Diari Akademi 07-01-02
Pulangkan
Satu kerugian yang besar sekiranya pelajar berbakat besar tersingkir awal dari Akademi Fantasia. Bijak pada penonton ada bermacam-macam definisi. Bijak yang menilai berdasarkan rupa, bijak yang menilai berdasarkan keletah mereka di Akademi, bijak berdasarkan menyelamatkan pelajar yang lemah dan juga bijak menyelamatkan diri dari terjerat dengan perangkap perniagaan SMS. Semuanya bijak. Bijak berdasarkan difinisi masing-masing. Semua orang ada mata, ada telinga. Masing-masing menilai mengikut akal mereka sendiri.
Kaer menganggap penyingkiran Zarina merupakan satu kehilangan yang besar kepada Akademi Fantasia. Beliau seorang yang bersifat positif. Adam mempunyai rahsia bersama Zarina iaitu tentang hantaran RM50,000. Zarina banyak memberi semangat kepada Nurul yang sering tidak berkeyakinan. Bob menilai Zarina yang mempunyai vokal yang agak bagus terutamanya dalam nyanyian aslinya. Zarina seorang yang tidak kedekut ilmu dan banyak mengajar Farah. Zahid gemar untuk mengacau Zarina kerana mereka gemar bergurau-senda. Mas mengalirkan air mata kerana menganggap Zarina seorang yang tabah, lucu dan tidak mahu menyakiti hati orang lain. Linda juga menangis mengenangkan sahabat baiknya. Zarina pernah tidak tidur menemani Linda yang berlatih lagu Bunga Melor. Zarina turut sama mengajar Linda. Seperti biasa apabila pelajar tersingkir, semakin banyak bunga-bunga kata diluahkan terhadap pelajar tersebut.
Mungkinkah akan tercipta sebuah telenovela antara Adam dan Farah selepas kegiatan riadah semalam meneruskan adegan telenovela Liza dan Vince di Akademi Fantasia I ? Kita tunggu dan lihat.
Riadah: Kejutan Lagi
Mas berpeluang melepaskan rindunya terhadap anaknya dengan melihat gambar-gambar yang diambil sewaktu anak-anaknya bersiar-siar di Sunway Lagoon. Hari mereka beriadah dan berjemur di cahaya matahari. Kaer diarahkan oleh jurukamera untuk naik ke bahagian atas gelongsor. Di situ Kaer mendapat satu beg alat lukisan.
Mas, Adam dan Nurul Didenda
Mas, Adam dan Nurul didenda kerana persembahan buruk mereka pada minggu lepas. Memang sewajarnya mereka didenda kerana masalah utama mereka adalah pitching. Mereka wajar dibukakan mata mereka yang sebagai penyanyi tidak boleh sumbang. Masalah tersebut kerap berlaku dan tiada perubahan. Menurut Ramli MS, sekali lagi menurut Ramli MS, ia bukan berdasarkan pandangan saya tetapi menurut Ramli MS Pengetua Akademi Fantasia, masalah yang paling kronik ialah Mas. Mas menurut Ramli MS iaitu Pengetua Akademi Fantasia tiada sebarang perubahan yang ditunjukkan oleh beliau. Nyanyiannya terkeluar dari acuan. Diajar pun tidak guna, jika diri sendiri tidak mahu pandai. Itu Mas, menurut pandangan Ramli MS, Pengetua Akademi Fantasia. Ia bukan pandangan saya. Tetapi pandangan Ramli MS yang berpengalaman luas dalam bidang muzik. Zahid diarahkan untuk mengawasi pelajar-pelajar berkenaan dan denda tersebut perlu dibuat pada waktu terluang.
Cikgu Corrie agak marah dengan pelajar yang tidak serius memberikan final pose setelah lagu tamat. Rasanya masalah ini sudah ditegur beberapa minggu yang lalu dan masih diulangi. Tenaga Pengajar terpaksa bersuara dari bawah untuk menegur mereka yang berada di atas.
Masalah utama Farah ialah sedikit sumbang dalam persembahannya terutamanya pada bahagian qasidah dan hujung-hujung baris lagu. Bukan kerana beliau tidak berkemampuan tetapi kerana beliau tidak berkeyakinan tinggi.
Menurut Cikgu Fauziah Nawi, perkara yang paling memalukan bagi guru-guru ialah apabila salah seorang Pengkritik Profesional menegur tentang masalah sebutan aeiou, teknik menahan nafas yang merupakan perkara-perkara asas yang telah diberitahu sejak minggu-minggu awal di Akademi Fantasia.
Setiap seorang pelajar mempunyai kelemahan masing-masing tetapi sayangnya mereka tidak menumpukan perhatian mereka untuk memperbaiki kelemahan mereka. Farah seperti contohnya tidak mahu memperbaiki low tonenya. Tahap keyakinannya semakin tinggi dari minggu ke minggu.
Linda pula mempunyai penghayatan yang bagus tetapi interpretasi lagu tersebut tidak sampai. Bob berjaya menyembunyikan emosi sedihnya dan mendapatkan semangat dari bapanya untuk memberikan persembahan yang hebat. Nurul masih menghadapi masalah pernafasan yang agak serius. Sudah beberapa kali diajar tetapi tetap melakukan kesilapan yang sama.
Malangnya perkara yang sama diulang-ulang oleh Pengetua setiap kali sesi bertemu Pengetua pada hari Isnin. Sepatutnya sehingga kini, mereka sudah pandai dan tiaaa benda yang boleh diajar lagi dan perlu dikomen oleh Tenaga Pengajar. Mereka sewajarnya sudah boleh membawa diri masing-masing dengan ilmu yang telah diberikan selama enam minggu.
Lagu Baru
Kaer
Harapan : Fantasia oleh Hazami
Realiti : Bunga Pujaan oleh Jamal Abdillah
Adam
Harapan : I'll Never Break Your Heart oleh Backstreet Boys
Realiti : Smooth Criminal oleh Michael Jackson
Zahid
Harapn : Lagu R&B nyanyian Usher atau Brian McKnight
Realiti : Cinta Sakti oleh Def Gab C
Bob
Harapan : Irama etnik nyanyian Jamal Abdillah atau M.Nasir
Realiti : Salam Terakhir oleh Sudirman
Farah
Harapan : Mengapa oleh Nicky Astria
Realiti : Jangan Kau Mimpi oleh Siti Sarah
Nurul
Harapan : Ku Milikmu oleh Siti Nurhaliza
Realiti : Lucky oleh Britney Spears
Linda :
Harapan : Only You (Spanish)
Realiti : Akan Ku Tunggu oleh Candy
Mas
Harapan : sebuah lagu balada oleh Deja Moss
Realiti : Tamparan Wanita oleh Elite
Bonus
Medley Dua Insan dan Kita Insan Biasa
Penasihat Imej
Seorang Penasihat Imej dibawa masuk untuk menyertai mereka di Akademi Fantasia. Puan Mahani seorang yang berpengalaman luas selama hampir dua puluh tahun sebagai wartawan dan editor majalah akan berkongsi pengalaman dengan pelajar Akademi Fantasia tentang penampilan pelajar. Ia merupakan satu aset yang penting untuk mencipta imej seseorang bintang. Bintang yang tidak berkelip dan malap umpama bintang yang tiada sinarnya dan tidak mampu menyerlah di sebalik kerlipan bintang-bintang yang lain. Ia turut membantu pelajar untuk memanafaatkan ilmu yang diperolehi untuk masa depan mereka.
Setiap pelajar harus memanafaatkan peluang yang ada. Mas terutamanya perlu mendapatkan khidmat rundingan dari Puan Mahani secara serius. Begitu juga dengan Bob dan Nurul. Setakat ini, pesona bintang telah wujud dalam diri Linda, Adam, Zahid dan Kaer. Pelajar-pelajar lain perlu mencipta imej tersendiri untuk terus kekal diingati penonton. Imej yang baik dan sesuai amat penting untuk mereka terus bertapak dalam dunia seni.
Zahid seperti contohnya mendapatkan khidmat rundingan tentang rambutnya dari Puan Mahani. Pelajar perempuan perlu mendapatkan ilmu dari Puan Mahani.
Tiada perkataan selain “buat yang terbaik” dari semua pelajar. Rata-rata menerima cabaran dengan senyuman. Cabaran yang besar buat Adam yang perlu menghafal hampir empat helai muka surat lirik lagu Smooth Criminal. Zahid menggunakan peluang tersebut untuk meminta live band untuk persembahannya. Jika boleh DefGabC. Lagu Salam Terakhir sememangnya hebat dan ia menguji vokal Bob. Mas “buat yang terbaik”, Nurul pun “buat yang terbaik”.
Perubahan pada wajah dan intonasi suara Mas setelah Cikgu Ramli MS seakan tidak melayan pertanyaannya tentang jenis lagu Tamparan Wanita tersebut agak nyata. Mungkin juga Cikgu Ramli MS sedang kelaparan dan mahu makan.
0 komen