Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 18 September 2004

Malaysian IdolMalaysian Idol – Final 5
Sri Pentas II

Saya mungkir janji kesetiaan saya pada Akademi Fantasia. Saya mengambil tiket Malaysian Idol di TV3 petang itu. Saya mendapat peluang untuk menonton siaran langsung Malaysian Idol di Sri Pentas II. Teringin juga merasakan bagaimana aksi penonton dan peminat Malaysian Idol.

Fenomenanya biasa sahaja di luar dewan. Tempat duduk untuk penonton bertiket juga kosong dan penonton tanpa tiket (minah karan dan mat rempit Shah Alam) yang menunggu di luar dengan harapan dapat masuk telah pun dibenarkan masuk untuk memenuhkan tempat-tempat kosong.

Legenda oleh Final 5
Satu perkara menarik yang saya suka tentang Malaysian Idol apabila susunan muzik untuk kesemua lagu telah diberi nafas baru serta sentuhan yang unik. Itu yang berlaku kepada lagu Legenda. Satu-satu lagu menjadi begitu segar dan sesuai dengan zaman. Walaupun akan ada komen-komen yang mengatakan perlakuan tersebut akan hanya merosakkan keaslian lagu tersebut tetapi saya merasakan ia adalah satu langkah yang paling sesuai untuk mendekatkan generasi baru dengan lagu-lagu lama serta menambahkan lagi koleksi khazanah muzik tempatan. Namun demikian, adalah lebih menarik lagi sekiranya setiap penyanyi diberi peluang untuk menyanyikan lagu tersebut secara penuh bukan sekadar separuh sahaja.

Kekuatan utama lagu Legenda terletak di bahu Jac. Jac lebih menyerlah dalam lagu tersebut berbanding yang lain-lain. Secara keseluruhan, jiwa lagu ini tidak sampai kepada saya. Itu yang saya rasa. Saya tidak rasa bangga mendengar mereka membawakan lagu tersebut. Memang sukar untuk memuaskan hati saya apabila lagu tersebut penyanyi asalnya Sheila Majid.

Vic – Getaran Jiwa dari filem Antara Dua Darjat (3/5 bintang)
Malam itu bermula dengan agak baik apabila Vic berjaya membawakan lagu Getaran Jiwa dengan penuh penghayatan. Markah utama Vic datang daripada kebolehan beliau membawakan lagu Bahasa Melayu dengan lenggok Melayu yang sedap. Macam Vince dalam Akademi Fantasia. Tidak kedengaran jelas telor-telor Cinanya. Falsetto Vic hebat dan beliau bijak mengawal tempo dan nada vokal beliau dengan baik. Lagu Getaran Jiwa tidak hancur di tangan Vic.

Andrew – Jeritan Batinku dari filem Ibu Mertuaku (1/5 bintang)
Berbeza dengan Andrew apabila lagu Jeritan Batinku seakan-akan menjerit sakit hati mendengar cara pembawaan beliau. Yang saya nampak, beliau sekadar menyanyi untuk melepaskan batuk di tangga. Sekadar cukup syarat. Persembahannya kosong. Penghayatannya jauh tersasar dan tidak kena dengan lagu tersebut. Sebutan beliau juga tidak jelas lalu apa yang beliau nyanyikan tidak kedengaran. Sememangnya persembahan Andrew amat mendatar walaupun beliau menyatakan telah melakukan yang terbaik. Saya tidak merasa sedih melihatkan cara lagu tersebut dibawakan. Jeritan Batinku bukan persembahan terbaik Andrew.

Jac – Tunggu Sekejap dari filem Sarjan Hassan (4.5/5 bintang)
Hebat. Jac bakal merupakan taruhan utama Malaysia di peringkat yang lebih jauh iaitu di World Idol. Tunggu Sekejap dibawakan oleh beliau dengan bersahaja tanpa perlu berusaha keras untuk meyakinkan para juri profesional. Saya suka dengan kawalan vokal beliau yang begitu bersahaja terutamanya pada nada tinggi. Lafaz lirik lagu dinyanyikan dalam stail yang lebih segar dan tidak terikut-ikut dengan melodi asal lagu tersebut.

Persembahannya agak memboasankan. Mungkin kerana tiada perubahan besar yang dilakukan oleh Jac pada saban minggu. Sebabnya mudah kerana setiap minggu Jac menyerlah. Harapan penonton seperti saya mahu melihat perubahan yang lebih lagi pada setiap minggu. Jac sudah menonjol sejak minggu pertama lagi. Kalau diulang semula kata-kata Ramli MS, Pengetua Akademi Fantasia kepada Bob yang mahukan beliau keluar sebagai profesional kerana Bob masuk ke dalam Akademi Fantasia bermula dengan amatur. Itu perubahan serta peningkatan yang ingin saya lihat pada Jac.

Malaysian IdolDina – Jangan Tinggal Daku dari filem Ibu Mertuaku (4/5 bintang)
Dina juga merupakan taruhan terbaik Malaysia untuk World Idol. Di peringkat World Idol, pakej fizikal bukan merupakan fator utama untuk terpilih sebagai Juara. Pakej fizikal hanya menjadi taruhan utama di Malaysia.

Sekali lagi, susunan lagu ini disesuaikan dengan imej rock Dina. Saya tabik spring kepada penyusun muzik lagu ini. Memang hebat ! Lagu Jangan Tinggal Daku menjadi begitu bertenaga sekali. Segar ! Nyanyian Dina hebat pada nada tinggi tetapi masih perlu dibaiki pada nada rendah. Menariknya lagu ini “punch” utama lagu tersebut terletak pada nada rendah. Itu yang kurang dalam persembahan Dina.

Saiful – Bunyi Gitar dari filem Tiga Abdul (1.5/5 bintang)
Saya mengharapkan beliau akan terbang pulang ke Kuching pada minggu ini. Saya merasakan apabila beradanya beliau dalam Final 12 adalah satu perkara yang biasa tetapi agak mengejutkan apabila beliau masih berada dalam Final 5. Showmanship beliau lapuk, koreograf sama tahun 50an macam ada seseorang itu yang gemar sangat membawakan koreograf KRU tahun 1990an. Beri segar pada koreograf lagu tersebut dan bukannya membawakan yang sama seperti zaman dahulu. Persembahan Saiful tidak menonjolkan kekuatan vokal sebenar beliau. Beliau tersilap memilih lagu mungkin cubaan beliau untuk menarik undian penonton menerusi gerak tarinya. Sekali lagi saya tabik pada susunan lagu ini yang diselitkan unsur-unsur broadway. Perubahan vokal Saiful pada tempo dari melodi asal kepada melodi broadway juga tidak dibuat dengan kemas. Kedengaran agak kelam-kabut. Saya petik kata Paul Moss, ini merupakan satu permulaan untuk Saiful. Beliau akan menjadi penyanyi yang popular tetapi bukan yang terbaik.

Liza Hanim – Di Mana Kan Ku Cari Ganti
Persembahan penutup dari Liza Hanim sahaja yang berjaya membawa perhatian penonton kepada zaman kegemilangan Tan Sri P.Ramlee. Penghayatan beliau serta vokal beliau yang mantap telah membawa penonton mengenang kembali bahawa Tan Sri P.Ramlee masih belum berganti. Final 5 yang terdiri daripada pelbagai bangsa yang telah membawakan lagu beliau masih belum layak menjadi pengganti.

Minah Karan dan Mat Rempit Shah Alam telah keluar dari dewan walaupun sebelum siaran langsung itu tamat. Tindakan mereka seakan-akan tidak pernah menghadiri satu majlis yang disiarkan secara langsung dan tidak menghormati penonton yang lain. Itu sebab saya panggil Mat Rempit dan Minah Karan.

Ranking Persembahan Terbaik
Jac 4.5/5 bintang
Dina 4/5 bintang
Vic 3/5 bintang
Saiful 1.5/5 bintang
Andrew 1/5 bintang

Ramalan Bottom III dan Result Show
Saya meramalkan Vic, Saiful dan Andrew akan tersenarai sebagai Bottom III pada minggu ini. Apa sahaja kemungkinan boleh berlaku jika rakyat Malaysia tidak menjalankan tugasnya. Besar kemungkinan Andrew tersingkir pada minggu ini. Saya menilaikan berdasarkan persembahannya tetapi persembahannya bukan sekadar dinilai oleh saya seorang sahaja. Oleh itu apa-apa sahaja keputusan boleh berlaku.

Single Final 5
Di luar dewan ada terjual single Final 5 yang dijual dengan harga RM10.00 sahaja. Satu strategi yang bijak oleh Malaysian Idol yang WAJAR diikut oleh Akademi Fantasia. Album tersebut hanya terkandung 3 lagu iaitu satu lagu cover version, satu versi karaoke dan Ku Bawa Sinar yang dinyanyikan oleh Final 12. Jac membawakan lagu Getaran Rinduku dan Dina membawakan lagu Bunga Bunga Cinta. Album Vic, Saiful dan Andrew saya tidak beli. Perlukah ?

Untuk Akademi Fantasia, mereka harus bijak mengatur strategi penjualan album. Strategi single memang merupakan strategi yang agak baru di Malaysia berbeza dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom. Tetapi sementara tengah hangat inilah peluang tersebut wajar digunakan. Single tersebut boleh terkandung lagu baru mereka di Konsert Akhir, lagu baru mereka secara live, versi karaoke dan sebuah lagu baru.

Terkini: Ahad 10.37 malam
Saiful tersingkir untuk meneruskan kemaraannya ke Final 4. Alhamdulillah. Walaupun tekaan saya salah, tetapi saya masih berpuas-hati kerana sudah menunggu sekian lama. Undian simpati, ras bangsa untuk Andrew masih mampu menyelamatkannya.

Related Posts with Thumbnails

www.gua.com.my

sultanmuzaffar - entertainment blogger