Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 23 May 2005

Konsert Prelude Akademi Fantasia 3
20 calon-calon pelajar Akademi Fantasia dipertandingkan untuk merebut 12 tempat di Akademi Fantasia. Pemilihan adalah untuk 6 pelajar lelaki dan 6 pelajar perempuan. Keputusan terletak 100% di tangan Panel Juri yang akan membuat penilaian berdasarkan bakat, penampilan, personaliti dan persembahan konsert.

Kali pertama diperkenalkan oleh Astro sejak penerbitan Akademi Fantasia pada tahun 2003.

Panel Juri terdiri daripada M.Nasir (Pengetua Akademi Fantasia), Rozina Aziz, Ketua Program Melayu, Astro, Freddie Fernandez, Ketua Pegawai Operasi Maestro Sdn. Bhd., Siti Hajar Ismail, Guru Nada Suara, Akademi Fantasia dan Kudsia Kahar, Pengurus Besar Airtime Radio and Management Sdn. Bhd.

Penilaian Persembahan
Isa - Aku Cinta Padamu (Hazami) 6.8/10
Apa yang saya lihat, tone vokal beliau bagus dan agak unik. Vokal beliau besar pengaruh Indonesia. Kebanyakan penyanyi dari Malaysia Timur amat besar pengaruh dari Indonesia iaitu tone yang jarang-jarang kita dengar. Saya melihat vokal beliau mempunyai range yang lebih besar dari Kaer. Sebutan beliau jelas. Yang masih boleh diperbaiki ialah tahap keyakinan beliau sewaktu membawakan lagu tersebut. Jelas terpancar keresahan di wajahnya. Ekspresi wajahnya jelas risau dan menyebabkan pergerakan pentasnya kaku. Kurangnya keyakinan itu, lebih-lebih lagi muncul sebagai peserta pertama menyebabkan beliau hilang tumpuan dan berlaku sedikit sumbang pada bahagian korus. Beliau mempunyai pakej yang cukup untuk digilap sebagai penghibur tetapi agak pemalu orangnya.

Ekin - Dialah Di Hati (Siti Nurhaliza) 5/10
Sememangnya sebuah lagu yang sukar untuk Ekin. Bukan calang-calang penyanyi mampu membawakan lagu tersebut. Kris Dayanti sendiri mengakuinya. Nampak agak tergesa-gesa Ekin menghabiskan lagu ini kerana tempo lagu ini agak pantas. Dalam nafas yang pendek beberapa rangkap kedengaran kelam-kabut. Saya merasakan lagu Dialah Di Hati kurang sesuai untuknya. Persembahannya tidak berjaya memikat pendengaran saya. Tidak dapat tidak saya akan membandingkan persembahannya dengan penyanyi asalnya. Ekin saya kira telah berjaya meyakinkan penonton dengan keberanian beliau membawakan lagu sesukar ini. Kelebihan pada Ekin juga adalah kerana mempunyai pakej yang lengkap sebagai penyanyi. Beliau harus berani mencipta identitinya yang tersendiri kerana industri muzik Malaysia telah dibanjiri dengan lambakan penyanyi wanita.

Aidil - Kau Lupa Janji (Jamal Abdillah) 3/10
Dalam banyak-banyak lagu, lagu ini juga merupakan pilihan beliau. Saya menganggap lagu ini tidak sesuai dengannya. Menampilkan sedikit elemen nostalgia pada lagu tersebut. Beliau agak selamba membawakan lagu ini dalam penghayatan yang jelas tidak seiiring dengan mesej lagu. Lontaran vokalnya agak jelas sumbang di banyak bahagian. Tone vokal beliau kedengaran mirip-mirip Sudirman Hj Arshad. Selain dari wajahnya yang juga iras-iras penyanyi tersebut. Tariannya juga tidak sesuai dengan lagu tersebut. Ia agak melucukan. Saya nampak keyakinan pada wajah beliau. Selain daripada itu, beliau juga mempunyai pakej yang lengkap untuk menjadi penyanyi. Ketahanan beliau di dalam industri juga mampu bertahan lama kerana memiliki wajah yang boleh menarik perhatian pasaran.

Amylea - If I Ain’t Got You (Alicia Keys) 7.5/10
Beliau antara peserta pilihan penonton kerana keunikan identitinya serta penampilannya. Lantaran itu, penonton mudah untuk mengingatinya. Persembahannya bagus. Kawalan vokal beliau antara yang cemerlang pada malam itu. Saya melihat saingan yang cukup kuat antara ppeserta wanita dan yang membezakan mereka hanyalah tahap keyakinan mereka di pentas. Namun demikian, sebutannya agak kurang jelas. Penghayatan beliau untuk lagu tersebut juga bagus. Beliau telah berjaya menguasai pentas dengan baik sekali. Gayanya mirip-mirip penyanyi kulit hitam Amerika. Bersandarkan mutu vokal, belum menjanjikan tiket yang percuma untuk terus kekal di dalam industri. Beliau harus mencipta identiti sendiri kerana pasaran Malaysia sudah ada Dayang Nurfaizah dan Siti Sarah.

Yazer - Relaku Pujuk (Spider) 6.5/10
Seperti American Idol, Akademi Fantasia juga turut dilanda fenomena rock yang semakin berjaya menguasai pertandingan bakat oleh tv realiti sebegini. Saya melihat vokal Yazer amat bersesuaian dengan irama rock dan agak menyerlah. Walaupun beberapa bahagian pada lagu tersebut tidak sampai, beliau berjaya menutup kelemahan tersebut. Tidak banyak yang mampu dipersembahkan oleh Yazer kerana masih dibayangi oleh Tam Spider. Gerak beliau dan gaya persembahan beliau jelas kurang meyakinkan. Dinilai dari aspek pakej, saya tidak nampak yang beliau mampu menguasai pasaran dan bertahan lama di dalam industri.

Shiha - Gonna Get You Good (Shania Twain) 4/10
Kekuatan lagu tersebut tidak berjaya disempurnakan dengan baik oleh Shiha. Shiha masih dibayangi rasa resah dan kurang berkeyakinan apabila membuat persembahan. Sebutannya juga kurang jelas terutama pada note-note yang rendah. Sebuah lagu yang kurang sesuai untuk pertandingan dan persembahannya tidak berjaya mengumpan perhatian penonton.

Azlif - Isabella (Search) 5/10
Sebuah percubaan yang berani kerana membawakan lagu tersebut. Saya menyukai vokalnya. Ada variasi tone yang menarik untuk diterokai. Persembahan beliau menjadi bahan jenaka kerana renungan matanya yang agak melucukan. Aksi spontan itu datang secara tiba-tiba menurutnya. Persembahan beliau agak kaku menurut pandangan saya.

Amy - Saving My Love For You (Whitney Houston) 8/10
Beliau antara peserta yang mempunyai vokal yang bagus. Sebutannya jelas. Kesilapan masuk pada awal lagu tidak sedikit pun menggugat tumpuannya. Kawalan vokalnya juga bagus serta pakej yang lengkap untuk menjadi seorang penyanyi. Seperti peserta wanita lain, tanpa identiti yang tersendiri, agak sukar untuk menembusi pasaran muzik tempatan. Hasilnya nanti pasti sekadar menjadi seperti Nur Fatima, tidak mampu menembusi perhatian pasaran.

Reza - Ku Harap Cinta (Nowseeheart) 7.5/10
Reza merupakan antara peserta lelaki yang mencabar pada malam tersebut. Beliau mampu mencabar dari aspek range vokalnya yang agak besar dan sedap didengar. Tone vokalnya juga bagus dan disertakan dengan kawalan yang mantap. Penampilan beliau jelas menampakkan keyakinan dan mempunyai gaya sebagai seorang penghibur. Saya menyukai persembahannya yang agak bersahaja tetapi berjaya memuaskan hati. Pakej beliau sebagai seorang penghibur perlu dibaiki agar tidak terlalu dibayangi oleh imej Anuar Zain dan gaya-gaya santai perlu lebih dikekalkan untuk beliau.

Diana - Aku Sayang Padamu (Atiek CB) 6/10
Persembahan Diana agak biasa tetapi berjaya menarik perhatian saya. Saya menyukai tone vokalnya yang jelas pengaruh Indonesia. Saya nampak beliau agak berkeyakinan di pentas. Pergerakannya juga agak minima dan bersesuaian. Kawalan vokalnya juga baik tetapi kedengaran sedikit sengau di beberapa bahagian.

Fuad - She’s A Lady (Tom Jones) 7/10
Tampil di pentas sahaja beliau cuba mengumpan perhatian penonton dan ternyata berjaya. Sayangnya beliau terlalu mengharapkan sokongan penonton dan berkali-kali cuba untuk meyakinkan penonton dengan persembahannya. Agak sedikit keterlaluan dan juga kesan terlalu berkeyakinan mungkin. Vokalnya bagus dan improvisasi rap yang telah dilakukan amat mencabar dan kreatif. Penguasaan pentas beliau lagak seorang penyanyi profesional. Seperti Bob, beliau harus berani untuk mempertaruhkan fizikalnya selain mutu vokal beliau untuk dijual kepad penonton.

Marsha - Colours of the Wind (Vanessa Williams)
Masha menghadapi masalah kesihatan dan tidak dapat membuat persembahan. Beliau telah menarik diri satu jam sebelum pertandingan tersebut. Kejutan berlaku di Akademi Fantasia. Penonton dan panel juri ingin juga mendengar nyanyian Masha walaupun sedikit. Turut ditayangkan kepada penonton ialah klip video nyanyian beliau dengan lagu Ingin Bersamamu oleh Syafinaz. Rata-rata penonton terpaku dengan persembahannya tetapi nasib tidak menyebelahinya.

Mawi - Intifada (Rabbani) 9/10
Berbekalkan lagu Intifada, Mawi telah berjaya meyakinkan penonton dengan persembahan mantapnya. Kelunakan vokal beliau n yata aset utama beliau. Beliau merupakan antara peserta yang mampu menyaingi peserta perempuan. Banyak yang boleh diterokai dalam vokalnya untuk disesuaikan dengan pelbagai genre lagu. Pakej beliau serta imej alim beliau merupakan tarikan utama kepada golongan remaja untuk dijadikan ikutan. Saya melihat beliau berbakat besar bukan sahaja dalam irama nasyid tetapi juga dalam irama “world-music”.

Elliza - Mengapa (Nicky Astria) 8.5/10
Jelas terpancar imej Farah dalam persembahannya. Dengan menggunakan minus-one penyanyi asalnya maka range vokal Elliza agak terhad tetapi dengan lagu tersebut beliau telah memaksimakan segala kekuatan vokalnya. Vokalnya nyata bertenaga. Kawalan vokalnya serta penggunakan teknikal pada vokalnya telah dibuat dengan baik dan meyakinkan.

Kefli - Dir (Rahim Maarof) 7/10
Kelebihan Kefli ialah vokalnya yang agak baik. Range vokal beliau agak besar. Sayangnya keyakinan dirinya agak rendah dan menyebabkan penguasaan pentasnya terganggu. Beliau tidak banyak bergerak dan pergerakan tangannya agak stereotype. Berlaku juga sumbang pada bahagian korus lagu tersebut. Dinilai dari aspek pakej, Kefli mampu pergi jauh dengan sokongan peminat-peminat perempuannya. Beliau telah mengembalikan imej-imej Zamani, Razis Ismail yang menjadi kegilaan remaja perempuan.

Akma - I Will Always Love You (Whitney Houston) 7.7/10
Pemenang Who Will Win ini berkeyakinan tinggi di pentas. Vokalnya juga berjaya meyakinkan. Sebutannya jelas. Namun demikian, penguasaan pentasnya serta persembahannya masih boleh dibaiki kerana masih terlalu ketinggalan zaman.

Haider - It’s My Life (Bon Jovi) 6/10
Beliau boleh memberikan persembahan yang lebih baik daripada lagu It’s My Life ini. Ada sesuatu pada vokalnya yang boleh menyerlah jika beliau membawakan lagu selain lagu tersebut. Lagu tersebut gagal menyerlahkan vokalnya serta karisma beliau di atas pentas. Persembahannya nampak biasa sahaja.

Rina - Mama Ku Ingin Pulang (Nike Ardilla) 6/10
Beliau mempunyai vokal yang merdu. Penguasaannya untuk nada rendah juga bagus. Nyata beliau berkebolehan untuk membawakan note yang lebih tinggi dengan penuh bertenaga. Dinilai dari aspek pakej, agak sukar untuk penyanyi yang sudah berumahtangga untuk meneruskan penguasaan mereka kecuali dengan daya usaha yang bersungguh-sungguh.

Felix - Cinta Seorang Teman (Bob AF2) 7.2/10
Pada bahagian awal lagu tersebut, jelas kurang kedengaran vokal beliau. Beliau nampak kurang berkeyakinan pada awal lagu tersebut. Setelah di pertengahan lagu Cinta Seorang Teman, keyakinannya mula menyerlah dan melontarkan vokalnya dengan selamba. Bukan calang-calang penyanyi mampu membawakan lagu tersebut dengan baik. Felix telah melaksanakan tugasnya dengan baik. Berbekalkan imej yang selamba, Felix nyata mampu untuk pergi lebih jauh dan mampu untuk bertahan lebih lama.

Idayu - I Have Nothing (Whitney Houston) 8/10
Beliau antara peserta perempuan yang mempunyai vokal yang hebat. Tone vokalnya juga bagus. Sebutannya juga jelas. Memilih sebuah lagu yang sukar menjadikannya antara peserta pilihan untuk mara ke pusingan yang seterusnya. Dengan persembahan yang mantap, beliau telah berjaya membawakan lagu I Have Nothing dengan sempurna.

Ranking sultanmuzaffar
Mawi - Intifada (Rabbani) 9/10
Elliza - Mengapa (Nicky Astria) 8.5/10
Idayu - I Have Nothing (Whitney Houston) 8/10
Amy - Saving My Love For You (Whitney Houston) 8/10
Akma - I Will Always Love You (Whitney Houston) 7.7/10
Reza - Ku Harap Cinta (Nowseeheart) 7.5/10
Amylea - If I Ain’t Got You (Alicia Keys) 7.5/10
Felix - Cinta Seorang Teman (Bob AF2) 7.2/10
Fuad - She’s A Lady (Tom Jones) 7/10
Kefli - Dir (Rahim Maarof) 7/10
Isa - Aku Cinta Padamu (Hazami) 6.8/10
Yazer - Relaku Pujuk (Spider) 6.5/10
Diana - Aku Sayang Padamu (Atiek CB) 6/10
Rina - Mama Ku Ingin Pulang (Nike Ardilla) 6/10
Haider - It’s My Life (Bon Jovi) 6/10
Ekin - Dialah Di Hati (Siti Nurhaliza) 5/10
Azlif - Isabella (Search) 5/10
Shiha - Gonna Get You Good (Shania Twain) 4/10
Aidil - Kau Lupa Janji (Jamal Abdillah) 3/10
Marsha - Colours of the Wind (Vanessa Williams)

Keputusan Juri
Lelaki
Aidil
Yazer
Reza
Fuad
Kefli
Felix

Perempuan
Ekin
Amylea
Amy
Elliza
Akma
Idayu