Konsert Akademi Fantasia 04 : Felix Versatile, Atie, Anding, Idayu ? Bekas Pelajar UITM dan kini Bekas Pelajar Akademi Fantasia
Akademi Fantasia, sebuah rancangan realiti membuat kejutan lagi apabila Idayu tersingkir pada minggu ini. Tidaklah terlalu mengejutkan kerana saya sudah biasa dikejutkan dengan penyingkiran Rosma, Sahri, Zarina, Linda suatu ketika dahulu. Maka, apabila Idayu tersingkir tidaklah terlalu mengejutkan. Ianya sudah dijangka akan berlaku. Persembahan Konsert 04 lebih menyerlahkan Felix sebagai seorang yang versatile. Beliau berbakat besar untuk menjadi seorang penghibur serba boleh. Gelombang Mawi terus-terusan melanda negara dan gegarannya begitu dirasai di Stadium Malawati Shah Alam. Adakalanya saya berharap benar agar Amylea terus menerus berada di bahagian bawah dalam carta sebelum konsert kerana berdasarkan undian simpati, beliau pasti naik selepas konsert. Ini pernah terjadi kepada Farah di Akademi Fantasia 2.
Pada minggu ini juga saya meletakkan Felix dan Mawi sebagai taruhan Pilihan 5 Terbaik saya untuk ke Konsert Kemuncak. Maka terdapat lagi tiga tempat kosong untuk diisi oleh pelajar yang menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan. Seperti tahun-tahun terdahulu, ada juga kemungkinan pilihan yang telah masuk ke dalam senarai dikeluarkan kerana tidak mampu untuk menggalas cabaran yang diberikan. Yang nyata, ia adalah pilihan peribadi saya.
Kedudukan Sebelum Konsert
Mawi 24%
Felix 20%
Idayu 6%
Yazer 6%
Marsha 6%
Ekin 6%
Aidil 6%
Amy 6%
Akma 6%
Reza 6%
Amylea 6%
Kefli 6%
Pengkritik pada minggu ini terdiri daripada Adlin Aman Ramlie yang kembali semula menggantikan Kudsia Kahar yang tidak dapat bersama-sama pada minggu ini. Komen-komen dari Adlin pada minggu agak kurang menyengat berbanding pada minggu kedua. Bahasa yang digunakan lebih melampau pada minggu ini sehingga boleh menyebabkan kemarahan peminat lalu membalas dengan undian mereka. Komen dari Fauzi Marzuki agak bersesuaian dengan pandangan beliau dari aspek seorang penerbit album. Saya menyukai komen dari Syafinaz yang banyak memberikan tip tentang vokal mereka. Seharusnya Adlin diletakkan sebagai pengkritik tetap pada minggu hadapan. Komen beliau jujur dan berani.
Persembahan konsert pada minggu ini tidak mengikut kedudukan tempat duduk pelajar. Oleh yang demikian, penonton tidak dapat meneka siapakah yang membuat persembahan dan tidak perlu menunggu hingga saat-saat akhir untuk membuat undian. Para peminat juga tidak dapat menunggu giliran pelajar yang mereka gemari untuk ditonton. Para wartawan pun tidak boleh keluar untuk merokok. Sabar ya ! Sesetengahnya penonton yang sudah mengetahui giliran tentunya akan menunggu pelajar kegemaran mereka sahaja.
Persembahan Pelajar
Amy - Bilang Saja 5.5/10
Persembahan beliau bermula dengan agak baik. Persembahan vokal Amy juga agak bertenaga. Interaksi beliau dengan kamera juga memuaskan. Pergerakan beliau di atas pentas amat bertenaga tetapi sekadar menguasai pentas tanpa sebab-sebab yang memadai. Beliau turut menggunakan Aznil selaku penari latar dan bijak mengawal suasana. Keyakinan beliau juga tinggi pada minggu ini berbanding pada minggu lepas. Ada peningkatan dalam persembahan beliau. Beliau masih kurang dari aspek karisma sebagai penghibur apabila agak sukar untuk merasai persembahan beliau.
Yazer - Nyanyian Serambi 7/10
Betul kata Syafinaz yang vokal Yazer agak kasar sehingga adakalanya kurang kedengaran apa yang beliau nyanyikan. Vokalnya masih biasa sahaja. Yang menyebabkan saya suka dengan persembahan beliau apabila Yazer bijak menguasai pentas dan berinteraksi dengan rakan-rakannya sekaligus menghidupkan persembahannya. Vokal beliau juga harmoni dengan penyanyi latar. Yazer lebih kelihatan menyanyi dan kurang menghayati mesej lagu tersebut. Yazer baru diuji dengan beberapa lagu rock, pop rock dan lagu berirama Malaysia. Kredibiliti beliau dalam Akademi Fantasia masih belum hebat diuji.
Akma - L.O.V.E. 6/10
Persembahan yang sepatutnya menyerlahkan lagi x-factor dari Akma tetapi tidak menjadi pada minggu ini. Beberapa minggu yang lepas persembahan nyanyian Akma baik tetapi tiada sebab yang kuat untuk membolehkan saya menonton persembahannya. Beliau masih malu-malu. Saya nampak keyakinan dalam diri beliau akan persembahan vokalnya yang baik. Saya melihat sesi latihan beliau lebih baik daripada malam persembahan konsert. Satu yang kurang dalam sebuah lagu jazz sebegini apabila beliau tidak melakukan scat pada bahagian bridge lagu tersebut hingga nampak kosong. Beliau banyak membelakangkan penonton. Penghayatannya juga tidak begitu konsisten lalu membiarkan penonton tercari-cari apakah elemen persembahannya yang dapat menarik perhatian penonton. Akma harus menggali lagi ke dalam dirinya untuk lebih menyerlahkan lagi karisma penghibur yang ada dalam diri beliau.
Kefli - Seksa 3/10
Seksa mendengar lagu ini disumbangkan oleh Kefli. Tiada peningkatan yang dibawa oleh beliau pada minggu ini. Baik sedikit pun dari aspek vokal. Saya cuba untuk menyukai note rendahnya dengan vibrato yang memuaskan. Kefli lebih berhati-hati sehingga mengehadkan penguasaan pentasnya. Pergerakannya juga tidak mengikut tempo lagu tersebut. Sayang sekali persembahan vokalnya kurang kemas. Tiada apa lagi yang mampu saya perkatakan tentang Kefli. Lagu jenis apa yang sesuai dengannya pun saya tidak tahu. Serba tidak kena.
Marsha - Tunggu Sekejap 8/10
Saya kagum dengan persembahan vokal beliau. Tone vokalnya agak lancar dan dikawal dengan baik oleh Marsha. Teknik lampu menyerlahkan lagi mood persembahannya. Saya menyukai style yang diangkat oleh beliau dalam lagu ini walaupun dibayangi dengan imej Jaclyn Victor yang masih segar dalam ingatan saya. Saya kagum dengan karisma yang ada dalam diri beliau yang mampu membuatkan saya terpaku dan mengikuti persembahannya sehingga tamat. Marsha saya lihat mempunyai peluang untuk menonjol di minggu-minggu akan datang.
Felix - Aku Semut Merah 8.8/10
Apa yang saya lihat dalam persembahannya adalah sebuah persembahan yang menghiburkan dengan mutu vokal yang baik. Sesetengah penghibur boleh menghibur tetapi mempunyai mutu vokal yang biasa. Ini selalunya ada kepada pelawak. Tetapi Felix boleh menyanyi dan menghibur dengan baik. Beliau mempunyai karisma yang tinggi untuk menghiburkan penonton. Ekspresi wajahnya konsisten dan kena untuk sebuah lagu dangdut. Pergerakan geleknya dikawal dengan baik dan tidak keterlaluan untuk mengumpan jeritan penonton. Amat memadai. Nyanyiannya disampaikan dengan baik dan beliau pandai menyesuaikan lagu tersebut dalam menyampaikan mesejnya. Nyanyian dangdut memerlukan teknikal yang tinggi kerana lenggoknya amat berbeza dengan lagu-lagu biasa. Itu kelebihan Felix apabila mampu menvariasikan bakatnya untuk menjadi lebih versatile. Felix berkelayakan untuk masuk sebagai salah seorang Top 5 pilihan saya.
Reza - Senandung Semalam 4/10
Saya tertarik dengan cara beliau mencuba untuk membawakan lagu tersebut dengan gayanya yang tersendiri. Beliau cuba mencipta identiti yang tersendiri dalam lenggok lagu tersebut. Beliau cuba mengawal vokalnya dan sedikit berjaya pada pandangan saya. Tetapi pada pertengahan lagu tersebut beliau seakan hilang arah dan menjadi tidak tentu arah. Gerak-gerak ballet yang beliau cuba lakukan menyakitkan mata tanpa ada makna yang boleh disampaikan. Lagu yang sedap seperti Senandung Semalam menjadi kucar kacir apabila bahagian tinggi. Vokal Reza tidak begitu kemas. Saya harus puji penghayatan beliau dan mimik muka beliau yang sedaya upaya menyampaikan mesej lagu tersebut. Sebenarnya Reza sudah pun mendapat lagu yang bersesuaian dengan keupayaan vokal beliau tetapi nyanyiannya hambar. Beliau terlalu banyak mencuba untuk melakukan perkara yang di luar lingkungan nyanyian. Beliau bukan taruhan yang terbaik untuk Pilihan 5 Terbaik saya.
Ekin - Antara Dua 5/10
Saya akui lagu ini sebuah lagu yang sukar. Lebih sukar kerana saya menyukai Farah. Apa yang membuatkan saya menonton persembahan Ekin adalah kerana pergerakan badannya yang menarik. Penguasaan pentasnya baik dan beliau bijak berinteraksi dengan penonton dan kamera. Sayang sekali persembahan vokal beliau tidak cemerlang seperti yang saya harapkan. Stamina beliau masih belum cukup baik untuk membawakan sebuah lagu yang penuh bertenaga ini. Vokalnya tidak kemas dan tidak begitu jelas kerana teknik pernafasan yang hancur. Kejutan kemunculan Osman Kering dan Harun Salim Bachik sedikit menggugat tumpuannya. Memang sukar untuk menyanyi dan menari dalam satu masa dan tumpuan Ekin banyak terganggu dengan nyanyiannya. Persembahan Ekin masih biasa dan tidak dapat membuktikan apa-apa.
Idayu - Tiada Lagi Tangisan 8.3/10
Saya tertarik dengan persembahan vokal beliau yang begitu konsisten sejak minggu pertama. Penghayatan beliau juga baik. Kelebihan Idayu adalah mutu dan teknik vokal beliau yang mantap dan bertenaga. Corak persembahannya juga agak minimal dan tidak mencuba untuk melakukan gerakan yang bukan-bukan. Kawalan vokal beliau juga bagus terutama pada bahagian tinggi. Emosi lagu tersebut sampai kepada saya. Saya mahu melihat identiti Idayu agar lebih menyerlah pada minggu hadapan tetapi sayangnya kemaraannya terhenti pada minggu ini. Identitnya masih belum diserlahkan lagi dan beliau masih tercari-cari identiti yang sesuai dengannya.
Amylea - Don’t Know Why 8.9/10
Melihat beliau duduk bersimpuh, saya terbayang Fantasia Barrino untuk lagu Summertime dan dengan warna baju yang sama dengan Amylea. Keberanian membawakan lagu tersebut sambil duduk bersimpuh harus dipuji. Permulaan yang mengkagumkan. Beliau nampak selesa dengan lagu tersebut kerana lagu tersebut adalah forte beliau. Saya suka dengan aksi dan pergerakan beliau yang simple tetapi indah dipandang. Kekurangan utama pada persembahan Amylea ialah apabila emosi lagu tersebut tidak begitu sampai kepada penonton. Amylea pada saya telah memberikan persembahan yang terbaik pada malam itu berdasarkan mutu vokal beliau. Beliau harus diberikan sedikit pendedahan untuk lebih menyerlahkan personaliti beliau di dalam Diari Akademi.
Aidil - Suratan Atau Kebetulan 2/10
Nyanyian Aidil sumbang. Cubaan beliau untuk memberikan sedikit sentuhan tersendiri tidak menjadi. Penghayatannya tidak konsisten. Saya tidak pasti sama ada Aidil menyanyi atau bercakap. Saya akui lagu tersebut lebih kepada bercerita dan menjadi sedikit mendatar. Beberapa kali tempo lagu tersebut seakan tidak kena dengan nyanyiannya. Kedengaran Aidil terkejar-kejar mengejar ritma lagu tersebut. Corak persembahannya minimal dan tidak banyak pergerakan yang menyukarkan. Emosi lagu tersebut tidak sampai kepada saya. Sebuah persembahan yang mendatar. Aidil seharusnya menggunakan peluang yang ada untuk mengasah vokalnya di masa akan datang. Sudah empat minggu dan persembahan yang ditampilkan amat membosankan.
Mawi - Nourel Ain 8.5/10
Saya tertarik dengan sebutan beliau yang jelas untuk lagu tersebut. Bait-bait lirik lagu Arab tersebut disampaikan kepada penonton satu persatu. Mawi sendiri nampak selesa dengan nyanyiannya. Interaksinya dengan penari latar juga meyakinkan dan cuba mencipta jeritan penonton untuk terus mengikuti persembahannya. Saya nampak perubahan besar yang dibawa oleh mawi adalah gerak tariannya yang semakin meyakinkan. Gerakan tariannya sungguh sharp terutama pada penghujung lagu tersebut sebelum tamat lagu tersebut. Synchronization antara mawi dan penari latar amat bagus. Beliau perlu mengasah lagi vokal yang ada pada beliau agar dapat divariasikan lagu untuk pelbagai genre lagu. Karisma beliau baik di dalam Diari Akademi mahu pun Konsert Akademi adalah sebab mengapa pengundi setia bersamanya. Mawi turut mendapat sokongan padu dari Makcik Terlampau.
Menuju Puncak
Tiada apa yang kurang dalam lagu Menuju Puncak selain tariannya yang semakin hambar. Ini baru minggu keempat saya sudah dapat melihat yang tarian lagu menuju Puncak satu yang hambar. Memang geraknya mudah kerana banyak bahagian yang kosong dan pelajar hanya perlu berpusing tanpa gerak-gerak yang sukar. Lama-kelamaan geraknya menjadi sesuatu yang bosan untuk ditonton. Menonton dari Tingkat Satu, saya dapat melihat koreografi tarian tersebut secara keseluruhan dan berbeza apabila menonton di Arena kerana kepala perlu terdongak-dongak untuk menyaksikan mereka beraksi. Saya mengharapkan tarian Menuju Puncak perlu diubah memandangkan pelajar yang sedikit keras seperti Mawi dan Felix telah pun dapat menyesuaikan diri dengan gerakan tersebut. Maka inilah masanya yang paling sesuai untuk melihat sebuah lagi tarian Menuju Puncak yang lebih sukar dan tidak hanya pusingan 360 darjah tanpa makna.
Keputusan Penyingkiran
Terlalu banyak teori timbul menjelang penyingkiran malam itu. Kebanyakan teori-teori tersebut bermula dari blog ini dan ditinggalkan di bahagian komen pada sekitar minggu lepas. Bermula dengan Teori EFA iaitu nama awal untuk pelajar yang tersingkir iaitu Edlin, Fitri dan Anding. Maka untuk Akademi Fantasia 3, nama Elliza, Fuad dan pelajar yang mempunyai awalan A turut menjadi perhatian. Nama Amy, Amylea, Akma dan Aidil menjadi taruhan mereka. Malangnya ia tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya mereka terselamat dari teori-teori tersebut. Maka pelajar yang selainnya pula menjadi mangsa.
Nama-nama Marsha, Idayu, Ekin, Mawi, Felix, Reza, Kefli dan Yazer pula dijadikan sandaran mereka. Siapakah pula yang menjadi mangsa ? Ku sangkakan pelajar lelaki akan dipanggil ke hadapan, tetapi rupanya mereka terselamat. Reza dan Kefli terselamat pada minggu ini. Tinggal 3 pelajar perempuan iaitu Ekin, Idayu dan Marsha. Amat sukar untuk melepaskan Idayu kerana kehebatan vokal beliau. Amat sukar untuk melepaskan Marsha kerana kemanjaan yang dibawa olehnya di dalam Akademi dan amat sukar untuk melepaskan Ekin kerana personaliti senang yang dipancarkan oleh beliau. Tetapi itulah yang telah ditentukan oleh para pengundi. Kita sama-sama mengundi pelajar yang kita ingin lihat meneruskan penguasaan di peringkat seterusnya. Yang menjadi soal sekarang, hanyalah bilangan undi yang kita hantar untuk memberikan nadi kepada pelajar-pelajar tersebut. Jika diimbas kembali Akademi Fantasia 1, Atie telah tersingkir pada konsert ini dan Anding pada Akademi Fantasia 2. Mereka merupakan bekas pelajar UITM. Apakah Idayu ? Ya, akhirnya Idayu diumumkan sebagai pelajar ketiga yang tersingkir dari Akademi Fantasia.
Apakah persamaan yang dibawa oleh Burn dan Zarina ? :) Jom ramal !
Ranking sultanmuzaffar
Amylea - Don’t Know Why 8.9/10
Felix - Aku Semut Merah 8.8/10
Mawi - Nourel Ain 8.5/10
Idayu - Tiada Lagi Tangisan 8.3/10
Marsha - Tunggu Sekejap 8/10
Yazer - Nyanyian Serambi 7/10
Akma - L.O.V.E. 6/10
Amy - Bilang Saja 5.5/10
Ekin - Antara Dua 5/10
Reza - Senandung Semalam 4/10
Kefli - Seksa 3/10
Aidil - Suratan Atau Kebetulan 2/10
Imbasan 04 Akademi Fantasia
Tetamu : Adlin Aman Ramlie, Syafinaz dan Fauzi Marzuki
Tetamu Khas : Idayu, ibunya dan kakaknya
Persembahan : Percayalah
Konsert 05 Akademi Fantasia
Konsert 05 akan berlangsung secara terbuka di lokasi luar dan masuk adalah percuma kepada semua peminat Akademi Fantasia dan juga Ahli Parlimen. Konsert tersebut akan diadakan di Dataran Putrajaya, Boulevard, Precint 3, Putrajaya. Pengumuman tersebut sebenarnya telah disiarkan di blog ini sekitar minggu lepas dan tiada siapa yang mengambil endah kerana menyangkakan ia adalah suatu gossip. Semalam, ia menjadi kenyataan.
Kedudukan Undian Selepas Konsert
Mawi 24%
Felix 20%
Yazer 7%
Amylea 7%
Marsha 6%
Kefli 6%
Ekin 6%
Amy 5%
Akma 5%
Reza 5%
Aidil 5%
Idayu 5%
Kredit Foto : www.astro.com.my
0 komen