Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 23 June 2005

Diari Akademi Fantasia Minggu 04 Episod 07
Setelah hari keempat, maka nama yang sesuai untuk dua kamera yang ada di dalam Akademi pun telah ditemui. Terlalu banyak cubaan yang telah diberikan oleh pelajar. Bayangkan sehingga hari keempat baru ditemui nama yang paling sesuai. Sebenarnya pada hari pertama telah pun ditetapkan nama yang paling sesuai, cuma ia perlu diteka oleh para pelajar. Akhirnya nama kamera tersebut ialah Tipah Tipah dan Tuan Besar. Apa jenis nama yang mengisi kekosongan nama dua kamera tersebut ? Nama yang tiada nilai komersial. Lebih banyak nama yang lebih sesuai. Tuan Besar masih boleh diterima tetapi Tipah Tipah seakan sudah basi nama tersebut. Tipah Tertipu ? Apa fungsinya ?

Kelas Cikgu Adnan Abu Hassan
Mawi masih mengekalkan alunan nasyidnya untuk lagu tersebut. Tiada salahnya kerana lagu tersebut berlenggok Arab. Tetapi vokalnya pada bahagian awal lagu tersebut agak tidak kedengaran. Tidak cukup bertenaga. Berbeza dengan sewaktu mencapai korus apabila vokalnya dapat didengari dengan lebih jelas. Teknik lontaran beliau harus lebih dibaiki. Beliau harus lebih yakin dengan lagu tersebut kerana genre lagu tersebut adalah pilihannya.

Nyanyian Aidil masih biasa. Vokalnya masih belum dilontarkan sepenuhnya. Kadang-kadang saya dengar melodi lagu tersebut lebih jelas dari mendengar vokal Aidil sendiri. Aidil harus lebih yakin untuk melontarkan vokalnya. Memberikan yang terbaik dalam persembahannya.

Begitu juga dengan Yazer yang nampak agak kekok dengan lenggok lagu Nyanyian Serambi. Lontaran vokalnya tidak kemas. Serak-seraknya seperti serak Ramli Sarip. Pergerakan Yazer banyak mengehadkan mutu vokalnya.

Ekin antara pelajar yang paling merisaukan saya pada minggu ini. Vokal beliau nyata tidak mampu untuk mengangkat lagu Antara Kita ke satu peringkat yang lebih tinggi. Ekin tidak mempergunakan kelebihan vokal beliau untuk lagu ini. Nyanyiannya nyata sumbang dan vokalnya banyak yang tidak kena. Ekin tampak tidak begitu yakin dengan kebolehannya sendiri.

Saya menyukai pergerakan Amy untuk lagu Bilang Saja. Beliau nampak bebas sewaktu membuat persembahan. Lontaran vokal beliau juga baik. Manakala nyanyian Marsha masih banyak yang boleh dibaiki. Beliau sedaya upaya untuk memberikan kelainan pada lagu tersebut setidak-tidaknya melarikan diri dari imej Jaclyn Victor. Marsha agak rushing dan tidak mengikuti tempo lagu tersebut.

Saya terpegun dengan pergerakan Akma sewaktu latihan. Gaya persembahannya nampak menarik. Beliau menampilkan attitude yang nyata berbeza daripada perwatakannya di dalam Akademi. Gaya beliau mula menyerlah. Persembahan vokal beliau juga baik.

Felix pada saya telah menampilkan penghayatan yang luar biasa. Beliau sedaya upaya cuba untuk memahami lirik lagu tersebut dan menghayatinya sebaik mungkin. Nyanyiannya yang mendayu-dayu mampu menarik perhatian penonton. Beliau harus lebih berani melontarkan vokalnya terutama dalam lenggok dangdut yang agak rendah.

Pada pandangan saya Kefli semacam selesa dengan lagu ini. Beliau nampaknya tiada masalah untuk melontarkan vokalnya untuk lagu Seksa. Tidak nampak beliau terseksa. Kefli cuma perlu lebih berkeyakinan tinggi untuk melontarkan vokalnya.

Idayu rasanya tiada masalah membawakan lagu Tiada Lagi Tangisan. Nampak persiapan beliau untuk lagu tersebut agak rapi. Teknik vokal dan nyanyiannya dipergunakan sepenuhnya untuk lagu tersebut.

Keras Kepala Ekin
Ekin seperti seorang yang tiada disiplin diri di dalam kelas tersebut. Beliau tidak cukup kuat untuk menghadapi cabaran. Beliau cepat merasa putus asa apabila tidak dapat melakukan apa yang telah disuruh kepada beliau. Di dalam fikirannya sudah tertanam sifat negatif tersebut lalu terbawa-bawa ke dalam kelas. Tampak jelas ketakutan menyelubungi wajahnya apabila berhadapan dengan Cikgu Siti Hajar dan Pengetua M.Nasir. Sesekali matanya mula merah.

Pengetua M.Nasir menyatakan tidak sukar untuk membawakan lagu pop. Tahap serius ekin boleh dipertikaikan. Bukan sahaja di dalam kelas vokal tetapi juga dalam kelas tarian. Ia pernah ditegur. Apabila ditanya oleh Pengetua M.Nasir tentang serius beliau menjawab “Semestinya serius.” Tetapi postur beliau yang bersandar di piano semacam seorang yang malas dan telah berputus asa. Dimarahi oleh M.Nasir lagi dengan kata-kata yang agak pedas iaitu “Awak belum cukup profesional untuk bersandar di piano.”

Menangis lagi Ekin. Menangis bukan cara penyelesaian yang baik. Sebaliknya bertindak untuk memperbaiki diri adalah jalan paling terbaik. Puas dipujuk Aidil, Idayu dan Yazer. Masih berdegil. Di situ tampak sifatnya yang keras kepala dan sukar dibentuk oleh rakan-rakannya. Ekin tidak mudah dipengaruhi oleh rakan-rakannya. Jika itu yang dia mahu, itulah. Cara beliau bersalam dengan Pengetua M.Nasir juga seperti tanda protes yang jelas terpancar pada raut wajahnya. Sikap itu perlu dibuang dari dalam dirinya.

Jika kita dihiburkan dengan lawak bahasa Thai oleh Kaer di Akademi Fantasia 2, kini kita bakal dihiburkan dengan lawak bahasa Jawa oleh Mawi. Saya meletakkan mereka ini sebagai masih kebudak-budakan. Saya kurang menyukai gaya Kaer di dalam Akademi Fantasia 2. Lawak-lawaknya masih kebudak-budakan. Begitu juga dengan Mawi. AKsi-aksi slapstick tersebut perlu dikurangkan. Begitu juga dengan Yazer yang membuat muka di hadapan kamera.

Kemunculan Zainal Alam Kadir, Editor di The Malay Mail telah muncul di Akademi Fantasia untuk memberikan sedikit tips kepada para pelajar tentang bagaimana untuk berhadapan dengan wartawan. Beliau menasihat pelajar agar mengenali penulis dengan cara penulisannya. Beliau turut menekankan bagaimana pentingnya seseorang wartawan dalam hidup mati karier seorang artis. Ini merupakan satu pengajian penting untuk mereka di dalam Akademi. Ilmu ini hanya akan diperolehi setelah menghadapi situasi sebenar apa yang berlaku di luar. Perkara-perkara asas perlu disemai untuk para pelajar.

Soft Porn
Nampaknya Diari Akademi Fantasia semakin ketandusan idea sehinggakan aksi-aksi seperti tidak berbaju di dalam asrama juga disiarkan. Semalam Aidil ditampilkan di hadapan kamera tanpa berbaju dan hari ini Yazer muncul dengan bertuala mandi. Undian untuk Aidil naik satu anak tangga semalam. Hari ini jatuh kembali. Yazer terus mengekalkan undiannya. Untuk berlaku adil kepada semua peminat, setiap pelajar harus berpeluang ditampilkan tidak berbaju atau bertuala mandi untuk tatapan semua. Ini permintaan saya. Tentunya peminat Mawi, Felix, Kefli ingin melihat sesuatu yang jarang-jarang dilihat oleh mereka. Undian akan semakin tinggi. Itu trend.

Oh ya ! Sehingga terlupa saya dibuatnya. Felix berlatih dengan amat baik untuk lagunya. Beliau berusaha mendapatkan penghayatan yang betul untuk lagu tersebut serta cuba mencipta gerak-gerak yang minima dan sesuai dengan rentak lagu tersebut.

Diari Akademi Fantasia Minggu 04 Episod 08
Cikgu Ee dan Idayu memohon agar dibenarkan untuk membuka selempangnya sewaktu kelas tarian.

Kelas Tarian Cikgu Ee
Ada peningkatan yang ditunjukkan oleh pelajar tetapi sengaja beliau tidak memberitahu kepada para pelajarnya kerana bimbang pelajarnya akan mudah lupa diri.

Persembahan Idayu diselitkan dengan pergerakan yang saya kira nampak segar. Persembahan vokalnya baik dan ditambah lagi dengan pusingan-pusingan yang boleh menampilkan elemen mengkagumkan dalam persembahannya. Beliau akan tampak lebih profesional.

Reza menampilkan persembahan yang mana penghayatannya lebih jelas. Selendang yang beliau bawa seakan-akan memberikan bantuan kepadanya. Namun demikian, lontaran vokal beliau harus lebih lagi. Ada beberapa bahagian yang beliau masih belum berkeyakinan untuk melontarkan vokalnya.

Nyanyian Kefli masih kedengaran sumbang. Beliau tidak begitu pandai untuk mengekalkan note-notenya agar tidak tergelincir. Dari aspek persembahan, Kefli harus memberikan aksi kepada senikatanya. Ini membolehkan persembahannya tidak menjadi bosan.

Nampaknya penyengat yang menyengat Ekin telah pun berjaya dibunuh oleh Cikgu Siti Hajar.

Kelas Cikgu Siti Hajar
Reza masih bermasalah untuk melontarkan vokalnya. Beberapa kali juga beliau menarik vokalnya ke belakang dan tidak melontarkannya ke hadapan. Ini adalah tabiat Reza sejak minggu pertama lagi. Tidak banyak perubahan yang ditonjolkan oleh beliau.

Persembahan vokal Idayu agak baik. Cikgu Siti Hajar memberikan tips kepada beliau untuk menjaga lontaran vokalnya. Seorang penyanyi yang baik boleh mengawal vokalnya tampa perlu menarik pembesar suara.

Begitu juga dengan Akma yang telah cuba mewarnakan lagu tersebut mengikut gaya persembahannya yang lebih menyerlah. Kefli perlu memperbaiki bahagian-bahagian yang masih tidak kemas. Bahagian note rendah perlu diberikan perhatian yang sewajarnya oleh Kefli. Masih kurang kedengaran.

Gembira sungguh pelajar-pelajar perempuan apabila mendapat barangan alat solek tajaan Loreal. Selepas pada ini, muka pucat Akma tidak seharusnya dijadikan tontonan lagi. Setidak-tidaknya gunakanlah peralatan tersebut untuk menyolek sedikit wajah mereka pada waktu pagi di dalam Akademi. Pelajar lelaki juga turut mendapat barangan tajaan. Marsha mencuba peralatan tersebut, manakala Idayu membantunya sambil diperhatikan oleh Amy dan Akma.

Kelas Cikgu Marlia
Kelasnya hanya sekadar memberikan lebih kekeliruan kepada pelajar akan ajaran Cikgu Ee, Cikgu Siti Hajar dan Cikgu Adnan. Cikgu Ee ajar tarian untuk persembahan, Cikgu Marlia memperbaiki pergerakan mereka dalam persembahan. Cikgu Ee suruh buat, Cikgu Marlia suruh buang. Lama-lama budak jadi keliru. Siapa yang salah ? Budak-budak atau cikgu ?

Akma menampilkan perwatakan yang jauh berbeza dari dirinya untuk lagu ini. Inilah yang cuba digali oleh Amy untuk menampilkan persembahan yang mampu menambat hati penonton. Memang sukar tetapi lagu LOVE merupakan sandaran yang terbaik buat Akma.

Amy harus menebuskan kesilapannya dalam lagu Sesalanku dengan lagu Bilang Saja. Lagu ini merupakan taruhan terbaik beliau untuk menampilkan persembahan yang lebih bertenaga. Pergerakannya harus lebih berkeyakinan.

Ekin sememangnya tidak selesa dengan lagu ini. Teknik pernafasannya perlu diperbaiki untuk lagu ini.

Berbeza dengan Marsha yang telah menampilkan persembahan yang berlainan dari yang biasa biasa kita lihat. Nyanyiannya juga menggunakan lenggoknya yang tersendiri tanpa meniru mana-mana pihak. Marsha cuba untuk melakukan kelainan dalam lagu tersebut. Beliau cuba untuk mencorakkan lagu tersebut mengikut acuannya.

Sembang Aidil & Cikgu Siti Hajar
Berbeza penerimaan Cikgu Siti Hajar apabila bersama Aidil berbanding penerimaannya sewaktu bersama Reza. Cikgu Siti Hajar lebih senang untuk mencurahkan segala ilmunya kepada Aidil daripada berkongsi cerita panas dengan Reza. Aidil mempunyai mata yang cantik, bakat dan muka yang boleh dijual tetapi sayangnya tidak dipergunakan oleh Aidil seratus peratus. Aidl masih menyimpan dan tidak mengeluarkannya. Aidil telah mencipta identitinya yang tersendiri. Beliau tidak mengikut gaya Rem, Jamal Abdillah atau P.Ramlee. Beliau membawakan lagu-lagu mereka dengan caranya yang tersendiri. Sayangnya beliau hanya memberikan sedikit sahaja kepada penonton dan mereka tidak puas dengan persembahan itu. Vokal yang menjadi elemen penting dalam persembahan adalah kelemahan utama Aidil dan perlu ditingkatkan dan dikeluarkan lagi. Aset utama itu perlu dieksploitasi untuk mendapat lebih undian dan bukannya imej tidak berbaju untuk tayangan umum. Ini bukan Mangga.TV.