Diari Akademi Fantasia Minggu 05 Episod 09
Komen Tenaga Pengajar
Ekin menampilkan pergerakan yang menarik tetapi perlu meningkatkan mutu vokalnya. Sebutannya masih kurang jelas. Keyakinannya untuk menyanyikan lagu ini sedikit terjejas tetapi saya menyukai pergerakannya di atas pentas. Ada peningkatan dari aspek persembahan dan penguasaan pentas.
Amy saya lihat mampu membawakan lagu tersebut dengan baik. Menampilkan sebuah persembahan yang tidak terlalu mengikut penyanyi asalnya, Sheila Majid. Saya dapat mendengar pelbagai gaya yang cuba dipelbagaikan mengikut stylenya yang tersendiri. Kekurangan Amy adalah untuk menambat hati penonton mengikuti persembahannya.
Saya kagum dengan persembahan Marsha. Kelebihan Marsha ialah keupayaan beliau melenggokkan lagu tersebut mengikut gayanya yang tersendiri. Penghayatannya juga bagus. Nampak kena denam mood lagu tersebut. Aksi-aksinya hebat.
Penghayatan perlu hebat dalam lagu Berhenti Berharap. Kefli seakan berjaya melaksanakannya dengan baik. Persembahan vokal masih banyak yang perlu diperbaiki. Kefli masih tidak cukup ketahanan untuk membawakan bahagian tinggi yang tidak membingitkan.
Persembahan Yazer pada minggu ini agak membosankan. Saya tidak nampak kesungguhan beliau dalam menghayati lagu tersebut. Penghayatannya masih belum mencukupi untuk membawakan lagu balada sebegini.
Persembahan untuk Aidil perlu hebat dari aspek mendapatkan sokongan penonton. Sekiranya penonton dapat berinteraksi dan menghayati persembahan Aidil, tentunya lebih berkesan. Energy lagu tersebut perlu kekal sehingga penamatnya.
Surat Wasiat
Reza - Kefli, Marsha - Kefli, Felix - Mawi, Amy - Ekin, Yazer - Kefli, Aidil - Akma
Kefli menjadi kesukaan ramai juga sebagai pilihan untuk membacakan surat wasiat. Felix dan Mawi merupakan dua sahabat yang sukar dipisahkan.
Kelas Tarian Cikgu Linda Jasmine
Pelajar telah diminta untuk mencipta sendiri koregorafi tarian berdasarkan counting yang telah diberikan. Rata-rata pelajar memberikan persembahan yang baik Koreograf dari Ekin agak membosan. Koreograf dari Amy amat cemerlang. Langkah yang dicipta amat menarik dan seksi. Persembahan Felix juga amat tangkas dan menepati counting. Mawi tergelak-gelak kerana diganggu oleh rakan-rakannya. Pada tahun ini, saya lebih menyukai koreograf yang dicipta oleh Cikgu Linda Jasmine berbanding Cikgu Ee.
Amylea dan Ekin memperbaiki gerak tari masing-masing kerana mereka mendapat lagu yang menuntut mereka untuk menari. Koreograf yang dicipta oleh Cikgu Linda juga kena dan sesuai dengan lagu-lagu mereka. Entahlah, tahun ini saya lebih menyukai kehadiran Cikgu Linda di dalam kelas.
Diari Akademi Fantasia Minggu 05 Episod 10
Kefli dan Tipah Tipah nampak semakin mesra. Tetapi pada musim ini sukar untuk memilih siapakah yang akan menjadi pengganti kepada Farah yang amat rapat dengan Johnny. Yazer pun rapat juga dengan Tipah Tipah, begitu juga dengan Felix yang sering bergurau senda dengan Tipah Tipah. Rasanya lebih sesuailah diberikan kepada Kefli. Semacam padan pula Kefli dan Tipah Tipah. Gaya percakapan mereka juga macam pasangan kekasih. Bersembang tentang roti dan lain-lain. Kefli bertanya sama ada Tipah Tipah ini cantik atau tidak. Tipah Tipah mengangguk. Adakah dia gemuk atau tidak ? Tipah Tipah menggeleng.
Sedang lepak-lepak, Yazer dan Aidil bermain gitar lagu Dendang Perantau. Mawi menyanyikannya dengan penuh perasaan. Sedih pula mendengar mereka menyanyi lagu raya tersebut. Kefli bermain drum.
Persediaan Vokal oleh Aidil
Berbeza dengan sebelumnya, kelas ini dikendalikan oleh Aidil. Lebih baik dari ianya dikendalikan oleh Cikgu Shahrul. Aidil bermain piano dan meminta rakan-rakannya bubbling dan hissing. Mereka turut menyanyikan lagu Hari Ini Dan Semalam dan kemudian sama-sama membawakan lagu Negaraku. Dalam pada itu, Yazer kelihtan berlatih sendirian di hadapan cermin.
Kelas Motivasi Dr. Azahari
Mereka diminta untuk membina binaan yang paling tinggi daripada perkakasan yang telah disediakan. Kumpulan Mawi telah membina binaan yang agak tinggi berbanding kumpulan Aidil.Mawi telah mengukur ketinggian binaan mereka dengan menggunakan pemegang pembesar suara.
Komen Tenaga Pengajar
Saya agak berpuas hati dengan persembahan Mawi. Nampak peningkatan yang besar pada sebutannya. Nyanyiannya juga semakin bertambah baik. Saya melihat Mawi telah menggunakan segala ilmu yang diajar untuk mencantikkan lagi lagu tersebut. Beliau perlu memberikan elemen tekanan pada beberapa bahagian agar lebih memberikan makna pada persembahannya.
Persembahan Reza sudah cukup dari aspek penghayatannya. Saya nampak beliau seorang yang kreatif untuk mencantikkan lagunya. Penghayatannya cukup dan ekspresinya perlu ditingkatkan lagi agar elemen bercerita kepada penonton sampai dengan baik. Masalah utama Reza ialah beliau sering terlupa lirik dan sedikit mengganggu mesej lagu tersebut.
Felix perlu meningkatkan lagi elemen dalam persembahannya untuk lebih memukau penonton. Tidak cukup sekadar menari ke depan dan ke belakang. Felix harus bijak mencipta elemen yang mengkagumkan untuk menarik perhatian penonton. Nyanyiannya juga bagus dan ekspresi wajahnya juga kena dengan lagu tersebut. Saya nampak beliau agak selesa dengan lagu tersebut. Lagu itu amat mudah untuk Felix dan tidak mencabar keupayaannya sebagai penyanyi.
Persembahan Camar Yang Pulang merupakan lagu yang membawa kemenangan kepada Siti Nurhaliza dalam Bintang HMI. Ia merupakan titik karier Siti dalam bidang seni. Saya menyukai nyanyian Akma. Amat sederhana dan teknik vokal yang bagus. Penghayatannya juga baik. Menurut M.Nasir pada bahagian normal, vokal Akma agak sedap tonenya. Tetapi pada bahagian tekanan, ia kedengaran agak tidak sedap. Ia harus dibaiki.
Menurut Cikgu Linda, pergerakan Amylea terlalu mechanical. Ia terjadi kerana pelajar terlalu menumpukan kepada bahagian tarian sehingga nyanyiannya tidak masuk dengan lagunya. Amylea memberikan persembahan vokal yang lebih baik dari penyanyi asalnya. Perasaannya masih belum mencukupi untuk lagu tersebut kerana masih tidak cukup penghayatannya. Pergerakannya masih tidak jitu.
Tipah, Yazer & Ekin
Sementara menunggu untuk bergerak ke Masjid, berkali-kali juga dicuba oleh Tipah untuk memasangkan Yazer dengan Ekin, tetapi Yazer tetap berkeras tidak mahu. Beliau mahukan Tipah. Sampai terlanggar si Yazer kerana terpandang-pandang kepada Tipah Tipah.
Happy Birthday Cikgu Linda Jasmine
Tahun ketiga Cikgu Linda menyambut hari lahirnya di Akademi. Tahun ini lebih sederhana dan ianya dilakukan sewaktu latihan di hadapan tenaga pengajar. Para pelajar menyanyikan lagu Hari Lahir dan menghadiahkan beliau sebungkus hadiah.
Pernikahan Felix & Marsha
Siap dengan Tok Imam Ee, Felix dan Marsha dinikahkan. Memang kelakar Felix yang menjawab pertanyaan Tok Imam Ee dengan jawapan-jawapan jenaka beliau. Marsha yang bertudung manis kelihatan malu-malu. Felix telah menyarungkan cincin pada jari Marsha. Rasa macam tidak best pula bila nikah kahwin ini dipersenda-sendakan. Ia bukannya sekadar adat tetapi melibatkan keagamaan.
Stand By Me
Menarik juga apabila Ekin menyanyikan lagu Stand By Me yang ditukarkan liriknya. Ekin turut menyatakan I Love You kepada Yazer. Bersorak para pelajar yang lain apabila mendengarnya.
Ramalan Penyingkiran
Setelah menonton Diari dan Diari Extended, perasaan sayang itu mula timbul kepada semua pelajar. Hubungan para pelajar juga semakin rapat dan akrab. Minggu kelima telah memberikan kita peluang untuk mengenali mereka secara lebih mendalam lagi. Saya mahukan Amy tersingkir kerana tiada peningkatan besar yang ditunjukkan oleh beliau pada persembahannya. Yazer yang berada di tempat ketiga harus lebih berhati-hati. Peminatnya harus bersedia menerima kejutan tersebut, sekiranya berlaku. Kefli membawakan aura lagu yang menakutkan. Lagu Berhenti Berharap sememangnya berhantu. Bagaimana dengan Reza ? Adakah kita sudah memaafkan beliau ? Aidil semakin saya senangi penampilannya di dalam Akademi begitu juga dengan Kefli. Apa sahaja keputusan saya terima dengan terbuka kerana sudah tiga musim Akademi Fantasia berlangsung. Tiada kejutan yang mengejutkan bagi saya musim ini.
Astro.TV
Para peminat Akademi Fantasia boleh melayari AFXtra untuk menonton Diari Xtended dan juga arkib Konsert, Imbasan, Diari dan Tirai yang telah disiarkan. Dalam Diari Xtended, para peminat Akademi Fantasia boleh menonton aksi dan karenah para pelajar bermula dari jam 8 pagi sehingga 8 malam setiap hari. Kita boleh menonton setiap kelas yang berlangsung dan menyelami pergerakan mereka setiap saat. Dari situlah, kita mengenali hati budi setiap pelajar yang menjadi kesukaan kita.
Sistem navigasi pada Diari Xtended telah ditingkatkan bermula pada minggu ini. Diari pilihan lebih mudah untuk dipilih berdasarkan hari dan bulan pada Kalendar pilihan. Selain daripada itu, kita boleh menonton persembahan Konsert untuk Akademi Fantasia I dan II.
Anda boleh membaca ulasan Diari Xtended Pilihan yang ditulis oleh pembaca saya di komen artikel yang ada serta boleh melayari blog alisejuk yang khas untuk ulasan Diari Xtended. Selamat menonton dan membaca !
0 komen