Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 27 June 2005

Diari Akademi Fantasia Minggu 05 Episod 01
Dalam suatu kelas mereka perlu melukis satu lukisan abstrak. Hasilnya masih biasa tetapi ada beberapa yang menarik. Lukisan Akma bertajuk Kehidupanku. Lukisan Felix bertajuk Peritnya Sebuah Kehidupan. Manakala Aidil bertajuk AF3.

Lukisan Reza bertajuk Cenderawasih. Sebuah lukisan yang paling menarik. Lukisannya indah dah kena dengan tajuk lukisan tersebut. Konsep yang dibawa oleh Amy dengan The Maze Cogniton juga agak menarik. Mawi agak klise dengan Menuju Puncak.

Saya paling suka dengan lukisan Kefli bertajuk Menuju Kejayaan dan Ketenangan. Sebuah lukisan yang simple tetapi kena dengan tona warnanya. marsha berkongsi pengalamannya dalam Losing A Best Friend. Yazer berkreatif dengan lukisan bertajuk Aku dan Ekin dengan lukisan Gelombang Diriku.

Selebihnya, sila ke Akademi Fantasia-Coretan Seorang Rakyat Jelata.

Diari Akademi Fantasia Minggu 05 Episod 02
Memang bila dapat duduk di Akademi Fantasia, berat badan akan meningkat dengan mendadak kalau tidak dikawal. Lihatlah apa jadi pada Zahid. Rata-rata pelajr telah meningkat berat badan mereka kecuali beberapa orang pelajar. Mawi meningkat sedikit, begitu juga dengan Yazer. Pelajar perempuan nampaknya mengekalkan berat badan mereka.

Satu Jam
Mereka diberi tempoh satu jam untuk menghafal lagu mereka. Dalam pada itu satu mesyuarat tergempar antara Tenaga Pengajar berlangsung. Ia boleh dilakukan pada tiap-tiap minggu sebagai drill untuk mereka lebih tekun untuk menghafal lagu. Biar sekali-sekala mereka belajar dalam ketakutan. Macam menghafal sifir masa sekolah rendah dulu.

Lagu Baru Minggu 05
Aidil - Senyuman Ragamu (Gerhana Ska Cinta)
Yazer - Takdir Penentu Segalanya (Jamal Abdillah)
Marsha - Bossanova (Pun Sri Saloma)
Felix - Hari Ini Dan Semalam (J.Mizan)
Akma - Camar Yang Pulang (Aishah)
Kefli - Berhenti Berharap (Sheila on 7)
Ekin - Let’s Get Loud (J Lo)
Reza - Ala Emak Kahwinkan Aku (Zainodin Mat Dom)
Amy - Antara Anyer Dan Jakarta (Sheila Majid)
Mawi - Beautiful Maria (Los Lobos)
Amylea - Hak Milik Kekal (Linda Diana Rafar)

Mesyuarat Tergempar
Pada amatan saya, inilah kali pertama saya melihat sebuah mesyuarat antara tenaga pengajar di dalam Akademi Fantasia. Mereka berbincang tentang bagaimana untuk meningkatkan kemampuan pelajar. Sebagai tenaga pengajar mereka mempunyai standard mereka sendiri. Apa yang mereka perhatikan sekarang, bukan standard mereka. Mereka tidak mahu apabila pelajar itu keluar kelak, tenaga pengajar akan dicemuh kerana standard pelajar tidak mencapai tahap yang sepatutnya.

Masalah utama pelajar adalah sukar untuk menggunakan apa yang telah mereka pelajari selama beberapa minggu di atas pentas. Mereka kerap mengulangi kesilapan yang serupa. Saya akui memang sukar untuk membuang tabiat yang telah menjadi kebiasaan mereka sebelum ini dan diperbetulkan dalam jangka masa selama satu minggu. Dalam waktu yang singkat setiap pelajar harus mengaplikasikan apa yang mereka pelajari di atas pentas. Itulah yang tidak menjadi dan masalah utama mereka ialah masa. Mereka telah diberikan pengajaran yang secukupnya tetapi ia tidak berhasil. Antara cadangan-cadangan yang diberikan oleh Pengetua M.Nasir termasuklah latihan intensif atau membiarkan sahaja.

Satu perkara yang diutarakan oleh Cikgu Adnan benar-benar menjentik minda saya selaku penonton Akademi Fantasia. Menurut beliau budaya Fan Club merupakan budaya yang kurang sihat untuk Akademi Fantasia. Budaya Fan Clublah yang sebenarnya telah merosakkan nilai-nilai murni untuk Akademi Fantasia mendapatkan bakat-bakat yang bagus untuk masa hadapan. Saya akui ada benarnya perkara tersebut. Peminat jujur meminati pelajar yang mereka sukai. Tidak salah. Mereka mempunyai standard mereka sendiri tetapi tidak tinggi. Mereka boleh memaafkan pelajar sekiranya mereka membuat kesilapan. Tetapi standard yang diingini oleh para tenaga pengajar lebih tinggi daripada standard peminat. Jika peminat dari Mawi FC boleh memaafkan pelajar kesayangan iaitu Mawi bila beliau lupa lirik, tenaga pengajar tidak boleh memaafkannya kerana mereka harus mencapai standard yang lebih tinggi. Mungkin pada pendengaran tenaga pengajar nyanyian Aidil sumbang, tetapi pada pendengaran Aidil FC, Aidil tidak sumbang. Itu yang membezakan antara Tenaga Pengajar dan Peminat. Standard mereka berbeza.

Pada pendapat saya pula ada beza antara Peminat Fanatik dan FC. FC saya lihat mereka lebih terbuka dan sentiasa menerima pandangan pihak luar. FC kewujudannya dibuat secara teratur. Ini berbeza dengan peminat fanatik yang lebih kepada syok sendiri dan adakalanya meroyan berseorangan seperti contohnya Makcik Terlampau. FC yang wujud sejak zaman Akademi Fantasia 1 hingga 2 lebih profesional pengurusannya. Malangnya Peminat Fanatik yang tiada arah tujuan itulah yang sebenarnya telah merosakkan nilai-nilai murni yang dibawa oleh Akademi Fantasia. Peminat-peminat yang kononnya menggelarkan diri mereka FC cawangan Kulai, FC cawangan Bangsar, FC cawangan Kubang Pasu, FC cawangan Taman Medan ini sebenarnya tidak wujud dan hanya wujud secara syok sendiri. Mereka akan akhirnya terkubur tanpa nesan. Musim lepas, Mas mempunyai beribu FC, ke mana mereka sekarang ? Saya harus menegaskan di sini bahawa ada perbezaan yang nyata antara FC dan Peminat Fanatik.

Saya turut tertarik dengan kenyataan pesimis dari Cikgu Ee yang mana menurutnya tugas tenaga pengajar Akademi Fantasia bukan untuk mencari bintang, tetapi sekadar mengasah bakat pelajar sedia ada. Apa gunanya Akademi Fantasia jika bukan untuk mencari bintang. Bayar mahal-mahal, suruh buat kerja. Cari bintang, bukan sekadar asah.

Satu lagi masalah yang diketengahkan oleh Cikgu Adnan apabila pengkritik tidak menilai pelajar sebagai pelajar. Mereka menganggap pelajar perlu diberi layanan seperti artis. Disinilah pentingnya kehadiran Kudsia Kahar sebagai Pengkritik Tetap yang dapat menyeimbangkan komen-komen yang diberikan oleh pengkritik. Tekanan yang dihadapi oleh pelajar amat besar. Menerima komen-komen yang tidak membina dari Pengkritik lebih membebankan pelajar.

Akademi Fantasia merupakan satu proses pembelajaran bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga kepada penonton. Penonton didedahkan dengan persekitaran pelajar dan kesan-kesan kepada persekitaran tersebut. Penonton turut diajar tentang bagaimana menilai pelajar serta mengikuti perkembangan pelajar setiap hari. Sekiranya ada komen dari pengkritik yang tidak berasas, maka secara tidak langsung turut mengelirukan penonton.

Masa yang terlalu singkat iaitu dalam masa satu minggu mereka perlu melunaskan cabaran yang mereka hadapi. Setiap minggu masalah baru akan dihadapi kerana setiap minggu lagu akan berubah. Inilah yang dirasai oleh para penonton. Turut merasai cabaran yang digalas oleh para pelajar.

Selepas Satu Jam
Rata-rata kebanyakan pelajar lulus ujian teknik menghafal lirik lagu itu. Felix agak selesa dengan lagu tersebut maka tidak sukar untuk beliau menghafal lagu itu. Kefli menghadapi masalah yang besar dalam menghafal lirik lagu kerana tidak biasa dengan lagu tersebut. Jelas nampak kekecewaan pada wajah beliau apabila dikatakan tidak mampu menghafal lirik lagu oleh Pengetua M.Nasir. Yazer juga tidak menghadapi masalah yang menghafal lirik lagu. Saya menyukai dengan gaya Aidil membawakan lagu tersebut. Reza kena bergerak untuk lagu tersebut. Mawi menyanyi lagu apa ya ? Pelajar-pelajar lain juga mampu menghafal dengan baik. Pengetua M.Nasir mengingatkan pelajar agar menyukai pada muzik untuk lebih cepat menghafal lirik lagu.

Komen Lagu
Secara keseluruhan pelajar semakin diuji dengan lagu-lagu yang mencabar kecuali beberapa pelajar. Felix contohnya sekali lagi mendapat sebuah lagu lama iaitu Hari Ini Dan Semalam. Konsepnya lebih kurang dengan lagu Berjuta Baru. Yazer cuba diuji dengan sebuah lagu balada pada minggu ini. Marsha didedahkan kepada sebuah lagu lama dan perlu menari pada waktu yang sama. Cabaran untuk Reza ialah membawakan lagu ini sambil bercerita dan mempunyai showmanship yang lebih bertenaga. Pernah terfikir Aidil akan berpeluang untuk membawakan lagu Gerhana Ska Cinta ? Inilah masanya. Cabaran yang paling menjadi tumpuan pada minggu ini tentunya terarah kepada Mawi apabila mendapat sebuah lagu Inggeris iaitu Beautiful Maria. Gemuruh paling besar yang perlu mereka hadapi pada minggu ini apabila perlu melaksanakan cabaran mereka di hadapan lautan manusia di sebuah persembahan konsert secara terbuka. Mampukah mereka melaksanakan tugas mereka sebaik mungkin ?

Spoiler
Sebenarnya sejak akhir-akhir ini, blog ini menjadi tumpuan pembaca untuk meletakkan komen-komen berunsur spoiler kepada umum. Saya sebenarnya kurang menyenanginya kerana ia seakan membunuh minat dan debaran saya. Bayangkan selama tiga musim, saya akan berdebar-debar menantikan hari Isnin untuk mengetahui tajuk lagu yang diperolehi oleh pelajar, tetapi hari ini sekitar jam 3 petang saya sudah mengetahui siapa yang menyanyikan lagu apa. Senarai lagu minggu 4 dan 5 juga telah disenaraikan oleh pembaca yang tidak saya ketahui identitinya pada minggu lepas. Apa pendapat anda berkenaan isu spoiler ?