Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.

Mengumumkan Azam Tahun 2010 di Desa ParkCity Kuala Lumpur !

Entri oleh sultanmuzaffar 03 January 2010



Sebelum ini saya tidak pernah menjejakkan kaki saya ke Desa ParkCity, Kuala Lumpur. Saya hanya mendengar tentang projek tersebut dan melawat “showroom” projek komuniti itu sekitar tahun 2003. Hari ini, saya menjejakkan kaki saya ke sana. Projek komuniti Desa ParkCity bermula pada tahun 2002 dan bakal siap sepenuhnya 2011 meliputi kawasan seluas 473 ekar sekaligus Desa ParkCity boleh dianggap sebagai pembangunan sebuah komuniti paling terancang yang terletak di pinggir Kuala Lumpur. Desa PakCity dihubungkan melalui Lebuhraya Damansara Puchong dan terletak 35 minit perjalanan ke Pusat Bandaraya Kuala Lumpur, 15 minit ke Mont Kiara, 20 minit ke Pusat Bandar Bukit Damansara dan 25 minit perjalanan ke Petaling Jaya.

View Desa Parkcity, Kuala Lumpur, Malaysia in a larger map

Saya berpeluang untuk bertandang ke kawasan komuniti tersebut untuk satu penggambaran “online video commercial” yang dilaksanakan oleh Astro bersempena pelancaran ASTRO B.yond, perkhidmatan televisyen berdefinisi tinggi (HD).


ASTRO memilih untuk melakukan penggambaran tersebut di Waterfront, Desa ParkCity. Pertama kali saya menjejakkan kaki saya ke sana. Melangkah masuk ke sebuah komuniti yang aman dilengkapi suasana yang sungguh nyaman.

Ketika saya tiba di kawasan tersebut sekitar jam 9 pagi, bumi Desa ParkCity baru sahaja dilimpahi hujan. Susana sungguh menyegarkan dan lebih-lebih lagi hari itu merupakan hari Ahad, dengan tiadanya kesesakan lalulintas menjadikan suasana sungguh tenang.

Memilih blogger untuk menjadi jurucakap kepada sebuah produk baru sememangnya taruhan paling besar dilakukan ASTRO. Saya tidak perlu mewar-warkan kehebatan produk baru tersebut. Walaupun saya telah pun memilikinya dan merasakan ASTRO B.yond sangat hebat. Itu antara kelebihan menjadi kakitangan apabila dapat merasai pengalaman berdefinisi tinggi (HD) lebih awal dari pelanggan biasa.


Sebaliknya, sebagai blogger saya diminta untuk mengumumkan azam saya yang akan dirakamkan dalam format HD untuk versi online. Mujur juga bukan versi televisyen kerana wajah yang kusam, belum tentu sesuai untuk dirakamkan dalam format HD dan ditayangkan di televisyen HD. Apa elemen yang sebelum ini tidak kelihatan di televisyen biasa, akan kelihatan di televisyen HD. Amat bahaya sekali !

Giliran saya tiba. Berada di hadapan kamera memang suatu yang agak menggusarkan saya. Walaupun ada sedikit pengalaman bersama program Gala TV untuk ASTRO Awani, saya masih kekok untuk bercakap dengan kamera. Saya gemar bercakap dengan komputer, tetapi tidak kamera. Bayangkan kegusaran di minda saya apabila rakaman itu dibuat dalam format HD. Saya terbayang bagaimana agaknya rupa rambut, rupa wajah, gaya percakapan semuanya akan jelas kelihatan. Aduh ! Namun saya gagahkan juga.


Beberapa hari sebelum menjelang Tahun 2010, saya telah menghantar senarai azam tahun baru saya tahun ini. Jika ramai orang memilih untuk meletakkan azam tahun baru, saya meletakkan azam suku pertama tahun 2010. Tiga azam tersebut telah pun berada dalam diari saya untuk saya lunaskan satu persatu, bukan sekadar omong kosong, malah ia satu realiti yang harus saya tunaikan.

Azam Suku Pertama Tahun 2010
1. Saya berazam untuk menulis sebuah buku yang akan membawa pembaca menyusuri bagaimana bermulanya blog sultanmuzaffar sehingga apa yang telah saya perolehi menerusi blog hari ini.
2. Saya berazam untuk menterjemah entri blog yang akan datang ke dalam Bahasa Inggeris
3. Saya berazam untuk menikmati dasar laut dan menyelam scuba di negara Timur Tengah


Tiga azam yang saya senaraikan bakal direalisasikan antara bulan Januari hingga April tahun 2010. Bukan omong kosong. InsyaAllah. Pada bila-bila masa di bulan Januari ini saya akan menerima bantuan sebuah portal berita yang masih belum boleh saya umumkan untuk menterjemah entri blog saya ke dalam Bahasa Inggeris. Kerjasama ini saya anggap sebagai “win-win situation”. Saya memerlukan mereka, dan mereka memerlukan saya. Tunggu sahaja pengumumannya tidak lama lagi. Pada bulan Februari pula saya akan berlepas ke Abu Dhabi dan Dubai, UAE. Jika diizinkan, saya akan menyelam scuba di Semenanjung Musandam. Dalam tempoh tersebut, saya akan sibuk menyunting entri blog lama berkenaan filem dan teater untuk dibukukan. Buku tersebut atau “blook” bakal diterbitkan menjelang April depan. Buku itu tidak sekadar mengambil entri lama berkenaan filem dan teater yang asal sahaja sebaliknya akan turut disertakan komentar mengenai perkembangan dan diselitkan dengan isu-isu terkini. Sudah sampai  masanya saya memberi balik kepada golongan pembaca buku yang semakin berkurangan sejak akhir-akhir ini. Kematangan lapan tahun menulis blog harus dizahirkan dengan sesuatu yang positif untuk pembaca buku mahu pun pelayar internet. Medium blog bukan untuk pembaca entri "sampah".

InsyaAllah. Saya tidak mahu azam hanya tinggal sekadar azam. Azam perlu direalisasikan bukan sekadar untuk diluahkan sahaja setiap tahun baru.


Saya turut disoal satu lagi soalan tentang azam sekiranya saya berpeluang untuk merakamkan pengalaman menyelam scuba dalam format HD. Jawapan saya mudah sahaja. Kita sedia maklum kualiti visual yang dirakam dalam format HD amat tinggi. Pastinya saya mahu berkongsi pengalaman tersebut dengan penonton ASTRO B.yond tentang bagaimana rasanya berada di dasar laut. Lokasi pilihan saya adalah Pulau Sipadan, Sabah. Semua orang tahu, Malaysia memiliki destinasi menyelam scuba yang terbaik di dunia iaitu Pulau Sipadan. Menerusi visual berformat HD, pengalaman berada di dasar laut boleh dirasai dengan hanya berada di ruang tamu rumah mereka. Keajaiban kehidupan dasar laut Pulau Sipadan harus dikongsi bersama dengan penonton ASTRO B.yond menerusi perkhidmatan televisyen berdefinisi tinggi.

Ingat ! Azam tahun baru bukan sekadar omong kosong yang menjadi perkara wajib setiap 25-31 Disember setiap tahun. Azam tahun baru perlu direalisasikan. Saya telah merakamkan azam suku pertama tahun 2010 dalam format HD dan dijadikan bukti sekiranya saya gagal. Perlukah saya tertekan dengan pengumuman ini ? Doakan semuanya akan berjaya. InsyaAllah.


Nota : Versi video HD akan saya sertakan apabila siap disunting oleh pihak produksi ASTRO dalam sedikit masa lagi.

blog comments powered by Disqus
Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger