Imbasan Akademi Fantasia 03-01 oleh sultanmuzaffar
Tetamu : Azza
Saya pernah beberapa kali bertemu beliau. Mudah mesra. Gemar bergurau dan agak manja. Itu persepsi pertama saya tentang beliau. Minggu ini beliau akan berhadapan dengan Aznil menjawab segala pertanyaan tentang pengalamannya di Akademi Fantasia. Pengalaman selama 2 minggu (yang dirakamkan dan disiarkan) di Akademi Fantasia tentulah tidak banyak untuk dikongsi bersama. Penampilan beliau di rancangan ini agak cantik dan ini akan dapat kita lihat sepanjang empat hari tayangan memandangkan Liza iaitu pelajar pertama yang ditemuramah kelihatan tidak menukar pakaiannya dan makeup sepanjang rancangan tersebut.
Gaya komunikasi Azza agak manja dan keanak-anakan. Manja selalunya melibatkan perwatakan dan bukannya suara. Suara hanya pelengkap kepada sifat manja. Lenggok kepalanya mengingatkan saya tentang gaya Ella cuma rambut Azza lebih pendek. Anak bongsu dari empat adik-beradik ini berasal dari Kuala Lumpur.
Apabila terpilih untuk menyertai Akademi Fantasia, inilah kali pertama beliau terpisah dengan keluarganya. Agak sedih dan adakalanya rindu juga dan teringat suasana di rumah. Jika terpilih masuh Program Khidmat Negara sudah tentu beliau akan sentiasa teringat pada rumah dan ingin cepat pulang.
Dengan ketinggian 5 kaki 6 inci, Azza amat bersesuaian untuk menjadi model. Beliau pernah menjadi model untuk majalah. Di antara model, pelakon, penyanyi dan pengacara, yang manakah pilihan Azza. Azza menjawab “Mana-mana pun boleh. Semua boleh !” Satu semangat yang baik dan positif. Cuma bila melakukan sesuatu pekerjaan itu bukanlah hanya asal boleh sahaja. Lakukan sehabis baik.
Seksi
Sewaktu menyanyikan lagu Memori Azza kelihatan seksi. Katanya imej itu perlu dilakukan atas tunjuk ajar Cikgu Linda Jasmine.
Beberapa pelajar pada minggu pertama telah lupa lirik lagu. Azza, Burn dan Liza merupakan antara pelajar yang terlupa lirik lagu. Apakah yang dilakukan apabila tidak mengingati lirik lagu. Mudah sahaja. Main bantai saja lirik yang ada. Ini merupakan konsert yang pertama dan tidak pernah mengetahui akan ada konsert pada penghujung setiap minggu. Oleh yang demikian, perasaan gemuruh itu tetap ada. Ini juga merupakan kali pertama Azza menyanyi di atas pentas di hadapan orang ramai.
Apabila mendengar nama Liza diumumkan tersingkir apakah perasaan Azza ketika itu ? Azza sangat sedih kerana Liza merupakan antara yang rapat dengan beliau. Setelah diumumkan Liza diserap semula ke Akademi tentulah beliau merasa sangat gembira. Keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan merupakan keputusan yang dibuat pada saat-saat akhir dan bukannya dirancang oleh Aznil sendiri.
Sewaktu masa lapang, Azza gemar bermain game. Pada minggu-minggu awal Play Station masih ada di ruang tamu Akademi. Itu sahaja permainan yang boleh dibuat memandangkan para pelajar tidak boleh keluar. Pada satu ketika di minggu-minggu awal, mereka dibenarkan untuk keluar. Tidaklah jauh hanya sekadar bermain di luar rumah. Azza ingatkan dapat tengok wayang.
Di Konsert I tidak ramai kawan yang datang walaupun Azza berasal dari Kuala Lumpur kerana Azza tidak dapat menghubungi mereka kerana segala jenis perhubungan terputus sewaktu beliau berada di Akademi.
Azza pada keseluruhannya merupakan seorang yang manja tetapi tidak terlalu pemalu. Oleh yang demikian beliau senang untuk berkomunikasi dengan baik mengikut caranya yang tersendiri. Jawapan darinya agak selamba dan cuba diselitkan unsur-unsur jenaka. Beliau tidak terlalu serius dan terlalu berhati-hati apabila menjawab soalan. Di masa akan datang diharapkan beliau lebih berhati-hati apabila menjawap soalan. Tersilap kata, para wartawan tepuk tangan.
Teknikal
Kesan cahaya pada set Imbasan Akademi Fantasia agak gelap. Sesekali, Aznil tidak berada di dalam cahaya yang terang. Mungkin juga kesan daripada backdrop serta lampu dari mentol-mentol di belakang.
Teknik suntingan yang kelam-kabut merosakkan rancangan ini. Penonton baru khususnya sukar untuk mendapatkan apakah motif utama rancangan ini disiarkan. Ini berbeza dengan penonton fanatik yang pernah menyaksikan rancangan ini di ASTRO Ria. Mereka sudah memahami jalan cerita rancangan tersebut, sudah mengenali watak-watak yang ada dan sudah mengetahui penghujungnya. Tanpa teknik suntingan yang baik, penonton baru akan hilang tumpuan dan minat mereka untuk menonton akan hilang.
Adakah rancangan Imbasan Akademi Fantasia di NTV7 hanya sekadar untuk mengekalkan hype dan ingatan penonton terhadap kesan Akademi Fantasia dan pada waktu yang sama memberi kesan positif kepada Akademi Fantasia musim kedua ?
0 komen