Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 20 February 2006

Ramalan Anugerah Bintang Popular 2005
Pelbagai majlis anugerah telah dan bakal berlangsung pada bulan Februari hingga April ini. Anugerah Juara Lagu ke-20 (AJL20) membuka tirai pada 5 Februari kemudian ada Anugerah MTV Asia, Anugerah Seri Angkasa, 4th Cameronian Arts Awards, Anugerah Planet Muzik, Anugerah Bintang Popular-Berita Harian (ABP-BH2005) dan juga Anugerah Industri Muzik (AIM06). Konsep pertandingan ABP adalah berasaskan undian peminat menerusi akhbar. Oleh sebab nama anugerah ini popular maka penggunaan peminat selaku panel juri tidak perlu saya pertikaikan. Saya harus mempertikaikan sekiranya nama anugerah ini terbaik tetapi penggunaan SMS diguna-pakai untuk menentukan pemenang. Gelaran terbaik bukan milik peminat. Milik peminat hanyalah untuk gelaran popular. Peminat belum layak untuk menilai yang terbaik.

Menerusi ramalan anugerah kali ini, saya meletakkan pilihan saya dalam senarai “Saya Undi”. Manakala ramalan saya untuk memenangi setiap kategori saya senaraikan dalam bahagian “Undian Untuk Menang Kereta” Apa yang “Saya Undi” tidak semestinya ramalan saya untuk menang tetapi sekadar itulah yang saya undi. Tetapi kalau anda ingin memenangi kereta, anda perlu undi berdasarkan pilihan saya di “Undian Untuk Menang Kereta” kerana itulah ramalan saya untuk anugerah kali ini.

Jom kita tengok siapa yang kena...

A. Pengacara TV Lelaki Popular
Ally Iskandar
Aznil Nawawi
Azwan Ali
Jimmy Shanley
Wahid Senario

Populariti Akademi Fantasia sukar untuk menggugat peluang Aznil Nawawi untuk sekali lagi menggondol anugerah kategori ini. Satu perkara yang menarik apabila bakat-bakar baru dalam bidang pengacara seperti Jimmy Shanley dan Ally Iskandar mampu untuk membolosi diri mereka dalam kelompok pengacara yang lebih berpengalaman. Ini membuktikan rancangan Trek Selebriti mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Satu peluang yang boleh dipergunakan oleh Astro.TV.

Saya Undi : Aznil Nawawi
Undian Untuk Menang Kereta : Aznil Nawawi
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Jimmy Shanley

B. Pengacara TV Wanita Popular
Cheryl Samad
Farah Fauzana
Linda Onn
Norzie Pa’Wan Chik
Raja Azura

Sejak muncul dalam Melodi, nama Farah Fauzana semakin dikenali ramai. Bermula d Radio ERA, Farah Fauzana menapak ke arena televisyen dan berjaya menyerlahkan bakat beliau di TV. Pengaruh Majalah 3 juga belum mampu untuk mengetepikan peluang Farah Fauzana untuk muncul pemenang kategori ini. Sekiranya beliau menang, sudah pasti perkataan “Lebih Hangat Daripada Biasa” akan terpacul dari mulutnya. Maaf lah sekiranya tersinggung apabila saya menukar tagline HotFM yang sememangnya salah dari segi tatabahasanya. Daripada bukan Dari. Linda Onn hanya jaguh di radio tetapi masih belum kukuh pengaruhnya di TV. Rancangannya Tanya Linda hanya ditonton oleh pelanggan Astro dan rancangan tersebut masih belum baik kualitinya dan belum cukup popular.

Saya Undi : Farah Fauzana
Undian Untuk Menang Kereta : Farah Fauzana
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Farah Fauzana

C. Penyampai Radio Lelaki Popular
Adifashla (XFresh)
Halim Othman (ERA)
Khairil Rashid (ERA)
Kieran (ERA)
Najman (Sinar)

Sukar untuk saya meramalkan peluang Halim Othman sejak beliau berpindah ke Sinar FM. Popularitinya sudah pasti jatuh sedikit kerana pendengar Sinar bukanlah golongan yang suka menghantar undian. Jika kesetiaan peminat Halim Othman diambil kira, sudah pasti peluangnya masih ada untuk memenangi kategori ini. Saya melihat peluang Khairil Rashid agak besar untuk memintas Halim Othman. Namun demikian, populariti beliau boleh saya sifatkan agak seimbang dengan Kieran kerana mereka popular menerusi segmen Pagi Di ERA. Sudah pasti undian terpecah dua. Adifashla disifatkan masih baru dalam kategori ini dan kehadirannya sebagai penyampai perlu diberikan perhatian kerana hanya melalui XFresh, beliau berjaya memboloskan dirinya.

Saya Undi : Khairil Rashid (ERA)
Undian Untuk Menang Kereta : Halim Othman (ERA)
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Adifashla (XFresh)

D. Penyampai Radio Wanita Popular
Julia (XFresh)
Linda Onn (ERA)
Nana (ERA)
Nila Kurnia (ERA)
Rina (Best104)

Seperti Adifashla, penyertaan Julia melalui XFresh dalam kategori ini merupakan satu tanda bahawa XFresh merupakan satu saluran radio yang bukan main-main. Gandingan Adifashla dan Julia telah memeriahkan suasana malam kebanyakan pendengar. Namun begitu pengaruh Linda Onn masih kukuh di corong radio. Agak sukar untuk menggugat peluang Linda dari terus mengungguli kategori ini. Nana seharusnya tidak dipinggirkan kerana telah berjaya melaksanakan tugasnya dengan cemerlang. Peluang Linda dan Nana agak seimbang.

Saya Undi : Julia (XFresh)
Undian Untuk Menang Kereta : Linda Onn (ERA)
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Nana (ERA)

E. Artis Komedi Lelaki Popular
Afdlin Shauki
Azlee Jaafar
Lan Pet Pet
Saiful Apek
Wahid Senario

Bersandarkan kualiti saya akan memilih Afdlin Shauki untuk menang kategori ini. Namun demikian, populariti Saiful Apek sukar untuk digugat walaupun video sedang menghisap sisha telah tersebar luas. Rakan-rakan Apek menerusi kumpulan Senario sekadar pelengkap calon kerana tidak banyak kerja-kerja mereka yang bagus untuk saya berikan perhatian melainkan program Senario yang semakin basi lawaknya. Saya melihat peluang agak seimbang antara Saiful Apek dan Afdlin Shauki. Sekiranya populariti filem Baik Punya Cilok dan Buli Balik dijadikan sandaran, Afdlin Shauki mampu untuk mencuri tumpuan dalam kategori ini.

Saya Undi : Afdlin Shauki
Undian Untuk Menang Kereta : Saiful Apek
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Afdlin Shauki

F. Artis Komedi Wanita Popular
Adibah Noor
Kartina Aziz
Norlia Ghani
Rosnah Mat Aris
Sheila Rusly

Pemenang kategori ini akan ditentukan melalui komedi jenis apa yang disukai oleh penonton. Ada penonton yang menyukai komedi bersahaja, komedi bijak atau komedi yang dibuat-buat. Adibah Noor boleh saya sifatkan sebagai mewakili kelompok komedi yang sedikit bijak. Sheila Rusly terlalu dibuat-buat dengan tagline Kak Nam 12 nya. Kartina Aziz, Norlia Ghani dan Rosnah Mat Aris mewakili kelompok komedi golongan veteran. Saya lebih tertarik dengan komedi Adibah Noor berbanding komedi Sheila Rusly.

Saya Undi : Adibah Noor
Undian Untuk Menang Kereta : Sheila Rusly
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Adibah Noor

G. Artis Baru Lelaki Popular
Bob AF2
Mawi
Shazzy
Que Haidar
Zahid

Saya jangkakan peratus undian untuk Mawi bagi kategori ini adalah 98% berbanding saingannya yang lain. Pengaruh Mawi terlalu kukuh untuk dirobohkan oleh pesaing-pesaing yang lain. Pemenang anugerah ini tidak lain dan tidak bukan ialah Mawi. Penyertaan lain dalam kategori ini adalah sekadar cili penghias lauk.

Saya Undi : Mawi
Undian Untuk Menang Kereta : Mawi
Balik-Balik Dia Menang : Mawi

H. Artis Baru Wanita Popular
Farah AF2
Nora Danish
Pija
Sharifah Amani
Sharifah Zarina

Bersandarkan kualiti pilihan saya ialah Sharifah Amani kerana mutu kerja beliau dalam Sepet yang amat baik. Pengaruh Akademi Fantasia yang masih belum pudar buat penyokong Farah AF2 tentunya tidak mahu melihat Farah pulang tangan kosong dan mereka akan mengundi untuk Farah. Nama Sharifah Zarina juga tidak wajar diketepikan. Malangnya pengakuan mengatakan yang beliau telah berkahwin sedikit sebanyak mengurangkan undian untuknya. Saya hampir pasti pengaruh peminat Akademi Fantasia masih kukuh dan memberikan kemenangan untuk Farah AF2.

Saya Undi : Sharifah Amani
Undian Untuk Menang Kereta : Farah AF2
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Sharifah Amani

I. Penyanyi Nasyid Popular
Hijjaz
In-Team
Mirwana
Rabbani
Raihan

Siapa sahaja yang menang, saya tidak ambil pusing kerana saya kurang mengikuti perkembangan irama nasyid. Melainkan sekiranya Mawi termasuk dalam kategori ini. Tentunya Mawi akan menang. Rabbani dan Raihan merupakan kelompok otai dalam irama nasyid. In-Team, Mirwana dan Hijjaz mewakili kelompok generasi baru dalam irama nasyid. Populariti lagu Aku Tanpa Cintamu nyanyian Mirwana dan Jay Jay tidak harus dipandang sepi. Peluang untuk Mirwana tetap ada untuk memintas lebih-lebih lagi apabila mereka berjaya di Anugerah ERA dalam kaedah yang sama.

Saya Undi : Mirwana
Undian Untuk Menang Kereta : Mirwana
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Mirwana

J. Artis Berkumpulan/Dua Popular
Jinbara
KRU
Ruffedge
Too Phat
VE

Saya menyukai VE dan akan mengundi untuk mereka. Saya melihat pengaruh Ruffedge lebih kukuh berbanding VE dalam kategori ini. Kelompok peminat Too Phat terdiri daripada kelompok urban yang tidak gemar membaca akhbar Melayu. Kejutan mungkin berlaku untuk Too Phat sekiranya penyokong Siti Nurhaliza memberikan undian mereka untuk Too Phat sebagai menyatakan tanda sokongan terhadap lagu Dua Dunia nyanyian duet mereka berdua.

Saya Undi : VE
Undian Untuk Menang Kereta : Ruffedge
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Too Phat

K. Penyanyi Lelaki Popular
Adam
Jamal Abdillah
Mawi
Vince
Zahid

Mustahil ada penyanyi lain dapat mengatasi aura Mawi untuk kategori ini. Ini merupakan anugerah kedua Mawi pada malam tersebut. Peluang Vince dan Zahid seakan terlalu tipis untuk memintas Mawi kerana Akademi Fantasia hanya popular pada tahun yang terkini. Juara-juara yang lalu akan dilupakan apabila muncul musim baru. Peluang Adam lebih sukar kerana bergantung pada populariti KRU yang juga telah masuk ke ambang yang gelap juga. Populariti semasa menyaksikan saingan antara Hero Belia Benci Dadah dan Jamal Abdillah yang sama-sama saling menumpang populariti masing-masing.

Saya Undi : Adam
Undian Untuk Menang Kereta : Mawi
Dia Menang Lagi : Mawi

L. Penyanyi Wanita Popular
Dayang Nurfaizah
Ella
Farah AF
Siti Nurhaliza
Waheeda

Kategori ini agak berbahaya. Walaupun umum berani mengatakan Siti Nurhaliza akan pulang selesa dengan anugerah ini tetapi saya melihat peluang untuk Waheeda masih terbuka luas. Penyokong Mawi mungkin mampu membuat kejutan apabila melakukan kempen terbuka agar Waheeda dipilih untuk melengkapkan kenangan manis mereka berdua pada malam tersebut. Perkaitan nama Waheeda dan Mawi sememangnya agak sinonim kerana pengaruh populariti minat Mawi yang agak kuat terhadap Waheeda. Saya berani mengatakan Siti Nurhaliza masih unggul dalam kategori ini walaupun terdapatnya kempen terhadap Waheeda.

Saya Undi : Siti Nurhaliza
Undian Untuk Menang Kereta : Siti Nurhaliza
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang Lagi : Siti Nurhaliza

M. Pelakon Filem Lelaki Popular
Afdlin Shauki
Farid Kamil
Rosyam Noor
Saiful Apek
Yusry

Saya melihat peluang Afdlin Shauki untuk menang agak besar kerana pengaruh Buli Balik dan Baik Punya Cilok. Kehebatan dua filem tersebut seakan-akan menutup populariti filem Castello. Sewajarnya paras rupa tidak dijadikan sandaran dalam pemilihan pemenang dan ini mungkin akan berlaku sekiranya Afdlin Shauki memenangi kategori ini. Sekiranya Afdlin Shauki menang kategori Pelakon Komedi Lelaki Popular, saya hampir pasti beliau akan turut memenangi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular. Bakat Afdlin Shauli dalam bidang lakonan serta pengarahan perlu diberikan perhatian dan diberikan pengiktirafan sewajarnya.

Saya Undi : Afdlin Shauki
Undian Untuk Menang Kereta : Afdlin Shauki
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Afdlin Shauki

N. Pelakon Filem Wanita Popular
Erra Fazira
Fasha Sandha
Maya Karin
Nasha Aziz
Sharifah Amani

Walaupun saya mengundi untuk Sharifah Amani, saya melihat pengaruh Erra Fazira sukar untuk dikalahkan. Lebih-lebih lagi gosip yang melanda rumah tangga beliau dengan Yusry yang dikatakan di ambang penceraian, Secara tidak langsung akan menyebabkan undian simpati diberikan kepada Erra Fazira. Tanpa mengira filem apa sekalipun, Erra Fazira sudah pasti meraih anugerah ini melainkan Maya Karin mampu membuat kejutan.

Saya Undi : Sharifah Amani
Undian Untuk Menang Kereta : Erra Fazira
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Maya Karin

O. Pelakon TV Lelaki Popular
Ako Mustapha
Fahrin Ahmad
Jalaluddin Hassan
Rosyam Noor
Zamarul Hisham

Sejak akhir-akhir ini negara seakan dilanda fenomena Samarinda yang disiarkan di TV3. Rata-rata penonton menyukainya. Populariti Samarinda lebih hebat dari Cerekarama, maka nama-nama yang tercalon adalah di kalangan pelakon dari siri Samarinda. Saya meletakkan kemenangan ke atas Fahrin Ahmad yang lebih menyerlah berbanding Rosyam Noor dalam televisyen. Pengaruh Rosyam Noor di televisyen juga sukar untuk digugat kerana golongan generasi baru akan pecah undi antara Fahrin Ahmad dan Ako Mustapha. Ako Mustapha mampu mencipta kejutan berdasarkan populariti Dalam Hati Ada Cinta yang sudah masuk musim keempat. Ini secara tidak langsung memberikan peluang yang agak besar kepada Rosyam Noor untuk terus unggul dalam kategori ini.

Saya Undi : Fahrin Ahmad
Undian Untuk Menang Kereta : Rosyam Noor
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Ako Mustapha

P. Pelakon TV Wanita Popular
Abby Abadi
Eja
Fasha Sandha
Nasha Aziz
Rita Rudaini

Sekali lagi pengaruh siri Samarinda menguasai nama-nama calon yang terpilih di peringkat akhir kecuali Inspektor Aliza yang masih kebal dalam siri Gerak Khasnya. Saingan agak sengit antara Eja, Rita Rudaini dan Nasha Aziz kerana populariti siri Samarinda. Namun demikian, ada sedikit kelebihan untuk Eja selaku penyandang kategori ini. Penonton mungkin menyukai kepelbagaian watak yang dibawakan oleh Eja berbanding Fasha Sandha dan Nasha Aziz.

Saya Undi : Nasha Aziz
Undian Untuk Menang Kereta : Eja
Sudah Sampai Masanya Untuk Menang : Nasha Aziz

Bintang Paling Popular 2005
Khabarnya jumlah undian meningkat tiga kali ganda. Kalau bukan pengaruh Mawi, siapa lagi ? Saya meletakkan harapan seratus peratus untuk Siti Nurhaliza tetapi sayangnya pengaruh Mawi sukar untuk digugat. Mawi adalah Bintang Paling Popular 2005 dan merupakan artis realiti tv yang pertama memenangi kategori ini. Akademi Fantasia seharusnya berbangga kerana berjaya melahirkan bintang yang mampu menjadi bintang paling popular di Malaysia. Apa agaknya yang akan berlaku sekiranya saya tidak meletakkan Mawi sebagai pemenang mutlak untuk kategori ini. Harap-harap kekecohan yang berlaku di Indonesia depan Kedutaan Denmark tidak berlaku di blog ini.

Saya Undi : Siti Nurhaliza
Kalau Mahu Menang Kereta, Undi : Mawi
Sudah Pasti Menang : Mawi

Ramalan Lain :
Javard

Kredit :
Banner Laman Web ABP2005

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger