Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 09 February 2006

Ulasan Puteri Gunung Ledang The Musical - Cinta Agung Yang Boleh Dilupakan

Yang saya tunggu akhirnya tiba. Sama hangatnya sewaktu saya menunggu tayangnya filem Puteri Gunung Ledang, begitu juga dengan Puteri Gunung Ledang versi muzikal yang kini sedang dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur. Saya berpeluang untuk menonton teater muzikal ini pada hari kedua pementasannya. Oleh itu ulasan saya akan mengambil kira jumlah hari pementasan tersebut telah berlangsung. Saya boleh menganggap hari kedua sebagai hari latihan terakhir. Pada hari Selasa, pementasan sulung adalah untuk para editor dan jemputan termasuklah pelajar universiti dan sekolah, manakala pada hari Rabu, pementasan adalah untuk para pengamal media radio, akhbar, majalah dan internet. Saya menyaksikan pementasan ini bersama beberapa orang sahabat seperti Badrul, Shafik, Ijoi, Klubbkidd, Fiebie dan Mama ZA. Di sana saya sempat untuk bertemu beberapa kenalan seperti Nizam Zakaria, Shanon, Tony Kassin, Rustam ERA, Zizi ERA, Marisa, Ramli MS, Jeff Ooi, TV Smith, Patrick Teoh, Mack Zulkifli, Sharizal, Daniel, Resham, Adi dan beberapa lagi.

Cerita (B)
Jalan cerita versi muzikal tidak banyak bezanya berbanding versi filem. Segala-galanya bermula di Majapahit apabila Gusti Adipati Handaya Ningrat harus mencari jalan untuk menyelamatkan Kerajaan Majapahit dari diserang oleh Kerajaan Demak. Dalam mencari jalan penyelesaian itulah, dua hati bertemu apabila Kerajaan Majapahit terpaksa memohon bantuan Kerajaan Melaka. Gusti Puteri Raden Ajeng Retno Dumilah akhirnya bertemu dengan Datuk Laksamana Hang Tuah. Sultan Mahmud Melaka seperti biasa mempunyai rancangan yang tersendiri untuk mengahwini Gusti Puteri Raden Ajeng Retno Dumilah sebagai balasan apabila berjaya mengusir Kerajaan Demak.

Gusti Puteri kemudian berlayar meninggalkan Majapahit menuju ke Gunung Ledang. Di puncak Ledang kedua-dua kasih bertemu kembali dan Hang Tuah membawa utusan peminangan dari Sultan Mahmud. Gusti Puteri mengenakan tujuh syarat ke atas Melaka.

Syarat ketujuh merupakan darah anakanda Raja Ahmad seperti satu penghinaan kepada Sultan. Kemurkaan Sultan merupakan kemuncak kepada konflik tersebut lalu untuk mencapai impiannya, Raja Ahmad harus dibunuh. Gusti Puteri bersemuka dengan Sultan, lalu baginda merasa terhina dengan pendirian Puteri. Lalu baginda mengenakan daulat sumpahannya ke atas Puteri.

Ada kelainan ? Tiada langsung. Banyak adegan-adegan yang tidak perlu di dalam filem ditiadakan. Kali ini penekanan diberikan kepada kisah cinta antara Gusti Puteri dan Hang Tuah yang dilihat sebagai cinta agung. Bagaimana agungnya cinta mereka, boleh ditonton untuk merasai keagungan cinta tersebut. Saya tidak menyalahkan cerita ini kerana ceritanya sememangnya begitu. Adlin Aman Ramlie dan Zahim Al Bakri telah memilih adegan-adegan yang menarik untuk dipersembahkan dan ternyata mereka berjaya dari aspek tersebut.

Lakonan (C)
Sayang seribu kali sayang, apabila cinta yang diagung-agungkan tidak kesampaian apabila lakonan Tiara Jacquelina dan Stephen Rahman Hughes gagal untuk merangsang keghairahan saya untuk mengikuti persembahan ini dari setiap saat ia berlalu. Cinta agung tersebut saya lupakan. Ternyata tiada keserasian di antara Tiara dan Stephen, bukan kerana perbezaan umur tetapi kerana emosi lakonan mereka tiada. Untuk berlaku lebih adil, Tiara sebenarnya mampu memberikan lebih warna pada watak tersebut kerana beliau pernah membawakan watak yang sama dan pernah diiktiraf di peringkat Asia. Apa lagi yang mampu diperkatakan. Tetapi apabila mempunyai sparing partner yang tidak mampu memberikan emosi pada setiap dialog yang dilafazkan tentunya memberikan kesan yang bukan sedikit kepada Tiara. Stephen masih memerlukan banyak masa untuk melatih dirinya dalam penggunaan bahasa Melayu. Beliau ternyata tidak fasih dan hanya menghafal dialog-dialognya. Kelucuan itu menimbulkan gelak ketawa di kalangan penonton dan ini sesuatu yang biasa apabila Stephen berdialog. Maka adegan sedih dan memerlukan emosi tidak memberikan apa-apa makna. Entah mengapa setiap kali Stephen berdialog, saya terbayang-bayang aura M.Nasir berada di ruang Istana Budaya. Lebih-lebih lagi apabila ada di antara dialog yang digunakan merupakan dialog dari versi filem tersebut. Teater muzikal adalah kekuatannya terletak pada lakon dan muzik. Bercerita tentang lakon, seseorang pelakon harus memberikan lakonan yang betul-betul berkesan kerana ini adalah teater. Jika seorang Melayu perlu melakonkan watak seorang Cina Indonesia sebagai contoh, sebaik mungkin si pelakon perlu membawa loghat Cina Indonesia itu lantas melakonnya dengan sebaik mungkin. Jadi, agak waras rasanya jika saya meminta sekadar watak Tuah itu bahasanya dipertuturkan seperti seorang anak Melayu - seorang pendekar Melayu terbilang. Saya tidak meminta banyak hanya meminta agar watak Hang Tuah dibawa dengan penuh maruah. Saya sebagai seorang Melayu merasa sedikit hampa apabila Hang Tuah dipersembahkan sedemikian rupa. Mujur saya tidak mempunyai daulat...(hahahaha)

Cukup rasanya saya bercerita tentang Tiara dan Stephen, lebih baik saya memberikan hype yang lebih untuk menguja penonton memberikan keadilan kepada lakonan AC Mizal. Kita pernah menonton lakonannya dalam drama Gerak Khas, filem Buli dan Buli Balik. Ternyata lakonannya di dalam teater muzikal ini mampu untuk menolak ke tepi resumenya di dalam filem atau drama. AC Mizal harus meletakkan lakonannya sebagai Gusti Adipati Handaya Ningrat teratas di dalam resumenya. Beliau adalah penyelamat teater muzikal ini. Apabila saya ke sidang akhbar sewaktu majlis pelancaran teater muzikal ini satu ketika dahulu, Tiara sering memuji lakonannya. Apakah luar biasa yang mampu dilakukan oleh “budak jahat” tersebut ? Pandangan saya meleset. Beliau sebenarnya telah membuka lagi satu peluang kepada bakatnya untuk menjelajah lebih jauh dalam bidang seni pementasan pentas. Saya pasti banyak yang telah beliau pelajari sepanjang tempoh latihan tentang bagaimana sukarnya untuk menjadi seorang pelakon teater. Syabas AC Mizal ! Anda sememangnya benar-benar layak untuk diberikan tepuk hormat daripada penonton malam itu.

Pelakon lain yang memberikan kelainan ialah Adlin Aman Ramlie sebagai Sultan Mahmud Melaka dan Yalal Chin sebagai Patih. Watak Sultan Melaka agak berbeza dalam teater muzikal ini. Jika dalam filem, Sultan kelihatan agak bengis, tunggu sehingga anda saksikan teater muzikal ini. Adlin memberikan perspektif yang berbeza kepada wataknya sendiri. Saya menyukai watak beliau yang nampak begitu lebih terserlah karakternya.

Teater besar sebegini memerlukan pelakon pelapis sebagai persediaan di masa akan datang. Stephen Rahman dan Tiara tidak akan sampai bila-bila menjadi Hang Tuah dan Gusti Puteri. Sewajarnya generasi baru mula dibentuk sekiranya mahu membawa teater ini ke peringkat antarabangsa.

Secara keseluruhan, pada beberapa babak penting yang sepatutnya menimbulkan kesan dramatik telah dipenuhi oleh bilangan pelakon yang ramai di atas pentas. Ensemble telah digunakan pada bahagian yang sepatutnya mengekalkan hanya pelakon utama sahaja di atas pentas. Ini berlaku pada Babak 2 Adegan 7 Konfrontasi Puteri dan Sultan yang turut melibatkan Ensemble yang sedikit sebanyak mengganggu tumpuan penonton. Dari beberapa sudut, kedudukan Ensemble telah melindung kelibat Puteri dan kesan yang timbul tidak menjadi.

Muzik/Lagu (A)
Muzik ciptaan Dick Lee memberikan nyawa kepada teater muzikal ini. Kehebatan Dick Lee dan Roslan Aziz dalam memberikan sentuhan Nusantara kepada muzik tersebut amat mengagumkan. Banyak lagu yang menarik telah dipersembahkan oleh Tiara, Stephen, AC Mizal dan Adlin Aman. Antara muzik yang sedap ialah Hajatmu Kubantu yang dinyanyikan oleh Adipati dan Sultan serta lagu Di Puncak Tertinggi oleh Hang Tuah dan Puteri.

Anda pasti terpesona dengan lagu Titah Sultan oleh Sultan dan Ensemble kerana saya terkesima dengan lagu tersebut. Memang hebat sekali persembahan tersebut. Jarang sekali dapat melihat seorang Sultan Melaka menari. Itu kelebihan menonton teater muzikal apabila penonton pasti akan dihidangkan dengan sesuatu yang di luar kebiasaan. Saksikan Sultan Melaka memberikan persembahan terbaiknya.

Sebuah lagi lagu nyanyian Tiara dan Stephen ialah Kepadamu Kekasih yang terdapat pada banyak adegan. Banyak adegan nyanyian yang melibatkan dua pelakon utama ini, ternyata nyanyian mereka perlu diperbaiki untuk memberikan kesan penontonan kepada khalayak teater tanah air. Jika berdialog, Stephen menghadapi masalah yang besar, tidak dalam nyanyian. Stephen telah berjaya memberikan persembahan nyanyian yang penuh bertenaga dan sedikit sebanyak memberikan emosi kepada nyanyian beliau. Beliau lebih memberikan penghayatan sepenuh jiwa beliau pada nyanyian dan beliau mampu untuk menyampaikan makna-makna dialog beliau melalui nyanyian.

Tiara yang sememangnya dinantikan hasil nyanyian beliau tidak begitu mengecewakan. Lagipun saya sudah biasa disumbangkan dengan nyanyian bintang Akademi Fantasia yang jarak perbezaan mereka tidaklah begitu jauh berbeza. Sebelum ini Tiara tidak boleh menyanyi tetapi kini beliau telah membuktikan sesuatu. Latihan nyanyian yang lebih tentu akan memberikan hasil yang lebih baik di masa akan datang.

Barisan Ensemble dari Majapahit ataupun Melaka telah memberikan persembahan vokal terbaik mereka untuk membantu pelakon utama membawakan lagu-lagu nyanyian mereka. Mereka menyanyi untuk kebanyakan adegan dan dalam waktu yang sama perlu berlakon. Ia adalah satu usaha yang harus diberikan pujian.

Khabarnya, sebuah album soundtrack akan dipasarkan sempena teater muzikal ini. Diharapkan ia bukanlah album live recording, sebaliknya album studio recording yang telah di”auto-tune” setiap note.

Teater muzikal ini tidak menggunakan orkestra untuk lebih meninggalkan kesan dari sudut muziknya. Sebaliknya hanya menggunakan 20 pemuzik dari pelbagai latar belakang untuk menghasilkan bunyi dan melodi yang sedap di dengar sepanjang teater tersebut.

Keseluruhan muzik dalam teater ini amat baik penghasilannya. Bayangkan sekiranya skor muzik teater muzikal ini dibawa ke dalam filem Puteri Gunung Ledang, tentu kesan filem tersebut lebih memberikan sesuatu yang lebih besar.

Rekaan Set (B)
Seawal minit pertama pementasan, saya benar-benar kagum dengan rekaan set yang telah dibuat oleh Raja Malik. Terdapat beberapa set yang menarik antaranya set stupa, keraton, gunung, istana Melaka, pelabuhan Melaka yang boleh dikitar-semula. Itu yang menjadikan set nampak menarik tetapi perubahan set dilakukan oleh tenaga manusia. Saya pernah bertanyakan soalan kepada Adlin sendiri tentang penggunaan pentas hidraulik. Adlin Aman Ramlie selaku pengarah bersama teater muzikal tersebut dengan selamba menjawab yang selain pelakon, pentas juga akan memberikan persembahannya yang tersendiri untuk teater tersebut. Mana janjimu ? Pentas hidraulik hanya bergerak turun dan naik. Pentas hidraulik Istana Budaya tidak memberikan persembahannya yang tersendiri untuk teater tersebut. Sebaliknya petugas pentas yang menggunakan tenaga mereka untuk mengubah atau mengalih set untuk berubah mengikut adegan. Seperti teater-teater besar yang lain terbitan Istana Budaya, Puteri Gunung Ledang The Musical juga mengambil jalan selamat untuk tidak mempertaruhkan nasib mereka kepada sistem pentas hidraulik tersebut.

Set pelbagai guna tersebut sentiasa berubah-ubah antara stupa, keraton, gunung menyerlahkan nilai kreativiti tetapi apabila banyak kali ia ditampilkan sama, menimbulkan kedikit kebosanan. Adegan air terjun tidak begitu meninggalkan kesan kerana saya sendiri tidak faham pada mulanya sehingga diberi tahu oleh seorang rakan. Set Gunung Ledang bertangga kelihatan gah di atas pentas. Menarik apabila boleh berubah-ubah kegunaannya. Adegan sewaktu pertukaran antara watak Nenek Kebayan dan Gusti Puteri dibuat dengan baik sambil dibantu oleh rekaan set yang cantik.

Kreativiti pereka set untuk merealitikan sesuatu adegan ke pentas teater sememangnya sukar lebih-lebih lagi untuk sebuah teater muzikal epik sebegini. Banyak aspek yang perlu diambil-kira terutamanya dari aspek ketelitian. Saya akui set Istana Melaka nampak lebih gah dalam versi teater berbanding versi filem.

Saya paling tertarik dengan ukiran pada pintu Istana Melaka yang sememangnya gah pada pandangan mata saya. Ukiran yang dibuat begitu teliti dan begitu besar saiznya. Lebih menarik apabila lampu membolosi ruang-ruang kosong antara ukiran tersebut dan memberikan cahaya samar-samar berbayang kepada Hang Tuah dalam satu adegan. Adegan tersebut nampak begitu artistik.

Rekaan Tatacahaya (B)
Mac Chan sememangnya nama besar dalam teater Malaysia. Beliau pernah memenangi banyak anugerah dalam bidang tatacahaya dan pernah juga menyapu bersih senarai calon Tatacahaya Terbaik di Cameronian Arts Awards. Tatacahaya yang dipersembahkan dalam teater muzikal ini menarik dan dapat memberikan penghayatan juga terhadap penonton.

Kesan tatacahaya yang paling menarik sekali pada saya adalah sewaktu Babak 1 Adegan 11 Pengorbanan Abadi iaitu sewaktu kematian Bayan yang membunuh diri. Saya dapat merasakan pengorbanan yang telah dilakukan oleh beliau melalui kesan warna merah pada tatacahaya yang digunakan. Kemurkaan Adipati kemuncak segala-galanya dan menyebabkan Bayan dihukum bunuh tetapi sebaliknya beliau membunuh dirinya sendiri.

Adegan lain ialah Babak 2 Adegan 2 Pengisytiharan Peminangan Puteri sewaktu Hang Tuah berada di hadapan Istana Melaka. Cahaya dari belakang pintu Istana Melaka memancar pada tubuhnya melalui ruang-ruang kosong ukiran Istana. Sangat cantik.

Komen saya yang lain adalah melibatkan papan elektronik yang memaparkan sari kata Bahasa Inggeris yang kedudukannya terlalu tinggi. Penggunaan bahasa terjemahan juga ada yang tidak begitu tepat. Namun demikian, sebagai sebuah teater muzikal Melayu, menampilkan sari kata adalah satu usaha yang bagus kerana ia dapat menarik minat pelancong asing untuk turut sama merasai kemeriahan teater muzikal ini.

Masalah pada sistem audio sedikit merencatkan kepuasan menonton teater tersebut semalam. Masalah yang berlaku kepada audio Gusti Puteri berjaya diselamatkan oleh pengalaman Bayan (Sukania Venugopal) yang bertindak pantas melakukan improvisasi dengan membawa Gusti Puteri keluar pentas. Props air terjun yang terkoyak juga agak memalukan kerana malam semalam merupakan malam kedua persembahan dan pementasan berlangsung sehingga 26hb Februari. Satu tempoh yang agak panjang.

Saya terpegun ? Tidak begitu sekali. Saya kagum ? Ya, saya kagum dengan usaha mereka. Sayang sekali, hasil yang saya tunggu-tunggu tidak begitu memberikan kesan yang besar kepada saya. Saya lebih tertarik menonton filem Puteri Gunung Ledang walaupun jiwa saya lebih kepada teater. Cinta agung yang sepatutnya menjadi benar-benar agung di Istana Budaya tidak berjaya memberikan kesan dalam hati ini. Tetapi saya bangga dengan usaha yang dicurahkan. Sedikit lebih masa latihan, saya pasti teater muzikal ini mampu menjadi seperti Miss Saigon, Bombay Dreams atau Les Miserables. Secara keseluruhan teater muzikal ini sebuah cinta agung yang boleh dilupakan. Untuk merasai pengalaman yang telah saya rasai, anda semua bolehlah menonton teater muzikal buatan Malaysia ini untuk merasakan keindahan dan pengalaman tersebut.
Memetik kata-kata Adlin Aman Ramli, perkataan sahaja tidak mencukupi, saksikan sendiri dan merasai pengalaman menonton teater muzikal ini. Saya telah menyaksikannya. Anda juga perlu menyaksikannya kerana ia dihasilkan oleh satu pasukan berjiwa Malaysia yang mempunyai impian besar untuk memartabatkan seni teater Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Usaha ini sewajarnya disokong. Puteri Gunung Ledang The Musical telah meletakkan satu aras tanda kepada teater muzikal untuk ianya berkembang di Malaysia. Tidak sewenang-wenangnya ada pihak yang mahu melabelkan karya kreatif mereka sebagai teater muzikal sekiranya tidak berjaya mencapai taraf seperti Puteri Gunung Ledang ini. Ia adalah satu standard yang tinggi yang perlu dicapai oleh para penggiat teater untuk sama-sama menyaingi produksi teater muzikal ini.

Saya telah berusaha untuk memberikan pandangan saya sejujur mungkin tentang pengalaman saya di Istana Budaya. Kepuasan menonton teater hanya akan diperoleh sekiranya anda sendiri menyaksikannya dan bukan sekadar membaca ulasan ringkas ini. Teater muzikal adalah untuk dilihat dan dirasa...

Teater muzikal ini diarahkan oleh Zahim Albakri dan Adlin Aman Ramlie. Roslan Aziz turut bertindak sebagai Pengarah Muzik. Saksikannya di Istana Budaya dari 7 - 26 Februari secepat mungkin. Tiket boleh didapati dengan harga RM30, RM50, RM70, RM100 dan RM150. Tiket boleh didapati secara online di http://www.ticket2u.biz/ atau menghubungi Box Office Istana Budaya di talian 03-4026 5558. Selamat Menonton !

Teater memanusiakan manusia...

Pilihan sultanmuzaffar
1. Lakonan/Nyanyian AC Mizal
2. Skor muzik
3. Lakonan/Nyanyian Adlin Aman Ramlie
4. Babak 2 Adegan 3 Menundukkan Ledang
5. Buku Program
6. Rekaan Tatacahaya
7. Cerita
8. Tiara Jacquelina
9. Rekaan Set
10. Stephen Rahman Hughes

Ulasan Lain :
TVSmith (Kredit Foto)
Midnite Lily : "Better than the film"
Min : "Tiara Jacqueline was very good in this but I would say AC Mizal as Gusti Adipati stole the show."
KakiCucukLangit : "I Can Feel Your Pain Tuah. Really I Do."
Jeff Ooi : "You have to manage fate with courage, change it if you need to."
Patrick Teoh : " Can this boy act? I don't think so."
Edd Vedder : "Setiap bibit lagu merupakan cerita yang yang disampaikan secara bermelodi. Irama lagu tersebut mencerminkan perasaan setiap karakter yang menyanyikannya."
Klubbkidd : "It was like watching Daffy Duck in the lead role!"
(BARU)
Fiebie : "Ohh, Puteri Gusti, kasih hambe membawe hambe dari melake ke bla bla membawe cinte kite yang lare" Mati lah slang omputih."
(BARU)
Sharizal : "But as a Malay hero, he was stiff and I thought he was finding it difficult to act “Malay”. He should have sung all of his lines."
(BARU)
Mack Zulkifli : "I sing praises for AC Mizal. His stage presence was phenomenal."
(BARU)
Suanie : "Stephan Rahman-Hughes is cute, has beautiful eyes, nifty dance moves and a ridiculously powerful singing voice but he is not Hang Tuah."
(BARU)
Fireangelism : "Tiara is super duper HAWT for SURE! And she’s REALLY toned too! Slurp."
(BARU)
Afdlin Shauki : "ZAHIM ALBAKRI the director, is a FREAKING GENIUS!!!"

Dikemaskini pada 13 Februari 2006 :
Sempat saya menyelak beberapa akhbar utama untuk membaca pandangan mereka tentang teater muzikal ini.

NST : "An enchanting saga"
Malay Mail : "Crouching Gusti, hidden Tuah"
Utusan Malaysia : "PGLtM dan Tiara cetuskan fenomena"
Berita Harian : ""
The Star : "Pretty good, princess"

Sidang Media PGLtM
Ulasan Filem Puteri Gunung Ledang

Awan Yang Terpilu Dianiaya ?

Dengar khabarnya, pengamal muzik tempatan sedang kecoh menempelak keputusan Anugerah Juara Lagu ke 20 yang baru berlangsung minggu lepas. Isu utama yang dibangkitkan adalah kemenangan Gemilang mengetepikan Awan Yang Terpilu. Terdengar mereka membicarakan perihal lagu Awan Yang Terpilu kononnya disabotaj oleh barisan panel juri yang menurutnya melodi Awan Yang Terpilu adalah lagu ciplak. Lantaran komen tersebut, sebahagian panel juri berpendapat agar lirik Awan Yang Terpilu tidak patut dinilai.

Apa yang telah dirisik, melodi lagu yang kononnya diciplak itu hanyalah empat bar sahaja berpandukan lagu nyanyian Syafinaz. Namun demikian ia hanyalah sekadar persamaan yang masih samar-samar. Lagipun menurut peraturan yang telah ditetapkan oleh badan antarabangsa, persamaan empat bar masih lagi boleh diterima-pakai dan tidak dianggap ciplak.

Kesan daripada perbuatan tersebut, hampir kesemua panel juri terpengaruh dengan komen tersebut dan tidak menilai lirik lagu Awan Yang Terpilu. Jelas sekali ada pihak yang berasa tergugat dengan lirik puitis Awan Yang Terpilu lalu sanggup melakukan perbuatan tersebut.

Beberapa pihak yang arif dalam bahasa Melayu turut mengaitkan tatabahasa lagu Gemilang yang menurut mereka terdapat kesalahan dari segi makna dan tatabahasa. Lebih mengejutkan apabila lirik lagu Gemilang adalah terjemahan terus dari lirik lagu Gemilang versi Inggeris tanpa mengubah mengikut tatabahasa Melayu.

Nampaknya bahang Anugerah Juara Lagu ke 20 masih belum reda.

Dengar Mulut Laser ERA : Setiap Isnin - Jumaat jam 6 pagi dan 8.45 malam !

Ulasan AJL20 di Mobile sultanmuzaffar Portal
Ingin membaca Ulasan Penuh ? Muat turun dan baca Ulasan di telefon bimbit anda !

taip JV(space)C22001 hantar ke 32010 (untuk pelanggan 012, 017, 016 & 019)

(Eksklusif untuk pelanggan 012 & 017 sahaja!) Pasti Puas !!
1. Pengguna telefon bimbit, sila ke http://wap.maxis.com.my/
2. Klik COMMUNITY
3. Klik ZON MELAYU
4. Klik Ulasan AJL20 - sultanmuzaffar

Sila semak senarai telefon serasi.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger