Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 27 November 2005

Album Terbaik dari Bintang Realiti TV

Nikki : Maharani
Rating : 4/5

"Pinta (Vintage Remix) mengembalikan saya ke zaman mainan muzik piring hitam
dengan menggunakan gramaphone. Satu cubaan yang menarik !"

Setelah berakhirnya Malaysian Idol, ramai yang tertunggu-tunggu buah tangan dari Nikki kerana penyingkiran mengejutnya dari Malaysian Idol. Berbekalkan kehebatan vokal yang mantap, Nikki hadir menemui peminatnya dengan sebuah album bertajuk Maharani. Saya kurang mengikuti program Malaysian Idol kecuali menontonnya sekali-sekala jika ada kesempatan. Waktu bila Nikki tersingkir pun sudah saya lupa. Boleh saya katakan, album ini lebih hebat dari album Jaclyn Victor, juara Malaysian Idol. Saya belum berkesempatan untuk mendengar lagu-lagu dari album Saiful dan Dina.

Album yang baik pada saya apabila mempunyai susunan muzik yang mantap. Lagu-lagu yang tercipta mempunyai bunyi-bunyian hasil instrument yang pelbagai dan memberikan variasi pada lagu-lagu tersebut. Album yang baik bukan sekadar kehebatan vokal atau aura penyanyi tetapi juga produksi album yang mantap.

Satu keberanian yang saya lihat pada album ini apabila Nikki cuba untuk menghindarkan imej Mariah Carey pada persembahan vokalnya. Ada beberapa lagu masih menggunakan whistling tetapi tidak pada kesemua lagu. Walaupun dikenali dengan imej tersebut, produksi ini dengan berani mengenepikan imej tersebut dan meneroka percubaan-percubaan lain pada persembahan vokal Nikki. Beliau mempunyai kebolehan tersebut tetapi tidak terlalu menunjuk-nunjukkan kebolehannya. Jika dibenarkan untuk saya bandingkan dengan Idayu yang terlalu berusaha keras untuk menonjolkan kebolehannya.

Saya menyukai sebutan nyanyian Nikki yang tidak pekat dialek Sabahnya. Beberapa kali mendengar lagu ini, jelas kedengaran seperti dinyanyikan oleh seorang penyanyi berbangsa Melayu. Namun demikian sebuah lagu berbahasa Dusun turut dimuatkan dalam album tersebut untuk menghargai sokongan dari para peminat di negeri kelahirannya. Lagu tersebut juga dinyanyikan dengan baik oleh Nikki serta dalam sebutan bahasa yang betul.

Saya kurang berpuas hati dengan kulit album yang terhasil. Gambar di kulit hadapan tidak cukup untuk menarik pendengar untuk membeli album ini. Tidak dinafikan kualiti fotografi yang digunakan amat baik tetapi imej yang terhasil masih belum mampu menarik minat saya untuk membelinya sekiranya saya berpandukan kulit album hadapan.

Memandangkan Nikki seorang yang agak sukar untuk tersenyum, maka apa perlunya imej dengan wajah yang serius dipaparkan di kulit hadapan album tersebut. Saya lebih tertarik dengan imej-imej yang terhasil di bahagian dalam kulit album ini. Imej-imej tersebut lebih menyerlahkan keremajaan Nikki.

Imej-imej pada kulit album amat penting untuk menarik pendengar membeli album tersebut. Tajuk album ini iaitu Maharani sudah seakan menjarakkan sedikit hubungannya dengan pendengar. Maka, imej tersebut perlu dieksploitasi untuk merapatkan jurang tersebut agar Maharani yang dipersembahkan adalah Maharani yang dekat dengan pendengar.

Satu keunikan album ini apabila ia menampilkan 12 track remix serta 1 hidden track iaitu duet Nikki dan Ning Baizura untuk lagu Pinta. Saya tertarik dengan Pinta (Vintage Mix) yang seakan-akan mengembalikan mood muzik piring hitam yang dimainkan dengan peti gramophone. Saya ada beberapa koleksi lagu-lagu klasik Melayu yang sedemikian seperti Terang Bulan dan Fatwa Pujangga. Dalam dunia muzik menuju arus kemodenan, muzik klasik tetap menjadi pilihan.

Antara lagu yang menarik pada pendengaran saya ialah lagu Pinta. Lagu Pinta merupakan sebuah lagu balada yang mempunyai susunan muzik yang menarik. Pada saya lagu ini masih belum mampu menyaingi lagu Awan Yang Terpilu. Susunan muziknya cukup memadai tetapi masih belum begitu solid. Banyak ruang-ruang kosong untuk dipenuhi dengan bunyi-bunyi yang lebih mantap. Satu perkara yang saya perasan permulaan lagu ini ada iras-iras lagu Bertakhta Di Hati.

Permulaan lagu Janji mengingatkan saya kepada bunyi-bunyi etnik fusion dalam Senang Tari oleh Ning Baizura. Sebuah balada yang yang padat dengan mainan strings yang menusuk pendengaran. Kebanyakan lagu dalam album ini amat tebal bunyian stringsnya.

Penampilan Zahid dalam lagu Caramu melengkapkan lagu tersebut. Lebih menarik, lagu tersebut dirakamkan sewaktu saya dan beberapa sahabat lain berada di studio rakaman. Zahid turut meminta pandangan dari beberapa pihak untuk lirik rap lagu tersebut.

Sebuah lagu dalam hidden track menggandingkan Nikki dan Ning dalam lagu yang bertajuk Imaginasi secara unplugged. Gandingan vokal mereka kedengaran ada persamaan walaupun range Nikki lebih besar. Secara jujur saya lebih menyukai kemerduan vokal Ning dan kelantangan vokal Nikki. Vokal mereka saling melengkapi dalam lagu Imaginasi tersebut.

Banyak lagu-lagu yang berentak agak rancak dalam album ini bersesuaian dengan konsepnya yang agak keremajaan. Lagu Perang Atau Cinta, Cinta Baru, Aku Maharani dan Hey ! Hey ! merupakan antara lagu-lagu yang agak rancak temponya. Saya jarang menyukai lagu-lagu sedemikian. Penggemar lagu rancak yang mempunyai elemen hip-hop, rap dan bubble-gum pop tentunya meminati lagu-lagu tersebut. Jiwa saya lebih kepada lagu irama etnik fusion dan balada. Muzik orang tua seperti lagu Janji dan Pinta !

Sebuah album yang boleh saya sifatkan sebagai hasil yang terbaik dari bintang realiti TV kerana barisan sokongan tenaga produksi yang mantap. Kehebatan vokal Nikki disokong dengan sebuah produksi album yang saling melengkapi untuk sebuah hasil yang boleh dibanggakan.

Track :-
Imaginasi
Caramu (featuring Zahid)
Perang Atau Cinta
Cinta Baru
Julangan Permata
Bahagia Selamanya
Janji
Aku Maharani
Hey ! Hey !
Pinta
Sunudai Oku
Caramu

Pilihan sultanmuzaffar
Pinta 4.5/5
Janji 4.5/5
Imaginasi 4.5/5
Caramu 4/5
Cinta Baru 4/5
Julangan Permata 4/5
Aku Maharani 4/5
Sunudai Oku 3.5/5
Bahagia Selamanya 3.5/5
Hey ! Hey ! 3/5
Perang Atau Cinta 3/5

Laman Web Rasmi Nikki : www.nikkimusic.com.my
Beli Album Nikki Online : BadrulAfterSix
Metro Ahad : Maharani Cukup Selesa
Fiebie : PROMOSI TIME : PROJEK MAHARANI
SashiWeb : Nikki’s debut album ‘Maharani’

"kalau ingin menghalau langau, kita buang bangkainya dahulu..."

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger