Majlis Berbuka Puasa Farah di Tupai Tupai
foto oleh http://sultanmuzaffar.fotopages.com
Pengurusan Bervisi
Saya benar-benar kagum apabila sesebuah fanclub tersebut berjaya diuruskan dengan baik di kalangan peminat mereka. Tidak ramai yang mampu mengorbankan masa mereka demi sesuatu yang belum pasti. Dengan kekangan sedia ada, para peminat Akademi Fantasia sebenarnya masih demam dengan bintang yang mereka cipta dua bulan lepas.
Muncul nama seperti Ojah begitu sinonim dengan Mas, biniZahid dan Nana mewakili Zahid, Javard yang meminati Kaer “mati keras”, waiem yang tidak pernah lekang dengan "Mesreeeee"nya dan Tengku Murni tentunya begitu sinonim sekali dengan Farah.
Tahap serius mereka benar-benar mengejutkan. Lebih-lebih lagi ada yang sanggup berhenti kerja semata-mata untuk bekerja dengan syarikat yang baru ditubuhkan untuk Farah. Bermula secara kecil-kecilan dengan visi untuk menjadi lebih besar. Semangat berani yang jarang ada pada fanclub lain.
Tanpa mengira asal-usul, sama ada yahoogroup atau saluran 15, mereka bersatu demi menaikkan nama Kelab Peminat Farah Malaysia. Yang kurang mereka bantu, yang lebih mereka seimbangkan, yang kurang arif mereka ajar, yang silap mereka tegur. Seperti sebuah keluarga baru yang besar.
Ini bermakna, kepentingan artis telah mengatasi kepentingan individu maka sesebuah fanclub telah diwujudkan dengan sifat yang luhur demi untuk menaikkan nama artis itu sendiri.
Sekiranya sesebuah fanclub itu diwujudkan atas dasar kepentingan peribadi, ia tidak akan berkekalan. Lihatlah kepada beberapa fanclub yang kini hanya tinggal nama dan menjadi sekadar tempat menghina bintang yang pernah mereka sanjung. Lantaran kecewa, maka dendam pun menguasai diri lalu moto fanclub yang gah menjadi sia-sia sahaja.
Sekiranya mereka ini jujur menyokong bintang yang mereka cipta, tidak menjadi soal siapa atau dari mana asal mereka. Yang penting mereka menyokong bintang itu.
Semoga Breep Breep Productions akan terus mekar membantu populariti Farah di pesada muzik tanahair.
0 komen