Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 09 July 2004

Akademi Fantasia IIDiari Akademi Fantasia 05-09-10

Jangan Pisahkan
Mereka bermula dengan puisi Mata Ayah dan kemudian menyanyikan lagu tersebut. Saya merasakan lagu ini seperti tidak harmoni dengan suara mereka. Nada yang berbeza-beza dan jelas agak kucar-kacir.

Ketua Katak
Zahid dilantik menjadi Ketua Katak. Aktiviti sebegini memang nampak tidak perlu tetapi sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tekanan mereka. Masing-masing cuba berseronok. Yang saya perhatikan dalam kelas lakonan ini, rata-rata semua pelajar telah mula memecahkan tembok malu mereka baik sesama sendiri mahupun dengan kamera. Nurul telah berani beraksi dengan lebih hebat dinilai dari aspek lakonan. Begitu juga Zarina yang aksinya saya tunggu-tunggu. Kaer pula mampu mewujudkan elemen komik dalam lakonannya. Secara keseluruhan, tiada pelajar lain yang layak menjadi ketua melainkan Zahid. Karisma dan kredibiliti Zahid sesama pelajarnya diakui sendiri oleh rakan-rakannya. Mereka nampak senang untuk mencalonkan nama Zahid selaku Ketua Katak. Imej beliau dari hari ke sehari semakin meningkat. Senario yang sama dapat kita lihat pada Akademi Fantasia I bila mana Vince sering terpilih untuk menjadi ketua mereka.

Akademi Fantasia IICikgu Tadika
Ini kali kedua Zahid dilantik menjadi ketua. Zahid menjadi seorang yang dihormati di Akademi Fantasia. Rasa hormat pelajar lain terhadapnya begitu tinggi sebagai ketua walaupun Zahid sebenarnya seorang yang gemar main-main. Seorang yang selamba dan tidak begitu serius.

Kelas Vokal Cikgu Adnan
Mas perlu menjaga stamina beliau untuk menjaga tenaganya dalam penghasilan bunyi-bunyi yang sukar. Lebih-lebih lagu lagu ini memerlukan Mas menari. Beliau harus berhati-hati. Anding membawakan lagu Merisik Khabar secara biasa. Gaya nyanyiannya biasa sahaja. Bahagian tinggi nampak agak sengsara tetapi sudah berjaya dibaiki dan berbeza dari hari-hari terdahulu. Ada perubahan dalam nynyian beliau.

Nurul telah cuba sedaya upaya untuk memberikan persembahan yang terbaik. Hasilnya bagus. Beliau perlu meningkatkan daya keyakinannya. Zahid secara keseluruhan perlu meningkatkan stamina beliau kerana lagu ini memerlukan beliau menari lebih rancak dari lagu Bila Resah. Linda perlu menjaga teknik pernafasannya. Beliau harus mencorakkan lagu tersebut dengan gayanya yang tersendiri. Lenggok vibrato pada setiap penghujung baris lagu tersebut perlu untuk mengindahkan lagi lagu tersebut. Masih kedengaran beberapa masalah pitching di sana sini lagu tersebut.

Akademi Fantasia II
Saiful Apek dan Anak-Anaknya
Linda agak terkejut melihat dua kanak-kanak yang tiba-tiba bermain di dalam Akademi. Mukanya nampak takut kerana menyangkakannya toyol. Kemunculan Apek memang menggembirakan semua pelajar terutamanya Farah.

Nasihat Apek seorang Bintang Paling Popular agar tidak mudah menyerah kalah. Sebelum senang, sudah pasti kita akan menempuhi seribu satu macam kesusahan. Lupakan suara-suara minoriti tetapi dengar apa kata majoriti.

Satu nasihat yang bagus tetapi sedikit kurang menyenangkan. Saya lebih suka sekiranya sebagai artis, perlu juga mengambil komen dari suara-suara minoriti dan menerima dengan terbuka komen-komen tersebut. Bukan tidak mendengarnya langsung dan menganggap ia sekadar nyamuk-nyamuk yang membuat bising.

Beliau turut menasihatkan tentang stage fright bila mana walaupun beliau sudah bertahun-tahun dalam dunia seni, kegugupan itu masih ada. Memang sukar untuk mengatasi kegugupan sebaliknya kita harus mengawal diri kita untuk terus mengasai diri sendiri dan bukannya dikuasai oleh sesuatu perkara yang tidak perlu. Kekuatan diri itu datangnya dari diri sendiri. Kebiasaan akan sekurang-kurangnya mengurangkan kegugupan yang datang setiap kali sebelum persembahan.

Walaupun beliau sentiasa sibuk dengan tugas-tugasnya, apabila anak-anaknya membuka TV akan sentiasa ada bapanya. Itulah yang membolehkan anak-anaknya merasakan yang bapa mereka sentiasa bersama mereka. Ia seperti Mas sekarang, apabila anak-anaknya buka TV, wajah Mas akan muncul di kaca TV. Mas memang kelihatan gembira kerana dapat mengurangkan sedikit kerinduan terhadap anak-anaknya.

Apek memetik gitar dan menyanyikan lagu Knocking On The Heaven’s Door oleh Bob Dylan. Episod ini menyaksikan Aznil masih berbicara walaupun credit title telah disiarkan menunjukkan terlalu banyak adegan yang perlu ditunjukkan kepada penonton sehingga Aznil sendiri terpaksa bercakap semasa credit title disiarkan.

Farah Menangis
Undian untuk Farah naik ? Jika saya, maaf. Buang masa sahaja. Menangis teresak-esak di hadapan kamera bukan cara terbaik untuk mendapat undian. Bukan masalah lagu tetapii sekadar rindukan emak dan ayahnya. Farah harus ingat, tersingkirnya sahaja dari Akademi Fantasia beliau akan menjadi bintang bila mana beliau sendiri akan jarang-jarang pulang ke rumah keluarganya kelak. Tugas-tugas serta tuntutan kontrak selama tiga tahunnya memungkinkan beliau lebih selalu berjauhan dari keluarga. Beliau harus menumpukan perhatiannya kepada nyanyiannya dan bukan terlalu beremosi.

Mas Rindukan Anaknya
Susulan dari kemunculan Apek di Akademi Fantasia semalam, kita dapat melihat Mas melepaskan rindunya terhadap anak-anaknya kepada anak-anak Apek. Mereka bermain-main bebas di Akademi dan Mas mengambil kesempatan itu untuk melayan karenah mereka.

Akademi Fantasia IISurat Wasiat Yang Ceria
Surat wasiat kali ini agak berbeza. Pelajar harus menulis sesuatu perkara yang akan dibuat sekiranya tersingkir dari Akademi Fantasia. Mereka harus memilih seorang pelajar dan berikan sebab-sebabnya. Walaupun nadanya agak ceria tetapi ia merupakan satu perang psikologi terhadap pelajar yang harus membacakan surat wasiat tersebut. Mereka yang masih berada di dalam Akademi Fantasia harus mendengar tempat-tempat yang ingin dibawa oleh pelajar yang tersingkir. Dalam keadaan mereka masih berada di Akademi Fantasia, tentunya ini satu asakan emosi yang amat besar buat mereka.

Sewaktu masing-masing membacakan siapakah pelajar yang mereka pilih untuk membaca surat wasiat mereka, Zahid beberapa kali mengganggu rakan-rakannya.

Akademi Fantasia IIFokus
Apabila tekanan semakin meningkat, fokus pelajar tentunya terganggu. Inilah masa yang digunakan oleh Dr Sher Kawi untuk menenangkan sedikit keresahan para pelajar. Sekurang-kurang tergabar sedikit senyuman di wajah para pelajar. Beliau turut menerangkan tentang pentingnya fokus. Dalam masa yang sama, fokus pelajar lebih tertumpu dengan adanya bantuan rakan-rakannya.

Bersama Pengetua
Adam
Ramli MS kelihatan agak gembira dengan perubahannya dari segi vokal. Beliau turut memberi komen tentang caranya menari yang masih control hensem. Saya melihat Adam masih tidak banyak mengeluarkan persembahan tariannya. Mungkin disimpan untuk Konsert esok.

Farah
Pada saya, vokal beliau sememangnya tiada tandingan dari segi kelantangannya. Beliau sememangnya hebat dalam aspek vokal. Tetapi beliau harus mengawal vokalnya agar tiada masalah pitching. Pernafasannya masih tidak dikawal dengan baik. Farah harus bijak untuk mengawal emosinya.

Kaer
Setelah lima hari, Kaer sememangnya tidak selesa dengan lagu tersebut terutamanya di bahagian korus. Jelas beliau nampak perit membawakan lagu tersebut di bahagian korus. Menurut Ramli MS, Kaer seperti dipijak. Cikgu Adnan menasihatkan beliau agar membanyakkan latihan kerana kegugupan berada di pentas pada hari Sabtu akan menurunkan lagi 20% mutu persembahannya.

Linda
Bukan sekadar tarian Linda yang tiada jiwa Melayunya, lenggok nyanyiannya juga kurang lenggok Melayu. Beberapa bahagian kedengaran sumbang. Sukar untuk saya membayangkan persembahan beliau. Sebuah lagu yang sukar untuk beliau.

Zahid
Zahid harus menjaga tempo lagu tersebut dan liriknya. Menurut Zahid, lirik lagu tersebut terlalu banyak warna dan memang sukar menyusun kedudukan giliran warna tersebut. Dari segi vokal, saya suka dengan persembahannya. Beliau harus meningkatkan lagi mutu persembahannya. Penguasaan pentasnya agar lebih terkawal dan dirancang dengan baik.

Nurul
Menurut Ramli MS, vibrato Nurul masih tidak kurang-kurang dan tidak konsisten. Menurut Nurul pula, beliau sendiri tidak perasan apa yang dinyanyikan olehnya. Sebagai seorang penyanyi, kita kena tahu apa yang kita buat. Apa yang kita nyanyikan. Kita harus sedar diri.

Anding
Beliau harus mengekalkan mutu persembahan seperti latihan. Sudah nampak perubahan dan beliau sudah bijak mengawalnya. Beliau cuma perlu menambah jiwa dalam lagunya agar mesej lagu tersebut sampai kepada penonton. Penghayatan beliau terhadap lagu tersebut harus tip-top.

Mas
Sebutan-sebutan asas Mas dibetulkan oleh Pengetuanya. Sebutan-sebutan itulah yang diajar oleh Anding tetapi diketawakan oleh Mas dalam episod terdahulu. Kali ini Pengetua menegurnya. Mas harus lebih fokus kerana lagu ini menjadi lagu sandaran untuk penonton menilai kebolehannya menyanyikan lagu Inggeris.

Bob
Ekspresi Bob sudah kelihatan. Penghayatannya bagus. Beliau harus lebih membuka dirinya serta vokalnya. Beliau perlu beraksi secara lebih bertenaga untuk mendapatkan sokongan. Lagu rock, showmanshipnya harus lebih kangkang yang terkoyak.

Akademi Fantasia IIZarina
Beberapa baris kedengaran sengau. Datang sengau itu secara semulajadi. Ini menimbulkan kemarahan Cikgu Siti Hajar secara tidak langsung. Beliau agak kecewa kerana apa yang diajar selama 5 hari tidak dipraktikkan oleh Zarina. Ada perbezaan pada lembut, control dan hold. “Jangan buang masa saya !”

Ramalan
Memang sukar untuk meramalkan siapakah yang akan tersingkir pada konsert kali ini. Dinilai dari segi latihan, kesemua pelajar telah memberikan persembahan yang terbaik. Nurul nampaknya telah cuba untuk membuka sedikit ruang kepada pelajar lain untuk mendekatinya. Persembahannya juga bagus. Persembahan Mas mungkin akan sedikit goyah tetapi kedudukan Mas terlalu tinggi untuk dipintas. Saya ternanti-nanti persembahan Zarina dan tertanya-tanya siapakah penyanyi lelaki yang akan menyanyi bersama Zarina. Mungkin juga Bob dengan Amuknya, Juga Ruffedge dengan Adam atau Yusry bersama Zahid ? Ataupun ada lakonan Khai dan Rosma pada lagu Zarina. Baru happening sikit. Nantikan sahaja kejutan pada malam esok. Kita tunggu sahaja dan terima setiap keputusan dengan fikiran terbuka.

Nota : Nantikan artikel bertajuk “Menilai Peningkatan Pelajar Setelah Konsert V”.