Lorong Neraka
Arahan Ellie Suriati dan Adlin Aman Ramli
Seperti filem, ada filem ringan, ada filem berat. Begitu juga teater. Ada yang berat, ada yang ringan. Sejauh mana mesej yang ingin disampaikan oleh Pengarah sampai kepada penonton tetap berada di tangan penonton. Pengarah telah melakukan kerja pengarahannya dan penonton yang menilai sama ada kerjanya berjaya atau sebaliknya.
Tujuan satu-satu teater dipentaskan adalah untuk mendidik manusia. Wajar sekali frasa teater memanusiakan manusia seringkali diguna pakai untuk tujuan tersebut.
Persembahan teater dilihat sebagai satu medium penyampaian maklumat. Maklumat yang mendidik atau maklumat yang sekadar hiburan.
Penonton mungkin terhibur dengan gelak ketawa, aksi kartun pelakon dan penonton juga mungkin tertidur dengan gerak lakon yang membosankan pelakon.
Teater Lorong Neraka mengangkat kisah belakang lorong yang menjadi sarang najis dadah, pelacuran, penderaan seksual, jenayah rogol, kutu lepak, pondan dan segala kebusukan belakang lorong tersebut.
Tujuan ia dipentaskan adalah untuk menyedarkan golongan remaja tentang gejala-gejala busuk ini yang semakin menular dalam masyarakat. Sejauh mana penerimaan penonton dan tersedarnya penonton itu wajar dipersoalkan. Penonton yang hadir pada malam persembahan tersedarkah ? atau masih terlupa yang mereka gelakkan itu adalah penyakit bangsa sendiri. Ini yang menyedihkan.
Lorong Neraka sarat dengan cerita belakang lorong. Secebis pandangan dari sepasang kanak-kanak yang lahir dan membesar di belakang lorong tersebut. Apa yang mereka lihat, apa yang mereka lalui, apa yang mereka tempuh, apa yang mereka jalani sepanjang hari. Setiap hari, setiap malam. Itulah warna-warna yang mencorakkan hidup mereka. Aishah bersekolah, anak kepada sepasang suami isteri yang menjadi seakan ketua di kawasan tersebut. Hidup mereka disara dengan perniagaan rumah tumpangan untuk pasangan-pasangan haram menumpang barang sejam dua.
Kisah belakang lorong tidak sah tanpa pondan yang amat sinonim dengan reality belakang lorong. Prejudis masyarakat terhadap golongan ini sering dipandang rendah dan tempat mereka hanya di belakang lorong. Kemunculan mereka sekadar menjadi bahan gelak ketawa kepada penonton.
Penagih-penagih dadah yang berusaha mendapatkan bekalan serta jerung besar pengedaran dadah turut dipaparkan. Lebih menarik, wujudnya watak Ghani yang melacurkan isterinya untuk mendapatkan pendapatan. Fatimah, salah seorang anak “dara” pasangan peniaga belakang lorong, kakak kepada Aishah turut menjadi mangsa nafsu Ghani. Jalan penyelesaian paling mudah. Bunuh diri !
Arahan
Agak sukar untuk mengarah cerita sebegini yang memerlukan ramai pelakon di atas pentas pada satu-satu masa. Ada beberapa ketika nampak kelam-kabut walaupun untuk mewujudkan adegan dramatic. Matlamat asal teater ini dipentaskan sebenarnya tidak berjaya sampai kepada penonton. Penonton hanya didedahkan dengan masalah luaran sahaja, tidak jalan penyelesaian.
Lakonan
Lakonan Rosdeen Suboh agak mantap berbanding pelakon lain. Nabila yang muncul pertama kali di pentas teater nampak goyah. Beliau tidak tahu apa makna dialog yang beliau lontarkan. Sekadar melafaz dialog.
Penggunaan set bertingkat menyebabkan pada beberapa adegan tatacahaya tidak kena pada pelakon kerana kedudukan ruang lakon.
Pelakon kanak-kanak yang berlakon dalam teater ini juga telah memberikan lakonan yang agak terkawal. Mereka bijak melakonkan watak tersebut. Tidak berlebihan. Saya juga harus tabik dengan kebolehan mereka menghafal skrip.
Teknik
Saya suka dengan tatacahaya yang digunakan. Ada variasi dan mampu membuatkan saya tersedar tentang kemudahan tatacahaya yang ada di dewan tersebut agak baik. Adegan yang paling menarik bagi saya adalah adegan sewaktu Fatimah melalui titian. Ada dua kemungkinan yang ingin disampaikan melalui adegan ini. Satu tentang kepayahan hidup dan kedua mungkin tentang menyeberangi titian Siratul Mustakim.
Set bertingkat yang didirikan amat kukuh dan dipergunakan sepenuhnya.
Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan teater ini. Sekadar hiburan ringan. Tujuannya sungguh murni dan usahanya wajar kita sokong.
Bintang : 3 bintang
0 komen