Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 17 June 2005

Diari Akademi Fantasia Minggu 03 Episod 09
Again. Diari hari Jumaat adalah diari yang penuh dengan menguap. Hari ini mereka bertukar-tukar surat wasiat. Oleh kerana terlampau banyak pelajar pada minggu ini, klip untuk siapa surat wasiat itu ditujukan tidak ditunjukkan.

Antara segmen yang menarik pada hari ini ialah Kelas Bahasa Inggeris kelolaan Cikgu Fatimah. Mereka dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan Ibu Mertuaku dan Kumpulan Hang Jebat.

Untuk Ibu Mertuaku, Mawi menjadi Nyonya Mansor, Amy menjadi Sabariah, Kefli menjadi Kassim Selamat dan Amylea menjadi Chombee. Itu antara watak-watak utama dalam filem tersebut. Memang melucukan juga apabila setiap pelajar harus berlakon dengan dialog bahasa Inggeris. Skrip sudah siap di tangan. Skrip besar kemungkinan ditulis oleh Cikgu Fatimah. Adegan “Pantang keturunan aku ahli muzik” memang lawak dibawakan oleh Mawi.

Untuk Kumpulan Hang Jebat pula, Felix menjadi Hang Jebat, Fuad menjadi Hang Tuah, Marsha menjadi Dang Anum, Ekin menjadi salah seorang dari Hang Lekir, Hang Lekui dan Hang Kasturi. Dan yang lain-lain saya kurang perasan. Lawak juga melihat Felix bersilat.

Panggilan Telefon
Sedang mereka berehat di ruang makan, telefon Encik Hasrul berbunyi. Tiada siapa yang berani mengangkat telefon tersebut. Gelagat mereka tidak berani mengangkat telefon tersebut tidak natural seperti yang dilakukan oleh Vince. Gelagat Vince lebih memadaikan dan tidak keterlaluan seperti mereka.

Kak Sheena datang dan kemudian memberitahu mengapa tidak mengangkat telefon tersebut. Ia adalah pesanan bahawa mereka dibenarkan untuk membuat panggilan kepada keluarga mereka. Oleh kerana telefon tersebut tidak diangkat, maka peluang untuk telefon telah ditarik balik. Memang kecewa budak-budak itu.

Oleh kerana kesetiaan mereka pada peraturan, Encik Hasrul telah membenarkan mereka membuat panggilan telefon kepada keluarga mereka.

Antara highlights sewaktu panggilan telefon ialah ibu Idayu rupa-rupanya seorang peminat M.Nasir. Bukan sekadar berbual dengan anknya tetapi juga turut mengirim salam kepada M.Nasir. Aidil diingatkan agar jangan lupa berdoa selepas sembahyang. Memang sweet gila bila bapa Kefli menamakan anaknya sebagai hero abah. Marsha memang agak sedih dan menangis sewaktu membuat panggilan. Ibunya menasihatkan Marsha agar tidak terlalu emosional. Felix menggunakan bahasa Dusun yang tidak difahami tetapi memadai. Reza mahu membelasah adiknya sekiranya beliau tidak belajar.

Nama Kamera
Akma memberikan nama Girlgirl dan Boboy kepada kamera tersebut. Amy pula memberikan nama Hottie dan Linkie sempena nama penaja. Rasanya tidak perlulah gunakan nama ini. Bosan pula bila semua benda dalam Akademi dijadikan sandaran promosi produk. Yazer agak unik apabila menggunakan nama Surti kepada kamera di bawah. Selepas Johnny dan Jenny apakah nama kamera yang sesuai digunakan.

Diari Akademi Fantasia Minggu 03 Episod 10
Susulan daripada kejadian Surat Layang yang ditinggalkan oleh Encik Hasrul, hari ini semua pelajar lelaki membuat pengakuan di hadapan kamera tentang surat tersebut. Kefli mengakuinya yang beliau melihat surat tersebut. Reza juga mengakui benda yang sama. Sebab mereka tidak mengaku di hadapan Encik Hasrul adalah kerana tidak mahu pelajar perempuan tahu tentang kedudukan mereka dan membuatkan mereka lemah semangat. Oleh kerana alasan tersebut, saya menyokong tindakan mereka tidak memberitahu Encik Hasrul pada hari mereka ditanya tentang surat tersebut.

Sesi Motivasi bersama Dr. Azahari memang sesi yang bagus pada hari ini. Mereka harus membuang sikap paling buruk yang ada dalam diri mereka. Aidil membuang sikap tidak suka meluahkan perasaannya atau pendendam. Reza membuang sikap cepat naik anginnya. Amylea membuang sifat degil, sensitif dan tidak mahu mendengar nasihat. Idayu membuang sikap tidak yakin dan emosional. Manakala Marsha ingin membuang sikap demandingnya, dan merasa rendah diri.

Yazer merasakan tekanan kerana belum dapat memuaskan Tenaga Pengajar untuk lagunya. Beliau perlu lebih berusaha untuk lagu tersebut. Lagu tersebut tidaklah begitu susah tetapi beliau akan berasa lebih bersalah sekiranya tidak mampu membawakannya dengan baik. Aidil akan cuba untuk melakukan yang terbaik kerana tidak pernah membawakan lagu asli. Reza mengharapkan sokongan keluarganya dengan tidak berbelah bahagi. Kefli berdoa agar persembahannya dapat menghiburkan penonton dan membuatkan mereka menari bersama-samanya. Mawi menujukan lagunya kepada semua gadis Melayu. Ucapannya berakhir dengan “World !”. Felix agak gementar kerana lagu tersebut dan mengharapkan agar persembahannya dapat menimbulkan keriuhan di stadium. Akma terus mengharapkan sokongan keluarganya. Begitu juga dengan Marsha yang benar-benar berharap agar keluarganya dapat hadis di stadium walaupun agak mustahil. Amy, Idayu, Amylea dan Ekin berharap dapat melakukan persembahan yang terbaik untuk esok.

Latihan Terakhir Tenaga Pengajar
Yazer terlalu berhati-hati dengan lagunya sehingga hilang penghayatannya. Beberapa kali terlupa lirik. Lagu Suatu Masa perlu penghayatan yang mendalam. Fuad perlu lebih warm-up agar dapat membawakan lagu tersebut. Nyanyian Fuad agak menarik tetapi kenapa perlu menyanyi dalam keadaan bongkok. Reza mengekalkan imej Indonesianya untuk lagu tersebut. Beliau perlu menjaga tempo lagu tersebut.

Aidil juga terlalu berhati-hati sehingga banyak perkataan yang tidak mengikut intonasi yang betul. Tumpuannya banyak terganggu dengan tekanan-tekanan luaran. Persembahan Mawi agak baik kecuali pergerakan-pergerakan yang tidak perlu dilakukan. Penguasaan pentas Mawi perlu dibaiki. Penghayatan Kefli untuk lagunya juga masih kabur. Beliau perlu menjaga staminanya.

Nyanyian Felix masih mendatar untuk lagu Memori Bahagia. Beberapa kali terlupa lirik. Nampak beliau agak gemuruh dan mencuba sehabis baik untuk tidak mahu sumbang. Persembahan vokal Akma juga agak baik tetapi beliau sekadar menyanyi tanpa mengetahui apa yang dinyanyikan.

Persembahan vokal Amy juga menarik tetapi beliau harus mengurangkan pergerakan tangannya. Agak merimaskan kerana lebih utama adalah mutu vokal beliau. Marsha menghadapi masalah sebutan yang besar. Sebutan-sebutannya tidak jelas dan pekat dengan slang. Begitu juga dengan Amylea yang menghadapi masalah sebutan slang Mat Salleh.

Idayu beraksi cemerlang kecuali lontaran vokalnya harus lebih bertenaga. Nampak beliau beraksi dengan bertenaga tetapi perlu lebih mengawal staminanya. Nyanyian Ekin agak tidak sempurna. Vokalnya masih belum cukup kemas. Masih kedengaran agak shaky.

Yazer mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada adiknya Siti Aishah.

Ramalan Penyingkiran
Berdasarkan kedudukan terkini, Fuad , Idayu, Ekin, Akma, Aidil, Amy, Yazer, Marsha, Kefli, Amylea dan Reza merupakan antara pelajar yang berkemungkinan besar akan meninggalkan Akademi Fantasia. Ini adalah kerana kedudukan mereka yang agak rapuh berbanding Mawi dan Felix. Peratus undian mereka juga tidak jauh beza iaitu antara 5 peratus hingga 4 peratus sahaja. Perubahan kecil dalam sejumlah undian juga boleh merubah kedudukan mereka. Berdasarkan populariti pelajar yang disebutkan, Akma, Kefli, Amylea dan Reza antara pelajar yang kurang popular. Berdasarkan personaliti pada minggu ini, besar kemungkinan Reza akan menarik begnya pada minggu ini. Sikapnya di dalam Akademi agak keterlaluan. Jika Amylea mampu menyerlah dalam lagu Anggapanmu pasti undian akan memihak kepadanya. Ini berbeza dengan Reza yang membawakan lagu Mungkin Nanti. Harapan penonton terlalu tinggi untuk lagu tersebut. Nescaya kesilapan yang sedikit sudah mampu untuk mengurangkan undian beliau.

Siapakah yang akan menuruti jejak langkah Elliza pada malam Konsert 03 Akademi Fantasia ? Selamat berjaya kepada semua pelajar.