Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 29 November 2003

Salam Raya Akademi Fantasia

Salam Raya AFFenomena Akademi Fantasia yang melanda negara memungkinkan ASTRO berusaha menerbitkan sebuah album raya yang dinyanyikan oleh artis Akademi Fantasia. Usaha murni ini bagus untuk memperdengarkan lagu-lagu raya kepada generasi-generasi baru. Lagu yang terdapat dalam cakera padat antara lain ialah:

Di Pagi Raya - Artis Akademi Fantasia
Suatu Hari di Hari Raya - Vince
Dari Jauh Ku Pohon Maaf - Azizi
Aidilfitri - Rosma
Selamat Hari Raya - Khai
Selamat Hari Raya - Liza & Nana
Dendang Perantau - Sahri
Cahaya Aidilfitri - Adi & Burn
Suasana Hari Raya - Azza & Atie
Seloka Hari Raya - Azizi & Liza
Bersama Berhari Raya - Nija
Selamat Hari Raya - Nana, Azza, Atie, Liza, Rosma & Nija

Lagu Di Pagi Raya oleh Artis Akademi Fantasia
Lagu Di Pagi Raya merupakan sebuah lagu gubahan baru yang dinyanyikan oleh semua pelajar Akademi Fantasia. Pengaruh Timur Tengah diselitkan dalam lagu berirama Malaysia ini. Melodi lagu ini agak catchy dan memudahkan pendengar untuk menghafal lagu ini. Lenggok Siti Nurhaliza cuba diadaptasikan untuk baris nyanyian Rosma, sama seperti lagu Nazam Lebaran dan Sesuci Lebaran. Seperti yang sudah dijangka, vokal Rosma hampir menguasai lagu ini dan vokal beliau nyata lebih menyerlah walaupun pembahagian baris lirik dibahagikan sama rata dengan pelajar-pelajar yang lain. Keunikan vokal setiap pelajar berjaya diadun menjadi sebuah lagu yang indah. Secara keseluruhan kelebihan lagu ini dinyanyikan oleh pelbagai bangsa sekaligus telah menaiktarafkan sebuah lagu raya dari yang tipikal kepada satu pembaharuan.

Satu Hari di Hari Raya oleh Vince
lirik

Lagu nyanyian asal M.Nasir ini telah dibawakan oleh Vince dengan gayanya sendiri. Seperti biasa Vince akan meng”R&B”kan setiap lagu yang dibawa oleh beliau. M.Nasir mencipta lagu ini lebih 15 tahun yang lalu. Lagu ini pada saya merupakan sebuah lagu soul yang memerlukannya disampaikan dengan jiwa. Benar kata Uji Rashid sewaktu Syafinaz mendendangkan lagunya, setiap lagu ada cerita di sebalik lirik lagu tersebut. Ada yang ingin disampaikan. Adakalanya penyanyi yang memberi jiwa baru kepada lagu tersebut tidak dapat menghayati mesej lagu tersebut dan mengapa ia ditulis. Satu percubaan yang baik.

Dari Jauh Ku Pohon Maaf oleh Azizi
lirik

Lagu ini pernah disampaikan oleh idola Azizi iaitu Allahyarham Sudirman Hj Arshad. Azizi memang sinonim dengan lagu-lagu yang menyentuh perasaan seperti lagu ini. Lagu ini disampaikan dengan bersahaja oleh beliau. Dialog yang diselitkan di bridge lagu ini sedikit mencacatkan lagu ini walaupun ia dibuat sebagai kelainan pada lagu ini.

Aidilfitri oleh Rosma

Aidil Fitri – Sanisah Huri

Kini tiba masanya berhari raya
Muslimin dan muslimat sembahyang bersama
Menyembahkan diri pada yang kuasa
Bermaaf dan maafan di antara kita

Sesudah bersembahyang di pagi hari
Menziarah pusara kaum keluarga
Bunga ditabur doa pun dibaca
Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat

Selamat hari raya hari mulia
Dari hati ke hati kutujukan kata
Untuk ayah bonda dan juga keluarga
Putera puteri negara di sempadan sana

Allah Allah Allahu Akbar (2x)

Kepada suaminya yang dikasihi
Maaf zahir dan batin mohon si isteri
Kalau salah terkasar bahasaku
Ampun dan maaf kekanda yang dinda harapkan

Kepada kekasihku yang baik budi
Bimbingan dan panduan selalu diberi
Kalau kusalah silap kau maafkan
Mudah-mudahan kita akan berkekalan

Allah Allah Allahu Akbar (2x)

Permulaan lagu ini dibuat secara solo oleh Rosma. Vokal Rosma tidak perlu dipertikaikan walaupun ada unsur-unsur klon Siti Nurhaliza dalam lagu Nirmala. Rosma dicipta atas kekuatan vokal beliau yang jelas bunyi Siti Nurhalizanya. Lagu sebegini memang sesuai dengan vokalnya. Tidak banyak perbezaan dalam gubahan baru lagu ini, masih mengekalkan melodi yang lama.

Selamat Hari Raya oleh Khai
lirik

Nyanyian asal Ahmad Jais ini amat bersesuaian dengan vokal Khai. Ada unsure-unsur alternatif pada lagu ini yang diberi sentuhan baru. Zaman lagu ini dicipta mungkin pada zaman irama pop yeh yeh. Oleh itu temponya yang agak rancak disesuaikan dengan range vokal Khai yang lebih sesuai mendendangkan lagu sebegini. Vokal Khai boleh saya sifatkan agak unik dan jarang ada di pasaran muzik Malaysia. “Cut through” seperti kata Ramli MS.

Selamat Hari Raya oleh Liza & Nana
lirik

Beberapa kali saya mengulang main lagu ini untuk cuba menerima irama barunya. Vokal Nana dan Liza sudah jauh berbeza dari kala mereka berada di Akademi. Ini merupakan kebenaran yang perlu kita terima. Jika diberikan komposer yang sesuai mereka boleh pergi jauh selain mereka mempunyai pakej yang boleh diterima pendengar. Gubahan baru lagu ini pada mulanya agak sukar untuk diterima tetapi inilah antara kelainan yang cuba ditampilkan oleh album ini. Saya dapat melihat bagaimana wajah kedua orang tua saya yang berkerut apabila mendengar gubahan baru lagu ini seperti waktu kali pertama mereka mendengar Anuar Zain mendendangkan lagu Jeritan Batinku yang diberi sentuhan R&B. Dua penyanyi ini telah diberikan satu niche untuk mudah mereka menembusi pasaran kelak.

Dendang Perantau oleh Sahri

Dendang Perantau – P.Ramlee

Di hari raya
Terkenang daku kepada si dia
Kampungku indah nun jauh di sana
Ayah serta bondaku

Di tepian mandi
Danauku hijau yang aman damai selalu
Nun di sanalah tempat aku bertemu
Aku dan dia

( korus )
Apakan daya
Masa tak akan kembali
Hancur musnahlah semuanya

Impian yang murni
Tinggal menjadi kenang-kenanganku
Hanya rangkaian kata dan lagu
Dendang perantau

( ulang korus hingga akhir )

Ini lagu P.Ramlee. Saya kira Sahri berjaya mendendangkan lagu ini mengikut acuannya sendiri. Lenggok vokal suara divariasikan mengikut kesesuaian. Namun demikian, saya masih mengkagumi lagu asal yang saya sifatkan jauh lebih baik. Percubaan memberi nafas baru lagu Dendang Perantau wajar dipuji kerana penerimaan pendengar tentunya agak sukar kerana lebih terikat dengan gubahan asal Tan Sri P.Ramlee.

Cahaya Aidilfitri oleh Adi & Burn
lirik

Keserasian vokal Burn dan Adi menjadi kekuatan lagu ini. Adi amat sesuai mendendangkan lagu-lagu bermotif sedih dan suaranya boleh membuatkan pendengar menangis. Tentu kita masih ingat apa yang berlaku sewaktu Kemuncak Konsert Akademi Fantasia beberapa bulan yang lalu. Tidak banyak perubahan dibuat kepada gubahan lagu ini. Masih mengekalkan yang lama. Vokal Burn nyata lebih baik berbanding dahulu.

Suasana Hari Raya oleh Atie & Azza
lirik

Secara jujur, Azza dan Atie tidak boleh menyanyi. Mereka digandingkan bersama untuk menyeimbangkan kekurangan masing-masing. Vokal mereka tiada keserasian.

Seloka Hari Raya oleh Azizi & Liza
lirik

Lagu ini merupakan antara lagu terbaik yang ada di dalam album ini. Ada keserasian pada vokal Azizi dan Liza. Lagu ini mengingatkan saya kepada penyanyi asal lagu ini iaitu Hail Amir dan Uji Rashid. Suara Azizi yang lembut nyata kena dengan Liza. Gubahan baru lagu ini tidak banyak bezanya dengan lagu asal.

Bersama BerHari Raya oleh Nija

Selamat Berhari Raya – Rahimah Rahim

Selamat berhari raya
Ucapan ku untuk semua
Kita mengeratkan semula
Hubungan saudara
Yang terpisah

Yang jauh berkirim salam
Yang dekat berkunjung-kunjungan
Maaf dipinta dan diberi
Semoga ikatan berkekalan abadi

( korus )
Dalam kita bergembira
Pasti ada yang berduka
Enak menjamu selera
Jangan lupa yang tiada

Selamat berhari raya
Walau di mana kau berada
Suka-duka silih berganti
Apa pun dugaan
Tabahlah menghadapi

( ulang dari mula hingga akhir )

Tajuk lagu ini pada kulit album tertera Bersama Berhari Raya. Saya cuba untuk mencari lirik lagu tersebut tetapi tiada lagu yang bertajuk sedemikian. Beberapa minit kemudian saya terjumpa tajuk sebenar lagu ini iaitu Selamat Berhari Raya dendangan asal Rahimah Rahim. Kesilapan ini sewajarnya tidak patut berlaku lebih-lebih lagi melibatkan tajuk lagu serta hak milik penciptaan lagu tersebut. Nija mendendangkan lagu ini dengan caranya sendiri. Lagu rancak ini didendangkan dengan penuh bertenaga dari Nija walaupun scale vokal beliau dan range melodi lagu ini sedikit tidak sama. Seperti ada yang tidak kena dengan lagu ini.

Selamat Hari Raya oleh Nana, Azza, Atie, Liza, Rosma & Nija

Selamat Hari Raya - Saloma

( 1 )
Selamat aidil fitri
Kepada saudara serta saudari
Setahun hanya sekali
Merayakan hari yang mulia ini

( 2 )
Di masa bulan Ramdan
Kita berpuasa hingga sebulan
Pabila Syawal menjelma
Hari raya disambut dengan gembira

( korus )
Miskin kaya memakai baju baru warna-warni
Mengunjungi sanak-saudara kaum famili
Sungguh hebat pemandangan di hari raya ini
Tua muda wajah berseri-seri

Marilah bergembira
Bersama menikmati hari raya
Mintak mak kuih sepotong
Saya mahu makan kerna perut kosong

( ulang 1 & 2 )

Maafkanlah jika ada terlanjur perkataan
Diharap supaya jangan disimpan
Kuberdoa selamat panjang umur murah rezeki
Semoga Tuhan akan memberkati

Selamat hari raya
Hari untuk kita bersuka ria
Selamat kami ucapkan
Untuk kita hingga sampai tahun depan

Selamat hari raya

Lagu ini didendangkan dengan penuh meriah oleh pelajar perempuan Akademi Fantasia. Lagu asal nyanyian Biduanita Negara berjaya disampaikan oleh mereka dengan baik. Sketsa yang ditampilkan memberikan kelainan kepada lagu ini. Paling menarik tentunya pesanan Azza "Jangan main mercun,tau!"

Saya paling menggemari lagu Cahaya Aidil Fitri oleh Burn dan Adi serta Lagu Di Pagi Raya oleh Artis Akademi Fantasia. Tetapi sedikit terkilan kerana tidak semua pelajar diberikan peluang untuk mendendangkan sebuah lagu seorang. Hanya Khai, Vince, Nija, Rosma, Sahri dan Azizi sahaja berpeluang untuk menyanyi secara solo. Adalah lebih baik sekiranya semua pelajar diberi peluang yang sama dan album ini dijual dalam dua (2) cakera padat. Album satu menampilkan 12 lagu secara solo dan album dua menampilkan 10 lagu-lagu secara duet atau pun beramai-ramai. Koleksi lagu raya yang ada di Malaysia juga agak banyak. Album tersebut boleh dijual pada harga yang minimum seperti Album Konsert Akademi Fantasia yang ada di pasaran sekarang.

Lagu seperti Suasana Di Hari Raya (Anuar & Elina), Bila Takbir Bergema (Rafeah Buang), Suara Takbir (P.Ramlee), Lenggang Mak Limah, Kepulangan Yang Dinanti (Aman Shah), Halaman Asmara (Ziana Zain & Awie), Balik Kampung (Sudirman) sekadar menyebut beberapa lagu boleh dijadikan sandaran untuk album raya tahun hadapan. Tentunya lagu Musafir Di Aidil Fitri nyanyian asal S.Jibeng dikhaskan untuk Adifashla.

Musafir Di Aidil Fitri – S.Jibeng

Gema takbir di subuh hari
Menjelang sudah aidil fitri
Tapi hamba musafir diri
Ke sana sini membawa diri

Ayah ibu lamalah pergi
Pergi menyahut seruan Illahi
Tinggal hamba seorang diri
Tiada siapa ingin hampiri

( korus )
Oh Tuhan Yang Maha Kaya
Hamba menangis di pagi raya
Aidil fitri hari bahgia
Tapi hamba dilanda derita

Pusara ayah dan juga ibu
Di pagi bahgia hamba kunjungi
Dengarlah ini ratapan anakmu
Hamba musafir di aidil fitri

Rating : 2.5/5 bintang

Kredit Foto : Elle Yus Emira

Ulasan akan datang : Rumah Terbuka Akademi Fantasia, album Simbiosis oleh Ella, album Mimpi Pun Sama oleh Siti Sarah, drama Rebah Di Pintu Neraka di TV3, Tinggallah Kasih Tinggallah Sayang di ASTRO Ria dan telemovie Ampunkan Dosaku.