Keliru menang berdasar jumlah agregat
Oleh Akmal Abdullah
KUALA LUMPUR: Pemilihan lagu Keliru sebagai pemenang utama Anugerah Juara Lagu Ke-17 (JL17) dibuat berdasarkan jumlah agregat terendah mengikut ranking daripada pilihan 10 juri walaupun tiada juri yang memilih lagu itu sebagai pilihan nombor satu.
Ketua Juri AJL17, Datuk Johari Salleh, berkata semua juri diberikan kuasa untuk menentukan kedudukan lagu pilihan masing-masing daripada posisi pertama hingga ke-12, iaitu mengikut jumlah 12 lagu yang bertanding.
Juri memilih lagu mengikut budi bicara masing-masing dari tangga 1 hingga ke-12 dan lagu yang dipilih itu dikumpulkan mengikut posisi secara keseluruhan. Bilangan posisi setiap lagu dijumlahkan daripada semua juri.
“Contohnya, saya memilih lagu A untuk posisi keenam, manakala juri lain pilih lagu A untuk posisi kedua dan seterusnya begitulah. Maka, kedudukan semua posisi itu dikira untuk mengambil jumlah keseluruhan mata posisi lagu berkenaan untuk menentukan jumlah agregatnya.
“Apabila sistem ini dibuat, maka agregat pada lagu Keliru didapati paling rendah, maka Keliru dipilih sebagai juara keseluruhan. Saya sendiri tidak pilih lagu Keliru pada posisi pertama tetapi keputusannya, jumlah agregat untuk Keliru adalah paling rendah, sekali gus kedudukannya paling atas berbanding lagu lain,” katanya.
Beliau mengulas kontroversi berhubung lagu Keliru ciptaan Aidit Alfian sebagai Juara Lagu dalam AJL17, malam Ahad lalu.
Kontroversi tercetus apabila banyak pihak terkejut dengan keputusan AJL17, selain Berita Harian turut menerima banyak panggilan serta e-mel daripada pembaca yang hairan dan tidak puas hati mengenai keputusan AJL17.
Dalam pertandingan itu, Keliru dendangan pasangan suami isteri, Ajai dan Nurul muncul juara keseluruhan dengan gelaran Juara Lagu dan juara bagi kategori Pop Rock. Lagu Menadah Gerimis nyanyian Ziana Zain menjuarai kategori Balada dan Nirmala alunan Siti Nurhaliza muncul juara kategori Irama Malaysia.
Johari berkata, keputusan dicapai setelah semua mata posisi setiap juri untuk 12 lagu terbabit dikira.
“Tidak ada kesilapan atau unsur bias dibuat sebab setiap juri adalah profesional dan mengikut bidang masing-masing.
“Sistem ranking ini adalah format penjurian bertaraf antarabangsa dan digunakan kebanyakan negara dalam pertandingan lagu termasuk di Festival Lagu Asia. Sistem ini juga dipakai dalam pertandingan Juara Lagu anjuran TV3 sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, juri menggunakan budi bicara dan pengetahuan mereka dalam bidang masing-masing.
“Jadi apabila sudah diberitahu bahawa Keliru adalah paling tinggi kedudukannya kerana agregatnya paling rendah, maka ia adalah pemenang keseluruhan. Keputusan juri adalah muktamad,” kata Johari
Kelmarin, Johari serta beberapa juri AJL17 yang lain mengadakan pertemuan tergempar di Sri Pentas bagi meleraikan kekeliruan berikutan isu itu. Ia berlaku kerana masalah teknikal dan ada beberapa juri yang dikatakan tidak jelas dengan format penjurian disediakan penganjur.
“Saya akui ada juri yang salah tafsir dengan corak penjurian TV3.
“Apabila kita adakan mesyuarat semalam, kita dapati ia memang benar dan disahkan juruaudit.
“Ada juri yang silap dengar sebelum ini dan TV3 juga meminta maaf kerana kurang jelas. Tidak ada kesilapan berlaku,” katanya.
Johari mengakui bahawa juri mengadili lagu yang bertanding terlebih awal iaitu dengan mendengar cakera padat (CD) beberapa hari sebelum AJL17 berlangsung.
“Saya akui penjurian dibuat berdasarkan pendengaran menerusi CD. Ini cara yang terbaik sebab lagu yang bertanding ini adalah juara bulanan dan bertanding sepanjang tahun.
“Ini wajar kerana mungkin kesilapan dalam persembahan pada malam pertandingan boleh merosakkan lagu itu sedangkan lagu itu adalah lagu bagus. Malah, Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) juga membuat penjurian menerusi CD.
“Malam pertandingan itu, kita hanya mengadili dari segi persembahan dan vokal,” katanya.
0 komen