Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 19 October 2003

Separuh Akhir Balada Juara Lagu 18

Keputusan agak mengejutkan banyak pihak, tetapi harus diterima dengan hati yang terbuka. Selagi lagi menyaksikan Siti Sarah yang membawakan lagu Kesetiaan ciptaan Ajai tersingkir ke Anugerah Juara Lagu 18. Lagu tersebut yang juga finalis untuk Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik ternyata tidak berjaya menawan hati panel juri.

Halaman Cinta (Misha Omar/Adnan Abu Hassan/Mohariz)
Nyanyian Misha Omar bermula dengan kegementaran yang tidak dapat disembunyikan. Namun demikian mutu vokalnya agak baik di pertengahan lagu tersebut, walaupun adakalanya nada rendah tidak kedengaran dengan jelas. Melodi lagu ini agak baik dan lebih merupakan sebuah lagu balada yang biasa.

Selamanya Tak Kan Berakhir (Ashira/Adnan Abu Hassan/Nur Khaliza)
Ashira tidak berjaya menyanyikan lagu ini dengan baik. Keserasian vokal beliau dengan melodi kedengaran tidak kena.

Juara LaguKeabadian Cinta (Anuar Zain/Azlan Abu Hassan/Azalea)
Keabadian Cinta merupakan sebuah lagu balada romantis yang menarik. Pendengar akan dibawa mendengar lagu tersebut dan terbuai dari note pertama hingga ke note terakhir. Lirik lagu tersebut juga indah. Penghayatan vokal oleh Anuar Zain juga agak cemerlang. Beliau membawakan lagu tersebut dengan bersahaja. Kawalan vokal beliau bijak dipelbagaikan sesuai dengan melodi lagu tersebut.

Kau Tak Pernah Jauh (Nora/Ajai/Amran Omar)
Sebuah lagu yang indah. Permulaan yang baik dan susunan muzik yang agak baik. Vokal lemak Nora ternyata kekuatan utama lagu ini. Persembahan cemerlang Nora menguatkan kedudukan lagu ini. Lagu ini merupakan antara lagu terbaik untuk menjadi sandaran ke Juara Lagu 18. Lagu ini bermula dengan nada yang rendah dan kemudian ke nada yang amat tinggi. Trademark Nora. Mungkin kerana lagu sebegini sudah biasa dengan Nora, maka lagu ini tidak terpilih.

Juara LaguBunga Bunga Cinta (Misha Omar/Adnan Abu Hassan/Adnan Abu Hassan)
Bunga Bunga Cinta merupakan sebuah lagu balada yang baik. Permulaan lagunya berjaya dibawa ke korus dengan cemerlang. Kawalan vokal Misha Omar menjadi tunjang lagu ini. Sebuah lagu yang baik mempunyai melodi yang baik juga lirik yang baik. Walaupun persembahannya tidak sehebat sewaktu persembahan di Anugerah ERA 2003, namun nasib tetap menyebelahinya.

Ku Cinta Pada Mu (Hazami/Hazami/Hazami)
Sebuah lagu yang sesuai dinyanyikan oleh penyanyi wanita. Lagu dan liriknya terlalu melankolik. Sebuah lagu balada yang biasa. Vokal penyanyinya tidak banyak membantu lagu ini walaupun dikatakan mempunyai suara paling octavenya. Melodi lagu ini kedengaran biasa dan tidak banyak perubahan dari lagu-lagu terdahulu.

Kesetiaan (Siti Sarah/Ajai/Musrad)
Melodi lagu ini luar biasa. Jarang kita diperdengarkan dengan lagu sebegini sebelum ini. Kehebatan penyanyinya juga amat membanggakan. Kekuatan lagu ini adalah pada melodi dan liriknya selain daripada vokal Siti Sarah. Lagu ini adalah finalis Lagu Terbaik AIM 10. Kawalan vokal beliau pada petang itu tidak dikawal dengan baik terutamanya pada perubahan nada rendah.

Masih (Flop Poppy/Andy/Andy)
Masih merupakan sebuah lagu yang baik. Melodinya enak didengar. Penggunaan instrumen yang minima memberi satu kelebihan kepada lagu ini. Susunan muzik untuk lagu ini juga baik. Tetapi vokal penyanyinya tidak dikawal dengan baik.

Juara LaguSinar (May/Mus/Mus)
Sinar merupakan sebuah lagu rock ballad yang kuat unsur rocknya. Lagu balada sebegini sudah agak ketinggalan zaman. Vokal nyaring dan tinggi penyanyinya berjaya dikawal dengan baik. Kekuatan lagu ini mungkin kerana liriknya dan penyanyinya.

Juara LaguSelagi Ada Cinta (Ning Baizura/Ajai/Nurul)
Selagi Ada Cinta merupakan sandara terbaik Ning Baizura untuk melangkah ke Juara Lagu 18. Melodi lagu ini bermula dengan nada rendah dan kemudian di bawa ke nada tinggi. Ning berjaya menyampaikan lagu ini dengan baik. Lirik lagu ini jugak amat baik selain daripada persembahan mantap dari Ning. Melodi lagu ini lebih bercorak moden dan susunan muziknya juga baik. Gabungan suami isteri ternyata berjaya menghasilkan sebuah lagu yang baik.

Persembahan selingan Fran dengan lagu Masih Merindu sebenarnya memberi tamparan hebat kepada semua penyanyi. Beliau dengan selamba berjaya menyanyikan lagu tersebut dengan cemerlang. Saya tidak pasti apakah persembahan beliau itu miming atau pun secara live. Yang pastinya persembahannya lebih hebat dari semua penyanyi pada petang itu.

Keputusan Separuh Akhir Balada Juara Lagu 18
Bunga Bunga Cinta (Misha Omar/Adnan Abu Hassan/Adnan Abu Hassan)
Keabadian Cinta (Anuar Zain/Azlan Abu Hassan/Azalea
Sinar (May/Mus/Mus)
Selagi Ada Cinta (Ning Baizura/Ajai/Nurul)

Persaingan sengit untuk kategori Balada memang dijangkakan. Persaingan terbuka kepada lagu Keabadian Cinta dan Selagi Ada Cinta yang disifatkan lebih kuat berbanding lagu-lagu yang lain. Cuma diharapkan tidak ada tangan-tangan hantu dari penaja yang cuba memanipulasi keputusan kelak.