Teater Orang Kota Baru
Arahan : Fauziah Nawi
Karya : S.Othman Kelantan
Saya berkesempatan untuk menonton hasil kerja aktivis teater tidak asing lagi di Malaysia iaitu Fauziah Nawi. Beliau yang lebih dikenali di layar filem dan skrin televisyen kali ini menampilkan satu kerja seni yang boleh dibanggakan. Siapa yang tidak mengingati filem Sayang Salmah lakonan beliau serta drama Pondok Buruk serta Rumah Di Tepi Sawah yang mampu mengusik perasaan.
Teater Orang Kota Baru yang dipentaskan di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur bermula 28 September hingga 5 Oktober 2003. Panggung Bandaraya Kuala Lumpur kini menjadi satu nama asing bagi peminat seni teater di Malaysia. Sebelum kebakaran yang memusnahkannya, Panggung Bandaraya merupakan antara dewan yang popular di kalangan aktivis teater untuk mementaskan karya mereka. Kini setelah selesai proses pengubahsuaian dan membaikpulih, Panggung Bandaraya dibuka semula kepada umum.
Persembahan pada malam kedua yang jatuh pada hari Isnin, khalayaknya boleh dikira dengan jari. Mungkin kerana faktor tempat yang tidak dikenali. Ini merupakan kali pertama saya datang ke Panggung Bandaraya Kuala Lumpur dan saya sendiri mengalami masalah mencari tempat letak kereta serta mengenal pasti lokasinya. Dikhabarkan persembahan pembukaan, dewan tersebut penuh. Dewan tersebut boleh memuatkan lebih kurang 250 penonton pada satu-satu masa.
Tatkala menantikan persembahan bermula, saya mengambil kesempatan untuk melihat pameran kecil yang ada di luar dewan. Meneliti senarai pelakon dan pemuzik, saya terlihat satu nama yang amat saya kenali. Tambah meyakinkan saya gambar beliau terpampang pada dinding pameran tersebut. Beliau merupakan salah seorang pemuzik untuk persembahan teater Muzikal Orang Kota Baru. Tidak mengejutkan kerana beliau memang meminati muzik sejak zaman persekolahan lagi. Rakan yang saya maksudkan merupakan rakan sewaktu sama-sama menjadi penghuni di sebuah sekolah berasrama. Di kira-kira hampir 14 tahun kami tidak bertemu. Kami sama-sama berembun didenda di quadrangle angkara tidak tidur setelah light-off kerana membuat bising menyanyi lagu Rozana sambil penyapu dijadikan gitar. Zaman rock kangkang siapa yang tidak minat sama kumpulan Search.
Mengadap Rebab
Secara lazim, sebuah persembahan akan bermula dengan Mengadap Rebab. Tradisi ini semakin dilupakan. Salah perhitungan, persembahan mengadap rebab akan memberi impak yang negatif kepada seluruh persembahan. Mengadap Rebab boleh menjadi satu permulaan yang membosankan jika tidak kena pada gaya dan jika kena pada gaya, ia akan menjadi sebuah permulaan yang positif untuk keseluruhan persembahan. Hasrat pengarah untuk meneruskan tradisi Mengadap Rebab wajar dipuji agar seni ini tidak lenyap di telan zaman. Cuma pendekatannya dan cara persembahan ini digunakan untuk memancing tumpuan penonton perlu diambil kira. Idea lawak antara Mak Yong dan Pak Yong perlu mencari idea-idea baru agar tidak nampak terlalu meniru persembahan-persembahan terdahulu. Oleh kerana saiz dewan yang tidak besar, setiap pelakon telah menggunakan suara asli mereka tanpa bantuan pembesar suara.
Secara keseluruhan saya mengkagumi teknik lontaran suara setiap pelakon. Mereka telah dididik untuk menjadi seorang pelakon teater yang sejati. Menjadi pelakon teater suara kena lantang. Kuat ! Suara dari perut. Itu yang membezakan pelakon filem dan pelakon teater selain dari bilangan take yang boleh diulang-ulang.
Mutu tatacahaya pementasan ini agak minima tetapi bersesuaian dengan konsep persembahan. Yang lebih mengkagumkan adalah gerak koreografi yang seimbang dan sama harmoni di antara setiap pelakon. Pergerakan stylistic yang unik sesuai dengan konsep muzikal yang di bawa. Lagu dikir barat dipersembahkan di kabaret.
Oleh kerana ruang pentas yang kecil, rekaan set perlu minimal. Perubahan set yang kelam-kabut di ruang yang sempit agak merimaskan. Jika boleh, bilangan pelakon yang berada di atas pentas jugak perlu dikurangkan agar ruang tidak nampak serabut dan mengurangkan halangan (blocking) yang sekaligus mengganggu tumpuan penonton. Props yang berada di atas pentas, perlu diberi nyawa. Jika tidak dipergunakan sebaiknya adalah lebih baik ia tidak menjadi bahan pameran di atas pentas.
Saya lebih menyukai adegan yang melibatkan kabaret. Cara persembahan adegan ini nampak asli dan tidak terikut-ikut dengan persembahan terdahulu. Kebolehan mereka menyanyi secara harmoni amat cemerlang. Lagu nyanyian mereka terdiri daripada pelbagai rentak yang telah dipelbagaikan variasinya. Kekuatan lakonan dan nyanyian mereka saya kira mampu meletakkan tugas pelakon utama di bahu mereka. Sebuah persembahan muzikal ini amat sukar untuk dinilai siapakah pelakon utama persembahan. Watak mereka dibahagikan sama rata. Pada pandangan saya, sembilan penari kabaret telah memberikan sebuah mutu lakonan yang hebat ditambah dengan kebolehan mereka menyanyi dengan baik.
Teater Muzikal Orang Kota Baru bakal menjadi sebuah persembahan yang baik sekiranya nama watak dapat diperjelaskan dengan terperinci di awal persembahan agar penonton berjaya menangkap setiap mesej yang ingin disampaikan. Kumpulan teater sebegini perlukan sokongan yang padu dari orang-orang teater tetapi di mana mereka ? Khalayak teater Malaysia yang sudah sememangnya kecil janganlah ada sikap terlalu memilih. Mereka hanya mahu menonton persembahan yang gah dari segi nama di Istana Budaya tetapi tidak mahu menonton sebuah persembahan yang berbajet kecil sebegini. Apakah kurangnya promosi boleh menggagalkan persembahan ini. Jika tidak percaya, anda boleh mencuba membuat “searching” di Enjin carian Utusan Malaysia nescaya hanya 2 hits yang akan anda temui. Kalau bukan kita yang menyokong, siapa lagi ?
Selesai menonton, saya bertemu dengan rakan yang terlibat dengan pementasan tersebut. Masing-masing mengenali diri masing-masing. Sambil berdiri, kami berbual panjang. Cerita 14 tahun sudah semestinya terlalu panjang untuk dibualkan. Kami bertukar alamat perhubungan agar satu hari nanti jika ada reunion ingin saja saya pergi bertemu rakan-rakan yang lain. Khabarnya sekarang sudah ada yang menjadi doktor, jurutera aeronautikal, ahli perniagaan dan pemuzik macam rakan yang saya temui malam itu.
0 komen