Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 30 November 2005

Rock : Mengembalikan Zaman 80an
Rating : A (Mesti Tonton)

Rock mesti ditonton oleh sesiapa sahaja yang meminati komedi gaya Mamat Khalid dan peminat muzik rock ! Saya suka Rock kerana ia merupakan sebuah komedi yang ringan dan menghiburkan. Saya terhibur menonton Rock. Sebab saya menonton filem, pertama untuk menghiburkan diri sendiri dan kedua melihat apakah idea kreatif yang ingin dipersembahkan oleh pengarah filem tersebut. Saya bangga melihat hasil filem ini. Ceritanya ringkas. Arahannya mantap. Suntingannya tepat. Imbas Kembalinya cemerlang. Seperti telefilem arahan Mamat Khalid sebelum ini seperti Pinang Durian, Pukul Dua Petang, Rombongan Cik Kiah ke Sukan Komanwel, Hari Raya Abdullah Rafee dan Mat Nor Khusairi & The Velvet Boy, itulah pembawaan gaya Mamat Khalid dan di bawa ke filem ini. Jika anda menyukai telefilem-telefilem beliau, saya pasti anda menyukai Rock.

Rock mengisahkan tentang sekumpulan anak-anak muda dalam sebuah band rock yang pernah memasang impian untuk jadi terkenal pada dekad 80an ! Zack yang pada masa ini bekerja di pejabat pos tiba-tiba terjumpa sepucuk surat yang ditujukan kepada kumpulannya dulu - RIMBABARA - di bahagian surat tidak beralamat. Zack terus mengingati kembali bagaimana dia, JIJO (bass), BLACK (drum) dan AMY (vokal & kadang-kadang tambourine) berlatih bermati-matian untuk menyertai “Battle Of The Band” pada tahun 80an. Impian mereka cuma satu - menjadi juara dan merakamkan album. Zack berhadapan dengan pelbagai masalah dan dilemma - keluarga, kawan-kawan teman wanita seteru, duit dan banyak lagi…

Cerita ini menggambarkan latar mood dan feel 80an yang menarik, nostalgia dan penuh ‘kapak’. Inilah kisah tentang sebuah band yang hampir terkenal !

Visual Rock Yang Meletup !

Zack yang selamba dan lucu

Filem ini mengembalikan bukan sahaja muzik rock zaman 80an tetapi juga dibikin dengan berlatarkan kemudahan teknologi ketika itu. Mood yang dibawa oleh filem ini bukan sekadar pada intipati cerita tersebut tetapi juga pada visual yang dipaparkan.

Pada beberapa adegan berlakunya pergerakan bibir pelakon yang tidak selari dengan dialog. Teringat filem-filem zaman tersebut yang mana proses dubbingnya dibuat dengan tidak teliti atau mungkin juga kekangan kewangan atau teknologi pada masa tersebut. Ia semacam drama alih suara, bibir cakap Jepun, suara cakap Melayu. Menurut Mamat Khalid, ia memang disengajakan agar mood teknologi pada zaman dapat dirasai oleh penonton. Memang sesuatu yang sukar untuk membawa visual 80an ke layar perak. Seseorang pengarah itu harus menyelam zaman tersebut untuk mengingati kembali visual zaman tersebut dan ditayangkan di layar perak.

Kaedah rakaman gambar juga adakalanya sengaja di”out-focus”kan. Pelakon berdialog dalam keadaan samara (blur) bila mana imej yang statik menjadi focus pada layar. Itu style atau identiti zaman tersebut. Kesan sinematografi pada filem ini juga nampak kelam sama seperti menonton filem Fantasia setelah 4 tahun pembikinannya dari diluluskan untuk tayangan setelah diharamkan. Kesannya sama seperti bila kita menonton filem Abang pada masa kini. Ia nampak kelam.

Zaman 80an dibawa kembali ke layar perak dengan cemerlang oleh Mamat Khalid. Gaya berpakaian (walaupun ada beberapa kesilapan yang boleh dimaafkan), gaya pertuturan juga kekangan teknologi dipersembahkan dengan bersahaja tetapi kena dalam filem ini.

Rock Kangkang

Bayangkan anda dapat melihat kasut Aliph (kalau yang berduit sikit, mereka guna kasut LA Gear. Ella model utama untuk kasut LA Gear satu ketika dulu) yang terkenal di zaman tersebut dalam filem ini. Fesyen seluar fit yang maha ketat (terpaksa gunakan plastik sayur untuk menyarung seluar ketat tersebut) menjadi simbolik wajib kepada identiti rock selain tie tali kasut berlokedkan tengkorak atau gading dan baju T lusuh tertulis perkataan DIO. Zaman tersebut belum cukup lengkap tanpa tali kasut fluorescent. Saya tidak pasti mat rock pakai atau tidak tali kasut berwarna terang atau mungkin juga mat diskang saja yang pakai jenis itu.

Ingat zaman Battle of The Band ketika seluruh Malaysia dilanda demam rock ? Penuh funfair dengan mat-mat rock yang berjiwa kental serta minah karan rambut gerbang datang menonton konsert mereka. Zaman Ali Bakar yang satu ketika popular kerana menjadi promoter muzik rock dan band rock, sama popular dengan Freddie Fernandez ketika zaman Akademi Fantasia sejak akhir-akhir ini.

Zaman tersebut semua orang minat nak tubuh band. Semua orang minat nak jadi terkenal macam Amy serta kumpulan Search atau pun Ramli Sarip dari kumpulan Sweet Charity. Macam zaman sekarang semua orang mahu menjadi pelajar Akademi Fantasia. Saya pun tidak ketinggalan. Di sekolah dulu, saya ada juga band rock kangkang macam apa yang dipersembahkan dalam Rock. Apa nama band saya dulu pun saya sudah tidak ingat. Yang saya ingat saya main keyboard. Zaman-zaman lewat 80an kalau sebut pemain keyboard mesti yang berangan nak jadi macam Acis dari kumpulan Gersang. Dia seorang sahaja yang boleh pakai pun. Yang lain semua rambut panjang. Ada yang sanggup panjat pagar asrama semata-mata mahu menonton konsert rock di funfair. Bukan minat pun, sekadar ikut kawan.

Percaya atau tidak jika saya katakan lagu-lagu zaman tersebut belum mampu menyaingi mana-mana lagu zaman sekarang. Saya masih boleh mendengar lagu Rozana dari kumpulan Search berkali-kali, lebih-lebih lagi lagu dari album Fenomena. Lagu-lagu kenangan zaman 80an dibawa juga ke dalam filem ini. Antara lagu yang menjadi penyeri filem ini ialah Sejuta Wajah (Sweet Charity), Wajah Kesayangan Hamba (Hail Amir), Belaian Jiwa (Carefree) - maklumat untuk generasi wawasan 2020, lagu ini bukan lagu Innuendo, ia lagu Carefree, Panah Beracun (Ramli Sarip), Dari Sinar Mata (BPR), Debunga Wangi )Lefthanded), Batu & Penunggu (Sweet Charity, Tiada Lagi Kidungmu (Lefthanded) dan Taman Rashidah Utama (Wings)

Mendengar lagu Taman Rashidah Utama terutama pada bahagian bridge lagu tersebut sahaja sudah cukup untuk meremangkan bulu roma. Bunyi derapan tapak kasut, hujan dan petir benar-benar memberikan impak yang cukup gah untuk lagu tersebut. Sehingga sekarang lagu tersebut cukup sinonim dengan irama rock selain dari lagu-lagu nyanyian kumpulan Search.

Sebut tentang Search, satu kekurangan yang cukup besar pada filem ini apabila tiada lagu dari kumpulan Search digunakan dalam filem ini. Sekadar kemunculan istimewa dari Amy selaku pengadil pada penghujung filem.

Gabungan dua generasi dalam filem ini memberikan satu kelainan. Aura zaman 80an begitu kuat dalam filem ini, sebab itulah Julie Dahlan perlu ada dalam filem ini. Connie (Norlida Ahmad) yang dikenali sebagai mangsa rogol dalam Tujuh Biang Keladi juga muncul dalam filem ini. Mana tidak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Anak-anak Man Kidal, Amy Search, Julie Dahlan dan Datuk A.Rahman Hassan turut menyerikan filem ini.

Barisan pelakon Rock di Tayangan Media

Saya menyukai lakonan selamba dan lucu dari Hasnul Rahmat sebagai Zack, sesuatuhnya watak Khir Rahman sebagai Jijo dan Que Haidar (sesekali nampak macam AC Mizal) sebagai Amy. Sinis sekali apabila Nasir Jani diperkenalkan sebagai Bapa Perfileman Melayu Moden dalam filem ini. Saya masih ingat lagi aksi hentak meja dalam Dimensi (kalau tidak silap tajuknya : Teleskop, maklumat dari zarea106) sebuah talk show terbitan TV3 satu ketika dahulu.

Beberapa adegan yang boleh saya sifatkan sebagai permata dalam filem ini adalah sewaktu Zack (Hasnul Rahmat) pergi ke satu temuduga atas desakan bapanya yang ingin melihat anaknya bekerja dengan kerajaan. Berlatarbelakangkan slogan Bersih Cekap Amanah yang cukup kuat laungan mesejnya, saya dapat melihat berlakunya penyalahgunaan kuasa atau kronisme dalam jabatan kerajaan. Tentunya lebih menarik sekiranya adegan tersebut ditamatkan di situ sahaja dan dipaparkan adegan Zack keluar dari bilik temuduga tersebut.

Kemunculan burung belatuk secara penuh absurd dalam filem ini seakan-akan pemberi ilham kepada Zack sewaktu menggoreng gitar. Walaupun dibuat dengan menggunakan teknologi 3D, animasi burung belatuk nampak benar cacatnya. Saya mengambil jalan tengah dan membayangkan sekiranya animasi 3D dalam filem tersebut dibuat pada tahun 80an, tentulah hasilnya agak cacat. Walaupun nampak cacat tetapi saya menganggap itulah hasil terbaik animasi 3D sekiranya ia dilaksanakan pada zaman 80an. Bayangkan filem dekad 80an menggunakan animasi 3D, tentulah sesuatu yang membanggakan bukan ?

Adegan Zul Kapan and The Malaikat Maut memang superb !! Rock mereka rock kangkang dan saya rasa anda boleh menyukai mereka kerana Zul Kapan dan kawan-kawannya melengkapkan filem ini. Penampilan mereka menjadikan imej rock dalam filem ini benar-benar rock. Walaupun Zul Kapan itu seorang rockers (rokes), walaupun gagal dia tidak dengki. Sebaliknya yang berlaku. Itulah yang best dan unik dalam filem ini yang tiada dalam filem pengarah filem tersohor bertaraf Profesor atau Datuk.

Penamat filem ini saya kurang menyukainya. Titik tolak filem ini berpegang kepada sepucuk surat tersebut. Isi surat tersebut semacam tidak begitu memberikan impak lebih dramatik kepada filem ini kerana Zack telah memilih jalannya sendiri.

Pengarah Filem Rock, Mamat Khalid bersama para wartawan

Filem ini wajar ditonton oleh para generasi muda agar mereka dapat melihat zaman yang tidak pernah mereka lalui lebih-lebih lagi sewaktu rock berada di zaman kegemilangannya dan juga generasi ibu-ibu dan bapa-bapa mereka agar mereka dapat mengimbas kembali zaman-zaman kenangan mereka.

Apakah yang terjadi kepada Zack ? Apakah beliau berjaya dalam wawasannya untuk menang dalam Battle of The Band ? Atau berjayakah Zack memenangi hati Khaty, kekasihnya ?

Filem ini akan menemui penonton mulai 8 Disember 2005 di pawagam-pawagam berhampiran anda. Anda minat rock ? Tontonlah filem ini. Anda pasti puas hati. Saya berikan A untuk filem ini !!!

Ulasan Lain :
Tontonfilem : Janji 'Rock' Mengorak
GBSB : Rock !
Filem Kita : Rock
Harian Metro : Rock papar dilema anak seni
Utusan Malaysia : Rock - Cetusan pengalaman Mamat Khalid
Utusan Malaysia : Rock - Filem semi autobiografi komedi

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger