Konsert Putera Puteri
Istana Budaya
21 Februari 2004
Konsert Putera Puteri atau "A Tribute to Past Composers" merupakan satu usaha Istana Budaya bagi mengimbas kembali jasa komposer-komposer gemilang dalam dunia seni muzik yang telah pun meninggal dunia. Penghargaan dan penghormatan kepada tokoh-tokoh tersohor ini adalah antara program Istana Budaya 2004 yang akan dilaksanakan pada 20-22 Februari 2004.
Nostalgia kenangan lagu-lagu lama yang akan didendangkan kelak akan mengenengahkan komposer-komposer silam seperti Jimmy Boyle, Tan Sri P.Ramlee, Pak Lomak, Yusof B., Ahmad Jaafar, Osman Ahmad, Zubir Said, Saiful Bahri, Achmad C.B dan Abu Kassim.
Demi menobatkan hasil klasik mereka di persada seni tanah air, beberapa orang penggubah semasa seperti Ruslan Mohd Imam, Danny Francisco, Leonard Yeap Lin Soon, Raymond Kong, Ayub Ibrahim, Ahmad Muriz Che Rose dan Tan Chong Yew (piano skor) telah dipilih oleh Istana Budaya bagi menyusun kembali lagu-lagu terpilih untuk didendangkan oleh para penyanyi pilihan.
Gubahan ini akan dinyanyikan oleh artis jemputan seperti Dayang Nurfaizah, Adibah Noor, Roy, Najib Hanif, dan turut menyertai persembahan ini juga terdiri daripada artis-artis Istana Budaya iaitu Jack Zul, Norehan Saif, Halim Mat Husin (solo violin) dan pemuzik undangan dari Unit Persembahan Kebudayaan Petronas iaitu Ahmad Muriz (soprano saxaphone). Sepanjang persembahan ini, akan diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer Nawi.
Konsert Putera Puteri yang akan diadakan kelak bukan sahaja bakal mengundang peminat lagu-lagu lama, malahan ia juga turut mengundang peminat lagu-lagu terkini hadir ke konsert tersebut.
Peluang untuk menonton Konsert Putera Puteri memang tidak akan saya lepaskan. Saya cuba untuk mendekati lagu-lagu sebegini. Benar, lagu-lagu ini agak asing pada saya. Pada zaman tersebut, nama Tan Sri P. Ramlee sahaja yang saya kenal. Walaupun nama-nama besar inilah yang telah mencipta lagu Tanah Pusaka, Warisan, Keselamatan Jalan Raya, sekadar menyebut beberapa lagu. Saya agak berpuas-hati dapat menonton Konsert ini saya sifatkan kena pada masanya.
Aspek teknikal terutamanya tatacahaya memainkan peranan yang penting dalam menghidupkan satu-satu persembahan. Tatacahaya bukan hanya sekadar untuk memberi terang kepada sesuatu yang gelap. Tatacahaya yang dihidupkan perlu memberi makna. Komposisi cahaya di pentas hanya sekadar memberi terang pada sesuatu yang gelap, tetapi tanpa makna.
Namun demikian, saya agak kagum dengan rekaan pentasnya kali ini. Nota muzik menjadi asas hiasan di atas pentas. Dengan latarbelakang warna putih umpama sehelai kertas mampu menyerlahkan pemain di atas pentas. Seni tampak dan seni ukiran menjadi asas seni yang menarik dan telah dipersembahkan dengan cemerlang oleh pereka set.
REPERTOIRE
Putera-Puteri - Ahmad Muriz (Solo Soprano)
Ciptaan : Jimmy Boyle
Gubahan : Ruslan Mohd Imam
Tiupan solo saxophone menjadi elemen utama pada lagu ini. Walaupun lagu ini bermula dengan baik tetapi kesannya belum cukup untuk penonton menanti sehingga penghujung Konsert. Lagu ini dimainkan secara instrumental dan saya agak kecewa kerana tidak dinyanyikan oleh mana-mana penyanyi pada malam tersebut.
Kweek Mambo - Najib Haniff
Ciptaan : Tan Sri P.Ramlee
Gubahan : Ruslan Mohd Imam
Lagu rancak ini didendangkan dengan biasa oleh Najib Haniff. Setelah dua lagu didendangkan, konsert ini masih belum mendapat rentaknya.
Jauh-Jauh - Adibah Noor
Ciptaan : Jimmy Boyle
Gubahan : Ruslan Mohd Imam
Sebuah lagu yang digubah dengan baik oleh Ruslan Mohd Imam. Lagu ini didendangkan dengan penuh perasaan oleh Adibah Noor. Bercerita tentang kerinduan, lagu ini agak mendayu-dayu dan perlahan. Perasaan saya turut terbuai ketika beliau mendendangkan lagu ini dengan baik sekali.
Seri Mersing – Roy
Ciptaan : Pak Lomak
Gubahan : Ruslan Mohd Imam
Seringkali kita mendengar Roy mendendangkan lagu-lagu patriotik tanahair. Nama Roy dan lagu patriotik sekaan tidak boleh dipisahkan. Lagu Bersatu Selamanya dan Sejahtera Malaysia merupakan dendangan beliau. Namun beliau tetap hebat mendendangkan lagu Seri Mersing yang dipopularkan dari filem dengan tajuk yang sama.
Pahlawanku - Dayang Nurfaizah
Ciptaan : Yusof B
Gubahan : Ruslan Mohd Imam
Lagu untuk perajurit tanahair ini dinyanyikan dengan baik oleh Dayang Nurfaizah.
Ibu - Jack Dzul
Ciptaan : Ahmad Jaafar
Gubahan : Danny Francisco
Baru hari ini saya tahu yang lagu ini bukan dicipta oleh Tan Sri P.Ramlee. Mati-mati saya ingat lagu ini lagu beliau. Setidak-tidaknya dengan adanya apresiasi ini generasi baru mendapat maklumat baru tentang senario muzik zaman tersebut. Generasi baru perlu didedahkan dengan ilmu-ilmu ini kerana di tangan merekalah lagu-lagu ini akan terus subur di masa akan datang.
Malamku Bermimpi - Najib Hanif & Dayang Nurfaizah
Ciptaan : Osman Ahmad
Gubahan : Raymond Kong
Saya terpukau dengan solo violin yang bunyinya seakan-akan lagu tema dari filem Schindler’s List. Kombinasi vokal Dayang Nurfaizah dan Najib Hanif sesuai dengan lagu ini.
Sungai Pahang - Instrumental
Ciptaan : Jimmy Boyle
Gubahan : Leonard Yeap Lin Soon
Saya agak redah, pertama kerana lagu ini saya tidak pernah dengar. Kedua agak sukar saya menghubungkaitkan lagu ini dengan diri saya sendiri. Saya bukan orang Pahang. Oleh yang demikian saya tidak dapat membayangkan Sungai Pahang itu sendiri. Kata orang, sungainya lebar. Lagu instrumental ini tentunya cuba membawa pendengar mengimbau keindahan dan ketenangan Sungai Pahang. Kenapa tiada lagu Sungai Klang ? Saya cuba membayangkan lagu Sungai Klang digubah kepada beberapa movement dan pelbagai versi.
Perigi Biru - Norehan Saif
Ciptaan : Zubir Said
Gubahan : Leonard Yeap Lin Soon
Lagu ini dipetik dari filem Bawang Puteh Bawang Merah. Bercerita tentang anak malang yang ibunya menjadi ikan kaloi. Dari lirik tersebut baru saya terperasan dan mengakui lagu tersebut dari filem itu. Tetapi sayangnya lagu ini didendangkan oleh penyanyi lelaki. Saya merasakan lebih sesuai sekiranya lagu ini dinyanyikan oleh seorang penyanyi wanita.
Seri Dewi Malam - Dayang Nurfaizah
Ciptaan : Osman Ahmad
Gubahan : Danny Francisco
Lagu ini merupakan nyanyian asal Normadiah. Dari satu generasi ke satu generasi, lagu ini bertukar tangan dan pelbagai variasi ia digubah. Gubahan malam itu agak menarik. Saya kagum dengan vokal beliau dan cara beliau menarik perhatian penonton.
Uda & Dara - Roy & Adibah Noor
Ciptaan : Tan Sri P.Ramlee
Gubahan : Ayub Ibrahim
Sebuah lagi lagu mendayu-dayu yang menjadi pilihan malam tersebut. Dua Raja dan Ratu Vokal ini mendendangkan lagu ini dengan cemerlang. Beberapa kali saya tonton Teater Muzikal Uda dan Dara, dan beberapa kali itulah saya sering terpukau dengan bagaimana lagu ini melalui proses transformasi pada setiap zaman. Berani saya katakan lagu ini akan terus menjadi evergreen tentang kisah cinta sepasang kekasih yang terhalang kerana darjat.
Senjakala - Adibah Noor
Ciptaan : Saiful Bahari
Gubahan : Ayub Ibrahim
Lagu ini juga terlalu asing pada saya dan jarang sekali kita dengar. Tetapi keindahan lagu ini apabila diklasikalkan tentunya membuktikan yang lagu ini sememangnya relevan pada bila-bila zaman.
REHAT
Lagu-lagu pada Segmen Kedua merupakan lagu-lagu yang agak asing pada telinga saya. Saya tidak dilahirkan pada zaman tersebut dan percubaan untuk menghargai lagu-lagu asing ini menjadi begitu sukar tetapi tidak mustahil. Seperti kata Mustaffa Fuzer Nawi, konduktor malam tersebut, jika karya-karya agung Chopin, Bach dan Beethoven boleh terus kekal dalam ingatan pendengar muzik klasikal sehingga kini, mengapa tidak muzik klasikal Melayu. Jika bukan bangsa Melayu yang memartabatkan muzik Melayu, siapa lagi ? Impian beliau terlalu besar dan ingin melihat lagu-lagu ini dimainkan oleh London Symphony Orchestra.
Senyum Tak Berbalas - Dayang Nurfaizah
Ciptaan : Yusof B
Gubahan : Danny Francisco
Sebuah lagu yang agak rancak dan telah berjaya didendangkan oleh Dayang dengan baik. Berdasarkan keseluruhan persembahan, saya masih merasakan yang vokal Dayang lebih menyerlah di antara semua penyanyi yang ada.
Chendering – Roy
Ciptaan : Jimmy Boyle
Gubahan : Ahmad Muriz
Cincin Belah Rotan - Halim Mat Hussin (Solo Violin)
Ciptaan : Achmad CB
Gubahan : Ruslan Mohd Imam
Lagu ini merupakan nyanyian asal Ahmad CD sendiri. Menurut Zetty, lagu ini menjadi kegemaran ramai di RIMA 93.9FM. Kebanyakan penonton terpukau dengan persembahan solo violin oleh Halim Mat Hussin. Gaya beliau umpama pemuzik jalanan di kota Paris dan beliau menggesek biola beliau dengan penuh bertenaga dan memukau tumpuan penonton.
Lenggang Mak Limah - Najib Haniff
Ciptaan : Abu Kassim
Gubahan : Ayub Ibrahim
Kali terakhir saya mendengar lagu ini adalah sewaktu Konsert Simfoni Ghazal Datuk Sharifah Aini. Najib Haniff membawakan lagu ini dengan baik.
Wanita & Teruna - Roy & Dayang Nurfaizah
Ciptaan : Yusof B
Gubahan : Ayub Ibrahim
Aduh Sayang - Fadzril Nidzam
Ciptaan : Tan Sri P.Ramlee
Gubahan : Leonard Yeap Lin Soon
Khabarnya Fadzril Nidzam merupakan penuntut di UiTM Shah Alam. Keunikan persembahan beliau tentunya vokal beliau yang mirip-mirip Tan Sri P.Ramlee. Lagu ini juga pernah didendangkan oleh Sheila Majid. Mungkin kerana terlalu terpengaruh dengan unsur jazz, saya lebih suka mendengar lagu ini dalam genre tersebut.
Joget Memikat - Najib Haniff & Adibah Noor
Ciptaan : Achmad CB
Gubahan : Leonard Yeap Lin Soon
Adibah Noor dan Najib Haniff bijak menguasai pentas dengan lagu joget ini. Adibah Noor nampak cute apabila menyanyikan lagu ini lebih-lebih lagi dengan gerak tarinya itu.
Bunyi Gitar – Roy
Ciptaan : Tan Sri P.Ramlee
Gubahan : Danny Francisco
Bunyi Gitar ! Terlalu banyak versi. Versi Sheila Majid, versi Vince ! Memandangkan pengaruh twist dan gitar rancak amat kuat dalam lagu ini, ia tidak sesuai menjadi satu masterpiece orchestra yang baik. Lagu Bunyi Gitar lebih sesuai dijazzkan. Persembahan Roy juga agak hambar sewaktu mendendangkan lagu ini.
Kasihnya Ibu - Najib Haniff
Ciptaan : Tan Sri P.Ramlee
Gubahan : Ahmad Muriz
Semakin ke penghujung Konsert, lagu-lagu melankolik menjadi pilihan penutup Konsert ini. Kasihnya Ibu dinyanyikan dengan penuh perasaan oleh Najib Haniff.
Dimanakan Ku Cari Ganti - Adibah Noor
Ciptaan : Tan Sri P.Ramlee
Gubahan : Ruslan Mohd Imam
Kalau ditanya kepada saya, lagu apakah yang sesuai menjadi penutup Konsert ini hanya ada dua lagu sahaja. Pertama Dimanakan Ku Cari Ganti dan kedua Getaran Jiwa. Saya kira Adibah Noor telah berjaya membawakan lagu ini dengan cemerlang. Lagu berhantu ini akan terus kekal menjadi evergreen dan trademark industri muzik Malaysia.
Persembahan ini masih belum mencerminkan ia satu produk Istana Budaya yang melaungkan seni pentas bertaraf dunia. Saya masih mengharapkan sesuatu yang lebih membanggakan dari Konsert ini. Setakat bulan Februari, berdasarkan Kalendar 2004 Istana Budaya masih belum membuktikan telah menghasilkan satu persembahan bertaraf dunia. Cuma saya agak gusar sekiranya persembahan bertaraf dunia itu diperolehi melalui pementasan Saturday Night Fever yang sememangnya telah dicop persembahan bertaraf dunia. Jika boleh, biarlah bersembahan itu hasil dari anak tempatan.
Untuk Foto sila ke Fotopages sultanmuzaffar
0 komen