Gathering Adam D'Greatest Fan Club
Majlis Pelancaran Laman Web Rasmi Adam telah dilangsungkan di Saloma Bistro dalam suasana yang agak gemilang. Banyak masa yang telah dihabiskan untuk melaksanakan program sebegini. Beberapa kejutan telah diberikan untuk Adam iaitu majlis tersebut yang dirahsiakan daripadanya, kehadiran ESdCo yang terbang dari Kota Kinabalu Sabah begitu juga kedua ibu-bapa Adam yang diterbangkan dari Sabah sebagai kejutan untuk Adam.
Saya sempat bertemu dengan Pengendali Laman Web tersebut iaitu SulamanWeb. Topik perbincangan kami banyak berkisar tentang kandungan sesuatu laman web. Laman web bukan sekadar grafik tetapi juga kandungan serta berita. Tanpa cerita sesuatu laman web hanya lakaran grafik tanpa cerita-cerita yang lengkap. Beliau mengharapkan saya dapat memberikan kerjasama untuk menambah-nilaikan kandungan di dalam laman web Adam. Saya suka untuk bekerjasama untuk tujuan tersebut. Saya mengharapkan agar mendapat kerjasama dari semua pihak termasuk Maestro dan pengurusan peribadi Adam untuk melicinkan proses pembangunan kandungan di laman web tersebut. Saya akan diberikan kata pengguna dan kata laluan untuk ke sistem kemaskini laman web tersebut. Sama-sama membangunkan laman web Adam jika ada kelapangan. Siapa kata sultanmuzaffar anti-Adam.
Perjalanan Majlis
Siapa yang tidak mahu bergambar dengan bintang kesukaan mereka. Semua orang mahu. Tetapi tidak semua yang memahami keadaan majlis serta menghormatinya. Keadaan menjadi agak sukar untuk dikawal apabila ramai berebut-rebut untuk bergambar dan mendapatkan tandatangan Adam dan bintang yang lain seperti Zahid dan Farah.
Dalam keadaan tersebut, tanpa mereka sedari Adam, Zahid dan Farah tidak sempat menjamah makanan kerana melayan karenah peminat mereka.
Perjalanan majlis cuba dikawal sebaik mungkin oleh para petugas dengan harapan majlis dapat berjalan dengan lancar. Memang agak sukar untuk memuaskan semua pihak. Jalan yang terbaik ialah melakukan sesuatu yang kita fikir betul dan baik untuk semua.
Peranan semua peminat adalah untuk memastikan pertalian kumpulan ini menjadi semakin kuat dan bukan untuk meleraikan ikatan yang telah sedia ada. Sama-sama kita menjaga rumah kita sendiri.
Tahniah kepada Ahli Jawatankuasa Adam Fan Club kerana usaha tersebut.
Teks Ucapan Gathering Adam Fan Club (Edited Version)
Pertamanya saya ingin mengucapkan tahniah kepada ahli jawatankuasa yang telah bertungkus-lumus menjayakan aktiviti sebegini. Kerja secara sukarela ini wajar saya puji kerana ia dihasilkan secara kolektif dengan semangat kerjasama yang kuat antara kita semua, peminat-peminat Adam khasnya. Hasilnya sungguh membanggakan.
Terima kasih kepada Adam dan bintang-bintang Akademi Fantasia yang lain kerana sudi hadir ke majlis ini. Peluang ini boleh digunakan untuk merapatkan lagi hubungan Adam bersama pengundi-pengundinya.
Terima kasih kepada pihak pengurusan iaitu Maestro yang banyak membantu dalam menjayakan program ini.
Sudah hampir empat tahun saya menulis, belum pernah saya diminta untuk beri ucapan. Ini kali pertama saya perlu menulis dan berucap di hadapan anda semua. Peluang ini tidak akan datang jika tidak kerana Akademi Fantasia. Begitu jugalah dengan Adam "dah empat tahun aku nyanyi rap..." apabila menerima lagu yang bukan pilihannya.
Salah seorang kawan saya mengingatkan saya semalam sewaktu sedang menyiapkan teks ucapan ini. "kau kena berlatih depan cermin, kau pun nak bagi ucapan untuk budak cermin."
Di dalam kebanyakan tulisan saya setiap minggu, Adam dan beberapa yang lain sering menjadi sasaran saya. Niat saya tidak lain selain ingin melihat perubahan yang positif dalam diri mereka. Ia bukanlah kerana saya tidak menyokong Adam juga yang lain-lain. Saya sokong. Ada ketikanya sehingga saya menerima beberapa email bertanyakan sama ada "pembenci Adam" ini akan hadir atau tidak pada hari ini. Saya tidak pun berasa apa-apa. Kerana itu semua hanyalah salah sangka. Suka atau pun tidak, saya akan tetap menyokong kerjaya mereka kesemuanya. Yang penting saya tahu yang sokongan saya dan anda semua terhadap mereka lebih bersifat positif dan bukan sekadar pujian melulu. Saya tidak mahu bintang seperti Adam dan yang lain-lain terus dibuai pujian-pujian manis sehingga merosakkan perkembangan kerjaya mereka.
Apa yang kita lihat pada hari ini hanyalah 10% dari bakat Adam sepenuhnya. Sebagai peminat kita mahu melihat Adam menyerlahkan lagi bakat yang lagi 90% itu. Banyak yang boleh kita lihat dan janganlah kerana berasa selesa dengan keadaan sekarang, bakat yang 90% itu terpendam begitu sahaja. Perbaiki diri untuk menjadi lebih maju dan para peminat Adam akan sentiasa menyokong kerjaya anda.
Nota: Saya membuang perenggan ini kerana merasakan ucapan saya terlalu panjang.
Pertama kali bertemu Adam sewaktu rakaman Carta ERA. Sanggup ponteng dari kerja separuh hari untuk datang ke studio ERA. Dapat jumpa, bukan satu tetapi dua. Mungkin kerana riak muka saya yang agak serius "Abang ni serius sangat lah." Itu perkataan pertama dari Adam yang saya dengar.
Besar harapan saya agar Kelab Peminat Adam ini akan terus berjaya di masa akan datang. Matlamat penubuhannya bukan sekadar berfokuskan sosial semata-mata tetapi turut menjayakan program bercorak kemasyarakatan. Setidak-tidaknya perhubungan Adam dengan peminat-peminatnya akan menjadi lebih rapat dan kerjaya Adam akan terus diberikan sokongan yang padu oleh mereka ini. Sekian, terima kasih.
Foto oleh:
Waiem Fotopages
sultanmuzaffar Fotopages
Terkini:
dari blog seorang sahabat-
Alhamdulillah, ada perkembangan sedikit dalam profesion saya ini. Hishamuddin Rais amat berminat dengan 'Akademi Fantasia' versi saya - sungguhpun amat sukar baginya untuk memberi sebarang compliments.
Jelas, setakat ini pembaca-pembaca saya dari golongan intelek.
Saya faham tidak bermakna sesebuah blog yang mempunyai ratusan komen bermakna hasil tulisannya mendapat perhatian. Komen-komen yang tersiar banyak berkisar tentang rancangan-rancangan untuk keluar makan tengahari dan sembang kosong. Mungkin hanya boleh difahami di kalangan beberapa di antara mereka yang fanatik terhadap penulis tersebut.
Ratusan komen tersebut juga rupa-rupanya dari beberapa orang sahaja. Harapan agar beliau sukses dan terus berkhayal.....
Saya MOHON kerjasama agar memberhentikan segala sembang-sembang kosong di dalam komen blog ini. Harap dapat menggunakan Zonkboard. Ulasan di blog tersebut amat menyakitkan.
0 komen