Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 03 June 2005

Diari Akademi Fantasia Minggu 01 Episod 09
Mereka turut mendapatkan nasihat dari Cikgu Fatimah tentang kejujuran. Baik kejujuran dalam membuat persembahan atau pun kejujuran dalam personaliti.

Latihan pelajar dengan Cikgu Adnan berlangsung dalam suasana yang lebih tenang dan mesra. Rata-rata telah memberikan persembahan yang baik. Ini berbeza sewaktu mereka beraksi di hadapan Tenaga Pengajar.

Koreograf lagu Menuju Puncak dapat ditonton secara penuh hari ini. Saya sememangnya menyukainya. Pertama kerana tidak banyak lapisan. Hanya ada dua lapisan sahaja.Maka kesemua pelajar dapatlah dilihat dengan jelas. Koreograf disesuaikan dengan saiz pentas yang luas di stadium nanti.

Bertemu dengan Pengetua memang merupakan saat paling mengelirukan pelajar. Dengan soalan-soalan yang mudah tetapi berbelit-belit agak sukar untuk pelajar-pelajar itu memahaminya. Bahasa yang digunakan oleh Pengetua juga agak keterlaluan. Sebagai seorang yang tua dan membahasakan dirinya dengan ganti diri aku dan engkau agak tidak manis. Tetapi itulah realiti sebenar M.Nasir.

Terdiam seketika juga budak-budak itu mahu memikirkan jawapan kepada setiap persoalan Pengetua. Terlalu berfalsafah. Saya suka dengan jawapan Amylea tentang nasib di Akademi Fantasia. Menurutnya, semuanya bergantung kepada undian. Walaupun berbakat tetapi tidak mendapat undian dan tersingkir. Peserta tidak berbakat boleh terus kekal di dalam Akademi.

Sememangnya Diari pada hari Jumaat adalah diari yang agak membosankan kerana penuh dengan ucapan pelajar dan komen Tenaga Pengajar.

Diari Akademi Fantasia Minggu 01 Episod 10
Kesimpulan yang boleh saya buat setelah menonton latihan terakhir mereka ialah amat mengecewakan ! Semua pelajar terlalu kurang berkeyakinan, gemuruh, tidak bersedia, tidak berterima kasih dan tidak mampu menggalas amanah yang telah diberikan iaitu untuk memberikan persembahan yang terbaik.

Mungkin juga ini merupakan strategi masing-masing dengan menyembunyikan kekuatan diri mereka di hadapan lawan masing-masing. Apakah ini hasilnya ajaran Encik Shahrul ? Saya tidak nampak keberkesanan hasil ajaran beliau. Cikgu Siti Hajar banyak memperbetulkan kesilapan-kesilapan pelajar.

Pada pendapat saya, persembahan Idayu masih boleh dibaiki lagi. Idayu menyembunyikan kekuatannya. Vokalnya agak baik cuma pada beberapa bahagian beliau harus melontarkan vokalnya agak lebih jelas. Persembahannya nampak sedikit berbeza dengan Siti Nurhaliza.

Tiada keyakinan dalam persembahan Yazer. Kesannya beliau terlupa lirik. Nampak benar beliau gemuruh di hadapan Tenaga Pengajar. Gayanya sudah ada dan boleh dibaiki tetapi hanya sekadar menyanyi sahaja.

Reza cuba meniru gaya penyanyi Indonesia. Vokalnya terarah kepada gaya penyanyi sebelah sana. Kedengaran sengau bila mana lontaran vokalnya tidak dibuat dengan betul. Beliau semacam tidak mengeluarkan vokalnya dengan betul.

Bukan over-confident. Cuma Felix nampak gemuruh. Tumpuannya banyak terganggu. Beberapa kali matanya memandang ke arah Tenaga Pengajar.

Amy antara pelajar yang lebih bersedia dari segi vokal. Beliau boleh saya sifatkan berjaya menguasai ketakutannya. Showmanship beliau juga agak baik. Beliau harus lebih menghayati lirik lagu tersebut agar penonton turut merasainya.

Seperti Reza, Aidil turut mengalami masalah yang sama. Beliau tidak mampu membawakan lagu tersebut dengan baik. Beliau sekadar menyanyi. Sebutannya kurang jelas.

Persembahan Fuad perlu menyerlahkan lagi vokalnya dan bukan sekadar gaya persembahan. Menurut Fuad beliau menyimpan sedikit untuk malam esok. Saya menyifatkan ini merupakan satu strategi yang bijak. Saya rasa tidak salah melakukan sedemikian. Tetapi sebaliknya berdasarkan pendapat Pengetua M.Nasir. Saya tetap dengan pendirian saya yang Akademi Fantasia ini merupakan satu pertandingan. Maka pelajar harus menyembunyikan kekuatan masing-masing.

Nyanyian Elliza juga agak baik. Penuh dengan penghayatan cuma biarlah dengan gaya yang kena dengan lirik lagu tersebut. Bawalah Azharina ke pentas kerana jarang benar melihat beliau membuat persembahan. Apa salahnya digandingkan Elliza dan Azharina untuk persembahan malam esok.

Persembahan Ekin juga agak baik. Vokal beliau dilontarkan dengan baik disertakan dengan teknikal-teknikal nyanyian yang agak baik. Cuma perlu memperbaiki sebutan agar tidak memotong lirik lagu seperti yang sering dilakukan oleh Nurul di Akademi Fantasia 2.

Betul juga apa yang diperkatakan oleh Cikgu Linda. Terloncat sana, terloncat sini Amylea membawakan lagu tersebut. Vokal beliau agak baik. Ada gayanya yang tersendiri. Beliau nampak berkeyakinan membawakan lagu tersebut.

Persembahan Akma juga masih biasa. Tiada kelainan yang ditonjolkan. Sebuah persembahan yang membosankan. Kejutan harus dibawakan untuk Akma, jika tidak persembahannya boring.

Kefli lebih malang apabila tidak mampu membawakan lagunya dengan baik di hadapan Tenaga Pengajar. Beliau diarahkan oleh M.Nasir untuk berjumpa dengannya. Hilang realiti rancangan ini. Jika benar-benar realiti, buat di hadapan kamera sahaja. Mungkin juga ada yang dirakamkan cuma belum sampai masa untuk disiarkan sahaja agaknya. Siarkanlah sebelum Kefli memulakan persembahan. Mesti berair mata Kefli.

Ucapan-ucapan pelajar agak membosankan kerana masih ucapan yang sama seperti Akademi Fantasia 1 dan 2.

Agak sukar untuk meramalkan siapakah yang bakal tersingkir pada minggu ini. Setiap pelajar mempunyai peluang yang sama rata sekiranya dinilai berdasarkan persembahan terakhir mereka ini. Felix berada di kedudukan yang agak kukuh berbanding pelajar lain iaitu dengan 13% undian SMS. Ini amat berbeza dengan pelajar lain yang rata-rata berkongsi 9%, 8% dan 7% undian. Kita nantikan sahaja persembahan di konsert malam esok dan kejutan-kejutannya.