Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 01 May 2005

Anugerah Industri Muzik 12
Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur

Mengejutkan ? Memang mengejutkan tetapi panel juri professional tentu mempunyai alasan mereka untuk menobatkan album Nazraku sebagai Album Terbaik untuk tahun ini. Setiap telinga punya deria yang berbeza, setiap lidah punya rasa yang berbeza, setiap mata punya pandangan yang berbeza dan tentunya setiap pengalaman punya taraf kematangan yang berbeza. Maka saya tidak hairan jika album Nazraku dinobatkan sebagai Album Terbaik kerana setiap masing-masing yang terlibat di dalam industri ini bebas untuk menentukan pilihan masing-masing. Jika saya suka album Erti Pertemuan tidak semestinya juri professional menyukai apa yang saya suka.

Rekaan Pentas
Cas positif dan negatif dari bateri menjadi asas kepada rekaan pentas AIM kali ini. Rekaan lampunya menarik dengan latar yang bertukar corak tatacahaya. Tangga yang ada di kiri kanan pentas hanya sekadar untuk kegunaan Puteri Gunung Ledang dan tidak dimaksimakan penggunaannya untuk yang lain. Tangga tersebut tidak perlu dan menyempitkan ruang sehingga kedudukan pemuzik orkestra tambahan pada beberapa persembahan perlu dibuat sewaktu siaran iklan. Jika benar-benar difikirkan sejak awal, maka tangga tersebut boleh ditiadakan dan digantikan dengan tempat pemuzik atau orkestra.

AIM 12
Gandingan mereka menjadi pada AIM kali ini.

Hos – Afdlin Shauki dan Bob Lokman
Secara keseluruhan, gandingan mereka pada tahun ini adalah lebih baik dari tahun lepas. Sesuatu yang ketara pada tahun ini apabila gandingan tersebut banyak dibiarkan keseorangan mengendalikan acara kecuali pada beberapa bahagian sahaja. Itu puncanya. Afdlin dan Bob seharusnya dipisahkan selalu kerana mereka nampak lebih baik sekiranya keseorangan. Apabila dipasangkan berdua maka akan timbul lawak-lawak yang boleh dirasakan tidak perlu. Untuk AIM kali ini, gandingan ini boleh saya katakan agak bersesuaian dan tidak keterlaluan.

AIM 12
Puteri Gunung Ledang melayang terbang di PWTC kerana AIM.

Persembahan Pembukaan Asmaradana oleh Tiara Jacquelina
Mengkagumkan walaupun miming. Saya kagum dengan persembahan Tiara. Dengan susunan muzik moden yang segar serta adunan elemen Jawa membuatkan lagu Asmaradana menjadi begitu indah. Keindahan lagu tersebut dicantikkan lagi dengan gerak tari Tiara yang cukup sempurna. Keberanian beliau melakukan aksi terbang juga benar-benar mengkagumkan saya. Setiap saat persembahan beliau begitu indah untuk dilepaskan. Lirikan mata, lengtok gerak kepala, gelekan punggung, kuisan kaki beliau menghidupkan persembahannya. Penari latarnya juga telah memberikan gerakan yang cukup sempurna. Sayang sekali, apabila beliau sekadar miming.

AIM 12
PERSEMBAHAN VOKAL BERKUMPULAN TERBAIK DI DALAM ALBUM
Ramalan SM: Gerhana Ska Cinta - The New Authentic
Pemenang : Raihan - Allahu
Puas hati walaupun ramalan tidak mengena !

AIM 12
Sepasang sayap tak terlihat

Persembahan Awan Yang Terpilu oleh Ning Baizura
Persembahan Ning Baizura untuk lagu Awan Yang Terpilu semacam tidak berjaya dari aspek vokal. Tiada elemen kekaguman yang berjaya di penghujung lagu tersebut. Kekuatan utama lagu tersebut ialah kelunakan vokal beliau lebih-lebih lagi jika berjaya disampaikan secara langsung dengan baik. Sayangnya, kehebatan vokal itu yang kurang kerana saya pernah mendengar Ning membawakan lagu Awan Yang Terpilu lebih baik dari persembahan semalam. Saya terbaca komen di dalam forum Ningclix yang turut merasakan perkara yang sama. Tiupan angin tiruan penting agar bersesuaian dengan tajuk lagu tetapi ia mungkin akan mengganggu sistem pembesar suara.

AIM 12
PERSEMBAHAN VOKAL TERBAIK DI DALAM ALBUM (WANITA)
Ramalan SM: Ning Baizura - Erti Pertemuan
Pemenang : Siti Nurhaliza - Prasasti Seni
Sememangnya Siti Nurhaliza sukar digugat. Saya merasakan vokal Ning Baizura dalam album Erti Pertemuan merupakan taruhan terbaik beliau untuk menewaskan Siti Nurhaliza. Tetapi ternyata andaian itu meleset sama sekali. Siti Nurhaliza meneruskan penguasaannya buat kali ketujuh berturut-turut. Mujur Siti Nurhaliza memenanginya menerusi album Prasasti Seni, maka saya tidak merasa begitu terkilan. Saya akan menjadi begitu terkilan sekiranya beliau memenanginya melalui album Siti Nurhaliza Fantasia Tour Live in Concert. 2004.

AIM 12
ALBUM POP ETNIK TERBAIK
Ramalan SM: Sawo’ Matang – Noraniza Idris
Pemenang : Sawo’ Matang – Noraniza Idris
Tiada saingan yang sengit untuk album Sawo’ Matang untuk memenangi kategori ini. Album tersebut kental jiwa tradional Melayunya atau boleh saya katakana jiwa Malaysianya. Kemenangannya menepati ramalan banyak pihak.

AIM 12
Persembahan Medley Calon Artis Baru Terbaik
The Times, Farahdhiya, Vince, Waheeda, D-Va
Kuasa-kuasa baru ini telah menunjukkan kualiti yang bagus dalam persembahan mereka. Rata-rata didominasi oleh mereka yang masih muda dan punya jalan yang lebih besar di masa hadapan. Antara persembahan yang menarik ialah persembahan Vince dengan lagu Tak Ingin Kehilanganmu dan Waheeda.

AIM 12
ARTIS BARU TERBAIK
Ramalan SM: Vince
Pemenang : Vince
Kemenangan Vince menepati ramalan banyak pihak. Satu kemenangan yang mudah untuk dijangkakan. Dinilai daripada pencapaian beliau sejak setahun setelah lulus dari Akademi Fantasia, tidak mungkin kemenangan tidak memihak kepadanya. Bukan sekadar anugerah dari dalam negara bahkan anugerah dari luar negara juga telah berjaya diraih oleh beliau.

AIM 12
Ada yang kata persembahan mereka sumbang, saya dengar ok je. Satu pembaharuan pada irama nasyid.

Persembahan Hikmah Kembara oleh Mirwana
Ia merupakan sebuah persembahan yang biasa dari Mirwana. Nasyid alternatif yang dipersembahkan telah membuka satu ruang kepada irama nasyid untuk divariasikan. Satu percubaan yang baik dari Mirwana.

AIM 12
ALBUM NASYID TERBAIK
Ramalan SM: Raihan - Allahu
Pemenang : Raihan – Allahu
Puas hati !

AIM 12
PERSEMBAHAN VOKAL TERBAIK DI DALAM ALBUM (LELAKI)
Ramalan SM: Zainal Abidin - Puteri
Pemenang : Zainal Abidin – Puteri
Sejak kategori ini diperkenalkan pada tahun 1994, Zainal belum pernah memenanginya. Ini merupakan kali pertama beliau memenangi anugerah tersebut. Satu penghargaan yang sewajarnya diberikan kepada beliau kerana mutu vokal beliau dalam album Puteri ternyata cemerlang.

AIM 12
ANUGERAH KEMBARA
Ramalan SM : Raihan
Pemenang : Siti Nurhaliza
Siti Nurhaliza sememangnya layak untuk Anugerah Kembara pada tahun ini. Melihatkan pencapaiannya di negara orang sudah cukup mengkagumkan. Namun demikian, ia masih bersandarkan undian penonton. Kemenangan di MTV Asia Awards adalah berdasarkan undian penonton, begitu juga kemenangan di Anugerah Planet Music di Singapura. Melihat senarai anugerah dan pencapaiannya pada tahun lepas, maka tidak hairan sekiranya pada tahun hadapan beliau akan memenangi anugerah yang sama sekali lagi.

AIM 12
Cutelah penyanyi Gerhana Ska Cinta ni !

Persembahan My Boy Lollipop oleh Gerhana Ska Cinta
Saya meletakkan harapan kumpulan ini memenangi kategori Persembahan Vokal Terbaik Berkumpulan, sayangnya mereka gagal. Saya menyukai persembahan muzikal mereka. Kepelbagaian muzik dalam persembahan mereka sememangnya menghiburkan. Mereka berbakat besar untuk meneruskan karier muzik mereka.

AIM 12
ARTIS INGGERIS TEMPATAN BARU TERBAIK
Ramalan SM: Juwita Suwito
Pemenang : Disagree
Saya meletakkan Juwita Suwito sebagai pemenang kerana saya mendengar album tersebut, tetapi tidak pula mendengar album Disagree. Tentunya ada kelainan pada album Disagree.

AIM 12
VIDEO MUZIK TERBAIK
Ramalan SM: Virginia Kennedy - Awan Yang Terpilu (Ning Baizura)
Pemenang : Virginia Kennedy - Awan Yang Terpilu (Ning Baizura)
Video Muzik Awan Yang Terpilu kaya dengan elemen-elemen seninya yang tersendiri. Berdasarkan skrip yang dijalin dengan keindahan fotografi yang menarik, maka sebuah video muzik seperti Awan Yang Terpilu telah menjadi alat promosi sesebuah album yang berjaya. Kerja-kerja seni yang ditampilkan oleh Pengarahnya ternyata merupakan satu kerja yang teliti.

AIM 12
Persembahan bintang tv realiti menghiburkan. Pilihan lagu tidak memberikan impak yang besar.

Persembahan Medley Akademi Malaysian Fantasia Idol
Dina, Farah, Zahid & Jac – Menyemai Cinta Bersamamu, Selagi Ada & Keabadian Cinta
Dina, Farah, Zahid & Jac – Menyemai Cinta Bersamamu, Selagi Ada & Keabadian Cinta
Kenapa lagu Menyemai Cinta Bersamamu, Selagi Ada dan Keabadian Cinta ? Pemenang Lagu Terbaik tahun 2001, 2003 dan 2004 itu terlalu baru untuk dikenang semula dan diberikan penghargaan untuk dinyanyikan semula. Lebih menarik persembahan tersebut mengiktiraf lagu-lagu terbaik pada tahun-tahun awal AIM seperti lagu Satu, Jentayu dan Ku Mohon. Lagu-lagu yang terbaik tetapi jarang didengari. Persembahan graduan program realiti tv pencarian bakat agak tidak seimbang. Menyemai Cinta Bersamamu sesuai dengan vokal Dina. Dina nampak cemerlang mengawal baik lagu tersebut. Farah nampak tersiksa dengan lagu Selagi Ada. Zahid nampak tidak bermaya dengan lagu Keabadian Cinta dan penamatnya dibuat oleh Jac. Jac cemerlang tetapi terlupa lirik di penghujung lagu tersebut. Susunan muzik orkestra lagu-lagu tersebut dibuat dengan baik sekali oleh Ramli MS.

AIM 12
Muzik orkestra di bawah pimpinan Ramli MS sememangnya memukau pendengaran.

AIM 12
ARTIS HARAPAN
Ramalan SM: Farah
Pemenang : Farah
Saingan sengit yang dihadapi oleh Farah ialah daripada Bob. Mereka merupakan taruhan terbaik untuk memenangi kategori ini. Pengundiannya pun telah dilakukan oleh juri professional yang terdiri daripada mereka di dalam industri. Sesiapa yang pernah buat fasal dengan mereka di dalam industri tentunya mempunyai harapan yang agak tipis untuk memenanginya. Anugerah ini ditiadakan pada tahun lepas kerana kemelesetan industri muzik tempatan dan fenomena program realiti pencarian bakat telah menghidupkan kembali kategori ini. Satu perkembangan sihat untuk masa industri muzik tempatan.

AIM 12
ALBUM INDONESIA TERBAIK
Ramalan SM: Cahaya – Kris Dayanti
Pemenang : 30 Hari Mencari Cinta - Sheila On 7

AIM 12
Tumpuan penonton lebih banyak terganggu dengan penari latar.

Persembahan Orkes Nirwana - Syurga Idaman dan Alangkah Sedihnya
Sambutan penonton terhadap persembahan Orkes Nirwana sememangnya baik. Ada interaksi dengan penonton. Lupakan soal vokal kerana mereka orang lama. Ini merupakan satu penghargaan buat mereka.

Anugerah Wirama – Frankie Cheah
Padat sekali ucapan beliau. Dengan perkataan “bastard” berkumandang secara langsung di televisyen dan radio, harapnya mesej tersebut sampai kepada yang sepatutnya. Si penagih dadah harus sedar yang mereka ialah role model kepada masyarakat. Si lanun cetak rompak harus sedar yang kerja haram mereka telah menyebabkan artis tidak makan. Bila artis tidak dapat cari makan, mereka cari dadah.

ALBUM HARD ROCK TERBAIK
Ramalan SM: Dendam – Amuk
Pemenang : Otai Jamm - May
Tiada komen, kerana bukan genre saya.

KULIT ALBUM TERBAIK
Ramalan SM: Urba Ad - Sawo Matang (Noraniza Idris)
Pemenang : Nizam Rahmat - Erti Pertemuan (Ning Baizura)
Terkejut saya album Erti Pertemuan terpilih sebagai pemenang Kulit Album Terbaik. Saya lebih mengharapkan album Sawo’ Matang memenangi kategori ini. Paling tidak pun album Prasasti Seni. Kulit album Erti Pertemuan terlalu simple dan tidak jelas mesej yang ingin disampaikan. Dengan lagu-lagu terbaik yang ada dalam album tersebut, sayangnya kulit albumnya tidak menjelaskan lagi maksud lagu-lagu tersebut.

RAKAMAN ALBUM TERBAIK
Ramalan SM: Mac Chew - Puteri (Zainal Abidin)
Pemenang : Mac Chew - Puteri (Zainal Abidin)
Puas hati !

SUSUNAN MUZIK TERBAIK DALAM LAGU
Ramalan SM: Seindah Biasa – Aubrey Suwito
Pemenang : Seindah Biasa – Aubrey Suwito
Saya berpuas hati lagu Seindah Biasa memenangi kategori ini. Saya sememangnya menyukai lagu tersebut. Ia mampu membuatkan saya menghayati lagu tersebut. Jika lagu ini bukan diciptakan oleh pencipta Indonesia sudah pasti ia akan masuk di dalam kategori Lagu Terbaik.

ALBUM INGGERIS TEMPATAN TERBAIK
Ramalan SM: Brand New Day – Juwita Suwito
Pemenang : Brand New Day – Juwita Suwito

AIM 12
Sebentar sangat persembahan mereka.

Persembahan oleh Peter Pan
Mereka membawakan lagu yang tidak biasa saya dengar. Saya lebih akan menghargai kemunculan mereka di AIM 12 apabila membawakan lagu Mungkin Nanti. Tentu itu lagu yang penonton nantikan.

AIM 12
ALBUM POP ROCK TERBAIK
Ramalan SM: Puteri – Zainal Abidin
Pemenang : Nazraku - Spider
Tentu ada sesuatu yang menarik tentang album Nazraku. Saya harus memilikinya dan menikmati lagu-lagu dari album ini. Kemenangannya mengalahkan Puteri oleh Zainal Abidin mungkin didorong oleh faktor populariti bilamana album Nazraku lebih hebat popularitinya dari album Puteri.

AIM 12
ALBUM POP TERBAIK
Ramalan SM: Ning Baizura – Erti Pertemuan
Pemenang : Ning Baizura – Erti Pertemuan
Saya amat berpuas hati album ini memenangi kategori Album Pop Terbaik. Kekuatan album ini adalah kerana jiwa lagunya yang benar-benar mencengkam pendengar. Setiap lagu yang didengari oleh dirasai oleh pendengar isi hati yang ingin disampaikan oleh lagu tersebut. Mesej-mesej yang disampaikan melalui hampir kesemua lagu benar-benar sampai kepada pendengar. Kepelbagaian juga merupakan elemen penting dalam album tersebut. Eksperimentasi muzik yang telah dibuat ternyata berjaya. Saya meletakkan album Erti Pertemuan taruhan terbaik untuk kategori Album Terbaik.

AIM 12
LAGU TERBAIK
Ramalan SM: Dialah Di Hati – Aidit Alfian, Habsah Hassan & Siti Nurhaliza
Pemenang : Awan Yang Terpilu - Li Li Zhen, Loloq & Ning Baizura
Lagu Awan Yang Terpilu menang kategori ini. Bukan kerana lagu ini tidak bagus atau apa, cuma saya lebih menyukai lagu Dialah Di Hati. Namun demikian, kemenangan tetap berpihak kepada Awan Yang Terpilu. Mungkin kerana lirik lagu Dialah Di Hati terlalu berbunga-bunga sehingga juri profesional tidak memahaminya.

ALBUM TERBAIK
Ramalan SM : Ning Baizura – Erti Pertemuan
Pemenang : Nazraku – Spider
Terkedu ? Memang mengejutkan jika dinilaikan daripada pencapaian album Nazraku berbanding album Erti Pertemuan pada malam itu. Tentu ada yang menarik pada album ini. Album Erti Pertemuan tidak berjaya di kategori kemuncak pada malam tersebut untuk melengkapkan penguasaannya. Peminat Siti Nurhaliza di kanan dewan terdiam lebih awal, dan peminat Ning di kiri dewan terdiam terkejut. Keseronokan mereka tidak berpanjangan tetapi masih berbaloi dengan empat anugerah yang berjaya dirangkul oleh album Erti Pertemuan. Penerbit album Nazraku punya sebab untuk bergembira dan meraikan kemenangan mereka di AIM.

AIM 12
Persembahan yang daring dari Siti. Jarang sekali kita melihat Siti macam apa yang kita lihat semalam.

Persembahan Medley Jalinan Cinta Pendirianku oleh Siti Nurhaliza
Rasanya ada tiga lagu dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza secara medley pada malam kemuncak itu. Berbekalkan pengalaman dari Kota London, Siti Nurhaliza telah memberikan satu persembahan yang memukau. Saya pasti satu dewan terpukau dengan gerak tarinya yang boleh saya sifatkan agak daring. Membawakan tiga lagu rancak secara medley dan masih mengekalkan stamina seperti biasa tentu sesuatu yang ajaib. Dengan selamba beliau menghabiskan lagu-lagu tersebut. Gerak tarinya sempurna dan merupakan antara gerak-gerak tari yang jarang-jarang kita dapat lihat. Beliau mula membuka dirinya untuk menjadi lebih maju lagi. Maka satu perubahan perlu dibuat. Sekurang-kurangnya inilah perubahan yang ditunjukkan oleh AIM. Perubahan Siti Nurhaliza untuk kita semua. Perubahan dalam industri muzik, bila lagi ?

Post Party AIM12
Nothing much ! Pack gila. Saya memang benci crowd. Rasa macam tidak cukup nafas. Namun demikian, dalam kesesakan itu, saya pulang sekitar jam 2.30 pagi juga. Sekadar menonton gelagat manusia. Seronok juga mendengar perbincangan dan debat perdana antara seorang kawan dan kawan juga tentang AIM. Sekadar menjadi penonton.

Ada ulasan lebih best untuk dibaca : Catatan Nakal Tentang Anugerah Industri Muzik (AIM) 12

Album Foto : Album Anugerah Industri Muzik 12 - Kepada peminat Zahid, gambar Zahid ada banyak !!!!

Nota : Pada 3 Mei 2005, tepat jam 1.30 tengahari, blog ini menerima hits yang ke 1,000,000. Terima kasih di atas sokongan anda ! Tahniah kepada hangbuah kerana berjaya mendapatkan printscreen tersebut. Beliau berjaya memenangi 2 tiket untuk menonton teater Rubiah hujung bulan Mei ini.