Undilah

SULTANMUZAFFAR (26 Februari 2002 - sekarang)

Seorang blogger, pelayar internet, penyelam scuba dan penagih tegar televisyen dan Wii. Melihat seluruh dunia di laman blog menerusi kamera DSLR dan kacamata tebalnya (kadang-kadang kanta lekap).

Mengkritik tidak bererti menentang, menyetujui tidak semestinya menyokong, menegur tidak bermakna membenci, dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik.
Entri oleh sultanmuzaffar 29 July 2005

Konsert 08 AF3

Diari Akademi Fantasia Minggu 09 Episod 09
Persembahan dari Kefli agak membosankan. Beliau tidak menggunakan kelebihan badan yang kecil itu untuk menggunakan keseluruhan pentas. Beliau banyak terganggu dengan lirik lagu tersebut. Pergerakannya terbatas. Tabiat menjilat bibir masih diteruskan walaupun setelah minggu kesembilan. Cikgu Marlia dan Pengetua M.Nasir nampak kebosanan. Memang Kefli nampak tidak begitu berkeyakinan dengan lagu tersebut. Dalam sesi latihannya, step tariannya banyak ditinggalkan. Lagu rap Tak Tahu perlu ada attitude. Kalau Adam yang bawa, memang seluruh pentas akan beliau kuasai. Adam sudah biasa, Kefli perlu mencontohi Adam.Kefli semacam kaku dan tidak mahu berinteraksi dengan penonton. Beliau tidak mengajar penonton untuk sama-sama masuk ke dalam lagunya. Ekspresi wajahnya juga tidak memikat. Beliau perlu belajar lebih lagi untuk menjadi rapper yang baik. Gaya rappers sudah ada, cuma Kefli kena lebih berani.

Persembahan permulaan Mawi memang membosankan. Sekadar berdiri tegak dan menyanyi. Persembahan vokal memang tiada yang uniknya tetapi beliau saya lihat berjaya menghayati lagu tersebut kerana lagu tersebut memang kesukaannya. Lagu kesukaannya tetapi saya melihat tiada apa yang unik yang berjaya dipertontonkan kepada saya. Felix bertanya sama ada boleh bergoyang atau tidak untuk lagu tersebut. Pengetua M.Nasir pun semacam tidak tahu untuk menjawab apa. Apabila Pengetua menjawab, Felix semacam malu-malu. Nampak ceria tetapi tidak ceria sangat. Menurut Marsha, banyak nyanyian Mawi yang tidak melontarkan vokalnya ke hadapan. Kalau sekadar ini yang dipertontonkan, ia belum cukup lagi.

Marsha mengambil tugas sebagai pengacara pada minggu ini. Perangai gila-gila Marsha menyerlah apabila mengacau semua pelajar. Antaranya Felix yang ditanya tentang perasaan setelah terkeluarnya “A” bukan nama sebenar. Mawi pula dikacau dengan duduk berdekatan dengannya.

Pengetua M.Nasir nampaknya kurang berpuas hati dengan persembahan Mawi. Beliau tidak nampak kehebatan Mawi membawakan lagu tersebut. Nyanyiannya sudah baik tetapi tidak diiring dengan gerak yang bersesuaian. Persembahan Mawi masih kurang x-faktor yang betul-betul dapat mengkagumkan penonton. Mawi diarahkan naik ke atas dan mengulang persembahannya. Beliau kemudiannya perlu memberikan persembahan ulangan.

Rupa-rupanya muncul Rabbani untuk membantu mencantikkan persembahan Mawi. Mawi memberikan ideanya untuk permulaan lagu tersebut iaitu dengan menyebut kalimah Lailahaillallah sebelum muzik masuk. Menurut Ustaz Asri, Mawi perlu pandai mencuri nafas agar memperlihatkan nyanyiannya lebih dinamik. Perubahan note ke bahagian tinggi perlu dilakukan dengan lebih bertenaga agar lebih bagus. Ini hanya boleh dicapai dengan teknik pernafasan yang betul. Mesej lagu ini mengingatkan penonton agar mati dalam keadaan yang baik.

Setelah selesai bantuan dari kumpulan Rabbani, persembahan Mawi lebih baik pada kali ini. Permulaannya agak tinggi dan bahagian seterusnya agak bernada rendah. Nampak macam tidak seimbang. Soalan Felix dijawab oleh Ustaz Asri yang menyatakan tidak salah untuk melakukan gerakan-gerakan yang bersesuaian untuk lagu nasyid. Pergerakan tersebut untuk lebih mendapatkan penghayatan dan kekuatan pada nyanyiannya.

Ustaz Asri menasihatkan Mawi agar jangan mematikan lirik lagunya dengan note yang rendah, lebih menarik sekiranya ia dibiarkan tinggi. Idea ini bakal memberikan kehebatan pada vokal Mawi dan dinilai keupayaannya.

Amylea ke Small Wonders Children House
Sekali lagi seorang pelajar Akademi Fantasia dibenarkan untuk keluar. Kali ini peluang tersebut diberikan kepada Amylea. Amylea telah diberikan peluang untuk ke Small Wonders Children House, rumah penjagaan kanak-kanak. Amylea berpeluang untuk melepaskan rindunya kepada adik-adiknya yang telah lama tidak ditemui olehnya. Memang nampak gembira Amylea apabila mendapat peluang tersebut. Mereka saling berpelukan dengan kanak-kanak yang ada di situ. Ada juga yang telah melukis gambar Amylea berbadankan Mr. Bola-Bola. Kanak-kanak tersebut juga menari bersama Amylea lagu Menuju Puncak. Sebelum pulang, Amylea membacakan mereka buku cerita dan mereka pun tertidur beramai-ramai.

Konsert 08 AF3

Diari Akademi Fantasia Minggu 09 Episod 10
Diumumkan Anuugerah Vokal Terbaik untuk dipertandingkan di antara 14 pelajar Akademi Fantasia. Pemenang anugerah tersebut bakal ditentukan dengan undian SMS oleh penonton. Taip AFVOKAL dan hantar ke 32999 ! Saya melihat ini adalah satu cubaan untuk memecahkan undian Mawi. Namun demikian, apa pun nama anugerah tersebut, saya tetap tidak bersetuju.

Pokok Kelapak Unplugged
Kesemua pelajar berkumpul di hadapan Tipah Tipah sambil menyanyikan lagu Pokok Kelapak dalam versi unplugged. Yazer bermain gitar untuk lagu tersebut. Nyanyian kesemua pelajar masuk dengan lagu tersebut kecuali vokal Kefli yang kasar tiba-tiba. Pada bahagian seterusnya hanya tinggal Marsha dan Amylea yang membawakan lagu tersebut dalam gaya soprano seperti yang sering saya tonton dalam opera. Kefli pula menjadi konduktor.

Maybank2u.com !
Cikgu Fatimah Abu Bakar menunjukajar para pelajar tentang penggunaan Maybank2u.com, sebuah aplikasi perbankan internet. Tanpa perlu pergi ke bank, para pelajar boleh melakukan pelbagai transaksi seperti membayar bil, memindahkan wang ke akaun lain dan melihat baki akaun. Nampak tercengang-cengang pelajar melihat kemudahan tersebut. Amylea nampaknya sudah biasa dengan penggunaan aplikasi tersebut. Kefli bertanya lebih lanjut mungkin kerana ini kali pertama mereka menggunakannya.

Mungkin pada musim akan datang, para pelajar boleh ditunjukkan dengan blog-blog Akademi Fantasia yang wujud untuk membaca komen-komen yang ada pada blog tersebut. Mereka seharusnya bersedia untuk membaca komen-komen baik positif atau pun yang negatif. Melihat bagaimana kemudahan internet dapat menaikkan nama pelajar dan menjatuhkan nama pelajar. Mereka seharusnya tidak gentar kerana pada Penyanyi Nombor Satu Malaysia, internet juga merupakan racun buatnya. Mereka perlu bersedia.

Kelas Motivasi Dr Azahari
Kali ini kelas motivasi Dr. Azahari hanya sekadar bertanya pengalaman pelajar selama seminggu. Apakah yang telah berlaku selama seminggu, baik yang pahit atau yang manis. Mawi menyatakan pengalaman pahitnya yang tidak sihar, selsema, ruam dan sakit tekak mungkin kerana silap makan. Pengalaman manisnya apabila mendapat lagu nasyid. Kejutan untuknya apabila Ustaz Asri dan kumpulan Rabbani membantunya mencantikkan lagi lagu tersebut. Selain daripada itu, perhubungannya dengan semua pelajar semakin rapat. Marsha contohnya menjadi semakin tidak betul.

Pengalaman manis Kefli ialah apabila mendapat lagu rap. Manakala pengalaman pahitnya apabila dibrainwash oleh Pengetua kerana tidak memberikan yang terbaik pada lagunya. Namun demikian, beliau tetap mengambil setiap teguran tersebut sebagai sesuatu yang positif.

Komen Terakhir Tenaga Pengajar
Sebelum memulakan sesi persembahan terakhir di hadapan Pengetua dan Tenaga Pengajar, Yazer dan Amylea telah menerima hadiah setelah menyelesaikan tugasan-tugasan luaran mereka dengan baik. Yazer telah ke Rumah Seri Kenangan dan Amylea telah ke Small Wonders Children House. Yazer mendapat sebuah patung dan Amylea mendapat sebuah bantal.

Persembahan Medley Lelaki
Nyanyian Ekspres Rakyat masih sebuah persembahan yang biasa. Persembahan vokal mereka adakalanya harmoni, adakalanya tidak. Persembahan tarian mereka nampak kebudak-budakkan dengan formasi seperti keretapi. Nyata Pengetua kurang berpuas hati dengan persembahannya, lebih-lebih lagi ia adalah lagu beliau.

Pertemuan dengan Cikgu Ee
Masih ingat bagaimana Felix melambung pembesar suaranya dalam lagu Hukum Karma ? Pada mulanya, tenaga pengajar tidak membenarkannya tetapi setelah ditanya sekali lagi kepada Cikgu Ee, beliau telah menasihatkan pelajar agar membuat mengikut keselesaan.

Bagaimana untuk membuat persembahan mengikut keselesaan, lebih-lebih lagi dalam sebuah persembahan berkumpulan. Keselesaan apa yang dimaksudkan ? Apakah setiap pelajar bebas untuk melakukan apa-apa sahaja gerakan yang mereka berasa selesa lakukan ? Melakukan mengikut keselesaan hanya sesuai untuk persembahan individu.

Persembahan Medley Perempuan
Gandingan dua orang pelajar perempuan ini sememangnya amat sesuai sekali. Ia mengingatkan saya kepada gandingan Jaclyn Victor dan Dina, serta Fantasia Barrino dan Diana DeGarmo. Persembahan vokal mereka sememangnya mantap. Mereka harus melebihkan lagi interaksi mata antara mereka dan memberikan penghayatan lagunya kepada penonton.

Surat Wasiat Terakhir !
Marsha menyerahkan tugas membaca surat wasiatnya kepada Amylea. Amylea pula menyerahkannya kepada Felix dan Marsha. Yazer meminta Kefli membacakan surat wasiatnya dan sebaliknya. Mawi masih setia dengan Felix dan sebaliknya.

Apa akan jadi sekiranya Yazer dan Kefli yang tersingkir pada minggu ini. Siapakah yang akan membacakan surat wasiat mereka. Tentunya empat orang pelajar akan sama-sama membacakan surat wasiat tersebut.

AFDIARI Episod 90 ke 32999 : Untuk Diari Terbaik Musim Ini
Tayangkan klip ini esok di Konsert esok ! Saya mahu merasakan aura sedihnya di stadium malam esok.

Perasaan sedih tiba-tiba hadir apabila menonton penghujung Diari episod 90 pada malam ini. Ia seperti menonton Diari episod 100. Memang terasa perubahan pada emosi apabila mendapat tahu pada awal minggu ini tentang bakal penyingkiran 2 orang pelajar. Siapa yang tidak terkejut dengan keputusan Akademi Fantasia, walaupun ia memang telah dijangka. Ia dilakukan seakan-akan diragut keakraban enam orang pelajar itu daripada mereka. Ikuti transkrip yang diperolehi dari Diari Extended 29 Julai 2005 1120-1220.

Kita sudah hampir sampai ke destinasi kita, saya kira ini minggu ke sembilan. Ini konsert terakhir kita bersama. Minggu depan hanya ada empat orang pelajar di Akademi.

Saya sedar selepas pengumuman Pengetua pada hari Selasa, mata semua orang tiada sparkle. Kita semua kena kuat, walaupun anda terkilan dan sedih dengan keputusan tersebut. Saya juga terkesan dengan keputusan tersebut.

Saya mahu kita semua gunakan semua ilmu yang anda dapat di Akademi. Gunakan sebaik mungkin untuk malam esok kerana sesiapa yang meninggalkan kumpulan ini adalah pemenang. Tiada siapa yang akan kalah kerana kita semua adalah pemenang. Saya mahu semua orang janji, bukan bangga dengan Tenaga Pengajar dan buat Tenaga Pengajar bangga dengan apa yang sudah anda pelajari.

Tiada apa yang boleh jatuhkan semangat anda semua, kerana anda sudah dapat yang terbak daripada kami. Saya harap anda akan gunakan semua ilmu yang anda dapat bukan untuk malam esok tetapi untuk masa depan.

Tiada yang kalah, kita semua adalah pemenang !

Komen Peribadi
Hari ini baru ada diantara kita yang terkenang-kenang zaman AF2 yang penuh dengan sifat harmoni dan saling hormat-menghormati sesama kita di dalam ruangan komen blog ini. Saya lebih senang dan terasa amam membaca komen-komen dahulu berbanding sekarang. Musim ini ia ditulis dengan penuh emosi, kebencian, suka dan sebagainya.

Adakalanya, manusia tidak pernah mahu maju malah mereka lebih melangkah ke belakang. Bukan untuk menilai kesilapan lama tetapi menambah kesilapan baru.

Ramalan Penyingkiran
Saya seboleh-bolehnya ingin melihat Mawi, Felix, Marsha dan Amylea beraksi di Konsert Final pada hujung minggu depan. Merekalah empat pelajar yang telah menunjukkan peningkatan dan perubahan serta mencipta fenomena di dalam Akademi Fantasia. Sukar untuk saya bayangkan sekiranya keputusan yang bakal diumumkan oleh Aznil tidak memihak kepada pilihan saya. Saya telah menyediakan RM60 untuk Marsha dan Amylea !

Blog Picisan
Susulan daripada komen saya dan nizamzakaria kepada artikel tulisan Azhan Jusoh di dalam artikel bertajuk Rimas gelagat masyarakat minat persoal isu picisan, turut memberikan komen ialah dunia-vovin dalam artikel bertajuk Pasal Blogger AF yang 'Picisan' dan gurisan intaglio dalam artikel bertajuk || PICISANKU ||. Artikel lain yang membincangkan topik yang sama boleh dibaca di Detik Jantung Waktu dalam artikel bertajuk Non-Conventional Malay Blog dan oleh Fiqarash bertajuk Blog Picisan.

Kredit Animasi : Klubbkidd ! Anda juga boleh dengarkan lagu-lagu tugasan pelajar-pelajar versi original dn nilaikan persembahan pelajar-pelajar malam ini dengan lebih arif ! Undi dengan BIJAK !