Diari Akademi Fantasia 06-01-02
Tribute Untuk Anding
Seloka Anding
Mereka duduk berkumpul bercerita tentang Anding. Bob menyatakan yang minat Anding lebih ke arah perfileman dan lakonan. Beliau turut bercita-cita untuk menerbitkan videoclip untuk 12 pelajar Akademi Fantasia.
Khabarnya, filem pendek beliau turut tercalon di dalam Festival Filem yang baru lalu, besar kemungkinan Festival Filem Malaysia yang baru sahaja berlangsung minggu lalu.
Anding seorang yang gemar membantu orang lain, beliau tidak lokek ilmu dan penyayang. Ini dapat kita lihat bagaimana beliau banyak membantu Mas dan Edlin.
Beliau seorang yang fokus, pandai menari dan berlakon. Seorang yang nampak serius, pendiam tetapi senang bekerjasama. Menurut Adam, Anding seorang yang suka membantu rakan-rakannya. Walaupun pendiam, beliau agak serius sewaktu belajar.
Andinglah yang paling lewat sekali bersiap. Rambutnya perlu disapu gel untuk kelihatan tegak sebegitu.
Satu sifat beliau yang Bob nampak ialah beliau seorang yang agak cuai dan mudah lupa.
Pada pendapat saya, Anding sememangnya berbakat tetapi bukan untuk Pilihan 5 Terbaik saya. Jika bukan Konsert V, beliau tetap akan tersingkir kerana ada pelajar lain yang jauh lebih berbakat dalam nyanyian dan mampu membawa nama Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
Saya mendapat khabar yang Anding mengetahui tentang kewujudan blog ini kerana beliau sendiri meminati filem dan teater.
Nasihat Tegas Pengetua
Seperti yang telah dijangka, hari tersebut mereka dimarahi oleh para Tenaga Pengajar. Tujuannya bukan untuk menjatuhkan semangat mereka tetapi sebaliknya. Tenaga Pengajar ingin membetulkan di mana silap pelajar. Mereka harus diingatkan yang kejayaan hanya akan bermula selepas tamat Akademi Fantasia.
Menurut Ramli MS, keyakinan Kaer hilang sejak akhir-akhir ini. Kaer tidak dapat menjawab soalan tersebut. Nyanyiannya lebih ke arah R&B. Sesetengah lagu tidak boleh dilenggok seperti yang telah dilakukan oleh Kaer.
Mas tidak ada perubahan sejak Konsert I hinggalah Konsert V. Pembaharuan pada Mas hanyalah ia telah belajar beberapa lagu baru. Akademi Fantasia bukan tempat untuk belajar lagu baru, Akademi Fantasia ialah tempat untuk belajar ilmu baru. Tempat untuk menimba ilmu. Tempat untuk mempelajari teknik dan asas nyanyian. Jika di luar, untuk belajar teknik dan asas nyanyian perlu dibayar. Bukan percuma. Tetapi di Akademi Fantasia ianya percuma.
Jika tekanan selama lima hari tidak dapat ditempuhi dengan baik oleh para pelajar, mana mungkin mereka dapat menempuh tekanan yang tiga minit.
Linda Bawa Toyol
Linda akhirnya tertangkap menulis lirik di tapak tangan. Beliau mengakui melakukannya kerana sukar untuk menghafal lagu tersebut. Namun demikian kerana terlalu gugup, beliau tidak pun melihat lirik di tapak tangan tersebut. Sungguh bijak alasan tersebut. Dulu-dulu masa belajar, kalau ditangkap meniru ataupun menipu dalam peperiksaan boleh dibuang universiti. Merayulah kepada Lembaga Disiplin, senaraikanlah pelbagai alasan, anda akan tetap dibuang. Sesiapa sahaja yang tertangkap cuba menipu sewajarnya diberikan hukuman yang setimpal.
Adam nampak tenggelam dalam persembahannya kerana tidak memberikan sepenuh tenaganya untuk persembahan. Beliau seharusnya lebih peka dengan keadaan di atas pentas. Terlalu ramai orang di atas pentas menyebabkan beliau nampak tenggelam.
Zahid, menurut Linda Jasmine beliau tidak berapa yakin dengan koreografnya. Beliau agak terlewat daripada penari.
Mas terlalu banyak membuang masa. Lebih-lebih lagi dalam tarian. Cikgu Linda Jasmine sendiri agak kecewa dengan persembahan Mas. Segala tenaga telah disalurkan kepada Mas tetapi hasilnya tidak seberapa. Begitu juga dengan Cikgu Corrie yang telah memberi secukup perhatian kepada pelajar yang lemah seperti Mas. Tetapi Mas membalasnya dengan pelbagai alasan. Sepatutnya sebelum beliau mengalah, beliau harus mencuba. Pada fikiran Mas telah diserapkan dengan perkataan negatif dan beliau tidak berusaha untuk memperbaiki kesilapannya.
Pelajar Contoh
Zahid terpilih sebagai ketua baru dalam Akademi Fantasia. Ia harus dijadikan contoh kepada semua pelajar. Di mata Pengetua Akademi Fantasia, Zahid harus dijadikan contoh. Apa lagi hint yang perlu diberikan kepada penonton agar mereka sedar. Ramli MS mengingatkan para pelajar tentang bagaimana beliau sendiri tidak menyukai cara nyanyian Zahid sewaktu sesi uji suara pada minggu pengenalan di Akademi Fantasia. Walaupun boleh bermain gitar dan bermain drum ianya belum cukup untuk memuaskan hati beliau. Perubahan besar telah ditunjukkan oleh Zahid. Beliau telah memanafaatkan apa yang ada di Akademi untuk menimba ilmu.
Zahid mencemburui rakannya tetapi cemburu yang positif. Ternyata beliau bersyukur dengan apa yang ada di situ lebih-lebih lagi menerima ilmu yang diperolehi dari para tenaga pengajar. Mereka telah memilih jalan tersebut. Mereka harus menempuhnya walaupun banyak cabaran yang datang.
Zarina mengakui memang ada yang tidak kena dengan persembahannya. Tetapi mengharapkan adanya bantuan dari Tenaga Pengajar untuk memperbaiki kesilapan-kesilapan yang dilakukannya. Beliau turut mengakui agak sukar untuk mengubah tabiat yang telah biasa beliau lakukan. Beliau akan menggunakan peluang yang ada untuk mendapatkan setiap ilmu yang ada di Akademi Fantasia.
Bela Diri
Mas sudah cuba untuk melakukan yang terbaik. Beliau tidak berpelajaran. Tiba-tiba disogokkan dengan pelbagai ilmu dalam satu masa. Perubahan ini berlaku dengan begitu mengejut. Beliau memerlukan sedikit ruang untuk diberi sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan mengejut ini.Ya, saya menerima alasan ini. Timbul sedikit rasa simpati kepada beliau. Tetapi sayangnya saya tidak mengundi berdasarkan simpati itu. Memang beliau tidak biasa dengan perubahan ini. Ia berlaku secara tiba-tiba.
Beliau seharusnya sedar dan meletakkan satu garis perbezaan antara kehidupannya sebagai orang biasa dan kehidupan sebagai seorang pelajar. Ia adalah dua perkara yang begitu berbeza. Sebagai seorang pelajar, beliau harus melupakan seketika kehidupan di luar sana. Beliau harus menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajarannya. Beliau perlu melakukan sesuatu untuk memperbaiki dirinya. Beliau harus ingat, dengan ilmu sahajalah, kehidupan seseorang itu boleh berubah.
Lagu Baru
Farah – Ya Maulai oleh Siti Nurhaliza
Mas – Semakin Hari Semakin Sayang oleh Uji Rashid
Bob – I Can See Clearly Now oleh Jimmy Cliff
Zarina – Penantian oleh Bienda
Adam – Keroncong Untuk Ana oleh M.Nasir
Linda – Panti Asuhan oleh Hetty Koes Endang
Kaer – Epilog Cinta Dari Bromley oleh Suhaimi Mior Hassan
Nurul – Ku Mohon oleh Sheila Majid
Zahid – Where Is The Love oleh Black Eye Peas
Rata-rata pelajar menerima cabarannya dengan positif. Farah yang menepuk dahi telah dimarahi Ramli MS. Sewajarnya pelajar menerima cabaran ini dengan positif. Memang sukar, saya akuinya. Dalam masa lima hari perlu mempelajari segala-galanya tentang lagu itu. Minggu ini kebanyakan lagu yang terpilih adalah lagu-lagu yang kurang popular tetapi sedap didengar. Lagu yang biasa kita dengar hanyalah lagu Penantian dan Where Is The Love. Nurul tentunya bakal menempuh laluan sukar berhadapan dengan komen-komen dari seorang peminat setia Sheila Majid seperti saya. Blogger seperti Taufiq dan saya tentunya menantikan persembahan Nurul. Begitu juga dengan Kaer yang menerima lagu Epilog Cinta Dari Bromley. Seperti Adam yang tidak pernah terfikir akan dapat membawakan lagu Keroncong Untuk Ana. Sebuah lagi lagu nostalgia yang membawa terlalu banyak kenangan untuk diingati semula. Zahid menyukai lagunya dan juga meminati penyanyi asal lagunya.
Happy Birthday Ayah Zarina dan Semoga Selamat Menjalani Pembedahan Ayah Linda
Zarina mengucapkan Happy Birthday buat bapanya dan Linda amat berharap agar pembedahan bapanya berjalan dengan lancar. Beliau turut berdoa agar semuanya selamat.
0 komen