Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 02 June 2005

Diari Akademi Fantasia Minggu 01 Episod 07
Susulan daripada teguran Encik Askrul semalam, Reza melahirkan rasa menyampahnya kepada Elliza kerana beliau sering bercakap dengan kamera. Sewaktu Elliza dan Kefli berada di dapur, Elliza telah melahirkan rasa tidak puas hatinya kerana teguran tersebut. Pada saya, teguran Reza itu agak kasar. Lebih-lebih lagi semalam beliau mengatakan yang “diorang yang excited” bukannya “kitorang”. Macam selfish pula bunyinya. Menurut Kefli, Felix juga terasa dengan komen Reza tersebut.

Menuju Puncak Reggae ciptaan Yazer memang merupakan cubaan yang bagus untuk menyerlahkan lagi bakat beliau. Felix turut memperlihatkan bakatnya bermain gitar. Sementara Aidil bermain drum. Sememangnya Bilik Aktifkan tersebut sudah menjadi tempat jamming pula. Rasanya cukup-cukuplah adegan jamming itu, naik muak pula.

Yang menarik bila kita dapat melihat Amylea dan Kefli berlatih Menuju Puncak. Felix sepatutnya mengambil initiative tersebut untuk memperbaiki langkah tarinya. Nampak beliau masih belum begitu menghafal koreograf lagu tersebut.

Dalam Kelas Vokal Adnan Abu Hassan, Ekin telah membawakan lagunya dengan baik. Beliau merupakan antara pelajar yang saya nantikan persembahannya. Saya mahu melihat perubahan penerimaan yang akan beliau bawa pada lagu tersebut. Elliza masih tipikal seorang penyanyi balada yang masih memberikan tumpuan kepada vokal tetapi telah terlupa kepada aspek persembahan. Sewaktu Kefli berlatih lagunya, Elliza membantunya memegang lirik lagunya.

Nyanyian Aidil masih biasa dan menurutnya lagunya banyak dancing. Persembahan Reza masih membosankan. Entahlah, lagunya sedap tetapi macam kurang tarikan untuk membuatkan saya mahu menontonnya. Persembahan Fuad lebih serabut. Kelam kabut nampaknya dengan penyanyi latar yang ikut suka sahaja. Persembahan Akma juga masih biasa dan masih boleh dibaiki. Adakalanya baik adakalanya agak mendatar sahaja.

Amy terlalu berat ke arah Alicia Keys. Sewajarnya beliau mendapatkan identitinya untuk lagu tersebut. Jiwa Alicia Keys terlalu kuat dalam lagu tersebut. Yazer antara persembahan rock yang saya tunggu-tunggu. Beliau berusaha menjiwai lagu tersebut dan tidak nampak membosankan. Berbeza dengan Reza yang cuba untuk menjiwai lagunya tetapi masih membosankan. Felix masih boleh dibaiki. Beberapa note yang masih tidak kemas terutamanya pada bahagian tinggi.

Cikgu Linda Jasmine membantu Amylea untuk mengkoreografkan lagunya. Boleh tahan juga. Tetapi semacam key vokal Amylea semacam agak rendah untuk lagu tersebut. Tarian untuk Aidil pula agak menarik. Saya merasakan penonton akan menonton gerak tarinya sahaja nanti dan tidak mengendahkan mutu nyanyiannya.

Satu initiatif yang baik oleh Yazer dan Felix yang mahu melatih diri mereka untuk lagu Menuju Puncak. Bila menyaksikan Felix melatih dirinya menari lagu Menuju Puncak memang melucukan. Tengok kaki Felix teringat kat kaki burung flamingo.

Bomb scare nak update juga ke ? Tak payah lah. Tak penting sangat pun. Hanya sekadar cheap joke !

Diari Akademi Fantasia Minggu 01 Episod 08
Tidak cukup dengan pelajar lelaki jamming, hari ini pelajar perempuan pun nak jamming juga. Memang palsu habis. Bukan nak cakap apa. Kalau mereka main betul-betul lainlah cerita. Ini tak, sekadar petik-petik gitar sahaja dan ketuk-ketuk drum.

Dalam Kelas Tarian dan Koreografi, Cikgu Ee mengajar Akma untuk lagu Nazam Berkasih. Sememangnya vokal Akma agak mendatar. Lagu yang sedap jadi tak sedap. Beliau tidak mengawal vokalnya dengan baik. Pernafasannya pun tidak sampai. Akma perlu melakukan sesuatu untuk lagunya. Lagu tersebut perlu diberikan gayanya. Mungkin juga pergerakannya yang menyebabkan beliau mengah.

Lagu Pop Ye Ye nampak berterabur pula. Masing-masing tidak begitu serius membantu rakan-rakan mereka. Corak persembahan sudah nampak menarik tetapi semacam dipaksa membantu rakan mereka. Semangat kerjasama itu kurang menyerlah. Terperasan yang Aidil macam marahkan Felix sesuatu. Sabar Aidil, tidak ada siapa nak pegang.

Saya mula menyukai nyanyian Yazer. Saya nampak beliau ada karisma membawakan lagu rock. Beliau ada style beliau yang tersendiri walaupun tidak banyak bezanya dengan penyanyi-penyanyi rock yang lain. Saya mahu melihat perubahan pada vokal beliau. Saya mengharapkan beliau melontarkan vokalnya dengan lebih bertenaga lagi dan sustain note lagu tersebut agar memberikan lebih impak kepada penonton.

Kefli masih mengekalkan identiti sengaunya. Saya rasa rimas mendengar nyanyiannya. Macam Zamani pun ada. Vokalnya masih terikut-ikut gaya penyanyi asal. Kefli harus mendalami teknik untuk mempelbagaikan lontaran vokalnya.

Dalam Kelas Nada Suara, sekali lagi Cikgu Shahrul mengepalai kelas tersebut. Apakah yang terjadi kepada Cikgu Siti Hajar ? Nyanyian Idayu masih tebal dengan imej Siti Nurhaliza. Sayang sekiranya beliau tidak menggunakan kelebihan vokalnya untuk memberikan kelainan pada lagu Percayalah.

Masalah utama Amylea ialah tempo selain sebutan. Benar menurut kata Cikgu Shahrul, sebutannya menyebabkan beliau hilang tenaga. Penting juga ilmu tersebut. Bukan sekadar main sebut sahaja. Kelebihan Amylea, beliau berani membawakan rasanya sendiri untuk lagu tersebut. Saya yang mendengar lagu tersebut menjadi semakin menyukai lagu itu. Sheila Majid membawakan lagu tersebut pun tidak semenarik yang Amylea bawakan. Idayu patut mencontohi Amylea yang berani melakukan perubahan.

Sewaktu adegan Felix yang sakit kaki saya terdengar semacam berlakunya kesilapan teknikal. Saya terdengar suara Aznil sedang melaporkan sesuatu tetapi tidak dapat melihat visualnya. Lalu, apa yang diperkatakan oleh Encik Aksrul dan Felix tidak kedengaran dengan jelas. Selesai adegan tersebut, Aznil muncul dan mengulangi dialog-dialognya yang sama seperti kesilapan itu tadi.

Kelas Seni Persembahan di bawah kelolaan Cikgu Marlia membawa kita melihat pelajar cuba mendapatkan perasaan dalam lagu-lagu mereka. Sememangnya sukar untuk membuatkan emosi penonton terbawa dalam lagu yang dibawa. Antara persembahan yang berjaya membawa emosi penonton ke dalam lagu ialah Sekuntum Mawar Merah oleh Sahri dan Mentera Semerah Padi oleh Kaer. Reza telah ditegur kerana masih belum menghafal liriknya sepenuhnya. Komen Elliza cukup pandai. Lagu sendiri dah hafal ke ? Saya agak rimas melihat Reza menari ke hulu dan ke hilir seperti membawakan lagu Hindustan. Tidak bolehkah beliau sekadar menyanyikan lagu tersebut tanpa bergerak ke hulu dan ke hilir ? Kalau berdiri tegak pun sudah cukup baik. Lagu tersebut agak beralun dan apabila Reza juga bergerak berombak-ombak maka lontaran vokalnya tidak begitu jelas. Kedudukan pembesar suara juga perlu dikawal dengan baik agar vokalnya tidak tersasar.

Agak payah juga melihat Felix membawakan perasaan penonton untuk merasai kesedihannya. Sudah agak berjaya separuh dan beliau perlu lebih menghayati lagu tersebut terutama pada bahagian perlahan. Cikgu Marlia nampaknya memang suka menyiksa Felix. Saya memang menyukai tindakan tersebut. Biarkan Felix tersiksa agar nalurinya lebih terserlah. Orang sebegini harus disiksa, maka barulah perasaannya dapat dikeluarkan. Kita tunggu di Konsert nanti, apakah Felix akan mempraktikkan apa yang telah Cikgu Marlia ajar.

Kefli nampaknya mula kelihatan main-main dan banyak ketawa. Adakalanya beliau akan menjawab pertanyaan Cikgu Marlia sebelum beliau selesai menghabiskan soalannya. Saya turut menyalahkan rakan-rakannya juga. Mereka tidak banyak membantu rakan-rakannya. Seperti sekarang, Kefli harus dibantu untuk mendapatkan moodnya untuk lagu tersebut. Kefli bergerak dari seorang ke seorang pelajar tetapi tidak mendapat tindakbalas yang baik. Semangat kerjasama dalam Akademi Fantasia 1 semakin pudar dalam Akademi Fantasia 3.

Aidil bermain piano sewaktu menunggu sesi Kelas Nada Suara bermula. Memang sedap lagu Hello oleh Lionel Ritchie itu. Rakan-rakannya ada yang menyanyi bersama. Inilah masanya untuk tunjukkan kepada penonton yang mereka berkebolehan. Aidil berkebolehan bermain piano. Di pertengahan lagu tiba-tiba muncul Fuad menyanyi bersama. Akma pula sibuk melakukan ballet pula.