Pra Anugerah Juara Lagu TV3
laman web Anugerah Juara Lagu 18
Pada 28 Disember 2003 ini bertempat di Stadium Putra Bukit Jalil akan berlangsung sekali Anugerah Juara Lagu TV3. Anugerah Juara Lagu merupakan satu anugerah industri muzik yang berprestij dan telah matang dalam meniti usia ke 18 tahun. Satu yang harus dibanggakan. Persaingan sengit dan peluang terbuka luas untuk penyanyi seperti Ning Baizura, Noraniza Idris, Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Yasin, Exists, OAG, May, Mas Idayu, Misha Omar dan Ezlynn. Pertandingan tersebut juga menyaksikan komposer-komposer baru dan lama bertarung untuk merebut Anugerah Juara Lagu seperti Naza, Ajai, KRU, G-Nola, Zuraini, Adnan Abu Hassan, Noraniza Idris, Narawi CD, Yasin, Azlan Abu Hassan dan Mus.
Antara anugerah yang dipertandingkan ialah Persembahan Terbaik dan Persembahan Vokal Terbaik. Lebih menarik, buat julung-julung kalinya Persembahan Terbaik akan dinilai oleh penonton melalui undian secara SMS.
Kategori Pop Rock
Aku Statik (OAG)
Ku Milikmu (Siti Nurhaliza)
Percayakan Siti (Exists)
Hi Hi Bye Bye (Ezlynn)
Persaingan agak sengit bagi kategori ini. Seperti tahun-tahun sebelumnya, Siti Nurhaliza sering mendominasi kategori ini. Begitu juga tahun ini. Kekuatan unsur pop-rock pada lagu ku Milikmu serta adunan muzik moden pada lagu tersebut amat baik. Vokal Siti Nurhaliza turut memberi impak yang besar terhadap lagu tersebut. Lagu Percayakan Siti bakal memberikan saingat sengit terhadap lagu Ku Milikmu. Tuah nama Siti pada lagu tersebut juga mampu memberikan elemen kejutan di malam Anugerah Juara Lagu 18. Lagu Hi Hi Bye Bye menampilkan sedikit kelainan dari kebiasaan. Lagu ini amat catchy melodinya serta mudah diterima telinga. Liriknya selamba. Silap haribulan lagu ini mampu mencelah dan muncul menjuarai kategori ini. Begitu juga dengan lagu Aku Statik nyanyian OAG. Saya suka dengan kelainan yang ditampilkan oleh lagu ini tetapi melihatkan persembahan OAG masih banyak yang perlu diperbaiki untuk memantapkan lagu ini.
Ramalan : Ku Milikmu
Underdog : Percayakan Siti
Kategori Irama Malaysia & Etnik Kreatif
Tandang Bermadah (Noraniza Idris)
Wassini (Waheeda)
Salsabila (Yasin)
Hasrat Perindu (Mas Idayu)
Kategori ini menyaksikan pertarungan sesama sendiri untuk Yasin. Kekuatan lagu ciptaan Yasin agak sukar digugat oleh mana-mana lagu. Oleh yang demikian saya meramalkan Wassini nyanyian Waheeda mampu membuat kejutan. Cuma diharapkan agar persembahan Waheeda dapat diperbaiki agar kegugupan beliau di atas pentas dapat ditutup dengan persembahan nyanyian yang cemerlang. Karisma beliau sebagai penyanyi lagu tersebut sudah beliau miliki. Lagu Hasrat Perindu hanya sekadar memenuhi kuota. Tandang Bermadah bakal menyaksikan pemenang Persembahan Terbaik tiga tahun berturut-turut menerbangkan seangkatan penari dari Kampung Budaya Sarawak ke Bukit Jalil.
Ramalan : Wassini
Underdog : Salsabila
Kategori Balada
Selagi Ada…Cinta (Ning Baizura)
Keabadian Cinta (Anuar Zain)
Bunga Bunga Cinta (Misha Omar)
Sinar (May)
Persaingan terbuka untuk lagu Selagi Ada…Cinta, Keabadian Cinta dan Bunga Bunga Cinta. Kekuatan tiga lagu ini sukar digugat oleh Sinar. Apabila mendengar ketiga-tiga lagu tersebut, saya lebih mengkagumi lagu Keabadian Cinta nyanyian Anuar Zain. Kekuatan lagu ini terletak kepada melodinya yang indah dan liriknya yang mudah tetapi penuh ungkapan bermakna. Kekuatan vokal Anuar Zain memberikan impak yang amat besar terhadap lagu tersebut. Lagu Selagi Ada…Cinta yang dihasilkan oleh pasangan suami isteri iaitu Ajai dan Nurul juga indah tetapi terlalu mendatar. Berbeza dengan lagu Keabadian Cinta dan Bunga Bunga Cinta bila mana tempo lagu tersebut dikawal dengan baik dan klimaksnya dibina dengan berkesan. Improvisasi vokal oleh Anuar Zain dan Misha Omar untuk baris-baris terakhir lagu tersebut sememangnya ditunggu-tunggu oleh penonton. Saya meletakkan harapan yang besar untuk lagu Keabadian Cinta untuk kategori ini.
Ramalan : Keabadian Cinta
Underdog : Bunga Bunga Cinta
Persembahan Terbaik, persaingannya terbuka luas. Saya tidak mampu meramal kerana ia perlu dinilai berdasarkan persembahan malam tersebut. Meneliti resume Anugerah Juala Lagu yang terdahulu, tentunya nama seperti Noraniza Idris sering menjadi sebutan untuk menampilkan sebuah persembahan ala Citrawarna kelak. Setiap tahun, penonton sudah pasti ingin melihat gimik yang ditampilkan oleh beliau. Sebenarnya kreativiti sesebuah persembahan tidak harus dikekang oleh kategori sesebuah lagu tersebut. Oleh yang demikian, hanya lagu dari kategori Irama Malaysia sahajakah yang mampu untuk menggondol anugerah Persembahan Terbaik ? Setakat tahun lepas, persembahan kategori Pop Rock nampaknya masih terikat dan tidak nampak kreativiti penyanyi. Sekadar memberi contoh, Michael Jackson lebih sering menyanyikan lagu berentak pop-rock tetapi masih mampu untuk beraksi cemerlang di atas pentas dengan bantuan seangkatan penari-penarinya. Sewajarnya ilham ini diikuti oleh penyanyi Kategori Pop Rock. Undian SMS oleh penonton diambilkira sebanyak 50%. Oleh yang demikian sesiapa sahaja mampu untuk memenanginya. 50% adalah di tangan peminat oleh yang demikian peminat wajar melakukan sesuatu untuk memastikan artis kesayangan mereka memenangi anugerah tersebut. Beberapa SMS Party sempena Juara Lagu 18 juga telah dilancarkan oleh sekumpulan peminat untuk melihat artis kesayangan mereka menang anugerah tersebut.
Persembahan Vokal Terbaik menyaksikan persaingan sengit antara Anuar Zain, Siti Nurhaliza, Ning Baizura dan Misha Omar. Semuanya bergantung di malam persembahan. Kesilapan sedikit mampu merosakkan peluang untuk menggondol anugerah yang pernah dimenangi oleh Liza Hanim tahun lepas.
Video Wassini Adibah Noor
Menonton video persembahan selingan Adibah Noor, Dayang Nurfaizah dan Fairuz Hussein saya sudah dapat merasakan kehangatan Anugerah Juara Lagu 18. Silap haribulan anugerah Persembahan Vokal Terbaik dimenangi oleh Adibah Noor. Adibah sewajarnya mengimbangi sedikit persembahannya agar penyanyi asal lagu tersebut tidak dimalukan di malam persembahan.
Berdasarkan ramalan dari ketiga-tiga kategori, saya meletakkan harapan yang besar buat lagu Azlan Abu Hassan bertajuk Keabadian Cinta nyanyian Anuar Zain. Jika persembahan Waheeda dapat diperhebatkan lagi di malam pertandingan, ia mampu membuat kejutan.
Kepada penonton yang berminat untuk menyaksikan Anugerah Juara Lagu 18 secara langsung di Stadium Putra Bukit Jalil, bolehlah membeli tiket secara online di Ticket Charge sebelum terlambat. Penuhkan Stadium Putra, kalau tidak malu TV3 kalau stadium tak penuh. Tiket Kemuncak Konsert Akademi Fantasia, orang berebut-rebut dan sampai bergaduh kerana sekeping tiket ! :)
Nota: Hari-hari sakit kembali semula bermula semalam 23 Disember 2003. Setelah 18 bulan, hasilnya amat baik. Saya sudah boleh kembali tersenyum walaupun tawar. :)
0 komen