Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 21 December 2005

Projek Rumah Kaca Nikki : Bahagian Ketiga

(soundtrack : Malam Bulan Di Pagar Bintang - Dayang Nurfaizah)
Satu pagi yang sejuk gila. Kalau mahu dikatakan mendapat rehat yang secukupnya, saya rasa saya tidak mendapat keselesaan yang secukupnya. Sudah lah sejuk macam di Kutub Utara suhu bilik hotel itu. Rasa macam nak tidur bawah katil. Sudah lah permaidani Hotel JW Marriott itu tidak setebal permaidani Mandarin Oriental KL. Pagi tersebut bermula agak lewat. Urusan check-out perlu dilakukan sebelum bergerak ke Rumah Kaca. Banyak juga kerja angkut-mengangkut dari bilik ke bilik yang perlu dilakukan selain ke kereta. Arahan-arahan yang diberikan juga tidak begitu lantang. Masing-masing cuba mengawal emosi masing-masing. Lagipun ini hari terakhir di Bukit Bintang. Hari ini ialah Hari Pelancaran Album. Kita mesti gembira bukan sentap !


Selesai urusan angkut-mengangkut dan check-out, baru kami bergerak ke Rumah Kaca. Jam sudah sekitar pukul 2 petang. Segala teks ucapan dan siaran akhbar sudah siap dicetak, hanya CD Foto yang masih belum disiapkan. Najmie harus segera ke Rumah Kaca untuk melakukan proses “CD burning” sebelum majlis bermula.

Aturcara hari tersebut bermula agak lewat dan tidak seperti yang terdapat dalam program harian. Banyak aktiviti yang teranjak masanya. Setibanya saya di persekitaran Rumah Kaca, saya cuba meninjau apa lagi yang boleh dilakukan. Cenderamata perlu dipasangkan reben, cenderamata CD untuk para komposer, penulis lirik perlu diletakkan di satu tempat agar tiada yang tertinggal. Perlu juga disusun mengikut aturan agar tidak bercelaru kelak sewaktu Zizi mengumumkan nama mereka nanti.


Ning Baizura mencari teks ucapannya yang ada pada saya. Saya menyerahkan kepadanya selain membuat sedikit perubahan pada baris-baris terakhir. Saya perlu memegang teks ucapan tersebut dan diberikan kepadanya sebelum beliau naik ke atas pentas untuk berucap. Kalau beliau yang pegang takut tersilap letak katanya.

Di dalam Rumah Kaca begitu padat dengan pelbagai aktiviti yang berjalan serentak. Nikki sedang disolek oleh Matt dan rakan-rakannya, hidangan Makan Tengahari tajaan My Mom's Chicken Rice bersama Linda Onn telah pun sampai, Linda Onn pula membawa pekerja-pekerja restorannya hadir sama, Zizi pula sedang bersedia sebagai pengacara majlis dan Najmie pula sedang tekun menyiapkan Foto CD untuk diberikan kepada para wartawan. Petugas audio pula keluar-masuk untuk melakukan sound check. Semuanya tekun melakukan tugas masing-masing.

Tepat jam 3 petang, Zizi, penyampai ERA paling junior memulakan acara dengan menjemput Ning Baizura menyampaikan ucapannya. Sekilas pandang, Ning kelihatan saling tidak tumpah seperti ibunya dengan pakaian yang agak formal iaitu blaus hitam polka dot serta seluar warna beige.

Selesai berucap, Ning menyampaikan cenderamata kepada para penaja dan para komposer serta penulis lirik dalam album Maharani. Tepat jam 3.21 petang, Nikki melangkah keluar dari Rumah Kaca tersebut dan memulakan persembahannya dengan lagu Caramu. Tiada perkataan yang mampu menggambarkan perasaan saya ketika itu. Sesekali merasa lega kerana semuanya akan berakhir. Sesekali merasa bangga kerana usaha serta penat lelah kami akhirnya berjaya dilaksanakan. Perasaan itu datang berbaur-baur.

Sebagai seorang artis baru serta kemampuannya membawakan lagu-lagunya secara langsung benar-benar meyakinkan saya bahawa saya tidak tersilap dalam memberikan sepenuh keyakinan saya kepada bakat beliau. Saya mengaku yang tidak mengenalinya sewaktu persaingan di Malaysian Idol berlangsung. Namanya muncul sekali lalu sahaja tetapi itu bukan alasan untuk saya tidak memberikan sokongan kepadanya setelah beliau berjaya menghasilkan sebuah album yang baik. Hasil bimbingan Linda Jasmine, Nikki nampaknya berjaya melaksanakan kerja-kerja tarian dengan baik. Bukan sekadar menari tetapi juga menyanyi secara langsung dengan baik.

Lagu Cinta Baru menyusul kemudian dan lagu dari bahasa Dusun iaitu Sunudai Oku pula berkumandang. Saya mengaku agak bias dan saya memang menantikan beliau membawakan lagu Pinta secara langsung selepas itu. Satu kerana melodi lagu tersebut kini sedang bermain-main dalam kepala saya. Kedua lirik lagunya yang begitu menyentuh perasaan. Ketiga saya mahu dengar whistling dalam lagu tersebut yang khabarnya hebat diperkatakan merupakan kekuatan utama Nikki. Semua orang boleh whistling dalam album, bagaimana pula di luar album. Itu yang saya mahu dengar.

(soundtrack : Pinta Vintage Mix - Nikki)
Perasaan sebak sekali-sekala datang menghampiri diri. Saya kawal. Saya sudah dapat melihat mata-mata Joe Klubbkidd dan Badrul dari jauh. Sambil Nikki menyampaikan lagu tersebut dengan penuh bersahaja, Vernon turut memberikan isyarat agar menyampaikan lagu tersebut dengan penuh perasaan. Feel the song ! Itu antara gerak bibirnya yang dapat saya baca. Penyampaian lagu tersebut memang superb. Itu yang boleh saya katakan. Tetapi saya belum puas. Saya mahu melihat Nikki membawakan lagu tersebut di Anugerah Industri Muzik atau pun Anugerah Juara Lagu tahun depan. Itulah antara majlis anugerah muzik yang berprestij di Malaysia.

Penglibatan ERA dalam membantu mempromosikan produk ini bukan kerja sia-sia mereka. Mereka yakin produk ini perlu mendapatkan sokongan yang sewajarnya. Tidak hairanlah sekiranya mereka memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi. Lagu Pinta telah pun memasuki senarai Baru Di ERA. Manakala lagu Pinta (Vintage Mix) telah pun dua minggu berada dalam senarai Carta ITunes SM. Juara Carta pulak tu ! Taste orang-orang tua !

Lagu Hey! Hey! menutup persembahan Nikki pada petang itu. Persembahan Nikki diiringi oleh para penari dari Linda Jasmine Studio. Saya merasakan Nikki perlu mendaftar dengan Linda Jasmine Studio untuk lebih memantapkan kepelbagaian tarian yang boleh dipersembahkan kepada khalayak kelak. Ternyata tunjuk ajar Linda Jasmine telah membuahkan hasil yang bukan sedikit. Ning Baizura kemudiannya menghadiahkan Nikki sejambak bunga dan memahkotakan Nikki sebagai ‘Maharani’ sebagai kejutan.

Nikki kemudiannya menyampaikan cek sumbangan kepada Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Binatang (SPCA) yang bernilai RM3,830 hasil sebahagian daripada penjualan album Nikki sepanjang 3 hari berkampung di Rumah Kaca tersebut. Ada di antara pembaca saya yang bertanyakan jumlah album terbaik bintang realiti tv ini yang telah terjual selama ini. Apa yang saya tahu, hanyalah jumlah CD yang telah terjual sepanjang 3 hari tersebut iaitu sebanyak 766 keping. Di Malaysia, adalah mustahil untuk mendapatkan kuantiti dan kualiti pada waktu yang sama. Kalau kualiti dinilai berdasarkan kuantiti, maka filem Sembilu adalah filem terbaik Malaysia dan bukannya Sepet. Tiba-tiba tukar topik ke filem kan…:)


(soundtrack : Imaginasi - Nikki)
Untuk memuaskan hati penonton, Ning Baizura meminta Nikki menyampaikan lagu Imaginasi sebagai penutup majlis pelancaran album Maharani. Bila nampak semacam ada isyarat encore dilakukan oleh Ning, saya mengharapkan agar lagu Pinta diulang semula. Akhirnya lagu Imaginasi yang menjadi pilihan walaupun didendangkan secara solo tanpa Ning Baizura. Kalau ingin mendengar versi duet bersama Ning Baizura, di dalam hidden track CD Satu ada lagu tersebut.

Selesai minum petang merangkap makan tengahari dan sarapan, tugas kami belum selesai. Kesan ketidakselesaan tidur malam semalam, saya pening pagi tersebut. Saya mengambil keputusan untuk baring seketika di sofa bed IKEA yang menjadi kepunyaan Nikki selama tiga hari tersebut. Sesekali terlena. Mungkin cuaca yang tidak menentu, sekejap panas, sekejap hujan lebih menyakitkan kepala.

Kami pulang ke hotel untuk check-out dan melakukan kerja angkut-mengangkut barang ke kereta. Siapa yang tidak seronok kerja semakin sudah hampir ke penghujungnya. Saya dan Najmie diberi pelepasan untuk tidak perlu hadir pada malam ini di Rumah Kaca untuk proses transformasi Rumah Nikki kepada New Straits Times Kiosk. Lega.

(soundtrack : Kasih - Dayang Nurfaizah)
Kami boleh pulang dan berehat. Aku mahu rehat sepuas-puasnya.

Best gila terlibat dengan projek Rumah Kaca Nikki ini. Saya pernah terlibat dengan sebuah produksi teater beberapa tahun yang lalu sebagai pelakon dan webmaster, pengalamannya jauh berbeza. Dalam waktu yang terdekat ini pula, saya akan membantu sedaya yang termampu dengan sebuah produksi drama pula. Tentunya pengalamannya lebih berbeza. Saya anggap ini semua sebagai satu proses praktikal saya dengan industri seni.

Esok merupakan Bahagian Keempat yang mana saya akan bercerita tentang mengapa saya melakukan projek ini untuk Nikki.
Ulasan :

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger