Diari Akademi Fantasia Minggu 01 Episod 01
Montaj Diari Akademi Fantasia kali ini menggunakan konsep pinball. Secara simbolik menceritakan turun naiknya menjadi seorang penghibur. Hidup dan nasib mereka di Akademi Fantasia kini menjadi taruhan peminat. Seperti pinball, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku.
Selamat Datang ke Akademi Fantasia !
Mereka telah disambut oleh Pengetua M.Nasir dan Tenaga Pengajar untuk masuk ke sebuah banglo mewah yang telah terpasang 14 kamera tersembunyi yang beroperasi selama 18 jam sehari.
Tempat yang pertama dilawati oleh mereka ialah Bilik Aktifkan. Pengetua M.Nasir turut menyerahkan rutin harian mereka sebagai pelajar Akademi. Antara rutin harian mereka ialah sarapan pagi, kelas nada suara, makan tengahari, kelas vokal, minum petang, kelas tarian, makan malam dan kelas seni persembahan.
Mereka telah dibawa melawat Dewan Tarian dan Ruang Makan. Manakala di tingkat atas terletaknya Bilik Kelas Vokal. Turut diperkenalkan ialah Cik Sheena selaku Pengurus Residen mereka yang baru.
Sewaktu makan tengahari, Fuad telah membaca doa makan. Pada hari pertama di Akademi Fantasia, saya boleh menyifatkan Fuad sebagai seorang yang tahu bermain permainan Akademi Fantasia. Beliau bijak mengumpan perhatian penonton. Ucapannya juga mampu bermain dengan emosi. Secara keseluruhan, Fuad telah bersiap-sedia untuk bermain permainan ini.
Fuad juga bijak berbicara dan kata-katanya terlampau filosofikal menurut M.Nasir. Saya juga harus memberikan perhatian ke atas setiap perkataan yang diluahkan oleh M.Nasir kerana kata-katanya punya makna yang dalam. Perhatian saya harus tidak terganggu sewaktu M.Nasir berbicara.
Sewaktu M.Nasir menyerahkan beg pakaian tajaan Samsonite kepada pelajar, nampak seperti banglo Akademi itu terlalu sempit. Bercerita tentang banglo, setiap imej-imej yang terpancar pada episod Diari hari ini seakan-akan mengimbas kembali nostalgia di Akademi Fantasia I. Di ruang hadapan berdekatan pintu masuk itulah terletaknya mesin permainan bola. Di dewan tari, terbayang barisan pelajar dimarahi Encik Baha. Di tangga tersebut, Vince mengalirkan air mata kerana ucapan Hari Bapanya.
Ucapan Pelajar
Pelajar telah diberikan peluang untuk menyampaikan ucapan mereka melalui kamera pengakuan. Antara yang menarik apabila Idayu berbicara loghat Kelantan kepada ibunya. Felix berbahasa ibandanya. Amylea berbicara dengan loghat Kedah. Seperti yang telah saya perkatakan, Fuad menggunakan ucapannya untuk bermain dengan emosi penonton. Bijak. Aidil turut menyampaikan ucapannya untuk seseorang yang misteri yang amat beliau cintai.
Kelas Motivasi bersama Dr Azahari memperlihatkan pelajar melakukan aksi tarian dalam pelbagai gaya.
Diari Akademi Fantasia Minggu 01 Episod 02
Hari merupakan hari pemberian lagu baru. Menurut Pengetua M. Nasir, lagu yang terpilih merupakan lagu yang tidak terlalu jauh dengan forte pelajar. Lagu-lagu tersebut merupakan antara pilihan pelajar sendiri. Memandangkan ini minggu pertama, maka lagu-lagu yang diberikan adalah tidak terlalu sukar untuk pelajar.
Lagu Baru
Reza - Roman Picisan (Dewa)
Ekin - Erti Cinta (Maya Karin)
Yazer - Ready For Love (Bad Company)
Elliza - Elegi Sepi (Azharina)
Felix - Tiada Lagi Kidungmu (Lefthanded)
Amy - Falling (Alicia Keys)
Aidil - Semua Orang Tahu (Rem)
Idayu - Percayalah (Siti Nurhaliza)
Kefli - Nur Kasih (Slam)
Amylea - Inikah Cinta (Sheila Majid)
Fuad - Pop Ye Ye (VE)
Akma - Nazam Berkasih (Syura)
Mereka telah beramai-ramai mendengar lagu masing-masing. Kedengaran lagu Ready For Love, Semua Orang Tahu dan Nazam Berkasih.
Komen Tenaga Pengajar
Komen dari Pengetua M.Nasir kepada pelajar agar setiap pelajar mengkaji dahulu lagu dan lirik lagu mereka. Kemudian barulah mendapatkan konsep dan style persembahan mereka. Beliau menutup komennya dengan ucapan “Selamat Berjuang”.
Adnan Abu Hassan meminta mereka mendapatkan bantuan rakan-rakan mereka untuk penyanyi latar dan juga penari latar. Beliau menegaskan akan konsep kerjasama yang telah diterapkan sejak Akademi Fantasia musim pertama.
Fatimah Abu Bakar menasihatkan pelajar agar tidak terikut-ikut dengan penyanyi asal. Lebih-lebih lagi untuk lagu Inggeris. Setiap pelajar harus faham lirik lagu dan barulah mendapatkan style untuk lagu tersebut.
Nasihat paling berguna dari Marlia Musa adalah tentang tahap keyakinan pelajar yang merasa terlalu selesa. Beliau mengharapkan agar tiada pelajar yang merasa terlalu selesa. Mereka harus sedar diri dan kemampuan diri mereka.
Turut diserahkan sebuah discman seorang kepada setiap pelajar.
Komen Pelajar
Menurut Amylea beliau pernah mendengar lagu tersebut cuma tidak begitu familiar dengan lagu tersebut. Lagu Inikah Cinta berentak R&B dan beliau nyata menyukainya. Felix sudah pun menghafal lirik lagu tersebut. Harap beliau tidak terlalu selesa dengan keadaan tersebut. Cabarannya kini adalah untuk mengingati semula melodi lagu tersebut. Diharapkan agar beliau dapat mencorakkan lagu tersebut dengan gayanya yang tersendiri tanpa terikut-ikut dengan gaya Nash. Idayu akan berusaha mencari kelainan untuk lagu tersebut. Sememangnya sukar untuk menghindarkan imej Siti Nurhaliza dengan lagu tersebut kerana lagu tersebut amat sinonim dengannya. Idayu harus mencuba untuk mencorakkan lagu tersebut.
Menurut Yazer lagunya adalah lagu lama. Beliau biasa mendengarnya tetapi tidak biasa menyanyikannya. Liriknya masih belum dihafal. Kefli gembira dengan lagunya dan menyukai lagunya. Akma satu-satunya pelajar yang mendapat lagu irama Malaysia. Beliau akan buat yang termampu dan melakukan yang terbaik untuk lagunya. Amy memang meminati lagunya kerana Alicia Keys merupakan idolanya. Fuad menyatakan yang lagu Pop Ye Ye merupakan lagu kegemarannya. Beliau berjanji akan memberikan persembahan yang lain daripada yang lain mengikut flow dan stylenya sendiri.
Elliza tidak menyangka beliau akan mendapat lagu tersebut. Aidil merasakan lagu tersebut sesuai dengan vokalnya. Ekin menganggap lagunya senang dan mengharapkan dapat menghafal lagu tersebut. Reza walaupun tidak pernah mendengar lagu tersebut tetapi merasakan beliau mampu membawakan lagu tersebut. Setelah mendengar lagu tersebut, beliau merasakan lagu tersebut agak sedap didengar.
Latihan nyanyian secara persendirian telah pun dibuat. Kelihatan Yazer dan Ekin berlatih bersama-sama. Manakala Kefli dan Elliza turut berduaan melatih lagu mereka.
Akademi Fantasia bukan sekadar di TV. Akademi Fantasia kini secara eksklusif boleh ditonton di internet. Saksikan kamera penginapan Akademi di www.astro.tv !
0 komen