Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 31 December 2005

Selamat Tahun Baru 2006

Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2006 kepada semua khalayak pembaca saya yang sentiasa setia mengikuti perkembangan blog ini baik dari aspek positif mahu pun yang negatif. Dalam senyap anda menyokong, dalam diam anda mengeji, uniknya blog sultanmuzaffar akan terus kukuh berdiri dengan adanya pembaca seperti anda semua. Saya amat menghargainya.

Semoga tahun 2006 akan menjanjikan lebih kebahagiaan dan kesejahteraan untuk negara Malaysia amnya dan rakyat Malaysia khasnya terutamanya kepada khalayak pembaca saya seadanya. Azam saya cuma satu iaitu untuk melangsaikan hutang-hutang azam yang tidak terlaksana pada tahun 2005 untuk terus dibawa ke tahun hadapan. Mudah azam saya. Banyak lagi azam-azam yang masih terhutang dan tahun 2006 bakal menyaksikan satu mungkir janji dan pulangan ringgit melalui blog ini. Sudah terlalu lama ia bergerak tanpa menjana pulangan wang ringgit, maka tahun 2006 bakal memberikan kelainan dari aspek penyampaian. Mungkin. Apakah dia, kita sama-sama nantikan. Semoga ia tidak begitu mengejutkan anda. Pengumuman hanya akan dibuat pada 11 Januari ini. (ketawa).

Sorotan Seni sultanmuzaffar

Terlalu banyak aktiviti-aktiviti seni yang saya hadiri lewat tahun 2005. Rata-rata acara yang saya hadiri menjanjikan seribu satu kelainan dan pengalaman yang dilalui tentunya berbeza-beza di antaranya. Saya perlu berhadapan dengan pelbagai ragam manusia yang melintasi kehidupan saya setiap hari.

Pelbagai acara Akademi Fantasia yang tidak berhenti, mujur aktiviti kelab peminat mereka tidak mati seperti singkatnya hayat mereka dalam industri muzik tempatan. Pelbagai acara tontonan media filem-filem baru yang akan ditayangkan di pawagam serta sesi pra-dengar album-album baru yang akan berada di pasaran. Tentulah tidak menang tangan. Mujur kesenggangan waktu yang ada memberikan saya sedikit peluang untuk sama-sama merasai kemanisan hidup sebagai seorang penulis bebas sepenuh masa. Indah sungguh dunia tanpa orang yang bernama Boss !

Penulisan di blog ini semakin menjadi milik masyarakat yang mana dahulunya lebih kepada pengguna tegar internet tetapi tahun 2005 menyaksikan nama blog ini mula singgah di diskusi forum, dada akhbar dan juga lembaran majalah, sesekali dibawa ke arena antarabangsa oleh Jeff Ooi. Pengaruh yang dibawa oleh blog ini membawa saya kepada satu lagi dunia yang lebih besar iaitu pengurusan acara yang melibatkan artis. Projek Rumah Kaca Nikki meninggalkan satu kenangan paling manis buat saya sepanjang tahun 2005. Jejak-jejak yang dibawa dari projek tersebut menyebabkan saya semakin selesa untuk bergerak sendirian tanpa sebarang kongkongan.

Matlamat saya pada tahun ini adalah untuk membawa kandungan blog saya ke satu peringkat yang lebih tinggi iaitu dalam bentuk mobile. Tidak sukar sekiranya ada usaha ke arah tersebut. Beberapa sesi perbincangan sedang berlangsung. Doakan semoga ia menjadi kenyataan. Awal pagi tadi (sebelum subuh) ada beberapa editor akhbar yang bertanya sama ada saya tiada keinginan untuk bertugas dengan pihak akhbar. Ada banyak faktor yang bakal dijadikan alasan untuk membuat keputusan seperti kreativiti saya mungkin akan terbatas apabila mendapat tugasan yang bukan menjadi minat saya. Ahh…kita fikir lain kali sahaja.

Sedar tidak sedar, tahun 2005 merupakan tahun yang cukup gemilang buat artis Malaysia khasnya. Tanggal 1 April 2005, Siti Nurhaliza mencatatkan sejarah yang tersendiri apabila telah berjaya melaksanakan janjinya kepada rakyat Malaysia dengan menjadi Artis Malaysia Pertama membuat persembahan solo di Royal Albert Hall, London. Dengan rangkaian lagu-lagu popular beliau, saya agak terkilan kerana hanya sekadar menonton konsert tersebut melalui VCD dan bukannya secara langsung di London.

Kontroversi yang melanda filem Sepet setelah kemenangan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia sedikit pun tidak menggugat peluangnya untuk terus memenangi anugerah yang lebih besar di peringkat antarabangsa. Sepet memenangi Anugerah Tertinggi Juri di Festival Filem Wanita 2005 di Creteil, Perancis dan Filem Asia Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Tokyo ke 18. Namun demikian saya agak terkilan kerana Syarifah Amani dan Ng Choo Seong hanya sekadar memenangi Anugerah Pelakon Harapan di Festival Filem Malaysia. Mereka lebih layak untuk menggantikan tempat Tiara Jacquelina dan Zamarul Hisham berdasarkan mutu lakonan mereka yang amat membanggakan.

Tiara Jacquelina nampaknya tidak pulang hampa pada tahun ini apabila memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke 50 yang telah berlangsung di Kuala Lumpur. Sebagai seorang produser yang gigih membelanjakan wang untuk industri filem tempatan, beliau telah dinobatkan sebagai Produser Terbaik di Asian Festival of 1st Films 2005 di Singapura. Saya tentunya menantikan hasil Puteri Gunung Ledang The Musical yang akan dipentaskan di Istana Budaya pada tahun 2006 dengan hero baru Stephen Rahman-Hughes sebagai Hang Tuah. Bagaimana agaknya lelaki berdarah campuran Inggeris ini merealisasikan watak Hang Tuah ke Lambang Sari, Istana Budaya kelak.

Dua Bintang Malaysian Idol iaitu Jaclyn Victor dan Dina berjaya mencipta nama di arena antarabangsa apabila masing-masing telah meraih perhatian juri di Festival Muzik Asia di Shanghai China dan World Championship Arts, Performances 2005 di Amerika Syarikat. Setelah kemenangan Vince di festival yang sama, bintang Akademi Fantasia masih lagi kekal sebagai jaguh kampung. Hanya pengacaranya sahaja iaitu Aznil Hj Nawawi yang berjaya menyinar di peringkat antarabangsa apabila rancangan Macam Macam Aznil terpilih sebagai Rancangan Bual Bicara Terbaik di Anugerah Televisyen Asia 2005 di Singapura. Setelah kegagalan beliau membawa pulang Anugerah Pengacara Terbaik (Hiburan) pada tahun lepas, sedikit sebanyak anugerah tersebut merupakan pembakar semangat kepadanya untuk menerbitkan lebih banyak program-program hiburan yang lebih santai dan berkualiti untuk seisi keluarga. Kumpulan muzik yang kurang dikenali di Malaysia iaitu Mohram turut membawa pulang pingat perak dari pertandingan yang sama disertai oleh Dina. Nama Mohram terus tenggelam di arena muzik tempatan berbanding terus mekar di negara Jepun. Rakyat Jepun nampaknya lebih menghargai bakat dua anak muda Melayu yang berusaha memperkenalkan muzik tradisional Malaysia di arena antarabangsa.

Tidak lengkap sekiranya saya tidak menyenaraikan fenomena Mawi sebagai salah satu sejarah utama pada tahun 2005. Muncul sebagai Juara Akademi Fantasia 3 benar-benar mengubah hidup anak muda yang berasal dari Felda Taib Andak iaitu Mawi. Akhbar Harian Metro menyenaraikan kekayaan Mawi sejak lima bulan dahulu apabila bergelar juara hingga sekarang. Memang banyak harta yang berjaya dikumpulkan oleh Mawi dan banyak juga harta yang digadai oleh peminat-peminatnya demi menaikkan nama Mawi sepanjang tempoh tersebut. Itulah yang dinamakan pengorbanan suci tulus ikhlas dengan konsep lautan api sanggup kurenangi dan lautan bara sanggup kutempuhi.

Senario paling kontroversi yang melibatkan Mawi sepanjang tempoh tersebut tentulah pengunduran AJK MawiFC yang telah dibina dengan ikhlas untuk menyokong kerjaya seni Mawi sebelum beliau keluar dari Akademi Fantasia lagi. Kontroversi tersebut telah mencalarkan sedikit kredibiliti Mawi dan juga peminatnya. Umum mengetahui secara terperinci kontroversi tersebut dan tidak perlu saya buka kembali lukanya.

Album The Best of Mawi World telah terjual hampir 160,000 unit dan album Mawi Yang Tercinta khabarnya telah mencecah 100,000 unit. Fenomena tersebut benar-benar di luar dugaan kerana ini adalah produk Akademi Fantasia. Setelah tiga tahun saya mengikuti perkembangan Akademi Fantasia, ini merupakan satu perkembangan positif yang begitu di luar dugaan dan sedikit sebanyak telah berjaya meneruskan hayat industri muzik tempatan yang semakin menuju kiamat angkara lanun cetak rompak.

Semoga sejarah atau badi Akademi Fantasia tidak turut terpalit kepada Mawi. Segala jentera pengurusan Mawi perlu digerakkan untuk terus mengekalkan nama Mawi sebagai salah seorang bintang paling popular di Malaysia. Setelah 10 tahun Siti Nurhaliza mengungguli takhta populariti, kini wajarnya mahkota tersebut diserahkan kepada bintang lain yang dirasakan lebih layak untuk menerajuinya iaitu Mawi.

Yang paling best dapat review, yang best tak dapat review...

Muzik Pilihan
Maharani - Nikki
OST Janji Joni
OST Gie
Laskar Cinta - Dewa
Siti Nurhaliza Live in Concert Royal Albert Hall, London

Filem Pilihan
Sepet
Janji Joni
Gol & Gincu
Rock
Mengejar Matahari

Teater
Life Sdn Bhd 3
Julius Caesar

Malaysian Of The Year 2005

Umum mengetahui bahawa akhbar New Straits Times telah menganjurkan satu pungutan suara melalui SMS untuk menentukan siapakah yang layak untuk memegang gelaran Malaysian Of The Year untuk tahun 2005. Saingan sengit yang berlaku antara Nicol David dan Mawi bukan merupakan satu kejutan dengan meninggalkan jauh saingan-saingan mereka termasuklah Perdana Menteri Malaysia Abdullah Badawi.

Gelaran tersebut akhirnya diraih oleh Nicol Ann David yang kini merupakan Pemain Skuasy Nombor 1 Dunia berdasarkan kedudukan terbaru ranking dunia. Kejuaraan beliau di peringkat antarabangsa dengan meraih pingat emas di Sukan Dunia di Jerman, kejuaraan di Terbuka Malaysia, Terbuka New York, Terbuka British dan Terbuka Dunia di Hong Kong merupakan antara faktor utama beliau dilihat sebagai individu yang layak untuk gelaran tersebut.

Seperti Mawi, Nicol juga dilimpahi dengan kekayaan sekelip mata yang datang setelah kejuaraannya. Mereka masih tidak mempelajari dari sejarah akan apa yang telah berlaku kepada pasukan badminton Malaysia yang telah dianugerahi pelbagai kekayaan setelah berjaya memenangi Piala Thomas pada tahun 1992. Semoga badi kejuaraan badminton Piala Thomas tidak terpalit pada Nicol Ann David.

Jom Parti !

Hari ini merupakan hari terakhir gelaran pemenang Anugerah Weblog Terbaik (AWET) 2004 anjuran Geng Jurnal tersemat di dada blog ini. Mulai esok, seorang lagi blogger akan dinobatkan sebagai penerima AWET 2005 mengiringi blogger-blogger terdahulu seperti Rudy Bluehikari, Fajar Online, Mat Jan dan saya sendiri yang pernah merasai nikmat berada di kemuncak selama setahun.

Malam ini jika tiada aral melintang saya akan berparti di avant-garde New Year Eve Party ! di sekitar Kuala Lumpur bersama beberapa aktivis teater, penggiat seni, penulis, dan ramai lagi. Mahu sahaja berada di rumah menghabiskan masa santai bersama peti televisyen. Itu lebih afdal untuk saya yang semakin meningkat usia.

Untuk Rudy Imran, penulis lirik lagu Pinta, semoga cepat sembuh dan hari ini anda akan menerima lagi tetamu-tetamu gila yang akan memeriahkan suasana di hospital tersebut. Bersabar sahajalah kerana kesakitan akan menghapuskan dosa-dosa kecil kita. Sebagai tanda simpati, mari kita pilih lagu Pinta di Pilihanmu Di Era sehingga naik Top 5 Carta ERA. (ketawa)

Kepada semua pembaca blog saya yang merupakan teman, sahabat, kawan, rakan dan seteru saya, baik yang jujur mahu pun yang oportunis, saya menghargai sokongan anda untuk tahun 2005. Jika boleh saya senaraikan di sini, saya akan senaraikan. Tetapi saya tahu yang senarai tersebut akan menjadi terlalu panjang. You know who you are !! Semoga sokongan anda akan berterusan di tahun 2006.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger