah hak juri. Saya sendiri tidak menonton kesemua rancangan yang dipertandingkan. Anda mengharapkan saya menonton Salam Pantai Timur ? Jauh sekali. Drama yang mendapat pencalonan akhir untuk Drama Terbaik hanya Ustaz Sufi dan Sekeras Kerikil sahaja yang saya tonton.

Akademi Fantasia menang dua anugerah iaitu Rekaan Set TV Terbaik dan Aznil Nawawi menggondol Pengacara TV Terbaik. Selain itu, Akademi Fantasia dicalonkan untuk Kostum Terbaik TV dan Penataan Cahaya Penerbitan TV Terbaik.

Salina : Deja Vu Lantai T. Pinkie dan Mencari Juita album foto
Pada mulanya saya menyangkakan yang Salina sekadar drama kisah silam yang bercerita tentang latar zaman setelah perang. Pada masa itu hidup amat susah.

Bertindak di luar kebiasaan, teater ini meneroka kisah hidup orang-orang di sekeliling Salina. Maka sewajarnya watak Salina nampak tidak begitu menonjol.

"Aneh sekali, waktu itu, yang dikagumi hanya gerak-geri seorang watak; masyarakat sekitar watak Salina itu sendiri seperti dilupakan." Ujar harapan Pak Samad dalam buku cenderamata.

Maka melihat senario tersebut, kumpulan ini telah keluar dari kepompong minda zaman dahulu untuk melihat watak-watak di sekitar Salina. Maka watak seperti Nahidah, Zarina, Hilmy dan Khadijah diberi kekuatan watak serta dapat menonjolkan diri mereka selain watak Salina dan Fakar.

Masing-masing punya sebab untuk bertindak di luar batasan normal kehidupan. Kisah hitam dalam hidup masing-masing berpunca dari keinginan untuk meneruskan kehidupan. Zaman itu, manusia sanggup melakukan apa sahaja untuk terus hidup.

Fikiran saya terimbau kepada Rumah Kedai Jalan Seladang, Mencari Juita, Ronggeng Rokiah dan Lantai T.Pinkie. Empat drama pentas ini punya tema yang sama dalam latar zaman yang sama. Pengaruh-pengaruh drama tersebut turut diselitkan dalam Salina.

Saya harus puji rekaan set yang dibuat dengan cukup baik serta mampu membawa mood persekitaran Kampung Kambing.

Kekuatan rekaan set yang ada mungkin akan dapat menguatkan lagi nashkah tersebut sekiranya dibantu dengan rekaan tatacahaya yang lebih mantap. Mood pencahayaan tidak banyak membezakaan perbezaan waktu serta menimbulkan suasana persekitaran pada waktu tersebut.

Teknik arahan serta olahan skrip telah dibuat dengan baik. Saya paling menyukai teknik awal dan teknik akhir drama tersebut. Sambil Hilmy membaca surat dalam perjalanan di dalam sebuah gerabak keretapi. Hayunan gerabak serta kesan bunyi memberikan kesan yang begitu mendalam.

Namun demikian, para pekerja pentas harus tahu disiplin teater. Kerja harus dilakukan dengan cermat dan teliti agar tidak mengganggu persembahan. Pekerja pentas melintas di hadapan pelakon adalah sesuatu yang sukar dimaafkan.

Babak akhir sedikit merencatkan perjalanan cerita. Menyanyikan lagu tema seakan-akan menjadi anti-klimaks kepada persembahan tersebut. Mujur ia bukan pertandingan dan hanya sekadar persembahan. Perjalanan akhir Salina membawa begnya berjalan keluar dari pentas mengingatkan saya tentang perjalanan T.Pinkie keluar dari pentas Lantai T.Pinkie. Tidak banyak perbezaan.

Saya senang untuk menonton drama masyarakat pada zaman setelah perang untuk kita sama-sama menjelajah permasalahan mereka satu persatu. Salina berbuat baik kepada lelaki bernama Fakar tetapi tidak mendapat balasan yang sewajarnya. Fakar yang tidak mengenal untung tidak mahu berterima kasih atas pengorbanan Salina. Fakar mengambil kesempatan untuk menodai Nahidah. (baca: makan luar). Akhirnya Salina yang keluar dari rumahnya sendiri meninggalkan Fakar.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger