Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 15 May 2004

Ulasan Teater Dia Yang Sepi
Pada 9 Mei yang baru lalu, Akar Gita Estetika telah selesai mementaskan sebuah teater bertajuk Dia Yang Sepi. Selama hampir sebulan, AGE menjalani latihan untuk mempersiapkan diri di Festival Teater Kuala Lumpur. Pendapat peribadi saya, teater ini ada kurangnya. Hasilnya tidak begitu memuaskan hati saya. Ada aspek yang bagus, ada aspek yang tidak menepati citarasa saya. Yang anda tonton adalah kerja yang dibikin dalam tempoh satu bulan.

Sinopsis
Di mana mana : Berlatarkan cara hidup "anti establishment". Dirinya SEPI dalam pilihan hidupnya. RUANG menjadi semakin luas sehingga tidak dapat menahan SUARA-SUARA isi benak dan nuraninya. WAKTU membawanya singgah dari stesyen ke stesyen mengimbas kumpulan-kumpulan pengalamannya. Realitinya tidak berganjak kemana-mana. SIANG dan MALAM, KEKASIH yang dijodohkan tidak bersatu di bawah lindungan LANGIT. Irama arus dan hala ANGIN mendendangkan SEPI ruang yang ada. Sedangkan DERITAnya itu masih bertapak di kotak rohaninya.

Arahan
Bercerita tentang karisma, beliaulah orangnya. Bercerita tentang kreativiti, beliau juga orangnya. Bercerita tentang pelik, beliau juga orangnya. Apa yang saya lihat, beliau seorang yang tahap kreativitinya di luar jangkaan. Dalam masa yang singkat, hasilnya seperti apa yang telah kita tonton. Suka tidak suka itu lumrah.

Banyak aspek pengarahan yang boleh diperbaiki jika beliau diberikan banyak masa. Hasilnya tidak berapa saya suka kerana kelemahan-kelemahan yang akan saya sebutkan. Selain kelemahan-kelemahan tersebut, saya masih kagum dengan kreativiti beliau. Olahan skrip dibuat dengan daya kreativiti yang hebat. Arahan lakonan beliau tidak menjadi seperti yang dikehendaki.

Skrip sebegini memang sukar tetapi kreativiti telah menyelamatkan skrip ini dari terus menjadi bosan. Potensi skrip ini untuk mengalami sebuah proses evolusi yang positif berada di tangan Pengarah ini.

Skrip
Beberapa kali saya membaca skrip ini. Tidak pernah selesai kerana saya akan melangkau muka surat. Sebuah naskhah yang berat dan bahasanya terlalu berbunga-bunga. Saya tonton sesi latihan. Sama juga, terlalu sarat dengan syarahan-syarahan panjang. Jika silap langkah, ia seperti khutbah Jumaat. Fikir saya, Pengarah perlu melakukan sesuatu kepada skrip ini untuk mencantikkan skrip tersebut. Olahan dan kupasan Pengarah terhadap skrip ini boleh saya anggap berjaya. Beliau ada idea untuk mencorakkan cerita ini mengikut caranya. Baca skrip ini dan anda akan merasai perubahannya. Yang silap pada persembahan ini bukan skrip tetapi lakonan dan penghayatan watak.

Lakonan
Ada yang bagus, ada yang lemah. Adat. Berpasang-pasangan. Seorang pelakon yang sebagai mana hebat sekalipun lakonannya apabila dipasangkan dengan pelakon “kayu” akan sedikit sebanyak menjatuhkan momentum lakonan pelakon hebat tersebut. Berlaku ketidak-seimbangan yang ketara pada pemilihan pelakon dan mungkin juga penghayatan watak.

Watak Satu, Sepi dan Korus
Watak Satu bagus tetapi watak Sepi kurang. Ini merupakan penampilan beliau yang pertama di pentas. Jelas sekali gigilan beliau di pentas. Lontaran vokalnya kasar. Antara lakon dan bukan lakon ada bezanya. Nampak perbezaan ketara antara mereka berdua. Korus (keretapi) bermain dengan gerak tari untuk memberikan simbol keretapi di pentas. Ad-lib mereka masih dapat dikawal. Ada yang bertanya mengapa keretapi. Di dalam bahasa filem, keretapi memberi simbol perjalanan. Pelakon mahu berjalan dari satu titik ke satu titik. Dalam konteks teater ini, pelakon mahu pergi dari kesepian. Itu sebab halusinasi Watak Satu membawa kita menemui beberapa watak yang beliau temui dalam perjalanannya. Dari mana ke mana ?

Bunga ros ? Bercinta ? Bukan. Gila ? Juga bukan. Jika diteliti, adegan bunga ros merupakan adegan penghujung di sebuah alam realiti sebelum penonton dibawa menemui watak Kekasih I dan Kekasih II. Di situlah bermulanya halusinasi Watak Satu. Tatacahaya tidak menjadi. Tidak nampak perbezaan. Ingat ! Halusinasi bukan mimpi. Itu sebabnya Watak Satu masih keluar pada pertengahan antara babak dalam keadaan jaga kerana beliau bukan mimpi. Hanya halusinasi. Watak Satu kembali semula ke alam realiti apabila beliau mengambil semula bunga ros di dalam peti surat itu. Peti surat ? Surat membawa simbol tentang pergerakan dari satu titik ke satu titik. Watak Satu berubah dari sepi menjadi apa ? Ada yang kata gila kerana ketawa mengilai-ilai. Makna simbol stesen keretapi dan peti surat adalah sama, ia membawa kita ke satu tempat yang berbeza.

Watak Satu dan Waktu
Sekali lagi berlaku ketidak-seimbangan pada lakonan kerana perbezaan pengalaman. Ada jurang perbezaan yang agak ketara. Ini merupakan antara babak yang agak membosankan kerana saya tidak faham apa yang ingin dipersoalkan. Antara yang saya ingat adalah “Kau adalah Aku, Aku adalah Kau”. Lepas itu mengilai. Pengalaman Watak Satu benar-benar mengatasi karisma Waktu. Waktu jelas kali pertama muncul membuat persembahan. Beliau nampak kekok dan tidak serasi dengan Watak Satu.

Watak Waktu yang membawa kertas maklumat. Ada maknanya. Beliau seakan-akan menyampaikan maklumat kepada orang ramai. Itu yang saya suka dengan Pengarah ini. Ada sahaja idea beliau untuk membolehkan penonton berfikir tentang maknanya. Beliau tidak memberi makna teater dengan mudah. Ini bukan teater untuk golongan yang baru mahu berjinak-jinak dengan teater.

Kekasih I dan Kekasih II
Saya suka babak ini. Sebuah gerak lakon yang penuh lengkap dengan perwatakan pelakon. Dari segi chemistry, saya kira hampir berjaya. Mereka cocok menjadi sepasang kekasih. Tetapi sekali lagi penghayatan watak menjadi jurang perbezaan. Watak Kekasih II kelihatan bersungguh untuk menyampaikan rasa hatinya dan watak Kekasih I lebih selamba. Masih nampak dibuat-buat terutama pada gelaknya.

Babak ini menggunakan banyak prop. Sehingga pelakon kelihatan kelam-kabut mengemas sewaktu siren dibunyikan. Jika arahan Pengarahnya teliti, proses mengemas sudah boleh dibuat sebelum siren berbunyi.

Pemikir I dan Pemikir II
Sama juga dengan babak ini. Watak Pemikir I nampak lebih dominan dan watak Pemikir II kelihatan cuba untuk menciptakan karektor kepada wataknya. Hasilnya tidak seberapa. Saya tabik dengan proses transformasi lakonan Mohd Shahafeez. Saya menonton beberapa siri lakonan beliau. Wataknya berbeza-beza. Engku Fikri dalam Mencari Juita dan Takahashi dalam Rumah Kedai Jalan Seladang. Watak yang pelbagai.

Watak Pemikir II mempunyai masa yang pendek untuk menghafal skrip dan menjalani tempoh latihan yang pendek kerana tugas rasmi beliau. Sikap toleransi pelakon-pelakon lain telah banyak menyelamatkan beliau. Beliau harus sedar itu.

Pada penghujung babak ini dan babak Kekasih ada persamaan. Mereka lari. Lari dari apa ? Ia sebenarnya adalah pembebasan dari perasaan sepi ke satu penyelesaian.

Derita I dan Derita II
Watak ini dipegang oleh Watak Satu dan Kekasih II. Mereka punca sepi. Derita itu mereka yang tanggung. Itu sebab mereka pegang dua watak. Saya mengharapkan apa yang telah dipertontonkan di Panggung Seni menjadi di pentas MTC. Sayangnya kurang menjadi. Beberapa aksi-aksi menarik di sana tidak menjadi. Mereka berkongsi masalah yang sama dan saya dapat merasakan itu. Kerut wajah mereka membuktikan.

Ada yang mempersoalkan tentang bangganya mereka menghisap rokok (ganja). Entah di mana silapnya malam itu, pertama kali ia menyala. Jika dapat ditonton kembali, saya ingin sekali melihat watak Derita II terkejut melihat asap terkeluar dari mulutnya.

Mereka juga mahu lari dari kesepian. Di sini, Watak Satu kembali dari halusinasinya.

Tatacahaya
Seperti tahun lepas sewaktu AGE mementaskan Rumah Kedai Jalan Seladang, kali ini sekali lagi tatacahaya tidak menjadi seperti yang diharapkan. Saya amat kurang berpuas hati dengan hasil tatacahaya yang dipersembahkan kepada penonton. Saya sempat mengambil beberapa foto sewaktu tatacahaya sedang digubah sebelum persembahan. Hasilnya menarik tetapi ianya tidak menjadi pada malam persembahan.

Paling ketara tidak banyak yang dapat dibezakan melalui tatacahaya antara halusinasi dan alam sebenar. Stesen keretapi tidak berapa jelas dan sekiranya anda mahu tahu, rekaan lampu untuk stesen keretapilah yang siap paling akhir iaitu pada jam 7 petang. Itu pun saya tidak pasti sama ada ia digunakan atau tidak.

Saya ingin mencadangkan agar di masa akan datang, AGE perlu melakukan sesuatu untuk memantapkan tatacahaya persembahannya. Ini kali kedua. Wajar sekiranya AGE menghantar beberapa pereka tatacahaya untuk menyertai mana-mana bengkel pencahayaan agar ilmu dapat ditimba.

Set
Sebuah set yang simple. Backdropnya sebuah terowong. Itu yang saya nampak. Kenapa terowong ? Sekali lagi terowong ada hujung dan pangkal. Terowong membawa kita dari satu pangkal ke satu penghujung. Membawa apa ? Membawa sepi !

Lantai yang membawa imej bulatan. Dalam bahasa filem, bulatan membawa maksud negatif. Sepi suatu yang negatif bukan ? Cuma kesan tatacahaya yang kurang menyerlah menyebabkan lantai pentas yang bewarna cerah tidak menonjol dan nampak kusam.

Muzik
Seperti yang telah ditulis di dalam brochure Dia Yang Sepi, saya benar-benar terpukau dengan lagu Dia Yang Sepi walaupun baru pertama kali mendengarnya. Setelah beberapa kali mendengar lagu ini diulang-ulang, melodinya seakan telah masuk ke dalam kotak fikiran.

Sayangnya, lagu ini hanya diperdengarkan sekali sahaja sepanjang pementasan dan penonton tidak dapat merasai lagu tersebut dengan lebih mendalam.

Kelemahan ketara pada muzik adalah tidak konsisten. Pada beberapa bahagian pada watak Pemikir Satu, ketukan pada dinding penjara tidak kedengaran. Efek bunyi juga tidak berapa jelas dan memberi impak kepada penonton. Watak Satu terpercik air dari tepi jalan tidak berapa dirasai dan disedari oleh penonton.

Babak yang melibatkan Sepi yang membawakan watak sebuah patung dapat dirasai kerana muzik telah melengkapkan senario tersebut.

Busana/Tatarias
Saya wajar memuji hasil solekan dan busana untuk persembahan kali ini. Pereka busana dan tatarias sebenarnya telah dibebaskan untuk bermain dengan kreativiti mereka. Tanpa perlu terikat dengan kekangan realism, mereka telah bereksperimentasi secara terkawal untuk menjadikan apa yang kita lihat di pentas agak indah.

Rekaan yang dibuat kepada korus (pemegang watak keretapi) saya kira merupakan usaha yang besar. Hampir keseluruhan penonton tidak menyedari yang longgokan baju itu sebenarnya manusia. Cuma jika berani, AGE wajar menjadikan persembahan Kosong oleh kumpulan Ngoncong Sarawak sebagai model. Pemegang watak ukiran kayu berada di pentas sebelum penonton masuk ke dalam dewan persembahan. Tirai pentas tidak perlu ditutup.

Poster/Brochure
Poster dan brochure produksi ini direka oleh saya bersama beberapa orang rakan. Kerja komputer dilakukan oleh saya. Saya berpuas hati dengan hasil poster dan brochure yang siap. Setengah penonton akan menerima jenaka-jenaka sinis yang ada dalam brochure sebagai usaha bangga diri tetapi saya perlu mencari kelainan untuk menyampai maklumat tentang sebuah teater yang berkonsepkan sepi. Saya perlu memberi warna kepada poster dan brochure tersebut. Memberi sedikit keceriaan kepada kesepian yang melanda.

Saya sedar, apabila melibatkan kerja kreatif, idea tidak akan pernah berhenti mengalir. Dari situ lahir sedikit kekecewaan saya apabila yang dikomen adalah jenis font dan bukannya kandungan. Jangan jadi seperti Chief Operating Officer saya yang lebih suka komplen tentang jenis font dari komen isi kandungan.

Kerjasama
Selama berada hampir 1 bulan bersama produksi ini, saya kagum dengan kerjasama yang mereka tonjolkan. Masalah diselesaikan secara penyelesaian kolektif. Dalam kumpulan besar, cakap-cakap belakang di mana-mana pun akan wujud. Macam kata Cookie “Seperti kurang semangat kesatuan di dalam produksi ini. Sebaiknya, penglibatan mereka yang tertentu perlu dititik beratkan. Nampaknya teater ini terlalu percaya dan bergantung kepada keupayaan sang Pengarah!” Jika ada, cakap depan-depan.

Gabungan idea dari dua kepala ini tidak selalu menjanjikan senyuman adakalanya mencipta cuka di bibir.

Idea dan Kreativiti
Sudah cukup rasanya saya tulis tentang kreativiti yang saya rasakan ada pada persembahan ini, cuma masalah skrip yang terlalu berat untuk penonton menerimanya. Macam filem Sembilu dan filem Kaki Bakar. Filem Sembilu tetap mendapat tempat di hati penonton kerana penonton Malaysia tidak gemar berfikir, lebih suka yang ringan. Ini cabaran besar kepada Pengarah.

Disiplin Pentas
Satu yang menarik tentang Festival Teater KL kali ini adalah penekanan tentang disiplin pentas yang semakin dilupakan. Ini wajar dipelajari oleh semua kumpulan yang bertanding agar mutu pengurusan teater dapat diberi suntikan profesional.

Urusetia
Pengurusan Festival Teater kali ini nampak kelab-kabut kerana kesuntukan masa yang diberikan untuk mengurus festival tersebut.

Peraturan ketat cara berpakaian untuk masuk ke dalam dewan juga nampaknya ada double standard. Kelonggaran yang diberikan oleh pihak Urusetia kepada beberapa orang yang tidak menepati cara berpakaian telah disalahgunakan oleh yang lain.

Pengurusan di malam penutup juga nampak goyah. Urusetia bukan sekadar berjalan ke hulu ke hilir membawa walkie-talkie. Tugas mereka lebih besar sebenarnya. Jika cara berpakaian diperketatkan hanya untuk memartabatkan teater Malaysia, maka saya kira cara pengurusan Urusetia juga perlu ditingkatkan agar teater Malaysia dapat dihormati. Bukan sekadar cara berpakaian, tetapi cara pengurusan juga perlu nampak hebat.

Pihak Urusetia sepatutnya lebih peka dengan manipulasi peraturan oleh sesetengah kumpulan yang bertanding sehingga menimbulkan rasa kurang senang peserta. Impaknya agak besar kerana teater seakan-akan boleh dipermainkan dan tuntutan teater sebenarnya lebih besar daripada itu.

Pengalaman
Kesabaran amat penting dalam mengurus sebuah produksi yang mana pemikirannya datang dari dua fahaman berbeza. Saya tidak serik, malah lebih bersemangat !

Ulasan Panel Penilai
Setiap kali Festival, segmen ini memang saya tunggu-tunggu. Antara petikan kata Ketua Panel Penilai ialah kita hanya menonton saingan kita dengan mencari kesalahannya tetapi tidak melihat kebaikannya. Itu Melayu !

“Buruk satu menolak dalam teater, baik satu tidak mengangkat dalam teater.”

Mutu pengarahan perlu ditingkatkan. Adakalanya bahan yang dibawa tidak tertanggung oleh Pengarah. Kebanyakan Pengarah memilih genre pementasan dengan agak kabur.

Pelakon zaman ini jauh lebih baik dari zaman dahulu tetapi mereka tidak diberi kesempatan kerana tunjuk ajar tidak sempurna.

Beliau turut menyarankan agar menonton Seniman Bujang Lapok dan Rashomon sebagai panduan untuk menghasilkan teater komedi dan teater serius.

Tuntutan estetika juga tinggi dan tuntutan estetika penonton juga semakin tinggi.

Keputusan Penuh Festival Teater Kuala Lumpur 2004
Johan – Tat Nenas (Fuzzy Logic Entertainment)
Naib Johan – Oleanna (Kelab Sanggar Budaya Beringin)
Tempat Ketiga – Awal dan Mira (Kelab Teater Kota Kuala Lumpur)
Pengarah Terbaik – Megat Sharizal Mohd Yusoff (Fuzzy Logic Entertainment)
Teknik Terbaik – Tat Nenas (Fuzzy Logic Entertainment)
Pelakon Lelaki Terbaik – Muhamad Ismaizal Yusoof (Fuzzy Logic Entertainment)
Pelakon Wanita Terbaik –Azareena Yahya (Kelab Sanggar Budaya Beringin)
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Mohd Azli Othman (Akar Gita Estetika)
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik – Farrah ‘Aini Lugiman (Fuzzy Logic Entertainment)
Anugerah Khas Juri – Dia Yang Sepi (Akar Gita Estetika)
Kumpulan Harapan – Sumpahan Rimba (Act Nine Communication)

Berpuas-hati ? Mana ada pahat yang tidak berbunyi selepas rumahnya siap dibina. Kalau tidak puas hati, cakap. Jangan diam. Paling tidak, tulis dekat blog sendiri apa yang kita tidak puas hati kalau takut untuk berdepan.

Bagi pihak saya, akhirnya teater maha sepi itu memenangi Anugerah Khas Juri dan Mohd Azli Othman menggondol anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik. Atas kriteria apa Dia Yang Sepi menerima anugerah tersebut tidak diperincikan dalam Ulasan Panel Penilai. Jangkaan saya tentulah kerana olahan Pengarah terhadap skrip tersebut serta keberanian Pengarah mengangkat naskhah tersebut dari dibiarkan tidak dipentas oleh mana-mana kumpulan. Tahniah !