Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 23 July 2004

Akademi Fantasia IIDiari Akademi 07-09-10

Akrobatik
Zahid mencuba untuk melakukan akrobatik, mungkin untuk persembahannya. Adam dan Zahid mencuba dengan berdiri dengan menggunakan tangan sambil diawasi oleh Cikgu Linda Jasmine.

Prop Dancing
Kaer memilih hand rest untuk menari bersamanya. Hasilnya biasa sahaja. Farah dan payung juga masih biasa sahaja. Zahid dan kusyen juga biasa sahaja. Tarian Adam dan kerusi agak membosankan. Begitu juga dengan Linda yang menggunakan bola perhiasan. Rata-rata semua pelajar memberikan tarian yang membosankan.

Akademi Fantasia IIKelas Seni Persembahan Cikgu Fauziah Nawi
Mereka harus membayangkan kesalahan yang pernah mereka lakukan kepada ibu mereka dan yang tidak sempat minta maaf. Bermula dengan Kaer, ucapannya biasa sahaja. Begitu juga Linda dan Zahid yang ada sedikit kelainan kerana beliau memberikan sebuah senyuman untuk ibunya. Ucapan Bob dan Farah juga biasa sahaja. Begitu juga Nurul. Mas memberikan ucapan yang penuh emosi dan menyentuh perasaan. Sebuah ucapan yang jujur yang lahir dari dalam hatinya yang pernah merasai bagaimana melahirkan. Tentunya pengorbanan ibunya yang sanggup menjaga dua orang anaknya menyentuh hati beliau. Adam turut menitiskan air mata. Akademi Fantasia IIDua pelajar ini melahirkan perasaan mereka menerusi air mata mereka. Saya benar-benar tersentuh dan dapat menyelami perasaan mereka ketika itu. Kedua-dua mereka ada sebab untuk menangis. Ada kejujuran pada air mata mereka.

Latihan Cikgu Adnan Abu Hassan
Adam menyanyikannya dengan baik. Beliau harus menjaga tempo lagu tersebut. Beliau harus menumpukan perhatiannya kepada rentak lagu tersebut. Bob juga agak baik dan penghayatan yang bagus. Beliau perlu memberikan sedikit sentuhan emosi dalam nyanyian agar kesyahduan lagu tersebut sampai kepada penonton. Kaer perlu mempertingkatkan teknik pernafasan agar low tonenya dapat didengari. Linda perlu lebih tumpuan pada vokal seraknya.

Farah dan Johhny
Keintiman Farah dan Johhny bukan menjadi rahsia lagi. Hubungan mereka begitu akrab. Jika Linda memilih untuk berkawan rapat dengan Fitri, Edlin memilih untuk rapat dengan Anding, Farah pula memilih Johhny, sebuah kamera di dalam Akademi Fantasia. Farah seorang yang manja dan celik dan punya selera yang amat tinggi.

Roda Impian Denda
Pengemudi kapal di tepi akuarium digunakan sebagai Roda Impian untuk menentukan denda sekiranya ada di antara para pelajar melakukan kesalahan di dalam Akademi. Antara dendanya ialah mop dance floor, cuci filter air-cond dan yang lain-lain lagi. Farah menggantikan tempat Liza sebagai Pembantu Roda Impian dan Hos Roda Impian dipegang oleh Encik Julian Kennedy yang mahu dikenali sebagai Jackie.

Nampaknya Encik Julian sudah pandai bergurau dengan para pelajar. Ia mengambil masa yang agak lama untuk beliau serasi dengan karenah para pelajar.

Bersama Penasihat Motivasi
Mereka diminta untuk melukiskan gambar sarang labah-labah. Rasionalnya ialah untuk menunjukkan perjalanan pelajar dalam menuju cita-cita masing-masing. Setiap jalan ada fungsinya. Sekiranya putus di tengah jalan, ada jalan lain untuk mereka lalui. Apabila kejayaan terhenti, tidak bermakna segalanya terhenti. Yang penting, mereka diingatkan agar tidak memutuskan tali pertama yang mula-mula membentuk pertemuan tersebut.

Bersama Pengetua
Adam masih tidak berapa pasti dengan melodi lagu tersebut. Terdapat beberapa kesalahan pada nyanyiannya. Pada saya, Adam menyanyikan lagu tersebut dengan agak baik. Sebutannya masih boleh dibaiki. Saya menantikan persembahan tariannya yang tentu akan mengkagumkan.

Kaer bagi saya penghayatannya baik untuk lagu ini. Beliau perlu memberikan sedikit tumpuan kepada lower tonenya. Beliau harus menggunakan teknik pernafasan yang betul untuk lagu tersebut. Beliau juga perlu memperkemaskan nyanyiannya terutamanya di bahagian-bahagian hujung lirik lagu tersebut yang agak lari dan tidak bersungguh-sungguh.

Zahid yang masih mempunyai masalah pitching apabila menyanyikan lagu rock seperti Cinta Sakti. Beliau perlu mendapatkan perwatakan yang jelas untuk lagu tersebut. Saya merasakan beliau perlu mempertingkatkan staminanya untuk memberikan sebuah persembahan yang bertenaga.

Linda berjaya mencipta suara rock yang agak unik. Saya kira suara rocknya agak sedap dan ada stail yang tersendiri. Namun demikian, beliau harus pandai mengawal pernafasannya kerana nampak jelas beliau termengah-mengah dan tersekat-sekat.

Persembahan Nurul kurang bermaya. Nyanyiannya jelas berbunyi keMelayuan. Teknik nyanyiannya tidak banyak berubah. Beliau banyak menggunakan lenggok Melayu dalam nyanyiannya. Beliau harus menyebut perkataan satu-satu dan bukannya meleretkan lirik lagu tersebut.

Farah perlu memperbaiki sebutan falsettonya. Lagu ini merupakan sebuah lagu yang sedap tetapi harus jelas. Mas perlukan teknik pernafasan yang lebih baik. Vokalnya unik tetapi agak mendatar. Nyanyian tidak mengikut nada lagu tersebut. Walaupun nada lagu tersebut telah ditukar tetapi nyanyiannya tidak ditukar oleh Mas. Bayangkan sekiranya, penyanyi latar menyanyi mengikut nada lagu tersebut dan Mas menyanyikan tidak mengikut nada lagu tersebut, sudah tentu persembahannya pincang.

Bob perlu meningkatkan lagi penghayatannya. Beliau perlu menjiwai liri lagu tersebut dan merasaikan kesakitan yang dialami oleh penyanyi asal lagu tersebut. Penghayatan itu perlu datang dari dalam jiwanya. Suasana hiba tidak sampai dalam lagu tersebut.

Upacara Memuji Tenaga Pengajar
Kaer memberikan pendapatnya tentang Ramli MS yang disifatkan oleh beliau banyak memberi pertolongan dalam nyanyiannya serta memberi teguran yang bernas. Secara tidak langsung menaikkan lagi tahap keyakinan beliau. Bob pada mulanya mengetahui tentang bagaimana garangnya ramli MS, tetapi setelah mengetahui cara beliau bekerja, mereka tahu yang beliau seorang yang profesional dalam bekerja. Begitu juga dengan Cikgu Adnan yang disifatkan oleh beliau banyak memberikan teknik nyanyian.

Adam berterima kasih kepada Umi yang banyak membuka peluang kepadanya untuk mendalami ilmu lakonan serta tumpuan dalam nyanyiannya. Beliau juga berterima kasih kepada Cikgu Siti Hajar yang memberikan semangat kepadanya untuk membuka rahangnya. Memang pada awalnya beliau sendiri mengakui agak cacat apabila melihat dirinya sendiri menyanyi tanpa membuka mulut.

Mas mengakui tentang bagaimana sayangnya semua Tenaga Pengajar terhadap pelajarnya tetapi sayangnya belaiu tidak pandai menggunakan peluang yang ada. Nurul yang merendah diri cuba untuk mencuri perhatian Cikgu Siti Hajar. Beliau mengakui seorang yang slow learner. Beberapa kali diajar tetapi masih tidak pandai dan agak sukar untuk melakukan praktikal.

Zahid mengadu yang tidak berpuas hati dengan Cikgu Corrie kerana adakalanya beliau marah tidak tentu fasal. Kaer berterima kasih kepara Dr Sher Kawi yang banyak mententeramkan beliau sewaktu sedang menghadapi masalah.

Mereka pada mulanya memang takut untuk menghadapi kelas Cikgu Fauziah Nawi yang penuh dengan kemarahan. Tetapi setelah mereka mengetahui cara beliau bekerja, perasaan tersebut kini tiada. Cikgu Adnan banyak membantu Adam dari segi bagaimana untuk melakukan ad-lib.

Linda turut mengucapkan terima kasih kepada Ramli MS yang banyak menghidupkannya serta menimba ilmu daripada beliau. Beliau sebelum ini yang tidak tahu tentang range vokalnya sendiri kini telah tahu untuk mengeksploitasikan vokalnya. Farah kini telah banyak sedar akan kelemahannya.

Cikgu Linda Jasmine pada pandangan para pelajar seorang yang tegas dan tahu apa yang beliau mahukan. Begitu juga dengan Cikgu Corrie.

Sesi ini dibuat untuk menerima sedikit maklumbalas daripada pelajar sendiri tentang guru mereka. Sejak akhir-akhir ini kita sering melihat kecoh di Saluran 15, Forum AF serta hampir di semua forum tidak rasmi mengatakan tentang bagaimana tidak profesionalnya seorang guru di dalam Akademi Fantasia. Para peminat fanatik tidak dapat menerima pelajar pilihan mereka diherdik dan dimarahi secara langsung di hadapan kamera dan disaksikan oleh jutaan penonton. Mereka begitu emosi tetapi penerimaan positif boleh diterima oleh pelajar terhadap guru mereka tanpa ragu. Apa gunanya seorang peminat fanatik pelajar pilihannya membuat benteng kuat untuk mempertahankan pelajar pilihan mereka tanpa mengetahui yang pelajar pilihannya tidak melakukannya dengan bersungguh-sungguh. Sekurang-kurangnya sesi ini boleh dijadikan landasan kukuh yang para pelajar sendiri sudah boleh menerima teguran gurunya secara positif. Para peminat pelajar juga seharusnya lebih bersifat terbuka untuk menerimanya.

Kita Insan Biasa
Sebuah nyanyian solo yang hebat dari pelajar lelaki. Vokal mereka harmoni dalam pelbagai nada. Tetapi vokal mereka tidak begitu baik apabila nyanyian beramai-ramai. Semuanya satu nada sahaja. Berbeza dengan perempuan yang agak tidak harmoni terutama apabila nyanyian solo. Tetapi vokal mereka amat baik sewaktu nyanyian beramai-ramai.

Ramalan: Andaian saya kuat mengatakan Mas akan tersingkir pada minggu ini. Jika bukan Mas, mungkin juga Bob ataupun Kaer. Kedudukan paling bawah memang sukar untuk tersingkir kerana strategi undian yang banyak menyebelahi mereka. Kedudukan persembahan juga besar mempengaruhi. Saya meletakkan pelajar-pelajar yang empat terakhir membuat persembahan dan berada dalam kedudukan yang agak goyah yang bakal tersingkir pada minggu ini. Apa-apa pun ianya hanya ramalan.