Diari Akademi Fantasia Minggu 03 Episod 01
Elegi Sepi menjadi lagu latar untuk tribute kepada Elliza. Klip yang ditayangkan berkisar tentang aktiviti Elliza di dalam Akademi selama dua minggu. Tidak banyak yang dapat dipertontonkan.
Idayu kemudiannya membacakan kad wasiat yang telah ditulis oleh Elliza. Antara isi kandungannya ialah Elliza melahirkan pandangannya tentang ada di antara pelajar yang tidak sukakan beliau. Setelah selesai, setiap pelajar berpeluang untuk bercerita tentang Elliza dan berkongsi pandangan mereka tentang Elliza.
Mereka akhirnya menyanyikan lagu Mengapa beramai-ramai sambil Yazer bermain gitar. Pelajar perempuan menangis di belakang mereka. Cikgu Fatimah juga turut mengalirkan air mata sambil ditenangkan oleh Dr. Azahari.
Macam tahun-tahun yang lepas juga, semuanya puji-pujian yang telah dikongsi oleh para pelajar. Tidak banyak bezanya dengan musim ini.
Ucapan Hari Ayah
Mawi pertama kali menyambut Hari Ayah dan menyampaikan hadiah tajaan untuk bapanya. Ucapan Felix tidak saya fahami kerana Felix bertutur dalam bahasa ibundanya. Reza turut mengucapkan Hari Bapa kepada bapanya dan mencuba sendiri kasut bapanya. Yazer adakalanya menahan kesedihan dan cuba menyembunyikan kesedihannya. Amylea menangis sambil memberikan ucapannya. Fuad mempunyai cerita tersendiri tentang bapanya yang membuatkan beliau menangis. Fuad pernah tidak bertegur dengan bapanya. Akma juga turut mengalirkan air matanya ketika membuat ucapan.
Aidil telah menghadiahkan sepasang kasut buat ibunya dan bukan bapanya. Walaupun beliau menyayangi bapanya tetapi hadiah tersebut adalah untuk ibunya. Beliau tidak berkongsi perasaan sebenar beliau yang mana beliau sebenarnya dibesarkan oleh ibunya tanpa bapanya. Itu antara sebab mengapa beliau memberikan ucapan untuk ibunya dan bukan bapanya. Ekin juga mengalirkan airmata ketika memberikan ucapan sampai tidak terdengar apa yang diucapkan oleh beliau.
Idayu turut mengucapkan Hari Bapa kepada bapanya dan mengakui yang beliau sayangkan bapanya. Beliau turut meminta agar bapanya tidak lagi menyakiti hati ibunya. Mungkin ada perselisihan faham antara mereka. Amy juga menghadiahkan sepasang kasut untuk ibunya. Sebabnya tidak saya ketahui. Selesai membuat ucapan, Idayu dan Amy kelihatan berpelukan dan saling tenang-menenangkan.
Mawi dan Marsha menerima hadiah tajaan dari pihak penaja iaitu Camel Active, Converse dan Fame. Barangan tersebut telah dibelikan oleh Jimmy Shanley, pengacara Trek Selebriti. Jimmy telah membelikan Mawi pakaian yang mampu untuk menukar imej Mawi seperti baju sleeveless. Sekiranya ada yang ingin menaja pakaian Mawi, lupakan sahaja, kerana sudah ada banyak pakaian untuk Mawi sama macam kes mangsa tsunami dulu.
Keraguan saya pada episod ini apabila Marsha tidak membuat ucapan Hari Bapa untuk bapanya.
Diari Akademi Fantasia Minggu 03 Episod 02
Ada sesuatu yang dibincangkan oleh Idayu dan Marsha yang tidak didengari oleh saya apa yang diperkatakan oleh mereka. Ini adalah pembukaan untuk kejutan yang bakal diberikan kepada Cikgu Marlia. Ia merupakan taktik untuk seakan-akan membenarkan yang Amylea telah melakukan sesuatu yang menyakiti hati Idayu.
Berat badan telah diambil setelah 2 minggu mereka berada di Akademi. Berat Yazer telah bertambah dari 63kg kepada 73kg. Felix kekal pada 63kg dan Idayu juga kekal pada 56kg.
Sesi Bersama Tenaga Pengajar
Idayu menghadapi masalah pada nada rendah. Untuk mengatasinya, beliau harus meningkatkan disiplin diri. Teknik bubbling boleh membuka range yang sedia ada. Kefli merupakan pelajar yang menunjukkan peningkatan. Sayangnya penghayatannya tidak konsisten. Beliau harus fokus dalam perwatakannya sehingga habis persembahan.
Fuad pula tidak menggunakan sepenuhnya penari perempuan dalam lagunya. Mengejutkan, Cikgu Adnan mengatakan pitching Amy baik pada persembahan tersebut. Ekspresinya juga cukup. Hanya vibrato yang tidak cukup. Cikgu Siti Hajar menasihatkan semua pelajar agar bertanya apabila tidak tahu.
Yazer ditegur kerana terlalu meniru lenggok penyanyi asal. Beliau harus berlatih lebih lagi untuk mendapatkan vokal yang lebih baik. Kostum Amylea telah banyak membantu. Hanya flirt beliau belum cukup lagi untuk melengkapkan persembahannya. Persembahan Aidil tidak cukup soul. Beliau tidak menyampaikan lagu tersebut penuh penghayatan. Beliau tidak berkongsi lagu tersebut dengan semua orang.
Ekin tidak cukup latihan. Sikap malu beliau banyak mengganggu persembahan beliau. Latihan tidak dibuat kerana sifat tersebut. Hasilnya apa yang dipersembahkan tidak dirancang dengan baik. Pengetua M.Nasir berharap agar apa yang dipersembahkan oleh Felix pada konsert lepas hanya lakonan dan tidak dikekalkan imej tersebut. Lagu tersebut adalah lagu sedih.
Akma merupakan pelajar yang bagus. Semua pakej dalam persembahannya lengkap. Pengetua M.Nasir turut mengumumkan Akma merupakan pelajar yang terbaik dalam persembahan semalam. Marsha menghadapi masalah melontarkan vokalnya dengan baik. Perubahan vokal dari suara asal kepada falsetto tidak begitu kemas.
Reza agak tenggelam pada persembahannya. Penampilan Reza tidak menonjol. Pergerakannya di atas pentas agak kelam-kabut dan staminanya tidak cukup. Mawi sebenarnya telah tersalah melodi. Kesalahan lirik sebenarnya boleh dimaafkan lagi tetapi tidak pada kesalahan melodi. Saya tidak faham apakah yang cuba disampaikan oleh Cikgu Adnan apabila beliau mengatakan “learn the rule before breaking the rule”. Kesalahan melodi pernah dilakukan oleh Mas dalam lagu Tamparan Wanita.
Lagu Baru Konsert Minggu 03 : Tema Cinta
Felix - Memori Bahagia (Sahri) lirik
Akma - Lagu Rindu (Siti Nurhaliza) lirik
Mawi - Gadis Melayu (Othman Hamzah) lirik
Ekin - Mimpi Sedih (Emillia Contessa) lirik
Fuad - Gerimis Di Lautan (Sudirman) lirik
Idayu - Curiga (Ning Baizura) lirik
Kefli - Keindahan Pantai (Kristal) lirik
Marsha - Lelaki Idaman (Melly Goeslow) lirik
Aidil - Nak Dara Rindu (P.Ramlee) lirik
Amy - Asmaradana (Tiara Jacquelina) lirik
Yazer - Suatu Masa (M.Nasir) lirik
Amylea - Anggapanmu (Ziana Zain) lirik
Reza - Mungkin Nanti (Peterpan) lirik
Secara kebetulan, tema lagu pada minggu ketiga adalah berkisarkan tentang cinta sesuai dengan tagline Akademi Fantasia. Sudah macam Malaysian Idol pula. Tugas yang berat untuk Cikgu Marlia untuk memberikan mereka penghayatan cinta yang sebaik-baiknya. Dr. Azahari juga memainkan peranan yang penting untuk mereka juga untuk menghayati mesej lagu-lagu mereka. Antara pelajar yang bakal menghadapi cabaran besar pada minggu ini ialah Mawi yang perlu beraksi rancak untuk lagu Gadis Melayu. Lirik perlu dihafal, step tarian perlu dihafal dan perlu jaga penguasaan pentas dengan baik. Aidil mendapat lagu yang bukan forte beliau iaitu sebuah lagu P.Ramlee. Lagu ini mengimbas kenangan Khai dan Rosma di Akademi Fantasia 1. Aidil perlu membiasakan diri dengan irama tradisional pula pada minggu ini. Amy perlu menari sambil menyanyi untuk lagu Asmaradana. Sekiranya beliau mampu membawakan lagu tersebut dengan tariannya secara langsung, beliau sebenarnya telah pun mengalahkan Tiara Jacquelina yang hanya mampu miming di malam Anugerah Industri Muzik yang lalu. Cabaran besar buat Amy untuk menyaingi Tiara Jacquelina. Amylea juga menghadapi cabaran yang besar kerana lagu Ziana Zain memang sebuah lagu yang membunuh. Cabaran besar buat Reza adalah untuk menghubungkan penonton dengan persembahannya agar mereka akan terpesona dengan style persembahannya. Sesiapa sahaja boleh membawakan lagu tersebut tetapi untuk membuatkan penonton terasa aura nyanyiannya adalah cabaran buat Reza.
Pelajar Bergaduh ?
Tiba-tiba Idayu membaling kusyen kepada Amylea dan terus berlari ke atas. Marsha mengikut beliau dan cuba menenangkannya. Terdengar Idayu menyebut nama Amylea beberapa kali dan melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Amylea. Idayu menangis teresak-esak. Amylea naik ke atas dan memeluk Idayu. Saya tidak dapat mendengar apa yang diperkatakan oleh mereka kerana mereka bercakap sambil menangis. Tahulah kan apabila perempuan bercakap sambil menangis. Mana dengar sepatah pun perkataan mereka.
Dalam pada itu, pelajar di bawah bersiap-siap untuk kejutan kepada Cikgu Marlia. Segala persediaan telah diatur. Apabila Idayu dan Cikgu Marlia turun, mereka dikejutkan dengan ucapan Selamat Hari Lahir. Rupa-rupanya ia merupakan satu kejutan untuk Cikgu Marlia.
Memang mendebarkan. Jika ia benar-benar berlaku, ia merupakan pergaduhan yang pertama kali berlaku secara terang-terangan di dalam Akademi Fantasia. Sekiranya benar berlaku, ia merupakan modal yang bagus untuk penulisan. Tetapi sayangnya hanya sekadar lakonan. Tetapi Idayu menangis betul. Sungguh hebat lakonan mereka. Teringat-ingat saya bagaimana Farah berlari ke belakang stor konon-konon merajuk setelah ditegur oleh Tenaga Pengajar di Akademi Fantasia 2.
Happy Birthday Cikgu Marlia !
0 komen