Anugerah Juara Lagu 18
laman web Anugerah Juara Lagu 18
Seperti biasa setiap kali pertandingan yang melibatkan penonton, pengurusannya masih seperti dahulu. Mereka tidak pernah belajar cara menguruskan penonton dengan baik. Ini pertama kali Juara Lagu diadakan di sebuah lokai yang agak besar berbanding Dewan Merdeka PWTC. Banyak aspek yang perlu diambil kira, terutamanya aspek keselamatan penonton.
Persembahan pembukaan menggunakan konsep ala-ala Matrix amat memukau. Aksi akrobatik penari benar-benar berada di tahap paling maksimum. Lebih berani jika didirikan satu dinding replika agar penari dapat meniru aksi The Matrix dengan lebih baik. Ia boleh dianggap sebagai satu permulaan yang baik oleh TV3. Segmen pengenalan peserta yang bertanding diperkuatkan dengan nyanyian pengenalan oleh Dayang Nurfaizah dan Adibah Noor. Kehebatan vokal mereka nyata memukau. Variasi vokal mereka ternyata berjaya dipergunakan sepenuhnya. Itulah yang dinamakan penyanyi serba-boleh.
Rekaan pentas yang menggunakan simbolik gitar, keyboard serta gong menjadi backdrop utama. Rekaannya nampak simple tetapi ada makna tersendiri. Unsur spektakular pada malam itu diperkuatkan lagi dengan teknik lampu yang cemerlang dan sistematik.
Gandingan duo pengacara bermulut kecoh, Aznil Hj Nawawi dan Sarimah benar-benar menggamatkan suasana. Keserasian mereka benar-benar mencuit perasaan. Khabarnya mereka antara calon untuk pengacara Akademi Fantasia musim kedua. Walaupun isu jantina sengaja digembar-gemburkan tetapi masih memadai.
Aku Statik - OAG
Persembahan OAG melalui lagu Aku Statik ada kualiti tersendiri. Namun Radhi gagal mengimbangi vokal beliau dengan baik. Persembahannya nampak tenggelam. Satu yang menarik ialah imej berpakaiannya yang ada ciri-ciri seorang budak sekolah. Nampak cute di pentas. Tiga penari cilik memberikan sedikit elemen keselarian mesej melalui lagu yang disampaikan. Imej gila-gila Radhi saya kira berjaya menarik perhatian penonton.
Selagi Ada…Cinta - Ning Baizura
Persembahan vokal Ning Baizura merupakan permulaan yang baik untuk malam tersebut. Gimik persembahan beliau terlalu mengganggu. Mesej yang ingin disampaikan melalui persembahan lakonan itu tidak berjaya sampai kepada penonton kerana penonton lebih ingin mendengar kehalusan vokal beliau.
Wassini - Waheeda
Menyaksikan persembahan Waheeda memperlihatkan seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan persembahannya. Gimik yang ingin ditonjolkan biarlah kena dengan mesej lagu tersebut. Seingat saya makna Wassini ialah nasihatilah aku. Oleh itu apa kena mengena api dengan mesej lagu tersebut. Api lebih membawa mesej sesuatu yang garang. Penari-penari yang mengiringi Waheeda ibarat aksi akrobatik sarkis. Kombinasi pakaian beliau juga dan penari-penarinya tidak serasi. Nampak terlalu kusam. Konsep world music yang diketengahkan menjadi sebuah tarian ala-ala YMCA.
Hi Hi Bye Bye - Ezlynn
Empat plasma TV yang ditegakkan di atas pentas sudah cukup menggambarkan bagaimana mewahnya syarikat rakaman Ezlynn untuk memastikan persembahan Ezlynn berjaya. Pergerakan tariannya yang cemerlang serta dibantu oleh penari pengiring berjaya dimanafaatkan sebaiknya. Ada chemistry antara Ezlynn dan penari-penarinya. Beliau bijak menguasai pentas dan pergerakannya teratur. Showmanship beliau amat baik.
Keabadian Cinta – Anuar Zain
Anuar Zain hanya memerlukan kecemerlangan vokal beliau untuk mempersembahkan sebuah persembahan yang hebat. Beliau bijak mengawal penonton dengan kawalan vokalnya yang mana beliau tahu bila climax dan bila pause untuk membuatkan penonton tertunggu-tunggu. Pakaian serba putih ala-ala dewa dari kayangan serta teknik lampu yang baik mencantikkan lagi persembahan itu. Beliau menerima tepukan paling gemuruh. Beliau dengan berani tanpa mempertaruhkan sebarang gimik penari latar untuk mengiringi persembahannya. Walaupun berdiri tegak seorang di atas pentas, aset utama beliau telah dipergunakan semaksima yang mungkin untuk mengumpan hati dan telinga pendengar. Cuma sayang anugerah Persembahan Vokal Terbaik hanya ada satu.
Salsabila - Yasin
Persembahan Yassin juga tidak kurang hebatnya. Beliau hanya dibantu oleh beberapa pemuzik iringan untuk memantapkan lagi persembahan beliau. Kawalan vokal beliau juga semakin baik. Tetapi masih belum cukup untuk membuatkan penonton terpesona.
Ku Milikmu - Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza menggabungkan konsep rap, hip-hop, breakdance, tap dance serta gospel choir untuk persembahannya. Satu kelainan yang amat mengkagumkan. Susunan lagu yang diubah mengikut kesesuaian sedikit sebanyak telah memberi sedikit kelonggaran kepada Siti Nurhaliza untuk mempelbagaikan corak persembahannya. Siti Nurhaliza juga semakin berani menampilkan corak pakaian yang bukan menjadi identitinya selama ini. Keberaniannya dipuji. Keberanian beliau melakukan tap dance wajar dipuji walaupun adakalanya step nampak kelam-kabut dan tidak teratur. Beliau harus memikirkan semula hasratnya untuk tidak bertanding dalam Juara Lagu di masa akan datang kerana sedikit sebanyak kemeriahan Juara Lagu akan berkurangan tanpa beliau.
Bunga Bunga Cinta - Misha Omar
Superb !! Tiada kata selain superb !! yang boleh diluahkan selepas menonton persembahan Misha Omar. Keyakinan beliau berada di tahap yang paling tinggi semalam. Beliau bijak mengawal vokal beliau serta pergerakannya. Pergerakan stylish yang nampak begitu sexy dan cheeky berjaya mengumpan perhatian penonton. Beliau menyanyi dengan penuh kejujuran dan penuh perasaan. Satu yang amat sukar untuk dilakukan. Ia datang dengan sendiri. Berdiri keseorangan di atas pentas, tumpuan mata penonton terus terpaku menyaksikan beliau menggunakan sepenuh tenaga apabila mencapai bahagian korus. Secara tidak langsung beliau telah mencipta satu identiti tersendiri. Interaksi beliau dengan kamera membuktikan bahawa Misha yang kita tonton malam itu sudah jauh lebih berkeyakinan dan bukan Misha yang dahulu. Lirikan mata dan kening (ala-ala Ziana Zain) merupakan aksi spontan hasil menyanyi dengan penuh kejujuran. Kelemahan yang agak ketara pada Misha Omar ialah teknik pernafasannya. Beliau perlu mempelajari teknik pernafasan yang betul dari Anuar Zain dan sahabat baiknya, Siti Nurhaliza untuk mencantikkan serta melancarkan lagi persembahannya di masa akan datang.
Tandang Bermadah - Noraniza Idris
Saya harus tabik kepada beliau kerana tidak lokek untuk mengeluarkan belanja lebih untuk memberikan sebuah persembahan yang baik. Beliau tidak segan silu menggunakan konsep Citrawarna Malaysia setiap kali dalam persembahannya agar imej Malaysia dapat dipertontonkan kepada masyarakat. Kedudukan beliau yang tinggi juga membuktikan beliau sanggup bergadai nyawa untuk memartabatkan seni etnik kreatif Malaysia di tahap yang paling tinggi. Walaupun konsep persembahan masih tidak berubah sewajarnya pujian diberikan kepada beliau kerana berjaya memartabatkan seni di tempatnya. Adakalanya adrenalin penonton seperti saya yang gayat apabila berada di tempat tinggi naik mendadak apabila risau satu-satu kejadian tidak diingini berlaku kepada beliau. Persembahan beliau membuktikan bahawa muzik Malaysia boleh divariasikan.
Percayakan Siti - Exists
Penggunaan muzik dari band sedikit sebanyak merosakkan persembahan Exists. Muzik dari band dan vokal penyanyi agak tidak seimbang. Vokal Ezad kedengaran tenggelam timbul. Lagu ini ada unsur-unsur pop yeh yeh dan tarian ala-ala 60an dipersembahkan dengan baik. Sayangnya klimaks malam itu telah pun disudahi dengan persembahan Misha Omar menjadikan persembahan selepas itu menjadi satu yang tidak perlu.
Sinar - May
Vokal Mus berada di tahap yang terbaik. Saya harus puji vokal beliau. Tetapi sayangnya showmanship beliau tidak berjaya dipelbagaikan dengan sebaiknya. Adakah sebagai sebuah band rock, hanya showmanship yang menunjukkan penyanyi berlari kepada pemain gitar dan membuat aksi goreng sahaja yang boleh difikirkan oleh mereka ? Aksi sebegitu saya pernah lihat dilakukan oleh Seach zaman mereka popular dengan lagu Isabella.
Hasrat Perindu - Mas Idayu
Unsur seksualisme terlalu kuat pada persembahan ini. Selain daripada protes politik, Mas Idayu membuat aksi ala-ala nasi kangkang di awal persembahannya. Aksi ini pasti mengundang seribu persoalan di dalam Pancaindera atau Bintang Popular keluaran minggu hadapan. Protes politik dapat dilihat melalui warna pakaian Mas Idayu sendiri serta penari-penari latarnya yang menggunakan war hijau dan putih ala-ala bendera PAS. Tarikan seksual persembahan ini terlalu kuat. Gelek 360 darjah beliau menjadi tumpuan utama persembahannya. Sudah pasti ! Pusingan akrobatik 360 darjah juga ada makna tersendiri. Penari-penari yang mengusung beliau juga bertubuh gempal. Masih ingat VCD-VCD terlampau ? Semuanya gempal bukan ?
Interlude
Persembahan interlude merupakan persembahan singkat yang kesannya tidak berapa sampai kepada penonton. Joget Hazami dan Siti Sarah agak baik melalui lagu Joget Kenangan Manis. Kemudian kita lihat Muix, Nerves dan Bandi berR&B dengan lagu Tiada Lagi Cinta. Kedengaran agak kasar tetapi masih memadai. Rap solo oleh Nerves agak baik. Adibah Noor dan Dayang Nurfaizah kemudian menyanyikan sebuah lagu ghazal. Berikan apa saja lagu, mereka pasti mempersembahkan yang terbaik. Saya tabik mereka. Ella muncul dengan dua lagu dangdut bertajuk Rindu dan Selamat Jalan Romeo. Ella masih ingin cuba bergelek walaupun kelihatan agak keras. Rockerslah katakan. Ella menyampaikan lagu tersebut dengan penuh bersahaja.
Keputusan
Persembahan Vokal Terbaik
Misha Omar – Bunga Bunga Cinta
Saya amat berpuas hati dengan keputusan ini. Beliau amat layak untuk memenangi anugerah ini. Beliau bernasib baik kerana anugerah ini diadili 100% oleh juri profesional.
Persembahan Terbaik
Siti Nurhaliza – Ku Milikmu
Saya tetapp merasakan Misha Omar wajar memenangi anugerah ini. Persembahan Misha Omar jauh lebih hebat. Undian SMS memberikan sedikit kelebihan kepada Siti Nurhaliza lalu mampu mencelah untuk menggondol anugerah ini. Kasihan Siti, menang salah, kalah salah. Harap tahun depan Siti akan terus bertanding dalam Juara Lagu.
Pop Rock
Hi Hi Bye Bye – Ezlynn
Pencipta: KRU
Lirik: KRU
Balada
Bunga Bunga Cinta – Misha Omar
Pencipta: Adnan Abu Hassan
Lirik: Adnan Abu Hassan
Irama Malaysia & Etnik Kreatif
Wassini – Waheeda
Pencipta: Yasin
Lirik: Yasin
Ranking Persembahan Terbaik sultanmuzaffar
1. Misha Omar
2. Anuar Zain
3. Siti Nurhaliza
4. Ning Baizura
5. Hi Hi Bye Bye
6. Noraniza Idris
7. Salsabila
8. May
9. OAG
10. Mas Idayu
11. Exists
12. Waheeda
Ulasan-ulasan lain Anugerah Juara Lagu 18:-
Nizam Zakaria
Reedzuan.com
Kisah Seorang Ibu Tunggal
0 komen