Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 07 August 2004

Akademi Fantasia IIKonsert IX Akademi Fantasia: Semoga Dimurahkan Rezeki

Main Shaayar To Nahin 7/10
Sebuah lagu yang biasa tetapi kurang menghiburkan. Elemen kekaguman tidak berjaya ditonjolkan melalui lagu ini. Saya lebih menyukai terjemahan ke bahasa Melayu lagu ini berbanding bahasa Urdu. Kekurangan lagu ini bermula dengan elemen lakonan yang kurang menjadi dan tidak menyengat tidak seperti pembacaan puisi Mata Ayah untuk lagu Jangan Pisahkan.

Kedudukan Sebelum Konsert
Adam 19%
Zahid 17%
Bob 16%
Mas 16%
Kaer 16%
Farah 16%

Pengkritik Profesional
Eksploitasi Pak Abas Macam-Macam Ada merupakan satu yang agak memalukan. Bukan itu caranya untuk mengundang tawa penonton. Tempat Pak Abas bukannya di situ jika sekadar untuk mengurangkan ketegangan malam tersebut. Cukuplah Pak Abas sekadar menjadi penonton sudah memadai. Tidak cukup dengan penampilannya sebagai pengganti Misha Omar, sekali lagi Pak Abas diundang untuk hanya sekadar meluahkan perkataan Macam-Macam Ada. Membuat rakaman juga sudah memadai. Apa gunakan skrin yang besar jika sekadar memaparkan animasi. Keadaan fizikal dan kesihatan Pak Abas juga perlu diambil kira. Misha Omar yang menggantikan Pak Abas mengambil tempat dalam keadaan yang agak kelam-kabut. Pak Abas tiada pembantu yang membantu beliau. Komen-komen dari Misha Omar agak menjaga hati dan tidak begitu telus. Begitu juga dengan Jalaluddin Hassan yang ternyata lemah dengan perempuan.

Persembahan Pelajar
Akademi Fantasia IIZahid – Cek Mek Molek 8.8/10
Mengapa saya kurang memberi markah kepada lagu ini ? Sebabnya kerana beliau tidak membawakan lagu ini dengan identity yang tersendiri. Segala-galanya ditiru, dari cara berpakaian hinggalah kepada gigi emasnya. Kalau sekadar parodi ia adalah satu yang sukar untuk diterima.

Kejutan yang diterima oleh Zahid juga amat melampau dan bertubi-tubi. Mewujudkan ketidakadilan kepada pelajar lain. Lepas satu satu kejutan yang beliau terima walaupun ada di antara pelajar lain yang jarang mendapat kejutan.

Showmanship yang dipersembahkan oleh Zahid juga bagus begitu juga dengan keyakinannya yang semakin menyerlah setiap minggu. Beliau mampu membawakan pelbagai rentak dengan jayanya. Berilah apa sahaja lagu, beliau membawa lagu tersebut dengan acuannya yang tersendiri. Sayangnya, persembahan pada minggu ini agak kurang sedikit berbanding minggu-minggu yang sebelumnya. Zahid tidak berpeluang untuk menggunakan ideanya untuk membawa lagu ini mengikut gayanya kerana terikat dengan nasihat Pengetua Ramli MS. Kemunculan Dato’ M. Daud Kilau mengganggu sedikit tumpuan Zahid yang terkejut dengan kemunculan tersebut. Sebuah persembahan yang hebat tetapi bukan untuk Kemuncak Konsert. Zahid mampu melakukan lebih daripada apa yang dipersembahkan malam itu pada minggu hadapan.

Akademi Fantasia IIFarah – Mengapa 9/10
Kejutan yang dipaparkan di skrin besar mempamerkan kematangan diri Farah. Cara beliau menerangkan kepada Adam jelas matang dan berfikiran lebih jauh lebih daripada Adam yang nampak sangat sempit dan singkat. Farah bijak menangkis kata-kata harapan tinggi (baca:sombong) dari Adam sehingga Adam sendiri terdiam. Kematangan inilah yang jarang ada pada seorang yang usianya lebih muda berbanding pelajar lain.

Segalanya cukup dalam persembahan Farah. Beliau membawakan lagu ini bermula dengan nada rendah sehinggalah yang paling tinggi dengan berkeyakinan tinggi serta selesa. Selesa dengan lagu tersebut telah melonjakkan keyakinan beliau dalam melontarkan vokalnya dengan bersahaja. Penonton terpukau dengan persembahan Farah. Saya suka cara Farah membawa lagu tersebut secara yang amat dinamik menuju puncaknya. Momentum persembahannya terkawal dengan baik oleh Farah. Lebih menarik apabila showmanshipnya kena sangat dengan melodi lagu tersebut. Ia amat memadai iaitu tidak berlebihan dan tidak kurang. Ekspresi wajah beliau juga difokuskan untuk menyampaikan mesej lagu tersebut dengan berjaya.

Tunjang utama kekuatan persembahan Farah ialah apabila beliau berjaya membawa nada rendah lagu tersebut dengan cemerlang. Segala masalah dan kelemahan beliau pada minggu-minggu sebelum ini telah diatasi oleh beliau dengan jayanya. Beliau mampu pergi lebih jauh dengan kemantapan vocal yang beliau ada sekarang.

Akademi Fantasia IIKaer – Fantasia 8.5/10
Saya cuba membuang imej Hazami dalam lagu ini. Ternyata saya berjaya. Saya buang jauh-jauh imej Hazami dan cuba membayangkan Kaer menyanyikan lagu tersebut. Jika digandingkan Hazami dan Kaer menyanyikan lagu ini, sudah pasti saya akan lebih menumpukan perhatian untuk Kaer. Kaer membawakan lagu ini dalam keadaan yang lebih selesa. Beliau tidak tertekan cuma sedikit tercungap-cungap pada penghujung lagu tersebut. Saya suka dengan koreograf tarian yang ditarikan oleh Kaer. Nampak lebih professional dan pergerakannya indah serta selari dengan penari latar tanpa banyak kesilapan. Beliau membawakan lagu ini dengan gayanya yang tersendiri serta penggunaan teknik yang memadai untuk mencantikkan lagi lagu tersebut.

Tumpuan saya banyak terfokus kepada tarian Kaer yang agak menarik pada minggu ini. Vokal beliau masih boleh dibaiki dan tidak banyak yang boleh diubah kerana sela vocal yang tidak besar. Kaer perlu mendalami teknik-teknik nyanyian dan teknik vocal untuk menvariasikan lagi nyanyiannya. Tanpa teknik, nyanyiannya akan menjadi hambar. Kaer perlu meningkatkan prestasi beliau pada showmanship dan gerak pentas untuk mengumpan perhatian penonton. Penguasaan pentasnya untuk lagu ini sememangnya hebat. Beliau nampak selesa dengan lagu pilihannya itu.

Akademi Fantasia IIBob – Laguku Untukmu 7.2/10
Sebuah persembahan yang hambar dari Bob. Bob cuba untuk menghayati lagu tersebut dengan baik tetapi sayangnya mesej tersebut tidak berjaya sampai ke penonton dengan baik. Beliau telah membawakan lagu tersebut dengan gayanya yang tersendiri tetapi kesilapan terlupa lirik bukan sekali, bukan dua kali telah merosakkan sedikit persembahannya. Saya tidak faham apa masalah Bob bila mana seringkali terlupa lirik apabila membuat persembahan. Mungkin juga di penghujung-penghujung minggu keyakinannya sedikit terganggu kerana menghadapi saat-saat penyingkiran pelajar lalu emosinya tidak begitu konsisten.

Beliau mempunyai vocal yang mantap. Kelunakan dan kemerduan suaranya memang tiada tandingan. Sayangnya keyakinan diri seringkali menggugat beliau untuk memberikan sebuah persembahan yang penuh emosi. Beberapa kali beliau gagal mendapatkan emosi tersebut. Nyanyiannya tidak datang dari hati yang jujur dan nampak begitu dibuat-buat. Sebuah lagu yang menarik tidak berjaya disampaikan dengan penuh emosi oleh Bob. Namun demikian, ekspresi wajah beliau walaupun tidak begitu asli datang dari hati, beliau telah berjaya memberikan satu gambaran ekspresi melalui mesej lagu tersebut dengan berjaya.

Akademi Fantasia IIAdam – Bila Larut Malam 8.3/10
Tangisan Adam pada awal minggu menerima lagu Bila Larut Malam sememangnya meresahkan sebilangan pengundi-pengundinya. Beliau berjaya mengumpan tangisan tersebut dan menggantikannya dengan SMS dan ternyata berjaya menduduki takhta Carta Kedudukan Sebelum Konsert. Adam yang ternyata tidak selesa dengan lagu tersebut telah mendapat semangat dari Cikgu Fauziah Nawi serta kumpulan KRU pada minggu tersebut. Semangat beliau semakin melonjak dengan kehadiran Seniman Aziz Satar yang muncul sebagai kejutan untuk mengumumkan persembahannya.

Kekuatan utama persembahan Adam ialah penguasaan pentas Adam yang semakin bertambah baik. Beliau mempunyai karisma yang tinggi sebagai seorang penghibur tetapi bukan sebagai Juara Akademi Fantasia. Tumpuan penonton terpaku melihat persembahannya dari awal sehingga akhir tanpa jemu. Satu perkara yang harus dipuji ialah kemantapan vocal beliau pada minggu ini yang begitu jauh berbeza dari minggu-minggu yang sebelum ini. Beliau berjaya mengawal vocal beliau dengan baik. Saya melihat kesungguhan Adam untuk memuaskan hati penonton dan telah memberikan sebuah persembahan yang baik. Memberikan satu jiwa baru pada susunan muzik lagu ini untuk terus menjadi ikutan oleh para generasi baru. Kelebihan itulah yang telah dipergunakan oleh Adam untuk membawa lagu ini dengan baik.

Akademi Fantasia IIMas – Aku Cinta Padamu 7/10
Ini persembahan terbaik Mas. Saya cuba memberikan tumpuan kepada setiap saat persembahannya. Benar dan sememangnya benar beliau mempunyai vocal yang unik tetapi sayangnya beliau tidak menggunakannya dengan baik. Kelemahan utama Mas ialah kesungguhan beliau mengawal pengeluaran vokalnya dengan bijak serta terancang. Saya lebih menyukai apa yang dipersembahkan oleh Mas sewaktu sesi latihan dengan Cikgu Adnan Abu Hassan. Interaksi beliau dengan kamera amat baik dan beliau berjaya membawa penonton untuk menikmati persembahannya. Menyanyi sambil berdiri sememangnya agak sukar apabila sebuah lagu tersebut mempunyai bridge yang agak panjang. Mas hilang fokus sewaktu bridge lagu tersebut. Ekspresinya hilang seketika dan penghayatannya pergi. Mas harus serius menyiapkan kerjanya sehingga selesai untuk menghasilkan sesuatu yang cemerlang. Sayang, bakat yang ada tidak dipergunakan dengan betul.

Sebagai seorang pelajar Akademi Fantasia, Mas ialah antara pelajar yang paling kurang mendapat kejutan berbanding Zahid dan Kaer. Tidak seperti mereka yang bertubi-tubi menerima kejutan untuk menaikkan semangat mereka serta cubaan untuk mempopularkan pelajar tersebut. Kejutan untuk Mas hanya kemunculan keluarga Mas yang diterbangkan dari Tawau untuk bertemu Mas di Konsert II. Klip video untuk Mas sebelum persembahan juga tiada sejak dua minggu kebelakangan ini. Ia merupakan satu perkara yang amat mengecewakan. Sekurang-kurangnya disuntik semangat baru untuk Mas dengan ucapan dari Sheila Majid ataupun Datuk Sharifah Aini pada minggu lepas.

Akademi Fantasia II
Greatest Love Of All 8/10
Tunjang utama persembahan ini tentu sekali milik Farah. Walaupun persembahan ini tidak sehebat Memories ia tetap sebuah persembahan yang menghiburkan. Rata-rata penonton hanya memberikan focus kepada Farah melontarkan vocal beliau di bahagian tinggi serta dibantu Zahid dan Kaer sekali-sekala.

Akademi Fantasia IIMenuju Puncak
Debaran semakin kencang. Semangat Menuju Puncak semakin dirasai apabila terpancar di skrin besar keduabelas orang pelajar Akademi Fantasia menari bersama-sama dalam satu koreograf yang sama untuk lagu Menuju Puncak. Pancaran skrin jelas membayangkan yang salah seorang dari pelajar tersebut walaupun telah bergelar bintang dan berada di bawah mampu untuk turut sama memeriahkan Kemuncak Konsert minggu hadapan. Persembahan terakhir mereka berenam dengan lagu Menuju Puncak seakan tidak dipedulikan kerana keputusan penyingkiran lebih penting untuk diketahui. Menggunakan konsep American Idol, Aznil Hj Nawawi memberikan satu senario baru kepada Akademi Fantasia. Dipanggilnya seorang demi seorang untuk berdiri saling bergandingan sambil keputusan dibacakan. Debaran semakin kencang apabila nama Adam dan Bob diumumkan untuk tampil ke hadapan. Jeritan nama Adam seakan-akan menidakkan peluang Bob. Bob hanya tersenyum pahit. Dalam debaran, nama Adam diumumkan untuk mara ke peringkat akhir pada minggu hadapan. Kaer kemudiannya dipanggil untuk menyertai Bob. Sekali lagi jeritan nama Kaer meresahkan Bob. Emosi Bob sememangnya terganggu. Mujur nama Bob diumumkan untuk terus mara ke peringkat akhir. Kerisauan Kaer sedikit reda apabila nama Farah diumumkan untuk menyertainya di sebelah Kaer sebelum pengumuman dibuat. Memang meresahkan. Debaran semakin kencang. Kedua-duanya saya mahu mereka berada di Kemuncak Konsert minggu hadapan tanpa ada alasan yang menidakkan peluang mereka. Mereka kemudiannya diumumkan untuk mara ke peringkat seterusnya bersama-sama. Jelas terbayang wajah lega pada kedua-dua wajah tersebut. Kegembiraan mereka hanya dapat diekspresikan melalui pegangan erat tangan-tangan mereka. Memang saya merasai kekurangan pada Akademi Fantasia kali ini dimana tiada pelukan-pelukan kegembiraan dilakukan pada musim ini. Tinggal satu sahaja tempat untuk terus mara ke minggu hadapan.

Antara Mas dan Zahid.

Zahid, persembahannya konsisten dan bakatnya terserlah dari setiap minggu. Perubahannya besar. Keyakinannya bertambah. Cuma asas pengundinya kurang dan tidak begitu kukuh kerana itu kedudukannya tidak begitu sentiasa selesa walaupun persembahannya hebat.

Mas, punya vokal yang unik tetapi tidak memaksimakan kelebihan itu untuk berada di puncak. Simpati penonton yang menilai tinggi bakatnya sememangnya sukar digugat. Katalah apa sahaja. Mas tetap diva di mata mereka.

Penonton sudah seakan tidak sabar untuk mendengar nama Zahid diumumkan sebagai peserta terakhir layak ke Kemuncak Konsert minggu hadapan. Jantung hampir luruh apabila Aznil mengucapkan Tahniah kepada Mas yang hanya mampu bertahan sehingga Konsert IX.

Akademi Fantasia II
Quote of The Day : Semoga Dimurahkan Rezeki !

Satu kenyataan yang datang dari hatinya yang jujur dan bersih. Buat Mas, jujur sahaja tidak cukup untuk menjadi seorang penghibur yang berjaya. Anda harus melengkapkan diri anda dengan ilmu untuk terus dihormati sebagai seorang penghibur serba-boleh. Menyingkap kata-kata Misha Omar, sekiranya Mas diberikan sedikit lagi masa tentunya beliau mampu membuktikan kepada seluruh penonton yang ingin beliau membuktikan kata-kata itu.

Kejutan AFMASUK
Satu yang mengejutkan. Saya sememangnya tidak bersetuju dengan AFMASUK walaupun mengharapkan Linda atau Zarina beraksi semua di Kemuncak Konsert Akademi Fantasia II.

AFMASUK sekiranya diteruskan, diharapkan hanya sekadar untuk memilih seorang bintang untuk beraksi bersama-sama Lima Pilihan Terbaik di Kemuncak Konsert. Kemunculan Bintang AFMASUK Akademi Fantasia hanya sebagai faktor hiburan untuk menceriakan lagi malam tersebut. Bintang AFMASUK tidak turut bertanding bersama-sama Lima Pilihan Terbaik sedia ada.

Bintang AFMASUK hanya membuat persembahan bersama-sama mereka. Mendapat sebuah lagu baru, menyanyi sebuah lagu lama, menari lagu Menuju Puncak dan bersama-sama bintang Akademi Fantasia yang lain untuk sebuah lagu bonus. Itu lebih sesuai.

Saya memikirkan perasaan pelajar yang terpilih ke peringkat akhir. Tentunya merasa tercabar dengan keputusan tersebut. Keadilan kepada pengundi-pengundi mereka juga seakan tercalar.

Sekiranya peraturan boleh diubah, maka tidak mustahil perubahan kepada sistem penjurian juga boleh diubah. Tuntutan dari penonton setelah melihat berlakunya perubahan drastik kepada peraturan pertandingan bakal menyebabkan tuntutan yang lebih hebat lagi.

Saya memilih untuk AFMASUK ZARINA dan AFMASUK LINDA. Persaingan hebat tentunya antara mereka berdua. Hanya itu pilihan saya. Jikalau boleh AFKELUAR, saya mahu AFKELUAR ADAM.

Persembahan Terbaik SM
Farah – Mengapa 9/10
Zahid – Cek Mek Molek 8.8/10
Kaer – Fantasia 8.5/10
Adam – Bila Larut Malam 8.3/10
Greatest Love Of All 8/10
Bob – Laguku Untukmu 7.2/10
Main Shaayar To Nahin 7/10
Mas – Aku Cinta Padamu 7/10

Nota: Nantikan Menilai Peningkatan Enam Pelajar ke Kemuncak Konsert Akademi Fantasia dan Anugerah Akademi Fantasia.