Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 17 December 2006

Fenomena Cicak Man

Tanpa mendapat ruang promosi di Malaysia Hari Ini TV3, filem Cicak Man tetap berjaya menguasai pawagam-pawagam di sekitar Malaysia. Setelah 5 hari ditayangkan, filem tersebut berjaya mencecah kutip RM2.5 juta dalam penjualan tiket. Suatu yang harus dibanggakan. Oleh kerana keseluruhan pelakon utama filem tersebut terdiri daripada personaliti Astro, maka amat sukar untuk filem tersebut menembusi ruang program tersebut. Saiful Apek, Aznil Nawawi, Adlin Aman Ramlie, Yasmin Hani dan AC Mizal merupakan personaliti yang dikenali dari Astro.

Namun demikian, filem Cicak Man terus merayap di pawagam sehingga menenggelamkan sebuah filem terbaik tahun ini, Cinta. Saya sudah menonton kedua-dua buah filem ini. Terus terang saya lebih menyukai Cinta tetapi saya mengagumi kesan khas yang dibawa oleh Cicak Man.

Dengan bajet kurang dari RM2 juta, filem Cicak Man telah berjaya menghasilkan keajaiban dalam senario filem Malaysia. Saya benar-benar kagum dengan penggunaan kesan khas, animasi tiga dimensi yang telah dihasilkan oleh Yusry.

Seperti kata Mansor Puteh yang sebelum ini menyifatkan filem Melayu sebagai “filem sampah” telah tiba-tiba menyokong filem Melayu ini dengan menyatakan filem ini tiada nilai budaya dan tiada jiwa. Saya tidak sokong sepenuhnya kenyataan beliau. Mungkin ada benarnya, dan mungkin ada silapnya. Metrofulus digambarkan berada dalam tahun yang lebih ke hadapan. Mungkin pada zaman tersebut jatidiri manusia sudah hilang, mungkin juga masih ada. Tiada siapa yang boleh meramal. Aspek jatidiri dan tamadun manusia akan saya ulas lebih lanjut dalam topik Pilih Bulu.

Kenyataan saudara Mansor Puteh yang telah beralih arah saya lihat sebagai satu perkembangan yang positif dalam melihat kepentingan teknologi dalam pembikinan sesebuah filem. Siapa saja boleh beralih arah. Tun Dr. Mahathir pun boleh bersalam dengan George Soros walaupun mereka merupakan seteru di media massa satu ketika dulu. Ia tidak mustahil.

Cicak Man gah dari aspek teknologinya, sayangnya dari aspek penceritaannya filem ini masih lagi lemah. Cerita superhero yang diangkat ke dalam filem Melayu masih belum cukup kuat untuk dibandingkan dengan sebuah filem bertema cinta universal oleh Cinta.

Jika kedua-dua aspek ini digabungkan ke dalam satu filem, nescaya mutu filem Melayu akan dapat diangkat dan diletakkan di martabat yang lebih tinggi lagi. Teknologi perfileman baik dari aspek arahan, suntingan, kesan khas, animasi tiga dimensi dan penataan muzik serta kaedah penceritaan seperti lakon layar dan storyboard jika digabungkan akan menghasilkan filem yang lebih baik.

Kita semakin menuju ke era yang lebih moden. Secara tidak langsung aspek teknologi tidak wajar dipinggirkan.

Filem Cicak Man tidak mustahil mengutip RM10 juta sekiranya penjualan cenderamata, servis mobil (nada dering, penghias skrin, klip video) diambil kira. Ia merupakan satu penanda positif dalam filem Melayu. Aduh Saleha The Movie harus menggunakan pendekatan tarikan servis mobil untuk meningkatkan lagi keuntungan filem tersebut kerana kelompok yang meminati Mawi adalah mereka yang gemar menggunakan telefon bimbit dan (sign cek). Sebenarnya satu proposal telah pun dihantar kepada MIT untuk tujuan ini.

Jika ada Cicak Man 2, aspek penceritaan perlu dibaiki. Saya masih belum puas hati dengan cerita yang ditampilkan. Tiada apa yang boleh dibanggakan dalam aspek lakonan kecuali watak Adlin Aman Ramlie dan AC Mizal yang memegang watak Ginger Boys. Saya tertawan dengan watak tersebut. Mampu membuatkan saya ketawa dengan gelagat mereka. Watak Profesor Klon oleh Aznil Nawawi adalah gelagat biasa Aznil yang gila-gila seperti yang kita tonton dalam Macam-Macam Aznil.

Kalau anda seorang yang berminat dengan animasi tiga dimensi, Cicak Man adalah filemnya. Jika anda seorang yang hanya ingin bergelak-ketawa bila menonton filem, Cicak Man adalah filemnya. Jika anda seorang yang tidak kisah membandingkan peniruan filem Melayu dan filem Barat, Cicak Man dan Cinta adalah filemnya. Kenapa ya bila Cinta tiru Love Actually orang bising, tapi bila Cicak Man tiru Spider Man, The Matrix orang tak bising ?

Jom penuhkan pawagam dengan menonton Cicak Man. Anda pasti terpukau, terpegun, terasuk, terhisteria dengan teknologi kesan khas yang dibawa oleh Yusry dalam Cicak Man.

Arahan : 5/10 + 1 (idea kesan khas)
Kesan Khas & CGI : 9/10
Lakonan : 5/10
Muzik OST : 7/10
Cerita & Lakon Layar : 4/10 + 1 (idea kesan khas)
Keseluruhan : 6/10 + 0.5 (kesan khas)

Prabayar Dan Along

Image Hosted by ImageShack.us

Tempoh pendaftaran telefon bimbit prabayar telah pun tamat pada 15 Disember lepas. Seperti yang dijangka, rakyat Malaysia memang suka tunggu di saat akhir untuk mendaftar telefon bimbit mereka. Apa yang mereka tunggu pun saya tidak tahu. Rakyat Malaysia memang suka berebut agaknya. Mungkin juga rakyat Malaysia suka berhimpit-himpit agaknya. Tapi itu cerita lain.

Tun Dr. Mahathir, mantan Perdana Menteri pernah menyelar pendaftaran telefon bimbit prabayar yang disifatkan olehnya sebagai tiada kebebasan dalam negara sendiri. Ada bagusnya juga pendaftaran telefon bimbit prabayar yang telah dilakukan sekarang. Salah satu adalah untuk mengekang berleluasanya perkhidmatan haram along yang semakin bermaharajalela sekarang.

Di mana-mana ada saja iklan along bertampal di dinding-dinding tandas, ibusawat telefon, pondok telefon dan di merata-rata. Rakyat Malaysia cepat tertipu dengan perkhidmatan-perkhidmatan sedemikian.

Seperti contohnya sindiket penipuan SMS yang telah menggunakan nama AF4 yang semakin berleluasa sekarang. Dengan sms berbunyi “Tahniah! Anda telah memenangi hadiah wang tunai bernilai RM9,000. Sila hubungi semula nombor ini bagi membolehkan kami mendapat maklumat tentang diri anda dan memudahkan urusan pemberian hadiah.” rakyat Malaysia terus rambang mata dan gelojoh untuk cepat kaya.

Dengan adanya pendaftaran prabayar, sedikit sebanyak kegiatan haram ini akan dapat dibanteras dan dikawal. SMS-SMS haram yang selalu mengganggu juga boleh dikawal dan dikenalpasti siapa dalangnya.

Bukankah bagus pendaftaran tersebut ?

Pilih Bulu
Tungguuuuu...Lain posting lah. Tak sempat. :) Sebagai teaser, sila dapat Metro Ahad dan baca ruangan CAK. Panas Panas Panas !

Berdebar Tunggu X-Tuned
Terus terang saya memang berdebar menunggu reaksi penonton RIA terhadap X-Tuned. X-Tuned bukan macam program hiburan realiti yang senang mendapat tempat di hati penonton. Bukan program tentang nyanyi-nyanyi, bukan program yang ada menangis bila tersingkir. X-Tuned program jantan yang susah untuk diyakinkan untuk menonton televisyen. Kalau mereka menonton tv pun pada waktu bila. Kalau mereka tonton pun bukannya saluran RIA, tetapi ESPN atau SuperSport atau CNN dan mungkin juga Discovery. Itu yang payah.

Pelbagai kaedah telah digunakan untuk meuar-uarkan program ini. Antara contohnya klip video di Youtube, Forum Drift, Forum Zerotohundred, Forum Cari dan servis 3G di telefon bimbit.

Montaj X-Tuned : http://www.youtube.com/watch?v=HqzbmDUfpT8
OAP X-Tuned : http://www.youtube.com/watch?v=Y-LdGrd5hx0
Microsite X-Tuned :
Blog X-Tuned : http://x-tuned.blogspot.com

Harap semua kaedah yang diperkenalkan akan berjaya menarik minat penonton. Jika anda berminat dengan aksi kereta lumba, ini adalah rancangan yang perlu anda tonton.

Fail Sulit AF
Kalau ada yang berfikir ini berkenaan AF5 yang tidak tentu ada atau tidak, anda silap. Fail Sulit AF adalah berkenaan Akademi Fantasia 1-4 sebanyak 20 episod. Soalan-soalan maut lagi kontroversi akan diungkit kembali dalam bentuk rancangan bual bicara. Oleh kerana semua topik-topik kontroversi yang ingin diungkit kembali adalah cerita-cerita basi tahun 2003 hingga 2006, maka penyelidikan yang menyeluruh perlu dilakukan. Satu pasukan telah pun dibentuk untuk tujuan tersebut. Setiap keratan akhbar, majalah, internet perlu digeledah semula untuk mendapatkan bahan-bahannya. Setiap pita rakaman yang ada perlu diulang-tayang dan diambil bahagian-bahagian yang menarik. Memang bukan kerja 1 minggu tetapi kerja 1 tahun. Terpaksa juga dilakukan untuk mengisi ruang Akademi Fantasia sebelum ia dilupakan.

Lebih-lebih lagi dengan cerita-cerita kontroversi yang hangat melanda Mawi dan kesuraman Akademi Fantasia 4, sesuatu harus dilakukan untuk mengawal kerosakan yang telah dilakukan oleh media dan peminat. Isu-isu tersebut harus dijelaskan kepada mereka.

Sekiranya anda ada cerita-cerita hangat yang masih tersimpan rapi tentang Akademi Fantasia, baik pelajar atau tenaga pengajar, bolehlah dikongsi bersama untuk program ini. Setiap kisah kontroversi perlu disertakan bersama bukti dalam bentuk keratan akhbar, gambar eksklusif, rakaman video/audio dan sebagainya. Ada ganjaran menanti anda berdasarkan nilai cerita tersebut. Anda boleh menghantar cerita-cerita anda atau jalan kepada cerita tersebut dikorek ke email saya di muzaffar_mustapa(at)astro(dot)com(dot)my.

Wallpaper Pulau Besar
Tungguuuuu....Lain posting ya. Tak sempat.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger