Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 21 July 2005

Diari Akademi Fantasia Minggu 08 Episod 07
Terus lemah longlai dari ingin meneruskan menulis ulasan episod ini setelah diberitahu oleh salah seorang sahabat akan satu berita yang mengejutkan ini. :)

Latihan untuk Marsha tidak begitu menyeluruh pada minggu ini. Peningkatan pada nyanyiannya juga tidak begitu ketara. Saya merasakan nyanyian Marsha perlu ditingkatkan lagi. Lagu ini punya tempo yang agak pantas terutamanya di bahagian korus. Nyanyian Marsha kedengaran agak sengau kerana lontaran vokalnya tidak dikawal dengan baik. Menurut Cikgu Adnan, Marsha perlu membuka mulutnya luas-luas. Lagu ini merupakan sebuah lagu yang sesuai untuk menyerlahkan vokal Marsha yang bertenaga dan penuh dengan dinamik itu. Mula-mula ingatkan semi-falsetto, rupanya menjadi sengau pula di penghujung.

Tone vokal yang dipunyai oleh Akma begitu sesuai dengan lagu dangdut. Dengan vibrato yang cukup serta lenggok-lenggok dangdut semakin menyerlahkan lagi persembahan Akma. Untuk lagu dangdut, sengau dibenarkan.

Maybank2u.com
Bila munculnya mascot Maybank2u, tiba-tiba teringat dekat Liza yang takutkan mascot Nando’s. Amylea pun takut dekat mascot tersebut. Kemunculan Maybank2u.com adalah sekadar kerana mereka salah satu penaja Akademi Fantasia. Bukankah lebih baik sekiranya, pelajar diberi peluang untuk membeli-belah secara online menggunakan perkhidmatan tersebut. Amylea nampak begitu tekun cuba mencerap segala maklumat dari wakil Maybank2u.com.

Saya seronok melihat mascot Maybank2u yang turut sama menari tarian sumazau, Menuju Puncak dan twist. Lambat betul nak siap ulasan episod ini.

Baling Bantal
Mengisi kebosanan pelajar, mereka bermain baling-baling bantal. Memang seronok apabila melihat mereka bermain dengan gembira. Dalam keadaan yang tidak ramai bilangannya, keseronokan tersebut dapat dirasakan. Kemesraan tersebut semakin sayang untuk dipisahkan. Dalam keriangan tersebut, ada kejujuran di dalam hati masing-masing. Isikan sisa-sisa masa yang tinggal untuk dimanafaatkan sementara masih ada.

Cikgu Linda Jasmine menyuarakan kerisauannya terhadap koreograf lagu Hindustan. Menurutnya, tarian tersebut agak sukar dan lagunya agk panjang iaitu selama tujuh minit. Hasil dari tunjukajar beliau, koreograf yang terhasil agak menarik. Lebih menarik dari tarian Menuju Puncak. Lebih sukar dari tarian Menuju Puncak.

Saya melihat kesungguhan yang ditunjukkan oleh Kefli, Amylea dan Akma dalam tarian tersebut. Akma dan Amylea semacam sudah menghafal lirik lagu tersebut. Tarian yang mereka tampilkan juga agak baik. Saya akui, tarian ini memang sukar kerana tempo yang yang laju dan dalam masa yang sama mereka perlu menyanyi.

Dulu-dulu, mereka miming saja.

Ibu Yusni Jaafar dan Pak Hamid Gurkha
Kehadiran Ibu Yusni Jaafar dan Pak Hamid Gurkha seakan menghilangkan kerinduan pelajar terhadap ibu bapa pelajar. Mereka turut sama makan tengahari bersama-sama pelajar yang boleh disifatkan seperti anak-anak mereka.

Ibu Yusni telah bertemu dengan pelajar perempuan dan bertanyakan tentang latarbelakang keluarga masing-masing. Manakala Pak Hamid Gurkha telah bertemu dengan pelajar lelaki dan telah memberikan nasihat-nasihat berguna untuk menjadi seorang artis.

Untuk meredakan ketegangan mereka, pelajar telah diminta untuk mengimbas kembali lakonan Pak Hamid dan Ibu Yusni dalam filem Sikit Punya Gila. Antara adegan yang dilakonkan semula ialah adegan sewaktu Ibu Yusni menegur Pak Hamid yang sedang dalam perjalanan pulang pada satu malam. Mawi dan Marsha diminta untuk melakonkannya. Manakala Kefli diminta untuk melakonkan adegan Pak Hamid sedang menggosok gigi ikan.

Nampak gembira benar pelajar melihat keletah Pak Hamid yang membuat jenaka-jenaka kepada mereka. Tipah Tipah juga terhibur dengan jenaka Pak Hamid. Walaupun sebentar, kerinduan pelajar terhadap ibu bapa mereka terubat juga. Lebih-lebih lagi kepada Yazer yang hampir-hampir menitiskan air mata kerana teringatkan keluarganya.

Membawakan artis veteran ke dalam Akademi Fantasia seakan-akan dapat memberikan sedikit pengetahuan kepada para pelajar. Mereka dapat berkongsi pengalaman yang mereka ada. Ilmu yang telah diajar oleh Afdlin Shauki semalam juga nampaknya telah dipraktikkan oleh Kefli dengan baik. Beliau menjawab soalan dari Pak Hamid dengan penuh berkeyakinan agar tidak melukakan hati beliau.

Diari Akademi Fantasia Minggu 08 Episod 08
Mawi berlatih lagunya Pupus. Memang nampak Mawi bersungguh-sungguh pada minggu ini. Pasangannya, Felix juga semakin jarang kelihatan bersama-sama. Masing-masing sudah sedar minggu-minggu terakhir di Akademi Fantasia ini bukan merupakan minggu untuk bermain-main. Minggu ini masing-masing perlu serius. Mawi serius dengan Pupus, Felix serius dengan Hukum Karma. Satu perubahan yang positif apabila dapat melihat mereka mengurangkan aktiviti-aktiviti tidak serius sebaliknya menumpukan perhatian mereka kepada latihan lagu masing-masing. Saya menyukai lagu Pupus. Apabila Mawi menyanyikan lagu ini, saya semakin menyukainya kerana vokal Mawi semacam ada satu tarikan kelakiannya. Lagu ini semacam ditambah elemen Melayunya lebih lagi daripada nyanyian penyanyi asalnya. Marsha dan Akma turut membantu Mawi mendapatkan sebutan-sebutan yang betul dalam lagunya.

Cerita Kucing
Sambil-sambil mengadap makanan, Cikgu Ee bercerita yang beliau hampir terlanggar seekor kucing. Memang berubah muka Marsha kerana tidak sanggup untuk membayangkan kucing tersebut digelek. Menurutnya, beliau seorang yang tidak sukakan kucing. Sambil-sambil itu, Marsha bercerita tentang kucingnya yang sedang bunting.

Menurut Akma siapa yang menyukai kucing merupakan seorang yang penyayang. Ada yang boleh dibawa bersembang dengan kucingnya. Bapa Akma pula tidak menyukai kucing kerana lelah. Keluarga Amylea amat menyukai kucing dan membela generasi-generasi kucing tersebut. Mereka boleh berkongsi masalah dengan kucing mereka.

Bagaimana pula jika seseorang yang sukakan kucing untuk memancing undi. Selepas selesai kucingnya ditinggal-tinggalkan.

Nama kucing Marsha ialah Buruk dan Gogo. Manakala kucing AMylea ialah Ayam dan Dido. Memang sengaja Cikgu Ee mencari fasal dengan Marsha. Dikatakannya nama kucing Marsha buruk.

Turut ditayangkan ialah klip yang pernah dirakamkan tiga hari yang lepas. Marsha bercerita tentang kucingnya yang sedang bunting. Marsha ingin mengetahui siapa bapa kepada anak kucingnya. Marsha berharap agar keluarganya menelefon krew Astro memberitahu tentang perkembangan kucingnya.

Oleh kerana itu, Cikgu Ee telah mengarahkan Marsha keluar dari kelasnya kerana menyukai kucing. Marsha terpinga-pinga. Marsha telah dibenarkan untuk keluar ke SPCA iaitu Pusat Penjagaan Haiwan di Ampang.

Kelas Tarian Cikgu Ee
Baru saya mula nampak personaliti sebenar Akma. Akma harus berani seperti apa yang pernah diperkatakan oleh para pengkritik pada beberapa minggu lepas. Banyak yang menyarankan agar Akma berani mengambil risiko dalam setiap persembahannya. Sekiranya Akma masih mengawal pergerakannya maka persembahannya jadi hambar. Akma mula berani untuk mengeluarkan sedikit-sedikit tariannya walaupun dalam keadaan malu-malu. Beliau perlu lebih menggoda dalam nyanyiannya. Ini kekurangan yang ketara sewaktu lagu LOVE. Beliau harus menebus kesilapan tersebut dalam lagu ini. Lagu Selamat Jalan Romeo memberikannya peluang itu. Gerakan Akma perlu lebih menggiurkan sewaktu attack pada lau tersebut. Cikgu Ee masih menganggapnya biasa sebagai cabaran kepada Akma untuk menyerlahkan lagi gelekannya. Felix pula memerhatikan latihan Akma dari tepi.

Di Bilik Aktifkan, Amylea pula mengambil peluang untuk mengajar Akma tarian yang perlu beliau lakukan. Sedikit sebanyak, Amylea banyak membantu mencipta pergerakan-pergerakan yang lebih baik kerana beliau sudah biasa beraksi sedemikian. Saranan saya, Akma perlu berani. Belasah saja. Apa pun persembahan anda, Akma sudah berada dalam Lima Pilihan Terbaik saya.

Kelas Teknikal Vokal Cikgu Siti Hajar
Nyanyian Yazer lebih baik pada hari ini berbanding semalam. Yazer mula memberikan tumpuannya kepada lagunya. Beliau mula fokus kepada teknik nyanyian dan cuba sedaya upaya beliau untuk menvariasikan lenggok pada nyanyiannya. Bunyi kasar pada vokalnya masih menebal kerana irama rock sudah sebati dalam dirinya. Lontaran vokal beliau rasanya tidak mempunyai masalah cuma beliau perlu banyak berlatih pada bahagian falsetto agar lebih kemas.

Marsha dan Society for the Prevention of Cruelty to Animals (SPCA)
Ini pertama kali seorang pelajar Akademi Fantasia di bawa keluar dari Akademi Fantasia. Di dalam Akademi Fantasi Indosiar, pelajarnya dibenarkan keluar untuk bertemu peminat sewaktu masih berada di dalam Akademi. Peluang ini wajar diberikan kepada semua pelajar Akademi memandangkan tiada apa yang perlu dirahsiakan kepada mereka. Mereka sudah pernah menonton Akademi Fantasia 1 dan 2 dan sudah mengetahui reaksi masyarakat tentang program tersebut. Lebih menarik sekiranya pada setiap minggu dibuat semacam physical challenge di antara pelajar dan pelajar yang berjaya dibenarkan keluar untuk bertemu dengan peminat-peminat mereka yang bertuah. Ini secara tidak langsung mewujudkan persaingan di antara pelajar dan juga dapat meningkatkan sifat menimba ilmu di kalangan pelajar. Para pelajar akan cuba untuk mendapatkan peluang tersebut. Jika dapat penajaan, ada juga hadiah-hadiah khas pada minggu-minggu pertengahan itu.

Sekembalinya Marsha dari SPCA, beliau menceritakan pengalamannya berada di SPCA. Marsha menghabiskan masanya bersama kucing-kucing terbiar yang ada di situ. Membersihkan sangkar-sangkar kucing tersebut serta memberikan kucing-kucing tersebut makanan dan minuman.

Sifat kasih sayang Marsha kepada kucing semacam satu kelebihan Marsha yang dapat kita lihat di dalam Akademi Fantasia. Watak yang sama telah dimainkan oleh Khai dan berjaya mendapat tempat kedua di Akademi Fantasia 1. Hubungan kasih sayang manusia dan haiwan ini merupakan antara elemen-elemen penarik yang ada di dalam Akademi Fantasia. Elemen-elemen hiburan yang ditampilkan oleh haiwan sebegini dapat memberikan satu pandangan positif kepada penonton. Seronok saya dapat melihat Marsha begitu senang dan gembira dapat meluangkan masanya di SPCA. Bukan selalu peluang itu diperolehi. Jangan terkejut sekiranya nanti Marsha terpilih untuk menjadi Duta kepada SPCA. Sesuatu yang menarik bukan ?

Impian saya selama ini semakin hari semakin dekat mendekati saya. Semoga ia akan menjadi kenyataan.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger