Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 02 August 2004

Akademi Fantasia IIDiari Akademi Fantasia 09-01-02

Seperti kebiasaan, sehari selepas penyingkiran merupakan hari yang agak membosankan. Hari-hari yang terlalu banyak melibatkan emosi dan melibatkan aktiviti luar.

Memilih seorang Pakar Motivasi untuk membacakan surat wasiat adalah langkah yang tidak bijak. Cara pembacaan Dr. Sher Kawi amat tidak kena dengan emosi pelajar. Semacam tiada human touch pada pembacaan tersebut. Ini berbeza sekiranya di kalangan pelajar yang membacakannya.

Happy Birthday Bob
Ini kali ketiga beliau menyambut hari lahirnya. Agak keterlaluan saya merasakan kerana terlalu banyak kejutan untuk beliau dan juga sesetengah pelajar. Seperti berlaku ketidakadilan dalam pembahagian kejutan. Sesetengah pelajar mendapat terlalu banyak kejutan dan sesetengah pelajar tidak mendapat langsung.

Di Dapur Bersama Kaer, Adam, Bob dan Zahid. Pelajar Perempuan ?
Pelajar lelaki pula yang sibuk di dapur menyiapkan jus buah-buahan untuk pelajar dan tenaga pengajar. Kenakalan Adam dan Zahid memang terserlah di dapur. Mereka yang pada mulanya menyiapkan jus tembikai mencuba ramuan lain dengan menambahkan sedikit limau ke dalam jus tembikai itu. Tidak cukup dengan itu, Adam mendapat idea untuk menambahkan epal tanpa dikopek terlebih dahulu.

Mumia
Aktiviti sebegini hanya sekadar untuk menceriakan pelajar yang masih kesedihan kerana penyingkiran Linda. Keceriaan masing-masing semakin terserlah apabila bilangan pelajar semakin sedikit. Tumpuan kamera lebih terfokus ke arah setiap pelajar dan dapat memberi peluang kepada pengundi untuk menilai mereka. Adam dan Zahid semakin nakal.

Bersama Pengetua
Hari ini tiada komen daripada Pengetua tentang persembahan mereka pada minggu lepas. Mungkin juga kerana ada pujian untuk Mas, itulah sebabnya ianya tidak ditayangkan. Untuk lebih adil, kesemua pelajar tidak ditunjukkan.

Lagu Bonus
Greatest Love Of All
Main Shaayar To Nahin
lirik lagu

Adam – Bila Larut Malam oleh Saloma
Adam tidak seharusnya sedih dengan lagu ini. Beliau ada kelebihan kerana boleh menari dengan baik. Liriknya juga banyak pause yang membolehkan Adam mengambil nafas yang panjang.

Zahid – Cek Mek Molek oleh Dato’ M Daud Kilau
Oleh kerana suka untuk meniru gaya nyanyian, beliau menerima cabaran paling hebat untuk lagu ini. Inilah lagu yang sering disebut-sebut untuk diberikan kepada Zahid. Khabarnya jika Zahid berjaya mendendangkan apa sahaja lagu Dato’ M.Daud Kilai ini dengan baik, barulah beliau boleh dianggap versatile.

Farah – Mengapa oleh Nicky Astria
Farah menggemari lagu ini dan ada dalam pilihannya dan tentunya tiada masalah untuk Farah memberikan persembahan yang terbaik untuk lagu tersebut.

Kaer – Fantasia oleh Hazami
Lagu ini merupakan lagu pilihan Kaer dan akhirnya beliau berjaya menerima lagu ini. Tiga minggu beliau dicabar dengan lagu bukan pilihannya tetapi beliau meneruskan cabaran tersebut. Akhirnya beliau menerima sebuah lagu R&B.

Bob – Laguku Untukmu oleh Hasnol
Kekuatan vokal dan penghayatan merupakan kunci lagu ini. Sebuah lagu cinta yang perlu Bob sampaikan dengan penuh jiwa.

Mas – Aku Cinta Padamu oleh Sheila Majid
Sheila Majid ! Diva saya. Sheila Majid ialah diva yang sebenar-benarnya. Sebuah lagu berjiwa yang perlu penuh penghayatan. Dari segi penghayatan Mas sememangnya tiada masalah. Beliau berkemampuan untuk melakukannya.

Adam Merajuk: Be Positive
Adam tidak sewajarnya menangis kerana mendapat lagu yang bukan kesukaannya.
Adam yang agak kecewa melihat kedudukannya sewaktu sebelum Konsert VIII merasa terganggu dengan situasi tersebut. Air mata memang senjata seorang wanita sehingga mampu membuatkan para pengundi mengundi. Kejujuran juga mampu memperdayakan. Kecerdikan juga mampu diperbodohkan. Alasan juga mampu meranapkan.
Adam seharusnya menerima cabaran ini dan melakukannya dengan terbaik bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Adam seharusnya memulakan detik pertama menerima lagu tersebut dengan positif. Terus berusaha memahami melodi lagu tersebut dengan gigih. Bukan sekadar ambil sikap acuh tidak acuh dengan lagu tersebut. Seorang penghibur yang cemerlang, tahu apa yang mereka mahu. Bukannya buat-buat tidak tahu.

Adam seharusnya cuba untuk menjadi lebih baik dari setiap minggu ke setiap minggu. Perubahan itu yang kita mahu lihat pada diri Adam. Cabaran sebagaimana hebat pun perlu Adam tempuh untuk meneruskan kemaraannya ke minggu kesepuluh. Menurut nasihat Cikgu Fauziah Nawi, Adam perlu melakukan yang terbaik. Sekiranya gagal, beliau telah keluar dengan bermaruah. Pukaukan penonton dengan tarian yang mampu Adam berikan. Jangan takut untuk melakukan kesilapan tetapi biarlah kita sedar kesilapan kita.