Ulasan Album EVO04
Sudah lengkap koleksi saya untuk EVO04. Hanya album EVO04 02 dan EVO04 03 sahaja yang berjaya membuatkan saya mengulang main cakera padat tersebut. Hampir kesemua lagu dalam EVO04 02 dan EVO04 03 punya daya penarik yang kuat untuk saya dengar berulang-ulang kali.
Saya puji pihak pengurusan bintang Akademi Fantasia yang mengeluarkan album ini tepat pada masanya. Sementara demam belum kebah, album ini menemui peminat-peminatnya. Perancangan teliti ini sewajarnya diikuti oleh pengurusan bintang Malaysian Idol yang rata-rata finalisnya telah kembali mencari kerja di tempat lama.
Pembikinan kulit album EVO04 juga nyata baik benar kualitinya berbanding album EVO01 dan EVO02. Rekaletaknya kelihatan moden dan lebih menekankan ilustrasi latar belakang dengan imej bintang Akademi Fantasia sebagai objek utama. Penggunaan warna asas iaitu oren juga mengiktiraf warna kegemaran Zahid.
Rata-rata pemilihan lagu untuk mereka dibuat dengan teliti kecuali Zarina.
EVO 04 01 (7/10 bintang)
Milik Ku oleh Zahid/Cat Farish/Azan Addin
Susunan baru lagu ini menjadi begitu serabut dan terlalu tekno dan moden. Penggunaan synthesizer menjadi begitu dominan pada lagu ini sekaligus menghilangkan keasliannya sewaktu Konsert Final. Namun demikian ia merupakan cubaan yang berani untuk menarik perhatian pendengar lagu-lagu bercorak urban. Saya kira Zahid berjaya menarik perhatian pendengar suburban melalui lagu Cek Mek Molek dan lagu ini untuk pendengar urban. Lama-kelamaan lagu ini semakin melekat dalam minda saya dan senikatanya begitu lancar pada bibir saya. Gandingan Zahid dengan Cat Ruffedge menjadi kekuatan lagu ini.
Tangisan Dalam Kerinduan oleh Farah/Adnan Abu Hassan
Dalam banyak-banyak lagu berentak balada yang dinyanyikan oleh bintang Akademi Fantasia, lagu Tangisan Dalam Kerinduan merupakan antara lagu yang terbaik. Lagu ini sememangnya amat sesuai dengan vokal Farah. Ianya diuji pada peringkat rendah sehinggalah yang paling tinggi. Pembikinan rakaman studio lebih teliti sehingga mampu menghasilkan sebutan vokal Farah yang begitu jelas. Lontaran vokalnya mantap. Ketegangan perasaan dapat dirasai apabila bahagian korus dibawakan oleh Farah. Walaupun ia sebuah lagu balada yang biasa tetapi masih mampu menyengat dengan kekuatan vokal yang dimiliki oleh Farah.
Bohong oleh Mas/Nor Fiqri/Loloq
Saya mengaku saya suka lagu ini. Lagu ini simple sahaja tetapi berjaya menangkap perhatian saya. Melodinya mudah dan vokal Mas benar-benar dieksploitasi sebaik mungkin untuk memantapkan lagi lagu tersebut. Sayangnya pada bahagian penghujung lagu ini penggunaan synthesizer serta pengubah vokal digunakan untuk menukar vokal Mas seakan-akan membingitkan. Sewajarnya vokal Mas dikekalkan untuk menyerlahkan lagi mutu vokal beliau. Sebuah lagu yang sesuai dengan vokalnya.
Kasih Tak Bermakna oleh Zarina/Adnan Abu Hassan/Mohariz Yaakup
Seperti lagu Rosma dalam EVO 01, lagu ini seakan tidak mendapat perhatian yang sebaiknya. Mempunyai vokal yang baik dan dipuji ramai orang sekalipun belum cukup untuk meninggalkan jejak yang lama di dalam bidang muzik. Lagu yang berkualiti dan mampu popular turut memainkan peranan yang penting. Lagu Kasih Tak Bermakna belum cukup mantap untuk Zarina gunakan sebagai bekalan di bidang muzik. Ia masih sebuah lagu balada yang ketinggalan zaman.
Cinta Selamanya oleh Zarina/Khai/Khai
Lagu ini terlalu melankolik dan seakan-akan ketinggalan zaman. Lagu sebegini bukan jiwa Khai, saya menyarankan agar di masa akan datang beliau lebih banyak mencipta lagu-lagu baru. Ia permulaan dan latihan yang baik untuknya. Tetapi saya suka dengan susunan muziknya yang simple dan tidak terlalu diserabutkan dengan banyak teknik moden seperti lagu Milik Ku. Saya menyukai lagu ini pada bahagian permulaannya sebelum masuk bahagian korus. Korusnya kedengaran biasa sahaja dan tidak mampu meninggalkan kesan kepada pendengar. Vokal Zarina yang sepatutnya menyerlah telah tenggelam kerana kelemahan lagu tersebut tetapi ada keserasian pada vokal Khai dan Zarina.
EVO 04 02 (7.5/10 bintang)
Aku Cinta Kamu oleh Linda/Ajai/Nurul
Saya sememangnya suka dengan lagu yang simple dan tidak banyak menggunakan instrumen. Yang menarik lagu ini adalah ialah macam graf dan naik mencapai klimaksnya tepat pada masanya. Nyanyian Linda membawakan lagu ini mengikut nadanya pada bahagian rendah sehingga bahagian tinggi dengan baik. Ia merupakan lagu yang sesuai dengan Linda dan Ajai bijak mencipta lagu yang benar-benar sesuai untuknya.
Kembali Bersama oleh Kaer/Johan Farid/Faris
Lagu ini adalah lagu killer dalam album ini. Saya akui lagu ini sebenarnya memang dicipta untuk Kaer ataupun Kaer yang diciptakan untuk lagu ini. Kedua-duanya saling lengkap-melengkapi. Nyanyian Kaer ternyata matang dan beliau bijak mencantikkan lagu tersebut dengan baik. Bahagian-bahagian kosong diisikan dengan ad-lib dan falsetto yang kena dengan melodi lagu tersebut. Ia tidak keterlaluan dan di tangan Kaer lagu tersebut menjadi begitu sedap didengar.
Sinari Kasih Ku oleh Nurul/Adnan Abu Hassan/Mohariz Yaakob
Nurul bernasib baik kerana mendapat lagu yang kuat dari bekas guru vokalnya iaitu Cikgu Adnan Abu Hassan. Lagu ini jauh lebih kuat berbanding lagu Kasih Tak Bermakna oleh Zarina. Saya lebih senang mendengar lagu nyanyian Nurul. Sebuah nyanyian yang simple tetapi berjaya menambat hati saya. Tanpa perlu teknikal yang keterlaluan, Nurul berjaya menyampaikan lagu ini dengan baik. Keunikan lagu ini adalah sebutannya yang nyata berbeza pada beberapa patah lirik lagu tersebut.
Bayangan Cinta Mu oleh Fitri/Adnan Abu Hassan/Faris
Satu percubaan yang baik dan lagu-lagu berentak moderate adalah lagu yang sesuai untuk Fitri untuk menutup kelemahannya. Lagu ini harus disertakan dengan showmanship yang mantap untuk lebih menyerlahkan attitude lagu tersebut. Lontaran vokalnya masih terlalu dikawal sehingga tidak menyerlahkan kekuatan sebenarnya.
Menggapai Bintang oleh Zahid/Adam featuring Farah/Adnan Abu Hassan/Faris
Lagu ini adalah lagu fun yang menceritakan tentang kehidupan mereka sewaktu di Akademi Fantasia. Setiap patah lirik lagu tersebut ada ceritanya yang tersendiri. Sebuah lagu yang simple tetapi berjaya memikat perhatian saya.
EVO 04 03 (8/10 bintang)
Haruskah oleh Adam/ Ajai/Nurul
Pertama kali mendengar lagu ini dinyanyikan secara langsung oleh Adam saya tidak berapa menyukainya. Seperti kata Adam sendiri lagu di Konsert Akhir itu ialah versi sumbang. Ini tidak bermakna saya menyukai versi rakaman ini. Tetapi saya mengakuinya yang lagu ini sebuah lagu yang agak menangkap pendengaran selain terlalu kuat elemen KRUnya. Adam harus diberi peluang untuk membuktikan keupayaan sebenarnya untuk meneroka dunia besar industri muzik tempatan selain masyarakat pendengar untuk menerima pembaharuan yang bakal dibuat oleh beliau.
Cinta Seorang Teman oleh Bob/Adnan Abu Hassan/Faris
Hebat ! Saya lebih menyukai versi secara langsung Bob di Konsert Akhir. Penghayatan beliau lebih hebat secara langsung. Lagu ini sememangnya sesuai dengan Bob. Saya menyukai cara beliau membawa pendengaran pendengar senada dengan lagu tersebut. Saya tidak jemu mendengar lagu ini kerana melodinya serta alunan vokal Bob yang sememangnya antara yang terbaik di Akademi Fantasia. Namun demikian penghayatannya lebih terserlah secara langsung berbanding secara rakaman ini.
Kau Persenda oleh Edlin/Adnan Abu Hassan/Mohariz Yaacob
Lagu ini intronya terlalu retro mengingatkan saya kepada lagu-lagu nyanyian Sharifah Aini ciptaan Datuk Ahmad Nawab. Satu kelebihan rakaman studio, mutu vokal dapat ditingkatkan hampir 50 peratus berbeza secara langsung. Saya dapat mendengar kekuatan vokal Edlin lebih baik dalam lagu ini. Lagu-lagu rancak sememangnya sesuai dengan vokalnya yang agak besar dan kasar. Saya merasakan lagu ini merupakan lagu yang agak di hadapan berbanding lagu-lagu lain.
Emosi dan Situasi oleh Anding/Adnan Abu Hassan/Mohariz Yaacob
Falsetto Anding jelas sempurna dalam lagu ini kesan rakaman studio yang dibuat dengan cemerlang. Satu kelebihan Anding yang saya lihat jarang ada pada pelajar lain ialah kehebatan beliau menangkap pandangan penonton untuk menonton showmanship beliau. Oleh yang demikian, lagu rancak sebegini yang diberikan kepada Anding amat sesuai untuknya. Bahagian rap di pertengahan lagu kedengaran agak ketinggalan.
Ceria Bersamamu oleh Anding/Edlin/Audi Mok/Juliza Adlizan
Saya menyukai lagu ini. Pertama kali mendengar lagu ini ada kedengaran seperti permulaan lagu Bebas Berlari. Lagu ini sebuah lagu biasa yang sekadar cukup syarat. Idea untuk menggandingkan mereka juga merupakan satu idea yang baik. Menariknya lagu ini ialah kerana tone vokal yang berbeza antara Anding dan Edlin. Saya akui vokal Edlin lebih menyerlah dalam lagu ini, lebih lantang. Vokal Anding banyak membantu mengindahkan lagi lagu ini.
Ranking sultanmuzaffar
Cinta Seorang Teman oleh Bob
Menggapai Bintang oleh Zahid/Adam featuring Farah
Milik Ku oleh Zahid
Tangisan Dalam Kerinduan oleh Farah
Haruskah oleh Adam
Kembali Bersama oleh Kaer
Aku Cinta Kamu oleh Linda
Kau Persenda oleh Edlin
Ceria Bersamamu oleh Anding/Edlin
Bohong oleh Mas
Bayangan Cinta Mu oleh Fitri
Sinari Kasih Ku oleh Nurul
Emosi dan Situasi oleh Anding
Cinta Selamanya oleh Zarina/Khai
Kasih Tak Bermakna oleh Zarina
Ulasan Javard
01 http://javardkent.blog-city.com/read/875558.htm
02 http://javardkent.blog-city.com/read/891564.htm
03 http://javardkent.blog-city.com/read/929989.htm
0 komen