Akademi Fantasia Hari Ketiga Minggu Kelima
Kelas Tarian Linda Jasmine
Koreografer tarian Liza yang dibuat oleh Cikgu Linda Jasmine memang terbaik. Saya sendiri kagum dengan koreografer yang dibuat. Liza hanya perlu mengurangkan tekanan ke atas dirinya dan sekaligus mengurangkan nervous yang ada dalam diri beliau. Penghayatan untuk lagu ini sangat mudah. Tonjolkan imej seseksi yang mungkin. Terapkan imej Nana untuk menyanyikan lagu ini. Dapatkan pandangan dari Nana. Memang saya akui menyanyi sambil menari memang agak sukar tetapi yang penting ialah keyakinan diri. Koreografer yang dipilih sudah menarik. Tarian Azizi untuk lagu She Bang juga menarik. Lagu ini juga memerlukan ekspresi seksi dan Linda Jasmine telah memberikan sentuhan seksi untuk koreografer lagu tersebut. Vince akan menampilkan ciri-ciri Elvis Presley untuk lagu ini. Secara tidak langsung lagu Bunyi Gitar akan di”Elvis Presley”kan. Vince memang meminati penyanyi tersebut dan yang pasti beliau akan menampilkan sesuatu yang berlainan dari yang lain.
Fatimah Abu Bakar dan Nana
Beliau menasihatkan Nana agar menggunakan kelebihan yang beliau ada secara maksima. Beliau seorang yang agresif dan mempunyai pakej yang tidak ada pada peserta lain. Gunakan segala showmanship yang beliau pelajari untuk membawakan lagu ini. Britney Spears juga tidak mempunyai vokal yang baik tetapi telah menggunakan segala kelebihan yang beliau ada untuk mengikat penonton.
The Singing Veterinar
Sahri menghadapi masalah dengan majikannya. Beliau yang bertugas di Lab Mahkota Medical Centre sedang menghadapi dilema sama ada masih diterima bertugas dengan majikannya atau pun diberhentikan kerja. Memang agak sukar untuk beliau membuat keputusan. Masa depan yang tidak menentu. Bila-bila masa sahaja boleh dikeluarkan dari Akademi Fantasia. Nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Buat keputusan yang terbaik dan tolak ansur juga penting untuk menghadapi masalah ini. Sekiranya majikan Sahri ada membaca weblog ini, diharapkan dapat memberi peluang kepada beliau untuk terus bekerja. Cita-cita beliau adalah untuk menjadi seorang veterinar yang berjaya. Tidak mustahil bakal veterinar ini juga akan menjadi seorang penyanyi yang berjaya. Contoh terbaik yang boleh kita ikuti ialah Allahyarham Sudirman Haji Arshad merupakan seorang yang berkelulusan ijazah undang-undang sehingga digelar “The Singing Lawyer” dan tidak mustahil satu hari kelak Sahri akan digelar “The Singing Veterinar”. Berilah beliau peluang.
Latihan Vokal Adnan Abu Hassan
Vince telah memberikan sentuhan baru kepada lagu Bunyi Gitar setelah Sheila Majid memberikan sentuhan R&B ke dalam lagu ciptaan Seniman Agung Negara, P. Ramlee itu. Saya tidak sabar untuk menonton persembahannya Sabtu ini. Berilah apa-apa lagu kepada Vince, dan beliau akan memberikan sentuhan sendiri untuk lagu tersebut. Itu kelebihan Vince dan sepatutnya diikut oleh Nana sewaktu membawakan lagu Halaman Cinta. Nana perlu membawanya dengan gaya tersendiri dan tidak terlalu terikat dengan gaya penyanyi asal lagu tersebut. Adalah satu kelebihan apabila Nana tidak pernah mendengar lagu tersebut kerana ini memberikan beliau kebebasan untuk membawakan lagu tersebut.
Alat Senaman khas untuk Sahri
Akademi telah menerima alat senaman sejak seminggu yang lalu. Alat senaman tersebut telah ditaja oleh satu syarikat pengedar alat senaman. Pelajar boleh memanafaatkan penggunaan alat senaman tersebut untuk meningkatkan stamina pelajar.
Anita Sarawak
Diva antarabangsa pujaan ramai ini datang mengejutkan pelajar ke Akademi Fantasia. Azizi kelihatan agak tergamam dan begitu gembira kerana Anita Sarawak merupakan penyanyi yang menjadi kesukaannya. Anita Sarawak menghadiahkan sebiji buah epal merah untuk semua pelajar kecuali Azizi. Beliau kelihatan agak kecewa tetapi berjaya dikawal dengan baik apabila keseronokan dapat bertemu mata dengan Anita Sarawak lebih utama. Anita seperti biasa yang petah berkata-kata memberikan nasihat-nasihat yang amat berguna untuk mereka. Yang berada di hadapan mereka ialah ANITA SARAWAK, bukan Siti Nurhaliza, bukan Rosyam Noor, bukan Jalaluddin Hassan. Tetapi ANITA SARAWAK, diva bertaraf antarabangsa. Apa-apa yang dilakukan sebagai penghibur, kena bermula dari bawah dan itu tidak mudah. Apa yang akan mereka tempuhi kelak lebih mencabar dan dari ke sehari cabaran akan bertambah dan semakin sukar. Gunakan peluang percuma yang diperoleh di sini dengan baik. “You got it or you ain’t got it.” Beliau turut menekankan bahawa ekspresi amat penting dalam membawakan satu-satu lagu. Ini merupakan nasihat yang amat berguna untuk semua pelajar terutamanya Liza, Azizi, Rosma dan Nana. Apa lagi yang pelajar-pelajar ini inginkan, semuanya sudah ada di hadapan mata. Gunakanlah peluang yang ada dengan sebaiknya.
Anita Sarawak dan Azizi
Berlinangan air mata Azizi apabila dapat mencuri sedikit masa untuk bersama dengan idolanya. Beliau bersungguh-sungguh menceritakan kegembiraannya apabila dapat bertemu mata dengan Anita. Walaupun agak kecewa kerana tidak mendapat epal yang dihadiahkan oleh Anita, namun atas dasar mendahulukan yang muda beliau tidak menyimpan rasa kecewa tersebut. Inilah sifat yang harus dipuji. Beliau tidak mementingkan diri sendiri dan tidak pula cuba untuk mencuri perhatian walaupun minatnya kepada Anita Sarawak bukan main-main. Saya sendiri hampir tersentuh terutamanya apabila Anita Sarawak menasihatkan beliau agar tidak merasa rendah diri dengan kekurangan diri yang ada sebaliknya terus berasa yakin dengan kebolehan yang ada. Tidak mutahil kekurangan diri yang ada pada muka Azizi itulah yang akan menaikkan namanya ke puncak. Jangan ada sedikit pun rasa kurang keyakinan dengan kekurangan diri itu. Sekali lagi yang memberikan nasihat itu ialah Anita Sarawak. Itu yang lebih utama. Azizi menerima dua biji epal hijau hadiah dari Anita Sarawak tanda Azizi seorang yang berbeza dari yang lain. Beliau memang berbeza dari yang lain kerana sifat mendahulukan yang muda di dalam Akademi.
0 komen