Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 24 June 2005

Diari Akademi Fantasia Minggu 04 Episod 09
Kad Wasiat diserahkan kepada pelajar yang diminta untuk membacanya. Kefli --> Reza, Felix --> Mawi, Mawi --> Felix dan Idayu --> Marsha.

Kelas Bahasa Inggeris Cikgu Fatimah
Sewaktu Kelas Bahasa Inggeris, Cikgu Fatimah telah meminta Amylea untuk menyatakan "The thing I like about you is..." Marsha menyatakan kepada Amy, "You are beautiful inside and outside and understanding”. Manakala Amy menyatakan kepada Marsha, "You are cute, cheeky in a good way, and you can get along with everyone". Aidil berkata kepada Yazer, "You are very straight forward and sincere". Manakala Yazer berkata kepada Aidil, "You arevery cautious, good personality".

Ekin menyatakan kepada Kefli, "You arecute and caring”. Mawi menyatakan kepada Felix, "Your face looks like Wahid Satay". Seluruh kelas ketawa. Manakala Felix menyatakan kepada Mawi "Your head is very bulat, your body is…." Semua gelak juga. Body ??

Latihan Cikgu Adnan
Nyanyian Yazer masih biasa dan tidak cukup kemas. Saya mengharapkan nyanyiannya lebih bertenaga dan sebutan yang lebih jelas daripada beliau. Cikgu Adnan menyarankan kepada Yazer agar memperbaiki vibratonya.

Nyanyian Marsha boleh saya sifatkan bagus dan saya menyukainya. Begitu juga dengan Akma yang saya lihat sebagai satu peningkatan yang memberangsangkan. Akma harus lebih agresif di atas pentas untuk menampilkan pergerakan yang lebih mempersonakan.

Nyanyian Reza nyata masih sumbang pada beberapa bahagian. Beliau harus menjaga pitching beliau dengan betul. Nyanyian Idayu amat baik dan penuh dengan penghayatan.

Kad Wasiat
Amy --> Akma, Marsha --> Idayu, Reza --> Kefli dan Akma --> Amy !

Kelas Tarian Cikgu Linda
Latihan untuk Mawi masih dibaiki mana yang patut. Cikgu tidak dapat untuk melakukan kreativiti beliau kerana pergerakan Mawi agak terhad. Ini secara tidak langsung membuatkan Cikgu Linda kurang berpuas hati dengan hasilnya. Gelekan Mawi juga masih keras dan Cikgu Linda telah menasihatkan beliau untuk melakukan gerakan silat. Kelonggaran yang diberikan oleh Cikgu Linda merupakan satu kemudahan kepada Mawi. Beliau boleh menggunakan peluang tersebut untuk mencipta kreativiti beliau sendiri tanpa terikat dengan ajaran Cikgu Linda.

Akma menjalani latihannya dengan menggunakan bulu-bulu dalam persembahannya. Beliau mencuba untuk menyesuaikan dirinya dengan kehadiran bulu-bulu tersebut. Akma saya lihat mampu untuk menampilkan sebuah persembahan yang jauh lebih hebat dari persembahan Amylea untuk lagu Asmara.

Kad Wasiat
Aidil --> Akma, Amylea --> Marsha, Yazer --> Ekin dan Ekin --> Kefli !

Ramli Sarip di Akademi Fantasia
Papa Rock muncul ke dalam Akademi Fantasia dengan diiringi oleh Pengetua M.Nasir untuk memberikan nasihat beliau kepada mereka. Menurut Ramli Sarip beliau banyak membaca tentang Akademi Fantasia serta menonton persembahan mereka. Fenomena ini merupakan satu pembaharuan kepada dunia persembahan di Malaysia.

Sebagai artis, mereka amat beruntung kerana populariti dari rancangan tersebut. Menurutnya lagi ada dua jenis penyanyi, iaitu penyanyi yang sememangnya ingin menjadi penyanyi dan juga penyanyi jadi jadian. Penyanyi yang jadi jadian inilah yang kita tidak mahu.

Menyanyi bukan sekadar untuk berseronok. Setiap dari kita harus serius di dalam bidang seni. Menyanyi perlukan pengorbanan. Di dalam 100 orang penyanyi, cuma 15 yang akan terus kekal. Maka tidak mustahil jika ada yang kalah dan jangan kecewa dengan kekalahan tersebut. Jika punya perasaan kecewa, ini bukan bidang anda. Setiap dari kita telah pun mendapat restu dari keluarga masing-masing.

Menyanyi sahaja tidak mencukupi, setiap dari kita harus membaca, menulis, berfikir, mendengar dan merasainya. Jika mahu menjadi artis perlu menjadi artis yang berilmu. Kita harus menggunakan pengaruh dan populariti untuk memajukan industri. Jangan takut untuk melakukan perubahan dan buat apa yang dirasakan terbaik untuk memberikan satu perspektif baru kepada industri seni tanahair.

Saya bangga dengan sikap rendah diri Ramli Sarip yang berbual dengan anak-anaknya dengan menggunakan kata ganti dirinya sebagai saya. Jarang benar artis yang menggunakan saya sebagai kata ganti diri. Antara artis yang pernah saya dengar menggunakannya ialah Sheila Majid. Menggunakan nama sendiri sebagai kata ganti diri nampak kurang sifat rendah diri.

Ramli Sarip menandatangani gitar milik Yazer. Kegembiraan Yazer tidak dapat disembunyikan oleh beliau. Gaya percakapan Yazer serupa dengan gaya percakapan Mas. Mereka datang dari bandar yang sama.

Ramli Sarip kemudiannya menyanyikan lagu Nyanyian Serambi secara unplugged. Pengetua M.Nasir meminta Yazer mengambil tempatnya untuk menyanyi bersama-sama Ramli Sarip secara harmoni. Memang sungguh sedap nyanyian tersebut walaupun vokal Yazer agak tenggelam berbanding vokal Ramli Sarip. Vokal Ramli Sarip lebih jelas dan bertenaga. Katanya menonton Akademi Fantasia, tetapi tidak mengetahui lagu pelajar adalah bukan pilihan pelajar tetapi pilihan pihak penerbitan.

Diari Akademi Fantasia Minggu 04 Episod 10
Saya semakin menyukai kelas motivasi yang dikendalikan oleh Dr. Azahari. Saya akan menunggu setiap hari Jumaat dengan penuh sabar. Kelas beliau menampilkan kaedah yang berbeza-beza setiap minggu. Daya kreativiti beliau sebagai tenaga pengajar harus saya puji. Beliau bijak menggunakan aktiviti-aktiviti yang menarik untuk menarik perhatian pelajar dan meningkatkan motivasi pelajar di kala hari terakhir sebelum membuat persembahan di konsert mingguan. Tekanan yang dihadapi oleh pelajar dapat diredakan dengan aktiviti-aktiviti kelolaan beliau serta dapat membuka pemikiran pelajar tentang aktiviti-aktiviti tersebut. Dr. Azahari perlu dikekalkan di Akademi Fantasia musim hadapan. Gandingan Dr. Azahari dan Cikgu Fatimah tentu akan menghasilkan sesuatu yang lebih sempurna kelak.

Hari Jumaat merupakan hari yang paling besar tekanan yang dihadapi oleh pelajar. Pelajar diminta untuk berkumpul di dalam satu bulatan. Kemudian mereka diminta untuk mendepangkan tangan kiri mereka dan memegang tangan kiri pelajar lain di hadapan mereka. Tangan kanan pula digunakan untuk memegang tangan kanan pelajar selain dari tangan kiri pelajar tadi. Hasilnya satu kekusutan yang dapat dilihat di hadapan mereka. Itulah contoh kepada masalah. Mereka harus menyelesaikan masalah tersebut. Meleraikan kekusutan di hadapan mereka. Mereka harus memikirkan bersama-sama kaedah penyelesaian kepada kekusutan tersebut. Aktiviti sebegini dapat menjana pemikiran pelajar. Sikap kerjasama juga dapat dipupuk. Akhirnya pelajar perempuan berjaya megusaikan kekusutan tersebut berbanding pelajar lelaki.

Satu lagi perumpamaan yang telah dijentik oleh Dr. Azahari adalah tentang pentingnya diri kita dicurah dengan sifat-sifat dan sikap-sikap yang positif. Diletakkan sebuah gelas di dalam sebuah balang. Di dalam gelas tersebut dituang cecair berwarna yang pekat tanda sifat-sifat negatif yang ada dalam diri kita. Ia perlu dilakukan sesuatu untuk meneutralkan sifat-sifat negatif tersebut. Caranya adalah dengan menyemai sifat-sifat positif dalam diri kita. Dituang air jernih tanda sifat-sifat positif ke dalam gelas tersebut. Cecair pekat berwarna tadi menjadi semakin cair kerana telah bercampur dengan cecair jernih. Ia semakin diseimbangkan. Lama-kelamaan, air berwarna (sifat negatif) tadi semakin mencurah keluar dan menjadi jernih setelah dibajai dengan sifat-sifat positif (air jernih). Sekali lagi pemikiran pelajar dijentik dengan perumpaan yang boleh membuatkan mereka berfikir. Dr. Azahari boleh dinobatkan sebagai seorang pendidik yang berjaya di dalam Akademi Fantasia musim ini.

Komen Pelajar
Reza berharap agar dapat melakukan yang terbaik esok. Yazer berdebar-debar untuk membuat persembahan di hadapan Tenaga Pengajar. Mawi berharap agar keluarganya dapat mendoakan kejayaannya. Begitu juga dengan Aidil yang mengharapkan restu keluarganya. Kefli merasa agak terseksa dengan lagu tersebut kerana nadanya yang agak tinggi. Felix berharap dapat membawakan lagu dangdut sedih itu dengan baik. Akma mengharapkan sokongan dari keluarganya. Amylea berasa agak risau dengan lagu tersebut tetapi berharap dapat melakukan yang terbaik.

Komen Tenaga Pengajar
Nyanyian Felix agak baik penghayatannya. Ekspresi mukanya kena dengan mood lagu tersebut. Beliau harus lebih berhati-hati dengan lenggok lagu dangdut tersebut agar dapat membawakannya dengan lebih baik. Beliau harus lebih berinteraksi dengan penonton.

Mawi nampak berkeyakinan besar dengan lagunya. Penyanyi latar perlu lebih serius membantu Mawi. Mawi juga perlu mengambil berat soal tempo lagu tersebut. Kedengaran agak rushing dengan lenggok-lenggok yang tidak perlu.

Bahagian korus pada nyanyian Aidil kedengaran sedikit sumbang. Beliau masih menyimpan vokalnya dan tidak melontarkan vokalnya seratus peratus. Interaksinya dengan penari juga perlu lebih natural dan tidak seperti melakukan mengikut skrip.

Persembahan vokal Reza masih biasa dan corak persembahannya tidak saya sukai sejak hari pertama beliau melakukan latihan. Penggunaan selendang seakan menghilangkan kemachoan lagu tersebut.

Nyanyian Kefli nampak perubahan. Beliau mempunyai lenggok-lenggok dalam style beliau yang tersendiri tanpa mengikut kepada penyanyi asal lagu tersebut. Kefli perlu lebih berkeyakinan dan tidak terlalu nampak berhati-hati di atas pentas.

Nyanyian Yazer juga masih tidak kemas. Lagu ini memang mencabar kerana bukan forte beliau. Yazer harus melontarkan vokalnya dengan lebih kemas serta menjaga sebutan-sebutannya agar lebih jelas.

Akma telah menampilkan mutu latihan yang paling cemerlang. Gayanya jelas nampak profesional. Pergerakannya menjadi dan persembahan vokal beliau juga kena dengan lagu tersebut. Lagu ini bakal membuka mata peminat yang beliau mampu pergi jauh. Inilah x-factor yang dicari-cari dari dalam diri Akma.

Amylea juga cemerlang dalam persembahannya. Vokalnya masih boleh diperbaiki terutama dari aspek sebutannya yang jelas masih disimpan dan tidak dilontarkan sepenuhnya. Lagu ini sebuah lagu yang simple dan jika silap langkah ia akan menjadi persembahan yang membosankan kerana tidak banyak muzik latar.

Amy ditegur kerana pergerakan bertenaganya tetapi tiada makna. Beliau bergerak pantas dan tangkas di atas pentas tetapi apa yang ingin disampaikan. Masih kosong. Nyanyiannya baik tetapi beliau perlu menampilkan aspek persembahan yang lebih meyakinkan.

Marsha bakal mempersembahkan sebuah persembahan vokal yang penuh dengan dinamik dan style yang baik. Saya menyukai style nyanyiannya yang cuba lari dari cara Jaclyn Victor. Saya melihat Marsha mampu membawakan lagu tersebut dengan lebih baik lagi.

Idayu tidak menghadapi masalah yang besar untuk lagu tersebut. Kawalan vokalnya terbaik untuk lagu-lagu sebegini. Beliau harus menampilkan corak persembahan sebuah lagu balada yang lebih meyakinkan.

Pergerakan Ekin nampak meyakinkan. Sayang sekiranya persembahan vokal beliau tidak dapat diberikan seratus peratus. Vokal beliau kedengaran agak shaky. Kawalan vokalnya masih tenggelam timbul.

Komen Pelajar
Amy merasa gembira dapat membawakan lagu bercorak pop-rock ini. Ekin merasa sedikit gusar dengan lagunya yang sememangnya sukar kerana note yang tinggi dan perlu menari dalam waktu yang sama. Marsha agak berkeyakinan dengan lagunya. Begitu juga dengan Idayu.

Ramalan Penyingkiran
Jika berdasarkan kepada sentimen penonton yang kurang berdasarkan personaliti, Idayu dan Reza merupakan pilihan utama untuk tersingkir. Bezanya Idayu mempunyai mutu vokal yang lebih baik berbanding Reza. Ditambah pula dengan sentimen simpati selepas terbaca berita yang bapa Idayu telah dilaporkan dirompak di Machang Kelantan. Ini mungkin akan menaikkan lagi undian untuknya ataupun juga menjatuhkan lagi undian untuk beliau kerana pada pemikiran sesetengah pengundi, anak orang kaya seharusnya tidak diberikan peluang untuk belajar di dalam Akademi Fantasia.

Pada pandangan saya, Aidil agak selamat pada minggu ini kerana personaliti beliau yang semakin boleh diterima oleh para pengundi. Kedudukan Kefli, Amylea agak goyah pada kedudukan terkini. Tetapi berdasarkan sentimen pengundi simpati, nama-nama pelajar paling bawah akan sentiasa naik selepas konsert. Jika melihatkan kedudukan paling rapuh pada minggu lepas, Amy juga berkemungkinan besar mempunyai peluang untuk tersingkir.

Faktor akhir penilaian penonton adalah berdasarkan persembahan konsert. Secara tidak langsung kedudukan giliran persembahan juga memainkan peranan yang penting. Bilangan undian untuk pelajar yang terakhir membuat persembahan tentunya terjejas. Ini adalah sentimen-sentimen wajib pada setiap minggu setelah 3 musim Akademi Fantasia berlangsung.

Pilihan saya untuk tersingkir ialah Reza kerana personaliti dan peningkatan yang beliau tunjukkan di dalam Akademi. Manakala Kefli dan Aidil adalah pilihan saya yang kedua dan ketiga berdasarkan kepada keupayaan persembahan vokal yang mereka punyai adalah agak rendah berbanding pelajar lain. Jika anda mahu membuktikan ramalan saya silap, sila jalankan tanggungjawab anda dengan mengundi !