Imbasan Akademi Fantasia VI
Bersama Hetty Koes Endang
Kita dapat bersama dengan Hetty Koes Endang yang merupakan salah seorang pengkritik profesional pada Konsert VI. Menurutnya, satu kelainan yang ada pada Akademi Fantasia ialah ianya sebuah pertandingan nyanyian yang bukan sahaja nyanyian tetapi diselitkan dengan cabaran juga. Beliau amat berbangga dan tabik kepada pencetua idea sebegini. Nyanyian kini bukan dianggap taboo sebaliknya dijadikan satu karier.
Kedua belas orang pelajar itu amat beruntung kerana dapat terpilih dari 4000 yang datang ujibakat. Dalam masa seminggu mereka harus menghafal lirik, mempelajari melodi dan menerima kejutan-kejutan yang hadir.
Beliau turut menasihatkan pelajar agar tidak takut dengan nada tinggi.
Pertandingan ini bergantung kepada undian SMS. Tetapi beliau turut mencadangkan agar sewaktu Konsert Final pendapat juri profesional turut diambil kira untuk penentuan juara. Walaupun penggunaan SMS sebenarnya bertujuan untuk mengajar dan membuka pemikiran penonton untuk memilih yang terbaik bukan sekadar simpati dan rupa.
Menurut Hetty juga, kesemua pelajar telah memberikan kualiti yang bagus dalam masa satu minggu. Daya ingatan mereka amat bagus kerana mampu menghafal lagu tersebut serta mendapatkan jiwanya. Lebih mengkagumkan semangat mereka untuk menyanyikan lagu keroncong.
Nasihat terakhir dari beliau ialah agar kesemua pelajar tidak cepat merasa puas dengan apa yang diperoleh.
Bersama Mohd Sofiyan Abd Rahman
Apakah demam ini akan berterusan setelah tersingkirnya Zarina. Pada pandangan saya, fenomena tersingkirnya Rosma amat berbeza dengan penyingkiran Zarina. Sewaktu penyingkiran Rosma, rata-rata penonton tidak menjangka ia akan berlaku tetapi sebaliknya sewaktu penyingkiran Zarina. Saya sudah boleh menjangkakan ianya akan berlaku. Fenomenanya bakal tidak sehebat Rosma. Ianya masih bergantung kepada penonton. Menurut Mohd Sofiyan sendiri, dinilai pada jumlah undia yang diterima dari satu minggu ke satu minggu membuktikan yang rakyat Malaysia sedang demam.
Bijak itu boleh dinilai dari pelbagai aspek, bijak dari segi bakat, membantu pelajar yang lemah serta dinilai dari perwatakan pelajar. Agak sukar untuk menelah selera penonton kerana masing-masing mempunyai selera yang berbeza. Memang sukar. Pada pandangan saya ini pertandingan populariti. Penonton masih belum mampu untuk menilai mana yang kaca mana yang permata. Tetapi mereka masih boleh dididik untuk mencapai objektif pencarian bakat yang diadakan oleh pertandingan ini.
Kebenaran dan kesahihan keputusan SMS pertandingan ini adalah berdasarkan 100% SMS. Tiada tangan-tangan ajaib yang membuat kacau.
Dinilai daripada respons yang diterima sewaktu raptai, suasananya agak berbeza. Hampir ribuan penonton tidak dapat memasuki ke dewan konsert kerana tempat yang terhad. Untuk mengelakkan kesesakan, bayaran tiket dilaksanakan. Ada penonton yang kecewa kerana tidak mendapat tiket dan tidak dapat masuk membuat kacau di luar dewan dan mengganggu konsentrasi pelajar.
Mulai pada minggu ketujuh, raptai tidak dibuka untuk orang ramai dan ia adalah keputusan muktamad yang dibuat oleh pihak pengurusan.
Bersama Zarina
Beliau sebenarnya sudah bersedia dari awal kerana semuanya bergantung kepada undian SMS.
Beliau merasa agak terkilan kerana tidak dapat terus menimba ilmu di Akademi Fantasia. Beliau sudah melakukan yang terbaik dan ia merupakan keputusan yang sukar dijangkakan. Apa sahaja kemungkinan boleh berlaku.
Dua sahabat yang beliau akan terasa kehilangannya ialah Linda dan Zahid. Linda amat rapat dengan beliau dan sering meluahkan perasaan kepadanya. Zahid seorang yang happy sering membuat mereka ketawa.
Seperti disengajakan, Aznil menyerahkan satu kalung pemberian Linda kepada Zarina. Zarina yang agak sedih dan tidak berkata apa-apa. Lama-kelamaan air matanya mengalir. Sememangnya adegan tersebut agak menyentuh perasaan Zarina dan juga penonton yang menontonnya.
Sewaktu ditanya tentang gelaran pelajar contoh yang diberikan oleh Pengetua Ramli MS pada awal minggu, Zarina tidak dapat memberi komen. Beliau kelihatan agak sedih.
Perubahan yang berlaku pada Zarina agak besar berbanding pelajar lain. Bermula dengan Mencintaimu, beliau dengan bersahaja telah menarik perhatian penonton untuk mengetahui kisah sebenar percintaannya dengan Khai. Awallah Dondang beliau menerima standing ovation dari Kudsia yang dianggap terlalu pilih kasih oleh sesetengah penonton. My Immortal menguji penguasaan bahasa Inggeris beliau yang pertama kali mendendangkan lagu Inggeris. Satu Cinta Dua Jiwa memperlihatkan kehebatan beliau menari tarian moden dan kesungguhan beliau untuk melarikan diri dari imej Siti Nurhaliza. Empat konsert terawal merupakan konsert yang mana beliau sering diasak dengan pertanyaan dan persoalan tentang Khai oleh Aznil. Pulangkan menerima pujian hebat dari penonton kerana berjaya memberikan sebuah persembahan yang memukau serta menerima kejutan dari Sahri yang mana rata-rata penonton mengharapkan Khai menyanyi bersama beliau. Penantian merupakan konsert terakhir beliau bersama Akademi Fantasia dan merupakan kejutan biasa yang sepatutnya sudah kita jangka akan berlaku dalam Akademi Fantasia.
Menurut Aznil, satu maklumat terbaru tentang lagu Dambaan Pilu yang sebenarnya ditulis oleh Adnan Abu Hassan untuk Khai tetapi berlatarkan kisah cintanya dengan Zarina.
Trend Pengundian
Trend pengundian semakin menunjukkan yang Mas semakin tidak disukai oleh penonton. Walaupun beliau antara pelajar yang membuat persembahan awal, tetapi undi tidak masuk banyak dan berpihak kepadanya. Strategi pengundian juga memainkan peranan yang penting. Sesetengah penggemar pelajar akan menunggu sehingga konsert untuk mengundi kerana berpendapat pada waktu tersebut penggemar pelajar lain tidak akan dapat melihat peratus undian saingannya. Ia merupakan satu strategi yang bijak. Begitu juga para penggemar pelajar lebih berminat untuk mengundi setelah menonton persembahan. Ini sewajarnya keputusan yang kurang bijak kerana ada undian yang tidak masuk dan hanya akan dikira setelah proses undian ditutup. Akibatnya, undian hanya dikira dan dimasukkan ke minggu seterusnya. Ini terbukti setelah melihat undian untuk Zahid, Nurul dan Linda yang agak tinggi dan mereka membuat persembahan terakhir sewaktu konsert. Undian mereka tidak masuk dan masuk ke minggu seterusnya. Bagaimana dengan undian SMS Zarina yang tidak masuk ?
Kedudukan Selepas Konsert
Linda 12%
Zahid 12%
Bob 11%
Farah 11%
Nurul 11%
Kaer 11%
Adam 11%
Mas 11%
Zarina 10%
Sejurus Selepas Konsert
Zahid 20%
Nurul 19%
Linda 15%
Bob 11%
Farah 11%
Kaer 9%
Adam 8%
Mas 8%
0 komen