Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 18 June 2005

Konsert Akademi Fantasia 03 : Amylea Membuktikan Sesuatu, Fuad Tersingkir
Amylea telah membuktikan beliau mempunyai karisma yang hebat sebagai penghibur yang mempunyai vokal yang mantap. Terlalu besar peningkatan yang telah ditunjukkan oleh Amylea sejak minggu lepas.

Pelajar yang telah membuka mata saya pada minggu ini antara lain terdiri daripada Mawi yang telah memberikan peningkatan besar dalam persembahannya. Beliau telah berjaya melaksanakan amanahnya dengan baik cuma perlu digilap dari aspek pesona sebagai seorang artis yang bukan sekadar boleh berjaya di dalam negara tetapi juga di luar negara. Ada sesuatu dalam diri Ekin yang perlu lebih digali untuk lebih menyerlah pada minggu hadapan. Begitu juga dengan Yazer dan Idayu yang mampu menyerlah dari aspek vokal tetapi kurang dari aspek personaliti yang sukar untuk mendapat sokongan penonton. Sebenarnya saya mula menerima vokal Fuad yang boleh dibanggakan tetapi sayang personaliti yang ada padanya sukar untuk menambat hati saya.

Penyingkiran Fuad adalah berdasarkan sentiment personaliti yang sering digembar-gemburkan di dalam Akademi Fantasia. Tidak cukup dengan Diari harian yang disiarkan, penonton yang boleh melayari internet berjalur lebar turut didedahkan dengan personaliti pelajar di dalam Diari Xtended yang merakamkan hampir keseluruhan aktiviti harian mereka. Maka sewajarnya mereka diberikan penilaian berdasarkan tontonan tersebut. Ini Akademi Fantasia bukan Malaysian Idol.

Kedudukan Sebelum Konsert
Mawi 24%
Felix 21%
Fuad 5%
Idayu 5%
Marsha 5%
Amy 5%
Ekin 5%
Akma 5%
Aidil 5%
Yazer 5%
Amylea 5%
Kefli 5%
Reza 5%

Pengkritik Profesional pada minggu ini terdiri daripada Shaharudin Musthafa dan Afdlin Shauki. Pengkritik pada minggu ini semacam tidak cukup umppph seperti minggu lepas. Shaharudin lebih kepada pakej bintang yang sesuai untuk menjual surat khabar dan majalah. Komen Afdlin lebih sesuai cuma impaknya tidak cukup kuat untuk pelajar. Mahu jadi pengkritik pun sukar kerana boleh dikritik.

Persembahan Pelajar

Konsert 03 AF3

Marsha - Lelaki Idaman 6/10
Marsha tidak berjaya melunaskan cabaran dalam persembahannya. Persembahannya bermula dengan baik. Nampak beliau agak berkeyakinan. Penampilan vokalnya juga biasa sahaja. Banyak sebutannya yang tidak begitu jelas. Saya menyukai interaksinya dengan penari latar walaupun beberapa langkah tariannya yang terlebih. Interaksinya dengan kamera juga agak baik. Marsha tidak begitu pasti dengan step tariannya menyebabkan persembahannya nampak hambar. Saya belum nampak apakah kekuatan utama Marsha kerana kekuatannya yang sepatutnya dalam lagu Ingin Bersamamu boleh dikatakan gagal mencapai tahap yang sepatutnya. Marsha perlu berani menyerlahkan lagi keindahan vokal beliau.

Konsert 03 AF3

Aidil - Nak Dara Rindu 5.2/10
Konsep yang diperkenalkan oleh team penerbitan apabila menggunakan konsep hitam putih untuk persembahan ini amat kreatif. Sayangnya peluang tersebut tidak dipergunakan sepenuhnya oleh Aidil dengan baik dan berkesan. Props basikal tua dan beg antik tidak disentuh oleh Aidil langsung. Nyanyiannya hambar dan penghayatannya kurang untuk lagu tersebut. Beliau sekadar menyanyi sahaja. Aidil cuba untuk memberikan sentuhannya yang tersendiri untuk lagu tersebut dan sedikit berjaya tetapi tidak sepenuhnya. Beliau terlalu berhati-hati dalam persembahannya. Ekspresinya kurang untuk lagu tersebut. Aidil seharusnya dapat memberikan lebih impak untuk lagu tersebut tetapi tidak berhasil.

Konsert 03 AF3

Amy - Asmaradana 4.1 /10
Gerak tari yang dipertontonkan kepada penonton agak hambar dan seperti tidak masuk dengan lagu tersebut. Pergerakan Amy tidak setangkas dan sepantas lagu tersebut. Geraknya tidak tajam dan cantik. Posturnya juga seakan merendah diri sehingga interaksi matanya dengan jelingan tajam umpama Pontianak Harum Sundal Malam. Cadangan Tiara agar beliau sedikit chin-up tidak dilaksanakan oleh beliau. Beliau telah mencuba sehabis baik untuk sebuah lagu yang sukar ini. Persembahan vokal beliau juga masih boleh dibaiki terutamanya teknik pernafasan beliau. Ekspresi muka, gerak tarian dan persembahan vokalnya tidak selari dengan lagu tersebut. Imej Puteri Jawanya tidak menonjol dalam persembahannya.

Konsert 03 AF3

Reza - Mungkin Nanti 5.1/10
Yang membuatkan saya kurang menyukai persembahannya adalah kerana terlalu terikut-ikut gaya Peterpan. Persembahan Reza hanyalah sebuah persembahan cedok dari Peterpan. Beliau sedikit alpa dengan tempo lagu tersebut dan sedikit kesilapan dalam masuk pada beberapa bahagian awal. Pada peringkat awal lagu, vokalnya masih biasa dan boleh dibaiki tetapi mula meningkat pada pertengahan lagu. Beliau mula menguasai pentas dan ada sedikit keyakinan. Karisma beliau sebagai penghibur hanya pick-up setelah pertengahan lagu tersebut. Saya menyukai cara beliau bergerak di atas pentas untuk berinteraksi dengan penonton walaupun interaksinya dengan kamera agak kurang. Lagu-lagu Indonesia adalah forte beliau dan beliau harus diuji dengan lagu-lagu yang lebih mencabar.

Konsert 01 AF3

Yazer - Suatu Masa 7.7/10
Persembahan Yazer boleh saya sifatkan sebuah persembahan yang minimal tetapi memadai. Teknik pencahayaan turut memainkan peranan yang penting untuk memberikan lebih impak kepada persembahannya. Sorotan lampu dari atas memberikan sedikit sentuhan misteri pada awal persembahannya. Adakalanya beliau turut bermain dengan ½ tempo dalam persembahannya. Style yang selalu digunakan oleh M.Nasir dalam persembahan konsertnya. Penamat lagu tersebut kurang bertenaga kerana beliau tidak menarik suaranya dengan sepenuhnya. Penghayatannya amat cemerlang dan lagu tersebut disampaikan dengan jujur dalam penjiwaan yang luhur.

Konsert 03 AF3

Kefli - Keindahan Pantai 4/10
Persembahan Kefli banyak dibantu oleh rakan-rakannya dalam menutup kelemahan vokal beliau. Penguasaan pentas Kefli amat bertenaga dan begitu menghiburkan. Persembahan vokalnya adalah kelemahan utama beliau yang harus diberikan perhatian serius oleh beliau dan tenaga pengajar. Beliau begitu yakin dalam persembahannya dan tujuan utamanya adalah untuk menghiburkan. Ternyata ia berjaya dilaksanakan oleh beliau dengan baik. Saya menyukai semangat kerjasama antara rakan-rakannya yang ditonjolkan di dalam persembahan ini.

Konsert 03 AF3

Amylea - Anggapanmu 8.5/10
Saya anggap persembahan Amylea adalah persembahan yang terbaik pada malam tersebut. Ini adalah kerana nyanyiannya yang digayakan mengikut stylenya yang tersendiri. Beliau memberikan rasanya pada beberapa note dan disampaikan dengan penuh berkeyakinan. Lontaran vokal beliau untuk sebuah lagu sesukar Anggapanmu seharusnya diberikan pujian. Vokalnya flow dengan baik untuk lagu tersebut. Pergerakannya di atas pentas seharusnya dikurangkan sedikit kerana agak terlalu banyak sehingga merimaskan. Pada peringkat awal lagu tersebut, beliau menghadapi masalah tempo.

Konsert 03 AF3

Fuad - Gerimis Di Lautan 7/10
Saya akui beliau mempunyai vokal yang mantap di kalangan pelajar lelaki. Persembahan vokal beliau agak konsisten. Beliau berjaya menjiwai lagu ini dengan berkesan diselitkan dengan sketsa yang memadai. Persembahannya dibawakan dalam style beliau yang tersendiri. Gaya beliau berinteraksi dengan penonton juga amat baik. Beliau bijak untuk berkomunikasi dengan penonton dan benar-benar menjiwai lagu tersebut. Kelemahan utama beliau adalah personaliti beliau yang kurang disenangi oleh para penonton. Tetapi Akademi Fantasia bukan sekadar vokal tetapi juga personaliti. Secara keseluruhan persembahan vokal Fuad telah berjaya menambat hati cuma beliau perlu memperbaiki dari aspek personaliti sahaja.

Akma - Lagu Rindu 5/10
Pelik juga apabila Kudsia Kahar mengatakan yang beliau tidak terganggu dengan kemunculan pemain api dalam persembahan Akma. Saya benar-benar terganggu dengan kemuculannya. Tumpuan saya teralih kerana Akma kurang dari aspek penghibur untuk terus memaku mata saya dari teralih daripadanya. Beliau gagal menghiburkan saya dengan Lagu Rindunya. Saya akui vokal beliau bagus dan tidak ada cacat dan celanya untuk lagu tersebut tetapi vokal sahaja belum dapat diiktiraf untuk menjadi penghibur yang baik. Akma perlu mencari x-factor yang ada dalam dirinya untuk diketengahkan agar dapat dihayati oleh penonton.

Felix - Memori Bahagia 7.3/10
Memori Bahagia adalah antara persembahan terburuk Felix. Beliau mempunyai vokal yang mantap untuk sebuah lagu balada seperti ini, tetapi sayangnya beliau tidak cukup menjiwai lagu tersebut untuk sama-sama dihayati oleh penonton. Saya melihat beliau terlalu berhati-hati sehingga lagu tersebut tidak dihayati dengan baik oleh beliau. Ada berlaku sedikit kesilapan lirik pada beberapa perkataan. Sewaktu bridge lagu tersebut, Felix kelihatan tidak tahu untuk membuat apa, hanya sekadar berjalan. Interaksi beliau dengan penonton juga kurang dan tidak berkesan. Falsetto beliau juga tidak begitu kemas dan vokalnya tidak begitu menyerlah. Lagu sebegini memerlukan penghayatan yang besar dan beliau tidak melaksanakannya dengan baik.

Ekin - Mimpi Sedih 7.5/10
Saya menyukai style beliau. Lebih-lebih lagi dengan lontaran vokal beliau yang cukup jelas. Gaya beliau menyanyi juga amat baik. Lagu ini menjadi menarik di tangan Ekin. Penghayatannya simple sahaja. Ia memang tidak konsisten tetapi masih memadai. Interaksi beliau dengan penonton juga tidak banyak oleh kerana tumpuannya terhadap lagu tersebut. Menariknya persembahan beliau apabila telah memberikan persembahan vokal yang bertenaga.

Mawi - Gadis Melayu 8.1/10
Persembahan vokal Mawi amat cemerlang. Interaksi beliau dengan penari latar yang terdiri daripada rakan-rakannya juga amat baik. Beliau nampak berkeyakinan besar untuk lagu tersebut. Pergerakannya memadai. Persembahan nyanyiannya cukup sempurna baik dari segi lirik dan melodi. Itulah aspek utama yang harus saya berikan perhatian. Beliau telah berjaya bangun dari tidur dan telah melunaskan tanggungjawab besarnya dengan cemerlang. Kekurangannya apabila kurang interaksi dengan kamera. Penonton terpesona dengan persembahan bersahaja beliau kerana itu yang mereka mahukan. Beliau mula menyerlahkan dirinya untuk lebih terbuka. Sebuah persembahan yang menghiburkan daripada Mawi. Gaya nyanyiannya boleh digali lagi untuk dicari lagi keunikan yang ada dalam diri beliau. Saya mahu melihat Mawi diberikan peluang untuk mencuba pelbagai genre lagu agar versatile tersebut timbul.

Idayu - Curiga 8/10
Persembahan vokal yang hebat dari Idayu. Beliau menyanyi dengan penuh berkeyakinan. Lontaran vokalnya amat bertenaga dan dihasilkan dengan cemerlang. Penguasaan pentasnya lengkap dengan gaya penghibur yang baik. Idayu harus diberi peluang untuk lebih menyerlahkan lagi kehebatan vokal beliau. Beliau perlu dieksperimentasikan dengan pelbagai genre lagu agar keunikan vokal beliau dapat dipertontonkan. Idayu telah berjaya membawakan lagu Curiga dalam susunan muzik yang segar dan menjadikan lagu ini seperti lagunya. Itulah kekuatan utama persembahannya.

Menuju Puncak
Saya telah memberikan peluang kepadanya untuk membuktikan dan ternyata beliau tidak menghampakan saya. Sebuah pergerakan penuh bertenaga dari semua pelajar Akademi Fantasia untuk lagu tema Akademi Fantasia walaupun dengan asas koreograf yang masih sama. Ada peningkatan besar pada Mawi dan Marsha yang masuk seminggu lewat ke Akademi. Pergerakan mereka lebih teratur pada minggu ini. Menuju Puncak tampak lebih serius kini.

Penyingkiran diterima dengan lebih terbuka pada minggu ini. Hanya sebuah beg yang keluar dari bawah pentas. Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila Fuad tersingkir pada minggu ini. Akademi Fantasia bukan sekadar menilai aspek vokal sahaja tetapi elemen personaliti turut memainkan peranan yang penting untuk terus kekal di dalam Akademi Fantasia. Jika pada minggu lepas, Elliza tersingkir angkara personaliti, pada minggu ini Fuad juga tersingkir angkara personaliti. Mawi dan Felix terus kekal menerajui takhta carta Akademi Fantasia juga kerana personaliti yang nyata berbeza dalam Akademi Fantasia sebelum ini. Untuk terus kekal, setiap pelajar harus tahu membina personaliti diri masing-masing untuk tampil unik berbanding saingan mereka.

Ranking sultanmuzaffar
Amylea - Anggapanmu 8.5/10
Mawi - Gadis Melayu 8.1/10
Idayu - Curiga 8/10
Yazer - Suatu Masa 7.7/10
Ekin - Mimpi Sedih 7.5/10
Felix - Memori Bahagia 7.3/10
Fuad - Gerimis Di Lautan 7/10
Marsha - Lelaki Idaman 6/10
Aidil - Nak Dara Rindu 5.2/10
Reza - Mungkin Nanti 5.1/10
Akma - Lagu Rindu 5/10
Amy - Asmaradana 4.1 /10
Kefli - Keindahan Pantai 4/10

Imbasan 03 Akademi Fantasia
Antara segmen menarik dalam Imbasan pada minggu ini ialah apabila Afdlin Shauki menamakan Kefli sebagai persembahan yang agak mengecewakan beliau. Manakala Shaharuddin menamakan Amy kerana persembahannya yang kurang bertenaga. Mawi telah dinamakan sebagai pelajar yang telah memberikan persembahan yang paling membanggakan oleh Shaharuddin dan Yazer pula adalah pilihan Afdlin Shauki.

Setelah 3 musim Akademi Fantasia, tajuk lagu sering kali cuba dijadikan sasaran konon-kononnya menjadi penyebab kegagalan pelajar. Seperti Anugerah Dari Kegagalan dendangan Sahri sebelum tersingkir, Siapalah Aku oleh Azza dan Memori bukan dendangan Rosma tetapi Azza.

Pada minggu ini turut diperkenalkan talian telefon untuk pemanggil bercakap dengan pelajar yang tersingkir. Satu idea yang bagus dan ia pernah dicadangkan di dalam Forum rasmi Akademi Fantasia. Persembahan pelajar pada penghujung siaran Imbasan juga merupakan langkah yang baik untuk mengembalikan semangat pelajar walaupun bilangan penonton tidaklah ramai kerana masing-masing sudah mula beredar setelah pengumuman kedudukan undian selepas konsert diketahui.

Fuad akan diingati sebagai antara pelajar lelaki yang kuat menangis. Sifatnya menyebabkan penonton tidak menyukainya kerana disifatkan terlalu cengeng. Sayang, pelajar yang mempunyai mutu vokal yang agak baik berbanding pelajar yang masih tinggal di dalam Akademi, tetapi perlu akur dengan kekalahan dari aspek personaliti.

Kedudukan Undian Selepas Konsert
Mawi 24%
Felix 19%
Yazer 7%
Amylea 6%
Reza 6%
Ekin 5%
Kefli 5%
Marsha 5%
Aidil 5%
Akma 5%
Idayu 5%
Amy 4%
Fuad 4%

Kredit Foto : www.astro.com.my