SEMAN oleh MANSOR PUTEH dan GEDEBE oleh NAM RON:
REALITI YANG TERANG DAN JELAS TETAPI MENJADI GELAP DAN KELABU
oleh HASSAN MUTHALIB
penulis boleh dihubungi melalui email hasanimasi@yahoo.com
PENDAHULUAN
Petikan dari kertas kerja DR ANUAR NOR ARAI, bertajuk: Mansor Puteh: SEMAN, Sebuah Filem Peribadi (Dewan Bahasa, 19 Oktober 2002), saya fikir wajar dan ada kaitan bagi membincangkan filem SEMAN dan GEDEBE. Kata Dr Anuar: Kebenaran memang kejam dan menghiris bila yang gelap dan kelabu menjadi nyata, tambahan pula jika semua realiti terang dan jelas……
Kita meletakkan yang menyentuh hidup kita di barisan depan order yang disusun dan cuba memahaminya dalam waktu yang sudah teranjak
Mansor dan Nam Ron cuba mencari dan memahami kebenaran. Jika keadaan gelap dan kelabu, sudah tentu menjadi sukar untuk difaham. Bagaimana pula jika ianya berlaku dalam keadaan yang terang dan jelas?
Sememangnya menjadi kejam dan menghiris.
Apa lagi jika ianya dialami oleh orang muda yang mempunyai ilmu dan idealisme serta semangat yang berkobar-kobar untuk meneroka dunia yang menghulurkan pelbagai janji. Mungkin inilah perasaan Mansor dan Nam Ron yang cuba memahami realiti di zaman mereka yang amat membingungkan.
PENDEKATAN SEMAN DAN GEDEBE
SEMAN menggunakan pendekatan counter cinema dan post-modern yang biasanya diguna dalam pembikinan filem eksperimental dan avant-garde.
Naratifnya anti-plot tetapi imej-imejnya dialektik. Struktur dan tekstur diperlihatkan dilayar. Ruang dan masa jarang mempunyai kesinambungan dan seringkali disjointed. Watak-watak menjadi subjek dan bukan objek, sekaligus pendekatan ini menjadikannya anti-Hollywood.
GEDEBE sebuah filem pseudo –counter cinema. Walaupun pendekatan tekniknya mirip pada SEMAN, pendekatan yang diambil adalah sesuai dengan subjeknya. SEMAN dan GEDEBE tidak cuba untuk mengajak penonton bersimpati dengan watak-watak dan milieu mereka.(seperti filem genre yang menggunakan teknik identification atau empathy). Mereka menggunakan pendekatan distanciation. Distanciation merupakan satu strategi untuk membuatkan penonton berasa terasing dari apa yang ditonton. Dengan pendekatan ini, penonton akan lebih objektif dan kritikal, sekaligus berfikir tentang nawaitu pembikin filem.
Watak SEMAN dilahirkan begitu individualistik. Kelakuannya bizarre. Milieunya: …..taman kecil, kebun getah, tepi longkang besar, Bandar kecil, pondok telefon, ruang bermain teater, seluruhnya adalah a pile of memory yang crude, unrefined…..(Anuar Nor Arai). Punk dan skinhead sememangnya mempunyai reputasi buruk. Kelakuan mereka dalam GEDEBE sangat menjijikkan – memukul orang, kencing dikhalayak, hisap ganja dan sebagainya. Milieu mereka: Terowong, bilik yang berselerak, kawasan di bawah tanah dan jejambat yang kotor dan terasing Perasaan jijik dan terasing ini diutarakan oleh Mansor dan Nam Ron agar penonton dapat memikirkan tentang apa yang sebenarnya dibicarakan mereka. Inilah pendekatan distanciation.
Kedua-dua filem ini menggunakan pendekatan fotografi secara langsung (direct photography), fast editing, jump cut dan unmatched shots. Di segi perwatakan - watak-watak dua-dimensi yang kabur, dan kelakuan yang agak sukar untuk difaham – semuanya satu strategi untuk mengajak penonton mengambil satu pendirian yang kritikal dan objektif, agar melihat keadaan masyarakat sekeliling sebagaimana ianya ideologically and institutionally constructed.
SEMAN adalah filem tempatan yang pertama yang menggunakan pendekatan counter-cinema. Watak Seman menulis biografinya, tetapi dalam bahasa Melayu lama. Naratifnya bergerak tanpa sempadan masa dan ruang. Yang berada dalam ingatan putus-putus dan fragmented……waktu tidak dituntut dengan waktu kalendar. Waktu dituntut dengan emosi dan intelek (Anuar Nor Arai). Pada tahun 1988, Dr Anuar telah menyatakan bahawa SEMAN adalah sebuah filem yang 15 tahun ke hadapan. Selepas 18 tahun, isu yang dibawa dalam SEMAN masih relevan. Mansor berkongsi realiti hidupnya yang tidak pernah terkongsi sebelum ini kecuali dengan watak-watak yang bermain dalam ceritanya (Anuar Nor Arai).
Berbeza dengan SEMAN, GEDEBE sebuah straight narrative yang meng-isahkan laporan Brutus kepada Ketua Polis dan bagaimana ia dihasut oleh Cassius untuk membunuh Caesar. Melalui flashback dan parallel editing, kita melihat sebuah kisah tentang betrayal, honour & personal glory. It is political satire at its pernicious best (Johan Jaafar: NST, 23 Ogos 2003).
SEMAN menggunakan fotografi secara langsung (direct photography), pada keseluruhannya. GEDEBE juga menggunakan direct photography hampir keseluruhannya. Pada dasarnya ia merupakan counter-cinema tetapi sebenarnya pseudo-counter cinema. Budget yang rendah telah menentukan teknik produksi sebegini. Namun, teknik fotografi hand-held tanpa penataan cahaya dan disjunctive editing sesuai dengan subjek dan naratifnya.
GEDEBE SEBAGAI ADAPTASI DARI SHAKESPEARE
GEDEBE merupakan filem tempatan yang pertama yang bersandarkan cerita Julius Caesar, karya Shakespeare. Nam Ron memilih dua kumpulan samseng yang bertelagah - punk dan skinhead. Mungkin Nam Ron mendapat inspirasi dari 2 filem Hollywood yang mengadaptasi karya Shakespeare ke filem: West Side Story (Robert Wise – 1961), yang diadaptasi dari cerita Romeo & Juliet, dan William Shakespeare’s Romeo & Juliet (Baz Lehrman – 1996). Kedua-dua filem ini menggunakan watak kumpulan samseng yang bertelagah sesama sendiri.
Dalam West Side Story, terdapat satu kumpulan bernama Jets (kumpulan samseng kulit putih). Kumpulan yang satu lagi ialah Sharks (kumpulan samseng berasal dari Puerto Rico). Filem Baz Lehrman pula menggunakan punk (kumpulan samseng kulit putih) dan samseng yang berasal dari Puerto Rico. Pendekatannya: gaya MTV di segi penggunaan suntingan, sinematografi dan musik - penuh dengan aksi ganas yang memperlihatkan urban apocalypse. Kedua-dua filem ini, dan GEDEBE, memaparkan watak orang-orang muda di zaman pasca-moden dan bagaimana tindakan mereka akhirnya membawa kepada kehancuran.
Kata Dr Anuar: Memahami zaman membesar bukan perkara remeh…..Dunia yang sarat yang berlonggok dalam akal dan fikiran…..itu perlu dibuka luas supaya senak, sesak, sempot, yang terselaput begitu lama, dapat dibuka bendungnya……dengan berkata: Ada benda aku nak kata.
Apakah yang ingin dikata oleh Mansor dan Nam Ron?
Dari apa yang dilakukan oleh Mansor, kita merasakan pemberontakan kecil dalam dirinya yang jauh tenggelam dalam siksa fizikal dan batinnya bahawa penipuan dan pembohongan yang terlalu bebas dan meluas dalam kehidupan biasa manusia sudah tidak terbendung lagi, dan Mansor membendungnya dengan sungguh-sungguh dalam Seman. Mansor sangat jijik pada hipokrasi (Anuar Nor Arai).
DHOJEE (penerbit GEDEBE), telah menjelaskan bahawa GEDEBE sebenarnya tentang keresahan Nam Ron terhadap beberapa peristiwa besar yang berlaku di Malaysia. Namun, sehingga hari ini, tiada siapa pun tahu apa yang sebenarnya telah berlaku, dan siapa yang sebenarnya yang bertanggungjawab. Semuanya gelap dan kelabu.
PENUTUP
Jika dibentuk satu soalan untuk gambarkan dilema yang dihadapi oleh pemuda seperti Mansor dan Nam Ron, mungkin ianya akan berbunyi begini: My essential nature seems inextricably bound up with processes and forces that I am forced to be part of. How can I have significance and purpose when I am thrown into situations over which I have no say or control?
Keresahan mereka ini dapat dilihat dalam beberapa adegan. Antaranya: Watak Seman dimarahi majikannya - bukan di bilik pejabat tetapi di dalam tandas. Betapa rendahnya dipandang Seman dan idea-ideanya. Dalam GEDEBE, kamera video merakam Cassius dan Brutus di dalam tandas. Diperlihatkan rakaman itu dalam bentuk hitam putih, sekaligus mengatakan Big Brother yang berkuasa itu adalah inhuman. Ramalan George Orwell dalam karyanya, 1984, sudah menjadi kenyataan.
Ya, kata Cassius. Merdeka. Bebas – tapi jadi kuli. Yang berkuasa, yang menentukan segala-galanya adalah Big Brother. Siapa sebenarnya hipokrit? Siapa sebenarnya pembohong? Siapa sebenarnya samseng? Realiti yang terang dan jelas telah menjadi gelap dan kelabu. Inilah realiti hidup dalam SEMAN dan GEDEBE. Bilakah ianya akan berakhir? Inilah benda yang dikata oleh Mansor Puteh dan Nam Ron. Di akhir filem SEMAN, kita dengar monolog Seman: Aku…. seorang pejuang bangsa, tak tahu khianat kepada negara….yang punya ugama, keluarga dan budaya. Kau baru tiba, nak rampas harta pusaka yang disemai oleh titisan darah ibunda….
Kata Seman lagi: Ini suratan. Takdir menentukan. Mansor serah kepada takdir. Ia menerima nasibnya. Bukan mengalah, tetapi konfiden. Ia memahami apa yang berlaku. Sejarah akan tetap berulang. Masa akan menentukannya.
Cassius dalam GEDEBE tidak mahu menerima takdir. Katanya: Inilah takdir, inilah nasib. Ia memberontak - dan akhirnya menerima padah. Nam Ron berbeza daripada Mansor. Namun mereka berdua adalah pemuda di bumi yang bertuah. Seman, Cassius, Brutus dan Caesar telah menerima suratan. Apakah nasib Mansor dan Nam Ron – dan ramai lagi pemuda yang bakal melangkah dan berjalan di atas bumi bertuah ini? Masa – dan Big Brother – akan menentukan.
HASSAN MUTHALIB adalah seorang pengarah/penulis filem yang telah menghasilkan filem public service, dokumentari dan animasi. Beliau terkenal sebagai seorang animator dan telah hasilkan beberapa filem animasi seperti siri Sang Kancil dan filem animasi pertama Malaysia, Silat Legenda. Selepas bersara atas pilihan daripada Filem Negara, beliau menjadi seorang pengarah filem bebas, penulis dan pensyarah sambilan dalam bidang filem dan animasi. Artikel beliau mengenai sinema Malaysia dimuatkan dalam buku Being and Becoming: The Cinemas of Asia (MacMillan India, 2002).
Kertas kerja ini dibentangkan pada sesi apresiasi filem SEMAN, GEDEBE dan CHOICE, anjuran Forum Filem Kuala Lumpur dan Dewan Bahasa pada 28 September 2003
Laman Utama
Laman Utama Gedebe
Ulasan
Nizam Zakaria
Tontonfilem
Trailer
download Trailer
Kredit Foto : pustakacipta.com
0 komen