Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 20 December 2005

Projek Rumah Kaca Nikki : Bahagian Kedua


(soundtrack : Caramu (Sax and The City Remix) - Nikki)
Jika semalam hanya sebahagian dari satu hari berada di rumah kaca, hari kedua menyaksikan kami perlu berada di rumah kaca selama sepanjang hari. Ia bermula seawal jam 9.45 pagi. Perkara pertama yang kami buat adalah bersarapan pagi di Mc Donalds berhampiran dengan lokasi rumah kaca tersebut. Bayangkan bagaimana penatnya kami sepanjang hari perlu menghadapi suasana sibuk segitiga emas Kuala Lumpur tersebut. Lebih-lebih lagi Penyanyi Nombor Satu Malaysia akan tiba untuk makan tengahari bersama Nikki.

Penjaga Rumah Kaca

Pagi tersebut hujan turun mencurah-curah. Adakalanya kita jadi tidak bersyukur apabila hujan turun dengan lebatnya walaupun setelah lama tidak hujan kerana kita sedang menganjurkan sesuatu dan hujan adalah sesuatu yang jika boleh mahu dielakkan. Tetapi ia tetap turun mencurahi bumi. Perggh !! Macam novel cinta pula ! Jangan dilupakan mangsa banjir yang kini sedang melanda hampir keseluruhan Perlis, Kedah dan Pantai Timur.

Backdrop untuk acara yang akan berlangsung Ahad ini telah pun dinaikkan. Maka tugas para petugas seperti kami menjadi sedikit mudah kerana pejalan-pejalan kaki yang menggunakan laluan tersebut sudah tahu apa yang berlaku di persekitaran Rumah Kaca tersebut. Cuma mereka agak kabur untuk melihat apa yang berlaku di dalam Rumah Kaca tersebut. Timbul idea dari kami untuk menggunakan TV plasma yang ada di dalam Rumah Kaca tersebut untuk dibawa keluar dan disambungkan kepada perakam video yang merakamkan aktiviti di dalam Rumah Kaca tersebut. Menyedari hakikat, TV plasma tersebut bukan hak milik persendirian, maka idea tersebut tidak dapat dilaksanakan.

Satu perkara yang menarik dalam projek sebegini, otak perlu kena cepat mencambahkan idea-idea baru dengan secepat mungkin. Walaupun dalam keletihan, otak perlu digerakkan sederas yang mungkin. Idea-idea gila sebenarnya bukan mustahil untuk dilaksanakan. Najmie menyarankan agar dibuat pengumuman di pembesar suara tentang kehadiran artis dan setiap pembelian album akan berpeluang mendapat tandatangan artis yang hadir. Bonus sekiranya ada artis kejutan. Ternyata idea tersebut berhasil menjana sedikit hasil dalam pembelian album. Siapa yang tidak mahu tandatangan Mawi bersama Nikki atau Nasha Aziz, Afdlin Shauki dan Nikki sekaligus pada satu album.

Mawi World bersama Nikki Maharani di Istana Kaca

Hujan masih turun dengan lebat. Seketika sebelum kehadiran manusia keramat tahun ini, hujan pun berhenti. Cuaca juga semacam merestui kehadirannya. Terasa macam naik belon udara pula ! Mawi tiba dengan diiringi hampir semua abang-abang sekuriti yang menawarkan diri mereka untuk mengawalnya. Sanggup volunteer semata-mata kerana Mawi. Mungkin juga itu pertama kali mereka bertemu dengan Mawi. Ternyata ruang kosong di sekitar pentas dipenuhi manusia secara tiba-tiba yang datang entah dari mana.


Mawi : Abang SM, bila nak review CD Yang Tercinta ?

Mawi meninggalkan tandatangannya di atas backdrop pentas dan menghabiskan sedikit masa untuk sesi fotografi di luar bersama Nikki sebelum masuk untuk sessi berbual mesra bersama Nikki. Segala butir-butir perbualan antara Nikki dan Mawi terpaksa dirahsiakan. Hari ini tugas saya bertambah, saya perlu juga menjadi seorang photoblogger. Saya dibenarkan untuk masuk ke dalam Rumah Kaca selama 10 minit untuk sessi fotografi apabila Nikki menerima kehadiran artis atau pun menjalankan aktiviti-aktiviti latihan vokal dan tarian. Tidak banyak yang saya masuk kerana kepenatan, lagipun saya tidak gila kamera macam saya gila stereng sewaktu pertama kali mendapat lesen memandu. Kedai yang jaraknya 50 meter pun ingin memandu kereta. Adalah seseorang itu yang sedang gila kamera berangan macam Lando (Ricky Hanggono) dalam filem Ungu Violet.

Hidangan makan tengahari Mawi dan Nikki pula telah ditaja oleh Linda Onn melalui My Mom’s Chicken Rice. Bagaimana agaknya Mawi yang baru selesai makan tengahari nasi ayam perlu pula beredar ke Majlis Perasmian My Mom’s Chicken Rice selepas itu. Itu yang kami rasa apabila setiap hari makan nasi ayam.


Farah di Rumah Kaca

Setelah selesai majlis perasmian tersebut, Nikki menerima kunjungan mengejut dari Farah AF2 yang kebetulan berada di majlis perasmian tersebut. Kunjungan mengejutnya kami terima dengan hati yang terbuka. Penampilan Farah begitu menarik sekali dengan pakaian lengkap serba putih. Beliau tiba dan terus menghulurkan tangan untuk bersalam dengan para tetamu yang berada di perkarangan pentas. Beliau naik ke atas pentas dan meninggalkan tandatangan sama seperti yang dilakukan oleh Mawi. Farah dan Nikki saling bertukar-tukar nasihat sebelum bertukar-tukar CD mereka. Sebelum melangkah keluar, teguran dari bapa Farah, Uncle Anuar yang bertanyakan kenapa lama tidak nampak muka, membuatkan saya sedikit malu. Masa saya banyak dihabiskan dengan mengikuti perkembangan bintang Akademi Fantasia 3 sehingga sedikit melupakan bintang Akademi Fantasia 2. InsyaAllah jika ada kelapangan saya akan cuba untuk melapangkan masa saya untuk Farah pula.

Nana dan Linda Jasmine tiba di Rumah Kaca

Ketibaan Nana dari ERA sejurus sebelum Farah melangkah pergi. Nana tiba untuk lintas langsung bersama Nikki dan ERA. Kehadiran Linda Jasmine adalah untuk memberikan penerangannya tentang koreografi yang perlu dilakukan oleh Nikki sewaktu persembahannya pada hari Ahad. Ruang sempit Rumah Kaca itu terus bertukar menjadi Ruang Tarian. Jeritan Linda Jasmine bergema di seluruh Rumah Kaca tersebut. Satu kejutan budaya untuk Nikki yang terkejut dengan arahan-arahan langkah yang telah diberikan oleh Linda Jasmine. Mungkin juga koreografi tarian Malaysian Idol tidak segarang Linda Jasmine.




Nasha Aziz dan Afdlin Shauki Bikin Kecoh di Rumah Kaca

Ketibaan Nasha Aziz sememangnya dinanti-nantikan oleh para hadirin yang berada di perkarangan rumah kaca, ya termasuk saya. Ini kali pertama saya melihat secara lebih dekat wajah Nasha Aziz. Beliau tiba dari JW Marriot diiringi oleh para sekuriti yang ternyata berpuas hati dengan layanan yang diberikan oleh Nasha Aziz. Sifat selambanya benar-benar menambat hati para sekuriti. Selain membelikan satu patung teddy bear warna pink untuk Nikki dan sebuah hamper penuh berisi cokelat, Nasha turut membelikan sekotak cokelat untuk para sekuriti yang bertugas mengawalnya. Nasha seorang yang camera-friendly. Pergerakannya adalah pose untuk pada jurukamera. Mimik mukanya adalah cerita untuk mereka yang memandangnya. Saya suka lakonannya dalam Trauma. Benar-benar mengkagumkan. Permintaan Nasha kepada pihak penganjur adalah beliau ingin masa yang private untuk bersama Nikki. Beliau tidak mahu sebarang wawancara dilakukan untuknya sebaliknya mahu tumpuan diberikan hanya kepada Nikki. Sebagai seorang bintang yang pernah menjadi tontonan rakaman kamera tersembunyi, beliau mencurahkan nasihat-nasihat berguna kepada Nikki. Afdlin Shauki menjengah pula untuk melawat Nikki yang menerima jemputan dari Joe Klubbkidd. Suasana di dalam Rumah Kaca menjadi kacau dengan jenaka-jenaka pelakon lelaki dan pelakon wanita terbaik itu. Jenaka-jenaka spontan memang melucukan. Banyak juga shot-shot yang menarik yang berjaya dirakamkan. Kehadiran Afdlin Shauki turut memberikan sedikit promosi untuk filem terbarunya iaitu Baik Punya Cilok. Kebijakan para bintang yang hadir untuk sama-sama mempromosikan kerja seni mereka adalah amat dialu-alukan. Tidak timbul soal guna mempergunakan di dalam industri seni kerana industri seni kita terlalu kecil untuk kita merasa hanya kita yang paling meletup. Sikap kerjasama antara artis dan boleh saya sifatkan sebagai cross marketing adalah penting dalam industri ini. Sampai bila kita mahu merasakan diri kita terlalu bagus untuk digandingkan dengan seorang artis baru atau pun yang kurang popular atau pun yang baru bertapak dalam industri muzik tempatan.

Saya tunggu sehingga Skuad Avanza ERA yang tiba di perkarangan Rumah Kaca untuk promosi mereka. Orang ramai berkumpul untuk mendapatkan barangan-barangan percuma dari ERA. Ramai juga orang yang berkumpul dan sekali lagi pengumuman dibuat untuk mendapatkan tandatangan Nikki dengan setiap pembelian album Nikki.

Saya kira saya sudah merasai kepenatan pada tahap maksimum. Saya perlu pulang ke hotel untuk tidur lagipun saya harus mengambil giliran untuk Midnight Watch pada jam 2 pagi hingga 6 pagi untuk menemani sahabat saya iaitu Nizam Zakaria.

(soundtrack : Pinta (Minus One) - Nikki)
Acara yang saya terlepas ialah Majlis Makan Malam bersama Pemenang Peraduan NSTP serta Kelas Vokal bersama Ning Baizura dan Aylwin. Sedang nyenyak tidur saya menerima panggilan untuk menyiapkan CD Nikki yang khabarnya telah kehabisan stok di Rumah Kaca. Di sini segalanya bermula…….

Saya bangun tidur sekitar jam 1.30 pagi untuk bergerak ke Rumah Kaca untuk bersama-sama Nizam Zakaria. Beberapa SMS saya hantar dan beberapa panggilan telefon saya terima. Itu sahaja tempat saya untuk bercerita.

Saya, Nizam Zakaria dan Joe Klubbkidd berbual-bual kosong sementara menantikan masa berlalu. Saya pulang ke hotel sekitar jam 5.30 pagi untuk menyiapkan siaran akhbar untuk acara pagi tersebut. Dalam proses menyiapkan siaran akhbar, kami ditemani dengan bunyi-bunyi orkestra yang lengkap dengan surround system dari kiri dan kanan telinga. What a turn off !!! Kepenatan agaknya. Saya mengambil sikap untuk menjauhkan diri dari bunyi-bunyian orkestra tersebut. Hahaha !! Sebentar lagi jam 11 pagi saya harus sudah bersedia untuk acara yang lebih besar, iaitu pelancaran album.

Kami mulakan hari pertama dengan enjin yang separuh berfungsi tetapi pada hari kedua kami menggerakkan enjin sederas yang mungkin sehingga ada yang benar-benar keletihan. Manusia apabila letih emosinya cepat terganggu, perasaannya cepat tersentuh. Chewah, novel lagi !

Ulasan yang telah membaikpunyacilok blog saya : Sekadar Media Picisan
Koleksi Foto Peribadi : SeniKamiFoto

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger