Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 05 January 2005

Gemilang Jaclyn VictorGemilang Jaclyn Victor belum cukup Fantastik ! (3/5 bintang)

Sudah agak lama tidak update blog. Adakalanya apabila idea datang, mencurah-curah umpama tsunami. Kadang-kadang kontang tidak datang-datang. Sibuk menyiapkan beberapa laman internet. Kerja freelance juga datang macam tsunami. Mencurah-curah.

Seorang untuk pelakon teater wanita iaitu Nell Ng di http://www.nellng.com/v1, sekadar permulaan dan proses mengubah rekabentuknya masih berjalan. Begitu juga untuk bintang Akademi Fantasia I iaitu Adifashla di http://www.adifashla.fanzclub.com/mosfan, masih dalam peringkat cuba-cuba. Lagi satu untuk seorang peminat jersi bola. Oleh kerana sedang gilakan Mambo, maka semua pembangunan lawan web tersebut menggunakan Content Management System tersebut.

Sebuah album yang menarik untuk dimiliki tetapi belum cukup fantastik ! Saya melihat peserta Malaysian Idol sebagai seorang yang telah lulus ujian pelbagai jenis rentak lagu. Beri apa sahaja lagu, sekadar petik jari dan siap ! Sekiranya sebuah album Juara Malaysian Idol diisi dengan lagu-lagu balada yang keterlaluan melankoliknya maka saya melihat usaha untuk meningkatkan keterampilan seseorang Juara itu tidak berjaya. Mungkin juga saya mahu mendengar sebuah penghasilan album dari Jac yang menampilkan pelbagai genre lagu.

Kulit albumnya menampilkan imej Jac yang agak eksklusif. Penggunaan warna gelap seakan terlalu suram tetapi beberapa elemen keceriaan pada penggunaan warna-warna cerah menampilkan sedikit keceriaan dan kesegaran. Elemen keMalaysiaan yang menerapkan imej-imej batik memberikan sedikit kelainan pada kulit album ini.

Gemilang (Aubrey Suwito/Asmin Mudin) Outstanding !
Lagu versi rakaman ini memang lebih ringkas. Saya lebih menggemari versi secara langsung. Namun demikian, saya rasa susunan muziknya agak menarik dan pukulan akhirnya berjaya menambat hati saya.

Cuma Setia (Azlan Abu Hassan/Mohariz Yaakup) Boring !
Adakalanya apabila terlalu banyak mencipta, ia akan menyebabkan berlakunya kekeringan idea. Saya semakin kurang menggemari gandingan mereka menghasilkan lagu. Tidak banyak perbezaan yang cuba dibawa.

Padamu Permataku (Azlan Abu Hassan/Mohariz Yaakup) Boring !
Seperti lagu Cuma Setia, masalah yang sama. Saya mahukan lagu yang lebih segar bukan sekadar lagu-lagu yang biasa di pasaran. Keunikan vokal yang dimiliki oleh Jac tidak mampu dieksploitasi oleh lagu sedemikian.

Di Bawah Pohon Asmara (Aidit Alfian) Superb !
Kata orang Aidit Alfian sering membawa perubahan baru dalam setiap lagunya. Dengan tajuk yang mampu mencuit rasa hati untuk mendengar apa isi lagu tersebut, saya cuba mendengar lagu ini dan merasai jiwanya. Yes ! Saya suka lagu ini. Saya setuju jika orang kata lagu Aidit Alfian ini adalah lagu penyelamat dalam album ini. Ada banyak perbezaan pada variasi vokal Jac yang dipelbagaikan mengikut rentak yang agak groovy dan dalam rancak yang agak moderate. Sesekali terdengar lagu ini, tiba-tiba teringatkan Nurul Akademi Fantasia yang menghadapi kesukaran menyebut kukukakikakakkukokkakukakukekkukukakikakakku…

Tiada Lagi Indah (Ajai/Abie) Not Bad !
Lagu ini juga lagu penyelamat dalam album ini. Lagu sebegini memang sesuai untuk Jac. Ia mampu menyerlahkan vokal Jac yang sudah hebat. Cuma kerana rakaman studio yang banyak membataskan warna vokal beliau. Lagu sebegini lebih sesuai dinyanyikan secara langsung.

Love (Johan Nawawi/Shah Shamshiri) Kira OK !
Jika lagu Love ini ditujukan buat ibunya yang banyak mencurahkan kasih sayang kepada beliau, bukankah lebih baik sekiranya muziknya disusun dalam rentak yang lebih perlahan. Mungkin juga lirik lagu ini yang bertemakan cinta mampu untuk mendekatkan lagi hubungan Jac dan ibunya dengan pendengar serta merasai kasih-sayangnya. Setelah album Erti Pertemuan Ning Baizura berjaya mendekatkan pendengar dengan kisah Ning, maka lagu ini jika dibuat dalam versi perlahan mungkin lebih baik.

Bring Out The Best In Me (Johan Aberg/Winston Sela/Paul Rein) OK lah !
Yes ! Inilah lagu untuk ibu Jac. Walaupun tidak ditulis tetapi saya dapat merasainya. Mungkin juga lagu Love untuk kekasihnya dan lagu Bring Out The Best In Me adalah untuk ibunya. Lagu ini juga biasa sahaja.

Impian (Hazami/CK Ismail) & When I Fall In Love (Victor Young/Edward Heyman) Not Worth It & OK lah !
Entah apa yang tidak kena, saya kurang menggemari lagu Impian. Semacam terlalu melankolik yang tidak masuk akal. Begitu juga untuk lagu When I Fall In Love. Lagu klasik ini tidak begitu diingati pendengar walaupun ia antara lagu yang dibawakan oleh Jac sewaktu Final Malaysian Idol.

Tunggu Sekejap (P.Ramlee) Outstanding !
Saya berpeluang untuk menyaksikan beliau membawakan lagu ini secara langsung buat pertama kalinya sewaktu The Legend Spectacular Week. Saya benar-benar terpukau dengan kehebatan beliau membawakan lagu ini seperti lagu ini kepunyaannya. Diiringi dengan susunan muzik yang indah oleh Ramli MS, lagu ini menjadi begitu indah dan begitu romantis.

Gemilang “Live” (Aubrey Suwito/Asmin Mudin) Amazing !!
Antara persembahan terhebat dalam edisi Malaysian Idol. Saya kira beliau berjaya membawakan lagu ini secara berhati-hati tetapi menyengat dengan penonjolan vokalnya yang memukau menerusi lagu ini. Para peminat yang hadir malam itu tentu tahu dan masih mengingati tindakbalas yang diberikan setelah selesai beliau mendendangkan lagu ini. Jac bebas untuk melontarkan kehebatan vokalnya sepenuh tenaga tanpa perlu dikongkong oleh rakaman studio.

Antara kelebihan yang berjaya diperolehi oleh para peserta pertandingan nyanyian realiti baik Malaysian Idol mahupun Akademi Fantasia ialah keterampilan mereka membawakan lagu mereka secara langsung. Penonton saban minggu telah terbiasa menyaksikan mereka beraksi secara langsung lalu nyanyian mereka secara rakaman menjadi seakan-akan janggal.

Mungkin juga untuk album ini, persembahan Jac secara langsung akan menutup segala kelemahan pada penghasilan rakaman studionya. Itu yang saya harapkan daripada Juara Malaysian Idol sulung ini. Saya mahu melihat persembahan yang bertenaga daripada beliau dalam mana-mana persembahan secara langsung.

Ranking sultanmuzaffar
Gemilang “Live”
Di Bawah Pohon Asmara (Aidit Alfian)
Tunggu Sekejap
Gemilang (Aubrey Suwito/Asmin Mudin)
Bring Out The Best In Me
Tiada Lagi Indah (Ajai/Abie)
Love
When I Fall In Love
Cuma Setia (Azlan Abu Hassan/Mohariz Yaakup)
Padamu Permataku (Azlan Abu Hassan/Mohariz Yaakup)
Impian